Friday, June 29, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 19


ADAM memandang bungkusan yang terletak di atas meja. Kemudian dia mengangkat muka dan memandang wajah Borhan pula.  “Majalah tu?”
Borhan angguk. Sampul surat berwarna coklat itu ditolak perlahan ke hadapan Adam.
Tanpa berlengah, Adam membuka sampul itu dengan berhati-hati. Tangan kanannya menarik keluar sebuah majalah yang lusuh dan kekuningan dimakan masa.
“Nama bapa saudara encik, Hasyim bin Amzar, kan?”
“Ya, betul.”
“Banyak juga gambar dia di sini. Dia seorang yang aktif dalam persatuan dan sukan,” komen Adam tanpa mengalihkan pandangan.
“Begitulah yang boleh dilihat di situ.” Borhan cuba mengingati apa yang telah dilihat dan dibaca malam tadi sebelum tertidur.
“Arwah datuk encik ada menulis bahawa dia berselisih faham dengan bapa saudara encik sebelum bapa saudara encik meninggalkan rumah. Encik tahu apa sebabnya?”
        “No idea.” Borhan menggeleng perlahan.
“Selalunya jika disebabkan perkara biasa, perhubungan jarang putus sebegitu lama. Tapi jika melibatkan soal hati, ia lebih tepat.”
“Soal hati? Apa yang awak maksudkan dengan soal hati?” Kali ini Adam berjaya meruntun perhatiannya.
“Jika dugaan saya tepat, ia mesti berkait dengan soal perempuan,” kata Adam lagi. Matanya yang bulat disepetkan tiba-tiba. Dahinya berkerut sambil merenung sesuatu.
“Jumpa apa-apa?” Borhan terjenguk-jenguk. Kata-kata Adam itu sukar untuk dimengertikan olehnya.
“Mungkin ada. Saya akan memeriksa setiap alamat yang tertera di sini, mungkin saya akan menemui sesuatu yang boleh membantu atau memanjangkan siasatan kita.”
“Tapi alamat itu sudah terlalu lama,” bantah Borhan seperti tidak yakin.
“Biasanya jika alamat kampung, ia tak banyak berubah. Malah kita mungkin lebih bernasib baik.” Adam tersenyum.
Sudah banyak kampung dijejakinya di sepanjang tugasnya sebagai penyiasat orang hilang. Dia sudah masak benar dengan sikap orang kampung yang ringan membantu dan membuka cerita. Sikap mereka memang banyak membantunya berbeza benar dengan sikap orang yang tinggal di taman perumahan, hujung lorong pun tak kenal.
Borhan hanya mengangkat kening. Kata-kata Adam cuba diterima kerana dia sememangnya tidak begitu tahu tentang soal kehidupan di kampung.
“Encik Borhan jangan bimbang, saya akan uruskan sedaya upaya,” katanya memberi jaminan bagaikan bersimpati dengan wajah Borhan yang kelihatan keliru.
“Ada peluang?”
“Masih terlalu awal, sejujurnya saya tak berani memberikan harapan yang terlalu tinggi. Tapi saya berjanji akan melakukan apa saja yang boleh. Jika perlu saya daki Gunung Kinabalu, saya akan daki,” jawab Adam sambil tersenyum.
Borhan merenung wajah Adam yang bulat itu. Parut yang melintang di atas kening Adam menarik per- hatiannya. “Dari mana awak dapat parut di kening tu?”
Soalan itu membuatkan Adam tergelak besar sambil tangannya meraba-raba kesan parut itu. “Hasil kenakalan semasa kecil-kecil dulu. Saya suka masuk keluar hutan dan bermain dengan parang. Suatu hari saya tersilap libas, sehingga terkena ke muka sendiri,” terangnya.
Mata Borhan terus menatap tajam ke wajah Adam. Mahu tidak mahu hanya pada Adam dia terpaksa meletakkan kepercayaan. “Rupanya seperti parut ahli kongsi gelap.”
“Mungkin sebab tu orang tak berani main-main dengan saya.”
“Adam, saya benar-benar berharap dapat berjumpa semula dengan bapa saudara saya. Buatlah apa saja. Beritahu apa yang saya boleh bantu.” Borhan kembali serius.
Adam angguk. “Saya faham. Saya akan buat yang sebaiknya. Boleh tak Encik Borhan terangkan sedikit sebanyak tentang arwah datuk encik?”
“Seingat saya, datuk saya adalah seorang yang baik dan lemah lembut. Arwah sangat penyayang. Saya tak boleh bayangkan arwah datuk saya berselisih faham dengan anaknya sendiri. Apa lagi jika menghalaunya keluar dari rumah.”
“Siapa yang kata dia dihalau? Ada maklumat lain?”
Borhan geleng. Dalam surat tersebut, hanya di-nyatakan bapa saudaranya telah meninggalkan rumah tetapi tidak diceritakan bagaimana dan apa sebabnya secara jelas. Tapi ada dua kemungkinan sahaja, sama ada dihalau atau melarikan diri. Dia lebih percaya kepada sebab yang kedua.
“Kita belum tahu hal yang sebenar, jadi sukar untuk membuat kesimpulan. Tapi saya benar-benar berharap, salah satu daripada nama-nama di sini dapat menceritakan sesuatu,” jawab Adam dengan bersungguh-sungguh. Matanya kembali menekuni alamat yang tercatat.
“Saya serahkan kepada awak. Dihalau atau lari, saya tetap mahu semua perselisihan ini diselesaikan. Yang sudah tu, sudahlah. Datuk pun dah tak ada,” kata Borhan pula.
 “Itulah yang sebaik-baiknya.” Adam tersenyum tenang.
Setelah Adam meninggalkan pejabatnya, Borhan merenung gambar datuknya yang masih dibiarkan di dalam pejabat itu. Perasaannya menjadi sayu.  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.