Thursday, June 7, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 8


HANISA, Mei Lin dan Richard sudah pun berada di luar Farmasi Honeymon. Begitu juga dengan lelaki tadi. “Saya tinggal di Indera Mahkota Sapphire,” katanya.
“Awak ada kereta? Kalau tak ada, biar saya hantar,” jawab Richard dengan senang hati. Beg plastik yang mengandungi baju-T kuning pastel itu diserahkan semula kepada lelaki itu dengan secebis pesanan. “Balik nanti, suruh orang lain basuh. Awak jangan buka beg plastik ni.”
Lelaki itu menerimanya dengan senyuman tawar. “Saya tak ingat di mana kereta saya, tapi kalau awak mahu hantar saya balik, lebih baik,” jawabnya dengan wajah yang kembali bingung tapi penuh kejujuran.
“Tadi awak sebut Indera Mahkota Sapphire, kan?” Richard bertanya semula seolah teringatkan sesuatu. Dan belum sempat lelaki itu mengiyakan, dia bercakap pula kepada Hanisa. “Awak pun nak balik Indera Mahkota, lebih baik awak tumpangkan dia balik ke sana.”
       Hanisa hanya mampu memandang Richard dengan pandangan yang layu. Dia tidak sangka Richard sanggup menyuruh dia menghantar lelaki itu balik entah ke mana. Richard memang nak kena dengan dia pagi esok, tunggulah, kata hatinya.
“Dia lupa di mana kereta dia. Awak hantarlah dia pulang dulu, esok bila dia ingat, dia boleh cari semula. Ini sudah malam, susah mahu balik ke rumah.” Richard terus mendesak Hanisa.
Haih… mengalahkan saudara mara dia pula. Kalau baik sangat, hantarlah sendiri. Ini asyik suruh orang. Hanisa mula merungut dalam hati. Tidak sedar wajahnya sudah berubah masam.
“Kalau menyusahkan, tak apalah. Saya boleh balik sendiri.” Lelaki itu mencelah, seperti sedar kehadirannya di situ telah menyusahkan orang lain.
Tahu pun, jawab Hanisa dalam hati.
“Tak apa, dia boleh tumpangkan encik balik.” Richard menepuk-nepuk belakang lelaki itu sambil tersengih. “Dia pun tinggal dekat-dekat area situ juga. Bukannya jauh.”
Baguslah tu, beritahu semua orang di mana dia tinggal. Mujur-mujur ada orang jahat datang ke rumah dia. Hanisa menjeling Richard dengan geram. Tetapi belum sempat dia membuat apa-apa keputusan, Richard dan Mei Lin sudah menonong menyeberang jalan menuju ke kereta mereka yang terletak di hadapan pasar raya. Hanisa terkulat-kulat sendirian di luar kedai bersama lelaki itu.
N
“AWAK tinggal di mana tadi?” Hanisa menelan air liur. Fikirannya ribut merangka pelan B jika pelan A tidak berjaya dilaksanakan.
“Indera Mahkota Sapphire. Rumah nombor lima, lorong lima,” jawab lelaki itu tergesa-gesa.
Hanisa terdiam seketika. Jawapan itu membuatkan dia   tidak jadi melangkah. Dia berpaling semula. “Rumah nombor lima, lorong lima?”
Lelaki itu segera mengangguk.
Hanisa menelan air liur. Boleh percaya ke ni? Tidak sedar, dia masih terpacak di kaki lima.
Dan lelaki itu juga terkebil-kebil merenungnya. Sama-sama menunggu.
Akhirnya dengan perasaan yang serba-salah Hanisa bersuara. “Marilah saya hantarkan.”
“Tak apalah, cik. Kalau cik dapat tunjukkan tempat menunggu teksi pun dah cukup,” balas pemuda itu.
Hanisa menoleh ke arah jalan, dia cuba memandang jika ada teksi yang lalu-lalang namun tidak kelihatan pula pada malam itu. “Tempat ni susah nak cari teksi. Kalau ada pun mungkin dekat terminal bas. Awak tahu terminal bas tu di mana?”
Pemuda itu menggeleng.
Hanisa menarik nafas. Dia semakin serba salah. Sebahagian daripada hatinya ingin menyuruh lelaki itu pergi tetapi sebahagian lagi berkata tidak. Malah dia berasa sangat tidak wajar jika dia tidak menumpangkan lelaki itu balik kerana tempat tinggal mereka hampir sama arahnya.
“Macam inilah. Kalau awak nak tumpang saya, marilah. Kalau awak nak balik dengan teksi juga… awak jalan ikut lorong kecil depan tu. Di belakang bangunan tu, awak akan jumpa padang. Selepas padang tu baru awak akan jumpa terminal bas. Di situ mungkin ada banyak teksi.”
“Mungkin lebih baik kalau saya tumpang kereta cik malam ini. Saya bayar pun tak apa,” balas lelaki itu pula. Suaranya dan wajahnya cukup mendesak.
Memang lebih baik untuk engkau, tapi bukan untuk aku, jawab hati Hanisa tetapi dia hanya mahu menyelesaikan perkara itu secepat mungkin. Keletihan bekerja di dalam bulan puasa menjadikan tubuhnya kian lesu.
“Marilah,” katanya sebelum melangkah ke kereta dan lelaki itu hanya mengikut sahaja.
Di dalam kereta, Hanisa hanya mampu berdoa agar perkara itu selesai secepatnya. Esok, dia akan basuh Richard secukup-cukupnya.
N
“HABISLAH kita esok….,” kata Mei Lin yang memandang Hanisa dan lelaki itu dari dalam kereta. Kelihatan kedua-duanya sudah beredar ke tempat lain.
    Richard tergelak kuat. Sambil mengundurkan keretanya dari tempat parkir, dia menjawab. “Padan muka dia.”
    “Kalau dia mengamuk esok macam mana?” tanya Mei Lin lagi. Dalam otaknya sudah membayangkan kebengisan Hanisa yang sukar diduga.
    “Biarlah dia marah. Bukan kita tak pernah tengok dia marah?”
    “Dia anti lelaki, abang lagi letak lelaki tu dalam kereta dia.” Mei Lin masih merasakan tindakan abangnya sungguh tidak patut sekali. Mengenakan Hanisa dalam waktu yang segenting itu, lebih-lebih lagi sewaktu bulan Syawal semakin dekat. “Apa salahnya kalau kita hantar lelaki tu balik tadi?”
    “Sengaja. Sengaja abang biarkan Hanisa yang hantar lelaki tu balik. Lelaki itu nampak baik, mana tahu kalau boleh jinakkan harimau betina tu.”
    “Harimau betina hanya suka harimau jantan. Itu anak kucing, nampak darah pun pengsan.” Mei Lin menjawab sambil menahan tawa. Tidak sangka Richard akan memanggil Hanisa sebagai harimau betina. Mungkin Richard sudah tidak tahan lagi dengan perangai Hanisa yang sukar dilayan.
“Belum cuba belum tau…,” balas Richard.
Mei Lin kembali diam tetapi dalam hatinya yakin, esok pasti Hanisa akan mengamuk lagi. Gerun rasanya.
      

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.