Bab 2:
Kampung Silak Tua.
MAHU tidak mahu, Bahiyah terpaksa pergi juga.
Walaupun terasa berat hati namun Bahiyah terpaksa akur. Sambil menghela rasa yang
terbeban dalam hati, dia lantas menyarung selipar dan menuju ke belakang rumah.
Pada waktu itu muram senja sudah tiba. Lantai tanah mulai
gelap dan sejuk. Dingin malam berlajar singgah. Pokok-pokok mula berbalam.
Hutan di pinggiran tidak sanggup dipandang.
Krek! Pagar kayu yang hampir reput berkeriut semasa
ditarik Bahiyah.
Bahiyah acuhkan sahaja. Sebaik sahaja masuk, dia
terus melangkah laju menuju ke sudut sebelah kiri kebun kecil yang berpagar
itu. Di situ ada tiga batang pokok terung yang sedang berbuah. Lantas, dia
menarik dua biji terung lalu berpatah semula.
Rasa dingin senja yang menerpa, membuatkan dia
berasa seram sejuk. Apatah lagi apabila angin menghantar bau busuk seperti bau bangkai
mereput ke hidungnya dengan tiba-tiba. Kembang tengkuknya menahan rasa loya.
Krek! Pintu pagar berbunyi lagi apabila ditolak kali
kedua.
Bahiyah terus tinggalkan tempat itu. Makin lama
langkahnya makin laju. Malah kini dia mula berlari-lari anak. Perasaannya semakin
tidak enak. Tengkuknya meremang. Bulu romanya tercacak tegak. Sayangnya ketika
dia tiba berdekatan sebatang pokok keranda yang tidak berbuah, langkahnya terus
terhenti. Nafasnya tertahan.
Seorang lelaki tua berwajah aneh sedang berdiri
tegak di tengah laluan.
Semakin lama dipandang, semakin dia nampak jelas.
Ulat putih sebesar beras berebut-rebut keluar dari rongga mata yang sudah tidak
bermata. Juga dari rongga hidung, mulut dan pipi yang melopong. Kesemuanya
jatuh berguguran ke tanah. Bergaul dengan nanah, darah dan cebisan daging yang
turut meluruh. Bau busuk semakin kuat.
Bahiyah jadi kaku. Dia tidak mampu bergerak. Makin
lama makin fikirannya terawang-awang. Pandangan matanya berpusing. Dia hanya
sempat menjerit sebelum tergolek mencium tanah. Terung yang dipegang tercampak
ke bawah rumpun keladi hutan.
BACA SAMBUNGAN DI SINI: BAB 2 (tekan)
Bab
3
Keesokan harinya…
Pinggir Bukit Tinggi
KABUS di perbukitan menghalang pandangan. Sambil
membetulkan jaket yang dipakai, Jimmy menyambung menungannya yang panjang di
beranda apartmentnya. Semalaman tidak tidur menyebabkan tubuh badannya agak
lesu. Ditambah kerisauan memikirkan apa yang bakal dihadapinya sebentar lagi,
dia benar-benar rasa dihempap batu besar. Angin sejuk yang menghilir dari arah
perbukitan itu pun tidak mampu lagi menghadirkan rasa damai.
“Cepat bangun?” tegur Manjoy yang menggeliat ala-ala
kucing jantan di muka pintu gelonsor. Tubuhnya yang tidak berbaju menampakkan
tubuhnya yang kurus namun keras, hasil latihan tomoi yang berterusan.
Suara Manjoy membuatkan Jimmy menoleh seketika. “Dah
pukul berapa?”
Manjoy menoleh ke arah dinding di dalam rumah,
kemudian menoleh ke arah Jimmy semula.
“Pukul 7.”
“Cepat bangun?” Jimmy pula bertanya. Terdetik rasa
hairan kerana selalunya kalau belum pukul dua belas tengah hari, Manjoy tidak
akan buka mata.
“Nak terkencing.” Manjoy tersengih sebelum
tergesa-gesa meninggalkan Jimmy sendirian semula di beranda itu.
Jimmy menarik nafas panjang, kemudian kembali
termenung. Apa yang menganggu fikirannya jelas terbayang di ruang mata. Mampukah
dia berdepan semula dengan semua yang telah ditinggalkan sejak 15 tahun yang
lalu? Mahukah mereka menerima semula dirinya dengan baik? Bagaimanakah sambutan
mereka? Dia rasa terhukum oleh pelbagai persoalan yang tidak ada jawapannya.
“Dah packing baju?”
Spontan Jimmy menoleh. Nampaknya Manjoy sudah
kembali ke situ. “Belum,” jawabnya sepatah.
“Aik? Kenapa tak packing
lagi?” Manjoy tarik sebuah kerusi besi di tepi pintu lalu duduk bersilang kaki
bagaikan senang hati. “Bukan selalu balik pun… seingat aku… aku tak pernah
ingat kau pernah balik kampung. Sebut pasal mereka pun tak pernah.”
“Pernah aku tanya pasal keluarga kau?”
Manjoy terdiam.
Jimmy mengeluh perlahan. Bukan niatnya mahu
menyakiti hati Manjoy tetapi Manjoy bukan tidak tahu. Soal keluarga adalah satu
soal yang tidak akan didedahkan oleh mana-mana ahli kumpulan mereka termasuklah
dia dan Manjoy sendiri.
Mereka hidup bagaikan anak-anak terbuang, jauh dari
keluarga masing-masing. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu Manjoy berasal dari
mana. Manjoy juga tidak pernah pulang ke pangkuan keluarga. Bercerita apatah
lagi.
“Sorry,
aku…” Setakat itu Manjoy bersuara. “Tak apalah. Kau baliklah dulu… kalau ada
apa-apa masalah telefon ajelah.”
Sehabis berkata-kata Manjoy bangkit lalu melangkah
perlahan masuk ke dalam rumah semula.
Jimmy tidak menoleh sedikit pun. Dia tahu Manjoy
bukanlah lembik bagaikan budak hingusan. Setakat kena herdik, kena maki, kena
sepak terajang sudah tidak jadi hal. Ini kan pula setakat berbalas kata. Tetapi
kalau semua itu benar, kenapa hatinya sendiri terasa amat runsing. Ada perasaan
malu yang teramat malu menguasai dirinya. Patutkah dia pulang?
BACA SAMBUNGAN DI SINI: Bab 3 (Tekan)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.