Sunday, February 15, 2015

Stok JANJI JULIA 15 sudah ada!


Genre: Aksi-Thriller
Terbitan : ACE
ISBN  978-967-10077-6-1
Harga Semenanjung  RM 24.00 + kos pos laju RM 3 = RM 27.00
Harga Sabah/Sarawak RM 27.00 + kos pos laju RM 3 = RM 30.00

SINOPSIS:

Dalam keadaan darurat dan negara kucar-kacir, Julia telah berjanji untuk menghantar kawan baiknya Mimi balik ke pangkuan keluarga. Namun apa yang menanti mereka di pertengahan jalan adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh mereka berdua. Dihimpit kelaparan dan ketakutan, mereka melarikan diri ke dalam hutan. Namun, itu juga bukan satu keputusan yang tepat.

Mimi terjerit nyaring apabila mendengar tembakan itu. Walaupun kedudukannya membelakangkan pondok, bunyi tembakan itu cukup menggerunkan.
“Ju...” tangisnya sambil terketar-ketar. Dia melingas-lingas mencari Julia.
Julia terpempan. Bunyi tembakan itu mengimbau semula ingatannya kepada bunyi tembakan dan letupan di lebuh raya beberapa hari yang lalu. Dia terasa seolah-olah kembali ke saat itu. Apakah itu penghujungnya perjalanan mereka berdua?
“Mimi, kalau terjadi apa-apa kat aku, jaga diri baik-baik. Bertahanlah. Ingat, kau mesti balik ke Ipoh,” pesannya apabila lelaki itu tetap menghala ke arahnya. Dia pasrah kalau ajalnya sudah tiba.

Apa yang berlaku seterusnya? Dapatkah mereka berdua mempertahankan bukan sahaja iman di dada dan nyawa tetapi juga maruah dan kesetiaan?

“Ini kawasan aku. Tak ada orang lain yang boleh masuk dan keluar sewenang-wenangnya. Aku akan pacak kepala mereka di pinggir sungai ini. Biar orang lain tahu, ini kawasan Kahar!” ~ Kahar

Lari dan terus lari… mereka mengejar! 


Rantai kunci sebagai cenderamata. Terhad kepada 100 orang pembeli pertama sahaja. 

REVIEW Janji Julia boleh dibaca DI SINI (Tekan)

Sebarang pertanyaan dan pesanan boleh dibuat melalui e-mel:  pnmaria1@gmail.com
Buku ini tidak ada di kedai.

Wednesday, November 12, 2014

Stok PUJA sudah tiba !



Alhamdulillah. Stok novel PUJA sudah selamat tiba di tangan saya dan buat masa ini saya sedang berusaha menghantarnya kepada kawan-kawan yang sudah membuat pembayaran
Terima kasih banyak atas sokongan yang berterusan.



Stok novel PUJA belum sampai lagi ke kedai-kedai lagi.



Badge button PUJA untuk 100 pembeli yang pertama.



 Kalendar Hijrah PUJA untuk 200 orang pembeli yang pertama.
Sekiranya anda berhajat mendapatkan novel PUJA berserta cenderahati di atas hubungi saya di : pnmaria1@gmail.com


Harga:
(Semenanjung)RM 21 + RM 6 untuk pos laju = RM 27
(Sabah dan Sarawak) RM 24 + RM 6 = RM 30

Friday, November 7, 2014

Ceramah di Sek Men Hang Kasturi, Masjid Tanah, Melaka



Alhamdulillah. Pada hari Khamis 6 Nov 14 -saya telah dijemput memberi ceramah di hadapan pelajar-pelajar Ting 1-4 di SM Hang Kasturi, masjid Tanah, Melaka
bersempena Kempen Membaca 1 Malaysia.

Maklum balas dan penyertaan pelajar-pelajar sangat memuaskan. Saya membenarkan mereka menyuarakan pertanyaan dan pendapat mengenai novel dan penulisan.

 Bersama guru-guru dan Guru Pen Kanan SM Hang Kasturi.


Jangan lupa. Dapatkan PUJA di pasaran tidak lama lagi.
Boleh juga membeli melalui saya secara pos dengan menghantar pesanan
melalui emel: pnmaria1@gmail.com

Tuesday, November 4, 2014

PUJA di Jualan Gudang Karangkraf 2014


Alhamdulillah, di Jualan Gudang Karangkraf 2014 yang telah berlangsung selama 3 hari di pekarangan Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam - novel PUJA membuat kemunculannya yang pertama. Cetakan amat terhad dan sambutan pembeli sungguh luar biasa. saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang sudi hadir dan mendapatkan PUJA.

Buat masa sekarang saya sedang menanti cetakan PUJA yang seterusnya. Kepada kawan-kawan yang ingin membeli PUJA melalui saya boleh menghubungi emel saya pnmaria1@gmail.com



Novel PUJA dijangka berada di pasaran pada bulan Disember 2014.
Jemput dapatkan PUJA dan terima kasih banyak kerana terus menyokong cerita-cerita saya.

Friday, October 31, 2014

PUJA: Bab 12


Novel penuh PUJA akan berada di pasaran
pada bulan Disember 2014 ini.
Jemput dapatkan ya. Boleh juga beli melalui saya. 

Sementara itu di Batu Silak…
DI DALAM sebuah lubang berbentuk empat segi seperti lubang kubur, seorang lelaki baru sahaja mencelikkan matanya. Pertapaannya untuk malam yang keempat sudah selesai. Ada lagi tiga malam sebelum malam yang dinanti-nantikan itu tiba.
Perlahan-lahan dia bangkit, meninggalkan timbunan najis kelawar yang menimbus seluruh tubuh bogelnya sejak malam berlabuh. Dia bangun dan keluar dari lubang itu. Kini dia bergerak ke hadapan sebuah batu yang berbentuk seperti meja empat segi berwarna kehitaman.
Dia pijak batu itu lalu bersila di atasnya. Dia memejamkan matanya semula sambil membaca mentera yang diturunkan oleh ayahnya dahulu kepada dia selaku pewaris ilmu puja. Semua yang telah dihafal sejak berusia lima tahun, dibaca dengan lancar dan penuh khusyuk. Itulah kali pertama, dia bertanggungjawab memuja puaka Batu Silak. Dia tidak mahu melakukan kesilapan.
Apa yang belum cukup, ialah tiga nyawa untuk dipersembahkan. Dan dia yakin tiga malam lagi selepas upacara pertapaan dan memuja itu selesai, segalanya akan beres.
Khairul terus berada di atas batu itu dan di suatu sudut pula, sesusuk orang tua sedang merenung tajam ke arahnya. Malam kian larut.


22 tahun yang lalu..

Tuesday, October 28, 2014

Cover PUJA


Alhamdulillah, cover novel terbaharu saya yang bertajuk PUJA sudah dikeluarkan oleh pihak penerbit. Insya-Allah akan berada di kedai-kedai buku pada bulan 12.
Bagaimanapun kepada yang ingin membeli novel ini terus daripada saya, Bolehlah membuat pesanan terus melalui emel:  pnmaria1@gmail.com

Wednesday, October 22, 2014

PUJA: Bab 11


Nantikan novel penuh PUJA pada bulan Disember 2014

BEBERAPA minit kemudian, mereka berempat selamat sampai ke rumah semula. Setelah mengunci kereta, Johan memimpin Jimmy naik ke atas rumah sementara Mak Jiha membentang tikar di ruang tamu.
“Ambilkan bantal untuk abang,” pinta Mak Jiha kepada Bahiyah. Di tangannya sudah ada sebotol minyak urut.
Bahiyah segera menghilang sebelum datang semula bersama sebiji bantal kekabu. Diserahkan kepada ibunya.
Setelah Jimmy duduk selesa di atas tikar, Mak Jiha mula menyapu minyak pada kaki Jimmy yang mula membengkak. Risau hatinya dengan apa yang telah berlaku. Sudahlah balik sekali-sekala, sakit pula.
“Kalau mak letih, tak payahlah urut dulu. Esoklah urut,” tegur Jimmy. Pilu hatinya melihat ibunya begitu bersungguh-sungguh menyapu minyak pada buku lalinya. Terasa dia hanya menambahkan beban.
“Tak apalah. Bukannya letih sangat. Sapu minyak aje. Nak urut sangat pun tak boleh lagi, tengah bengkak,” balas Mak Jiha dengan tenang. Dia masih asyik melumurkan minyak. Sendu hatinya melihat keadaan Jimmy.
“Mak,” panggil Jimmy. Apabila ibunya mengangkat muka, dia bertanya, “Kenapa yang datang kenduri tadi sikit sangat orangnya? Yang datang solat di masjid tadi pun dah tak ramai macam dulu. Ke mana orang kampung ni pergi?”
Sehabis berkata-kata, Jimmy mula perasan. Sejak dia memasuki kawasan Kampung Silak Tua, jalan rayanya agak lengang. Tidak seperti dahulu, jalan raya sentiasa sibuk. Ada sahaja kenderaan di situ. Malam itu, hendak mendengar bunyi motorsikal pun payah.
Pertanyaan Jimmy tidak terus dijawab. Mak Jiha mengeluh pendek.
“Saya dengar… orang kampung kita ni dah ramai berpindah. Betul ke, mak?” Dia bertanya lagi apabila teringatkan kata-kata pak cik yang menjual cendul pulut di bandar. Mungkinkah khabar itu benar?
Kali ini pertanyaannya berjaya membuatkan ibunya mengangkat muka. “Dari mana kamu dengar?”
“Sebelum balik ke sini, saya singgah minum di bandar. Ada yang beritahu kononnya orang kampung ni dah ramai yang jual tanah dan berpindah,” jawabnya.
Mak Jiha tutup botol minyak urut lalu diletakkan di tepi dinding. Kemudian menarik nafas dengan tenang. Mungkin Jimmy harus tahu keadaan yang sebenar.
“Kampung ni dah tak macam dulu lagi,” katanya perlahan. “Dah ramai yang pindah. Dah ramai yang jual tanah. Sebab itulah masjid makin kosong. Kalau ada kenduri kendara pun, mereka lebih suka buat di bandar. Guna dewan.”
“Kenapa sampai macam tu sekali? Dulu kampung ni okey aje,” Jimmy pandang muka ibunya lama-lama. Walaupun muka itu sudah berkedut halus namun wajahnya tetap sama. Setiap kali matanya memandang, hatinya tenang.
“Macam-macam hal,” balas Mak Jiha sebelum termenung jauh.
“Contohnya?”
“Tidurlah dulu. Kamu tu pun mesti letih berjalan jauh,” balas Mak Jiha sebelum mengangkat punggung.
Jimmy tercengang. Tidak disangka ibunya tidak mahu menjawab persoalan itu. Dia mula rasa tidak puas hati dan marah. Hendak bertanya ibunya sudah menjauh. Lagipun ibunya mungkin penat.
“Aazim,” panggil ibunya yang semena-mena berpaling semula ke arahnya.
“Ya, mak?”
“Kalau… kalau dengar bunyi apa-apa… jangan buka pintu ya? Buat tak tahu aje.” Sehabis meninggalkan pesan Mak Jiha terus beredar.

Bunyi? Bunyi apa? Jimmy tinggal tertanya-tanya. Namun kerana keletihan, dia terlelap juga sehinggalah dia terdengar bunyi sesuatu di luar rumah.