*Sudah lama akak tak tulis cerpen untuk pembaca di blog, kan?
Anggap sahaja ini cerpen untuk melepaskan stress kerja, okey?
Selamat Membaca
**********
Hawa tidak
pernah menyangka, hari itu akan menjadi satu hari yang berbeza. Dia
meninggalkan bilik hotel untuk ke Pantai Chenang dengan niat untuk menyertai aktiviti
‘Island hopping’. Namun, walaupun bot sudah lama pergi meninggalkan pantai dia
masih tersangkut di sebuah kedai cenderamata. Berdepan pula dengan seorang
lelaki yang telah hilang dalam hidupnya selama 10 tahun. Adam.
Untuk beberapa
minit-lidahnya kelu. Fikirannya jadi buntu. Benarkah itu Adam? Atau pelanduk
dua serupa? Dia teragak-agak untuk menegur seorang lelaki yang hanya berseluar
pendek paras betis yang sedang sibuk melayan pelancong asing membeli peta.
Namun senyuman lelaki itu meyakinkan dia yang dia tidak tersilap orang.
“Hawa?” tegur
Adam terlebih dahulu.
Hawa angguk,
kemudian tersenyum.
Adam juga sudah
tidak bersuara-hanya tersenyum dan sesekali meraup rambutnya yang tidak banyak
berubah fesyennya.
“What
a surprise!” katanya selepas rasa gugupnya hilang.
Hawa juga
kehilangan kata-kata. Walaupun sudah nyata yang di hadapannya itu Adam namun...
di antara mereka sudah terbina jurang masa yang lama. Mungkin Adam yang berdiri
di hadapannya sekarang, hanya nama dan wajah sahaja yang sama tetapi.... hati
mungkin tidak. Adam yang ditinggalkan dahulu adalah seorang lelaki remaja-Adam
yang berdiri di hadapannya kini adalah seorang lelaki dewasa.
“Datang bercuti?
Mana family?” Adam tersenyum sambil
terpandang-pandang kiri dan kanan Hawa.
“Saya datang
sorang,” jawab Hawa. Memang dia datang seorang diri ke Pulau Langkawi itu untuk
menenangkan fikiran. Dia mahu melarikan diri seketika daripada semua tekanan
yang di hadapinya saban hari. Dia cuma tidak sangka, rupa-rupanya di situ sudah
menunggu seseorang untuk dia jumpa.
Adam angguk
lagi.
“Apa kata kalau
kita pergi minum sekejap?”
“Tak apa ke?
Kedai ni....”
“It’s
okey. Ada kawan saya jaga,” balas Adam. Dia sudah menarik
pintu kedai dan mempersilakan Hawa keluar.
Hawa tidak ada
pilihan, dia ikut sahaja langkah Adam ke kedai makan –di sebelah kedai
cenderamatanya. Di sebuah meja, mereka dua duduk sementara menanti minuman yang
dipesan tiba.
“Hawa sihat?”
tanya Adam.
Hawa angguk.
Entah kenapa, di hadapan Adam mulutnya jadi berat.
“Kerja di mana
sekarang?”
“Di Kuantan,”
jawab Hawa.
“Doktor?”
Hawa angguk lagi
bersama senyuman nipis. Dikelipkan mata beberapa kali untuk menghalang air
matanya keluar. Sesungguhnya setiap pertanyaan Adam itu, seperti membuka semula
setiap kenangan lama mereka.
“Well,
congratulations,” kata Adam sambil tersenyum. “Jemput
minum.”
Air teh dalam
cawan, diteguk dengan berhati-hati. Ucapan tahniah Adam, ditelan sahaja bersama
rasa sedikit kekok.
“Awak... memang
tinggal di sini?” tanyanya pula. Rasanya agak janggal jika dia tidak
menunjukkan minat terhadap kehidupan Adam.
Adam angguk.
“Sudah dekat lima tahun. Selepas graduate, saya terus ke sini tolong kawan uruskan kedai tu.”
“Macam mana
bisnes? Bagus?”
“Macam air laut
juga. Ada pasang surut tapi setakat ini cukuplah makan pakai. Kami ada empat
buah kedai –sebuah lagi di Jetty Point,” balas Adam sejujurnya. “Awak pula
macam mana? Dah berapa orang anak? Kenapa tak bawa mereka sekali?”
Hawa menelan air
liur. Terasa pahit. Sindiran Adam terpaksa dihadapinya dengan tenang. “Tak ada
anak,” jawabnya perlahan.
Mata Adam
terkelip-kelip. Wajahnya tenang sahaja.
“Saya...divorced. Tak ada anak pun,” sambung
Hawa. Mungkin itu yang hendak sangat didengari oleh Adam, biarlah. Dia tidak
rasa malu pun. Itu kenyataan. Disebabkan itulah dia ke sini.
“But
why?”
Hawa angkat
bahu. Dia tidak bersedia untuk bercerita apa-apa walau dia punya kisah sedih
yang panjang lebar jika mahu dibentangkan kepada Adam. Namun bagi dia, itu
sudah tinggal sejarah. Dia ke situ untuk menutup segala kisah sedih itu sebelum
memulakan kehidupan baharu yang lebih baik.
Adam terdiam apabila
Hawa tidak mahu menjawab pertanyaannya.
Kemudian Hawa
tersenyum –dia juga bukan ke situ mahu memeningkan kepala Adam. Sepatutnya
pertemuan semula itu menjadi pertemuan dua orang sahabat lama yang
menggembirakan, bukan?
“Hey! Saya ke
sini bukan nak bercerita soal tu,” tegurnya untuk memulihkan keadaan yang
terbawa-bawa. “Awak pula macam mana? Dah ada berapa orang anak?”
Adam menggeleng
lemah dan lantas merenung jauh ke laut.
Hawa ikut sama
memandang laut biru yang terbentang luas. Mereka sama-sama hanyut dalam
kenangan masing-masing.
******
10 tahun
dahulu....
“Selepas habis
SPM awak nak buat apa?” tanya Adam dengan selamba sahaja. Wajahnya bersahaja
bagaikan tidak ada beban yang tertanggung di bahunya.
“Berapa kali
saya nak cakap?” balas Hawa. Dia tetap merenung jalan raya-bimbang jika bas
sekolahnya sudah tiba.
Adam tersenyum
senang. Giginya nampak semua. Matanya bercahaya. Gembira benar kerana dapat
buat Hawa menarik muka masam.
“Cakaplah sekali
lagi. Saya dah lupalah,” jawabnya main-main.
Hawa menoleh ke
arah Adam. Rasa marahnya mula datang. Dia tahu Adam main-main, sengaja bertanya
soalan yang entah berapa kali ditanya sebelum ini. Bukannya Adam tidak tahu
cita-citanya. Adam sengaja mahu melihat dia marah.
“Saya nak masuk
U. Saya nak jadi doktor,” balasnya perlahan. Walaupun sikap Adam begitu namun
dia sayang Adam. Adam kawan baiknya, Adam ... ya dia sayang Adam lebih daripada
itu cuma dia tidak pernah berani berterus-terang. Dia malu kalau Adam
mentertawakan dia.
“Awak nak tahu
apa impian saya selepas habis SPM?” Adam pula bertanya. Dia renung wajah Hawa
lama-lama.
Hawa menggeleng.
Memang dia tidak pernah tahu apa cita-cita atau impian Adam. Bagi dia, apa pun
pilihan Adam dia yakin Adam sudah berfikir masak-masak. Dia sebagai kawan, akan
menyokong apa sahaja.
“Apa dia? Awak
nak masuk U mana?” tanyanya dengan polos.
Senyuman Adam
makin lebar.
“Impian saya...
saya nak kahwin dengan awak,” jawab Adam disusuli ketawa kecil.
Muka Hawa mula
merah ranum. Cepat sahaja fail dalam dakapannya dihempuk ke bahu Adam. Entah
apa-apa betullah Adam ni, kata hatinya. Dalam suka, dalam malu dia tidak fikir
itu semua logik. Lagipun dia tidak mahu berkahwin selepas habis SPM- dia mahu
masuk U, dia mahu belajar dahulu. Dia mahu jadi doktor!
“Tak naklah
kahwin dengan awak,” katanya laju.
Air muka Adam
berubah. Adam terdiam seketika. Hilang sudah senyum dan tawanya yang nakal
tadi. Dahinya mula berkerut. Pandangan matanya jadi redup.
“Kenapa?”
“Saya nak masuk
U! Saya nak jadi doktor,” kata Hawa dengan tegas.
Adam terangguk-angguk.
Kemudian dia bangkit berdiri apabila sebuah bas sekolah meluncur laju ke arah
pondok bas itu. Pelajar-pelajar yang lain juga sudah beratur sementara bas
sekolah itu merapat ke pondok bas.
“Bas awak dah
sampai,” katanya.
“Marilah naik
sekali,” ajak Hawa. Sesekali memang Adam akan naik bas sekolahnya kerana laluan
rumah mereka sama.
Adam menggeleng.
Hari itu, dia tidak mahu naik satu bas dengan Hawa. Dia mahu Hawa pergi dulu,
dia mahu bersendirian. Ketika Hawa melangkah pergi ke arah pintu bas, dia
memanggil Hawa.
“Hawa,” panggilnya.
“Impian saya ialah nak kahwin dengan awak!”
Hawa menelan air
liur. Kata-kata Adam dibiarkan tidak dijawab sehinggalah sekarang.
*******
Sekarang...
Air teh dalam
cawan masing-masing sudah lama habis. Kedua-duanya sudah puas termenung jauh,
sudah puas dibungkus kenangan lama yang semakin menggemaskan.
“Awak masih
ingat?” tanya Adam perlahan.
Ingat? Ingat
apa? Hawa serba-salah untuk menjawab. Ada banyak perkara yang dia ingat tentang
Adam. Banyak. Dia tidak pernah melupakan Adam-lelaki yang pernah bertakhta di
hatinya. Tidak pernah.
“Awak masih
ingat impian saya?”
Nafas Hawa
tertahan. Dia biarkan sahaja pertanyaan itu tidak berjawab.
“Selepas SPM,
saya cari awak tapi awak sudah pindah. Saya tanya kawan-kawan tapi tak ada
siapa yang tahu alamat rumah awak yang baru,” sambung Adam. “Saya dengar awak
masuk U, saya cuba minta tolong kawan-kawan cari awak tapi usaha saya tetap
gagal.”
Hawa diam
sahaja. Dia juga cuba mencari Adam tetapi setiap usahanya seperti bertemu jalan
buntu. Lama-lama, dia biarkan sahaja. Kalau ada rezeki, Tuhan akan mempertemukan
mereka semula walaupun mungkin dalam keadaan yang berbeza sama sekali.
“Tak apalah,
Adam. Itu kisah lama. Awak pun dah berjaya sekarang, hidup bahagia,” kata Hawa.
Sekali lagi dia cuba memulihkan keadaan yang janggal di situ. Dia takut jika
pertemuan semula itu menyinggung perasan isteri atau anak-anak Adam. Itu bukan
niatnya ke situ. Bukan.
“Hawa,” panggil
Adam. Dia merenung seperti dia merenung Hawa sepuluh tahun yang lalu. “Saya
belum berkahwin. Saya masih mencari awak, menanti awak setiap kali musim cuti
tiba... dalam ribuan pengunjung yang datang ke sini. Saya tak pernah berhenti
berharap untuk melihat wajah awak lagi.”
Untuk beberapa
saat, Hawa kelu.
“Satu-satunya
impian saya yang belum tercapai... ialah mengahwini awak. Dan impian itu akan
terus hidup... selagi saya tak mencapainya.”
Hawa memandang
Adam. Kesungguhan Adam meleburkan segala kepahitan di hatinya. Mungkin itulah
sebabnya dia ditakdirkan di situ. Bertemu semula dengan Adam-mendapat kembali
kemanisan hidup yang telah lama hilang. Dia bersyukur.
“Awak tahu
tak... saya juga sudah lama mencari awak.”
“Awak cari saya?
Kenapa?”
“Saya pun ada
impian,” balas Hawa.
Kini, Adam
tersenyum. “Bukankah impian awak nak masuk U dan jadi seorang doktor? Apa lagi
yang awak nak?”
“Awaklah!” jawab
Hawa sambil tersenyum....
Adam tersenyum
manis. Sepanjang hari mereka menyusuri pantai yang landai –terlalu banyak
cerita yang mahu diceritakan- tentang kenangan lama, tentang impian yang baru. Hari
itu memang berbeza....
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.