Mulai hari ini saya akan masukkan beberapa Bab awal cerita PUJA - sekali mengambil selamanya bertuan. Setakat ini saya telah siarkan PROLOG dan Bab 1 di sana. Jemputlah membaca kisah ini yang saya tuliskan berdasarkan sebuah kisah benar.
PROLOG
PROLOG
400
tahun yang lalu…
Sewaktu Kampung
Silak Tua belum diwujudkan.
“DI SINI ke
Abang Waki?” tanya Alang. Setelah merentas hutan tebal separuh hari perjalanan,
rombongan mereka yang terdiri daripada tujuh buah keluarga seramai hampir dua
puluh orang, tiba di sebuah tanah yang agak rata.
Waki
terangguk-angguk. Jauh renungan matanya, sejauh akalnya menilik dan memikir
antara alam nyata dan tidak. Berat hati dan akalnya mengatakan bahawa itu tanah
yang bertuah.
“Inilah
tempatnya.” Akhirnya dia memberikan kata putus sebagai orang yang paling tua
dalam kumpulan itu. Juga dianggap orang yang paling banyak ilmu dan tahunya
antara sekalian yang ada di situ.
“Kalau begitu,
bolehlah kita bersihkan tempat ni.” Alang yang paling rapat dengan Waki
bersuara. Hatinya benar-benar lega kerana sekarang mereka semua sudah ada
tempat tinggal yang baharu. Jika tidak ada aral melintang, suatu hari kelak,
akan dicari juga jalan kembali ke Pagar Ruyong. Akan dibawanya isteri serta
anak-anak yang masih tinggal di sana ke situ, fikirnya.
Mendengarkan
kata-kata Waki dan Alang, maka yang lain-lainnya mula menebas dan menebang.
Yang pandai menukang, menukang. Yang pandai menjalin, menjalin. Mana yang tidak
pandai apa-apa sekadar mengalih kayu dan dahan. Tidak lama kemudian, kawasan itu
pun teranglah sedikit rupanya.
“Elok juga
tempat ini, Abang Waki. Di hadapan kita sungai, senang untuk mencari ikan dan
udang. Di belakang pula paya, boleh kita bertanam padi.” Alang semakin gembira
apabila menyedari betapa eloknya tapak yang dipilih oleh Waki. Dalam hati, dia
makin mengkagumi kebolehan dan ketinggian ilmu lelaki itu.
Pujian Alang
disambut oleh Waki dengan senyum tenang.
“Kita ada tujuh
keluarga, pakat-pakatlah nak pilih kawasan yang mana. Yang pandai buat rumah,
besarlah rumahnya. Yang pandai menebas, besarlah tanahnya,” katanya.
Alang juga
bersetuju. Begitu juga dengan yang lain-lainnya, Sia, Abi, Hitam, Garang, dan
Ubi. Alang-alang sudah merantau biarlah menjadi. Alang-alang sudah jauh biarlah
bersungguh, fikir mereka. Cuma pada malam itu, rehat panjang yang mereka
harapkan...gangguan yang tiba.
SAMBUNG BACA DI SINI: PROLOG
Bab 1
Bab
1
“CEPAT! Cepat!!!”
Suara Manjoy meletus bersama tepukan bertalu-talu di
bahunya. Jimmy langsung menekan pedal minyak. Tayar kereta berputar laju
meninggalkan asap dan bunyi berderit yang memekakkan telinga. Entah kenapa hari
itu, terasa segalanya seperti tidak kena. Bahkan tapak tangannya berpeluh sejuk
dan menggeletar. Tidak seperti selalu.
“Gila! Macam angin!” Manjoy membentak marah dengan
nafas yang menderu keluar masuk dadanya yang berombak-ombak.
Pakkai di sebelahnya hanya mengeluh berat. Wajahnya
kusut.
Jimmy juga tidak bersuara. Matanya tidak lekang dari
memerhati jalan raya yang masih sibuk dengan kenderaan walaupun matahari sudah
hampir tegak di langit. Apa pun yang telah berlaku, dia mesti pastikan mereka
bertiga sempat sampai ke Tol Gombak secepat mungkin. Hal polis yang mengejar
laju di belakang mereka, kemudian sahajalah difikirkan. Mereka tidak akan dapat
menewaskan dia walau kehadiran mereka secepat itu memang di luar jangka. Dia
tidak akan tunduk pada polis.
“Cepat! Mereka dah dekat!” Pakkai pula menggoncang
bahu Jimmy. “Mereka dah dekat!”
Sikap Pakkai membuatkan dada Jimmy sesak. Rasa
marahnya makin menggila. Dia menyumpah-nyumpah dalam hati. Dalam kekalutan itu
dia memecut selaju yang boleh. Kereta BMW yang dipandunya itu bagaikan pelesit
meluru pantas menakutkan kenderaan lain yang menyasar ke tepi. Dia tidak akan
kalah.
“Tu! Tu!” jerit Manjoy bagaikan orang sasau apabila
terpandang sebuah kereta Honda Accord sedang menunggu mereka di hadapan Tol
Gombak. Bendera merah yang dipasang pada cermin hadapan adalah tandanya.
Jimmy tidak menunggu lagi. Brek ditekan. Kereta
tersasar menghala ke tepi pagar. Belum sempat kereta itu betul-betul berhenti,
dia sudah membuka pintu. Begitu juga Manjoy dan Pakkai. Serentak, mereka
bertiga terjun dari kereta dan berlari menghala ke pintu tol.
Dalam masa yang singkat kehadiran mereka menjadikan
kawasan tol itu gempar. Ramai yang terpinga-pinga.
Pang! Pang! Pang!
Tembakan bertalu-talu dilepaskan ke arah mereka dari
kereta polis yang meluru dari sebelah kiri.
Jantung Jimmy seperti mahu luruh. Beberapa das
tembakan tersasar hanya beberapa inci dari tubuhnya. Dia mengerah segala tenaga
untuk memecut ke kereta yang menanti, begitu juga Manjoy yang tidak menoleh
sedikit pun ke belakang. Namun semakin dekat dia ke kereta yang menanti, semakin
dia rasa ada yang tidak kena.
“Pakkai!” Jimmy menjerit.
SAMBUNG BACA DI SINI: BAB 1
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.