Thursday, July 12, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 25


BORHAN termenung di atas kerusi besi tempawan di sisi rumahnya. Bunyi aliran air yang mengalir tanpa henti dari air terjun buatan di tepi dinding, membuat dia berasa tenang dan damai malam itu.
Kepenatan berpuasa semakin terasa di hari-hari terakhir, ditambah lagi keletihan melayan tetamu-tetamu yang datang tadi. Namun bukan itu yang meresahkan jiwanya. Entah mengapa malam itu dia berasa sunyi yang terlalu mencengkam sehingga dia hanya ingin berada di situ bersendirian.
“Di sini rupanya dia, puas Mak Yah cari.” Suara Mak Yah mengocak ketenangan yang cuba dinikmati Borhan.
Borhan menoleh sekilas lalu menyambung semula menungannya yang tidak bersempadan. Entah di mana mula dan di mana akhirnya.
“Esok atau lusa, kita dah nak beraya, tuan. Jangan termenung macam ni,” pujuk Mak Yah seraya menarik kerusi di sebelah Borhan.
Masih tidak ada jawapan yang dilontarkan dari bibir Borhan. Dia masih hanyut dalam pemikirannya sendiri.
“Tuan ada masalah? Cakaplah dengan Mak Yah,” umpan Mak Yah lagi sambil menatap wajah Borhan lama-lama.
Akhirnya Borhan tertunduk. Air mata yang bergenang ditahan sekuat hati. Dia bukan seorang yang mudah menangis, cuma malam itu dia benar-benar merindukan kehidupan masa lalunya. Melihatkan keramaian tadi, betapa dia merindukan semua ahli keluarganya yang telah pergi.
“Tuan, rindukan keluarga?” tanya Mak Yah lembut.
Borhan akhirnya mengangguk. Namun mulutnya masih terasa berat untuk bersuara.
“Mak Yah faham perasaan, tuan. Banyak-banyaklah hadiahkan al-Fatihah dan berdoa untuk mereka. Insya-Allah tuan akan mendapat kekuatan. Jangan diikutkan sangat rasa sedih nanti dihasut Syaitan macam-macam,” nasihat Mak Yah dengan berhemah.
Renungan kosongnya terus menerjah kepekatan langit malam. Bulan pun sudah bersembunyi di balik awan. Namun rasa sedih itu tetap belum mahu hilang.
“Saya rasa berdosa kepada mereka, Mak Yah. Semasa mereka hidup dulu, saya bukan seorang anak yang baik. Malah kasih sayang dan budi mereka pun belum sempat saya balas.” Terketar-ketar kata-kata itu diluahkan.
Dengan penuh rasa simpati Mak Yah menatap wajah Borhan dalam-dalam. Setiap riak yang berkocak di wajah itu diselaminya.
“Kita boleh berasa sedih. Kita boleh berasa kesal tapi… sampai masanya kita harus berhenti. Ia takkan membawa kita ke mana pun selain berasa kecewa,” pujuk Mak Yah lagi. “Lagipun Mak Yah percaya ibu bapa tuan dah ampunkan dosa tuan. Kerana kasih sayang ibu bapa ni hingga ke saat akhir.”
“Itu saja yang saya kesalkan. Kalaulah masa boleh diulang semula, tentu saya takkan mengecewakan mereka dulu,” jawab Borhan sambil menekup mukanya dengan kedua tapak tangan.
“Itulah yang dinamakan pengalaman, tuan. Daripada pengalaman kita mendapat pengajaran. Dan pengajaran itu adalah untuk menjadikan tuan manusia yang lebih baik di kemudian hari.”
“Satu pengajaran yang cukup pahit, satu hukuman,” jawab Borhan. Wajahnya masih dirundung duka yang dalam.
“Hanya Nabi Muhammad SAW yang dipelihara daripada melakukan kesalahan. Selain dia semua manusia pernah melakukan kesilapan. Mintalah ampun kepada Tuhan dan kekuatan agar tak mengulanginya semula.” Mak Yah terus memujuk. “Tuan harus bersyukur, yang tuan telah sedar dan insaf. Ada manusia yang terus bergelumang dengan kesilapan mereka tanpa petunjuk sehingga menutup mata.”
Borhan berpaling ke arah Mak Yah. Wajah Mak Yah yang sungguh tenang dan keibuan itu ditatap dalam-dalam. Walaupun dia pasti yang Mak Yah tidak mengetahui tentang sejarah silamnya, namun kata-kata itu menusuk tepat ke hatinya.
“Saya bersyukur kerana telah balik ke sini. Di sini saya telah dapat merasakan sedikit kekuatan untuk meneruskan hidup saya. Dan Mak Yah serta Pak Harun banyak membantu. Jika saya ada melakukan kesalahan, Mak Yah tegur-tegurlah dan ingat-ingatkanlah saya. Saya masih perlukan bimbingan,” katanya sepenuh hati.
Mak Yah hanya mengangguk perlahan. “Datuk tuan dulu ada berpesan. Suruh kami berdua tengok-tengokkan tuan kalau tuan sudah pulang ke sini.”
“Datuk memang suka memikirkan segala perkara.”
“Gaji kami pun dia dah aturkan dengan pihak bank. Pada mulanya kami terperanjat juga. Tapi lama-kelamaan kami faham juga yang dia tak mahu kami tinggalkan rumah ini setelah kematiannya. Dia mahu kami tunggu tuan pulang.”
“Datuk yakin saya akan pulang?”
Mak Yah mengangguk. “Pada mulanya Mak Yah mendesak juga peguamnya menelefon tuan di sana. Waktu itu keadaannya sudah agak nazak. Tapi menurut kata peguam, datuk tuan yang meminta agar tuan tak diganggu semasa peperiksaan. Dia mahu tuan lulus dengan baik dulu.”
Borhan mengeluh panjang. Perbualan mereka semakin membuka helaian kenangan yang lalu. Perasaannya semakin sebak.
“Mak Yah, kenapa keluarga saya tak ramai bilangan anak? Jika dilihat dalam keluarga lain tu, ada yang sampai 10 orang anak pun ada,” tanyanya cuba mengalihkan topik perbualan.
“Ish, tuan! Berbelas orang pun ada. Orang kata ikut darah keturunan. Jika memang keturunannya ramai anak, selalunya ramailah juga cucu cicitnya. Keturunan tuan semuanya anak tunggal kecuali datuk tuan sahaja yang nampaknya ada dua orang anak,” jawab Mak Yah cepat. Terasa juga hatinya, dia langsung tidak mempunyai anak walaupun seorang. Kalau ada, mungkin juga lebih tua daripada Borhan.
“Datuk anak tunggal, moyang anak tunggal, dan nenek pun anak tunggal. Kalau benar seperti kata datuk yang saya ada bapa saudara, alangkah seronoknya raya tahun hadapan ya, Mak Yah. Tentu saya dah ada sepupu yang sebaya, mungkin juga dah ada anak saudara,” kata Borhan sambil tersengih sendirian.
“Mak Yah rasa itulah sebabnya kenapa arwah datuk tuan menyuruh tuan mencari bapa saudara tuan itu,” balas Mak Yah pula. “Supaya tuan tak kesunyian, tak keseorangan selepas mereka semua tak ada. Itulah harta yang paling berharga dapat datuk tuan tinggalkan untuk tuan.”
“Harap-harap, Adam dapat mencari mereka secepat mungkin. Tak sabar rasanya ingin melihat wajah mereka.”
“Tapi ada satu lagi cara, tuan. Tuan cepat-cepatlah cari isteri. Barulah rumah ni tak sunyi dan tuan juga boleh ada keluarga sendiri.”
“Sedang berusahalah ni,” balas Borhan.
“Yalah. Mari kita masuk tidur dulu. Pagi esok kena bangun sahur lagi,” kata Mak Yah seraya bangkit dari kerusi.
Borhan hanya tersenyum lebar. Setiap kali dia berbual dengan Mak Yah, jiwanya akan berasa lebih tenang. Kesedihannya telah dapat diusir dan dia kembali berangan-angan. Bagaimana agaknya rupa sepupu dia nanti ya?
“Tuan.” Mak Yah berpatah balik. “Tadi Mak Yah dah kirimkan mangkuk tingkat pada Richard.”
“Apa?”
“Mak Yah dah kirimkan mangkut tingkat pada Richard untuk orang tu….”
“Apa? Dari mana Mak Yah tahu….”
Mak Yah ketawa kecil. Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah.
Borhan berpeluh. Mak Yah ni kadang-kadang memang terlebih bijak tapi entah dibaling ke manalah pula mangkuk tingkat Mak Yah tu nanti. Dia cuma mampu menggeleng. Ngeri memikirkan apa yang bakal terjadi dengan mangkuk tingkat itu.

N
“TUAN,” tegur Pak Harun ketika Borhan mahu memijak tangga naik ke biliknya.
Borhan berhenti melangkah, dia menoleh ke arah Pak Harun yang berwajah muram.
“Pak Harun tak tidur lagi?”
“Kalau boleh, Pak Harun nak cakap sikit dengan tuan,” jawab Pak Harun.
Melihatkan wajah Pak Harun yang begitu serius, Borhan segera sedar ada sesuatu yang tidak kena di situ. “Kita bercakap di bilik datuk,” katanya.
Pak Harun angguk. Lalu kedua-duanya naik ke tingkat dua. Di dalam bilik datuknya, Borhan menjemput Pak Harun duduk di kerusi.
“Pak Harun tak pasti sama ada tuan sedar ataupun tidak perkara ini.” Pak Harun memandang muka Borhan dengan tajam.
“Ada apa-apa yang tak kena ke, Pak Harun?” tanya Borhan pula. Dia betul-betul tidak faham apa yang ditanyakan oleh Pak Harun.
Pak Harun tunduk merenung lantai pula. “Lebih baik kalau tuan sendiri yang berterus-terang dengan Pak Harun.”
“Nak saya berterus-terang pasal apa?”
“Darah di pintu kereta tuan,” balas Pak Harun.
“Darah di pintu kereta saya?” Borhan benar-benar terkejut.
Pak Harun angguk. “Semasa Pak Harun mengunci kereta malam semalam…  Pak Harun tersedar ada kesan darah yang masih basah di kereta tuan. Tuan tak tahu?”
Borhan tersenyum sambil menggeleng. “Saya tak tahu dan saya juga tak tahu darah tu datang daripada mana.”
“Tuan tahu tak pasal kemalangan di simpang empat nak masuk ke rumah kita malam semalam? Ada keluar dalam surat khabar hari ini. Dalam berita TV pun ada.”
“Memang saya berada di situ semalam. Tapi mujur saya tak terlibat kerana berada di depan sekali. Kalau di belakang mungkin saya pun terlibat sama,” jawabnya tenang. Baru dia teringatkan kekecohan di lampu trafik semalam.
“Tuan tahu penunggang motorsikal itu cedera ditembak?”
Borhan menggeleng. “Hari ni saya tak sempat pun baca surat khabar lagi. Tapi pada malam tu, keadaan kecoh sangat masa tu. Saya ingatkan dia bergesel dengan motorsikal lain.”
Pak Harun diam seketika.
“Tuan…”
“Apa yang tak kenanya, Pak Harun?” Reaksi Pak Harun membuatkan dia tertanya-tanya. Selalunya Pak Harun tenang-tenang sahaja.
“Lebih baik Pak Harun berterus-terang sahaja,” tambah Pak Harun lagi. Kali ini dia mengangkat muka memandang Borhan. “Pak Harun percaya tembakan itu disasarkan kepada tuan, bukan kepada penunggang motorsikal tu.”
“Jangan mengarutlah, Pak Harun,” balas Borhan. Sesungguhnya dia amat terkejut dengan teori Pak Harun itu. Dia? Kenapa dia?
“Mungkin tuan tak mahu berterus-terang dengan Pak Harun. Pak Harun faham tapi… untuk keselamatan tuan, Pak Harun harap tuan berhati-hati.”
“Apa yang Pak Harun cakapkan ni? Kalau Mak Yah dengar, nanti Mak Yah takut,” balas Borhan lagi. Kepalanya mula pening dengan tingkah-laku Pak Harun malam itu.
“Begini tuan, dua hari lepas semasa ketiadaan tuan… Pak Harun jumpa batu nisan di hadapan pagar rumah kita.”
Borhan tergamam. Lama dia terdiam. Batu nisan? “Siapa pula yang tercicir batu nisan depan rumah kita?”
Pak Harun menggeleng. “Bukan tercicir, batu nisan tu sememangnya dihantar ke rumah ini.”
“Buat apa?”
“Pak Harun percaya itu adalah tanda amaran,” jawab Pak Harun. “Ataupun cubaan untuk menakut-nakutkan tuan.”
“Amaran?” Borhan tidak sedar suaranya mula meninggi. Tetapi semuanya bagaikan tidak masuk akal. “Siapa yang nak beri amaran? Buat apa?”
“Itu Pak Harun tak tahu. Dengan beberapa kejadian kebelakangan ini, Pak Harun rasa nyawa tuan dalam bahaya.”
“Ada kejadian lain?”
“Pak Harun perasan kereta kita sentiasa diekori. Ditambah dengan kejadian malam tadi, Pak Harun rasa tuan patut sedar perkara ini sebelum terlambat.”
Borhan tidak tahu apa yang perlu dijawab lagi. Sesungguhnya dia tidak sedar bahkan tidak dapat memahami apa yang sedang terjadi. Mungkin segalanya adalah satu kebetulan ataupun sememangnya betul seperti sangkaan Pak Harun. Tetapi itu bukan soalnya sekarang.
“Datuk ada musuh?” tanyanya pula.
“Setahu Pak Harun, arwah datuk tuan tidak ada musuh yang nyata. Jika ada pesaing dalam bisnes dia, itu perkara biasa. Tapi Pak Harun tak fikir, perkara itu akan membawa sampai kepada cubaan membunuh tuan. Pasti ada perkara lain di sebaliknya.”
“Pak Harun fikir apa?”
“Pak Harun bukan orang yang sesuai untuk menjawab soalan itu,” balas Pak Harun lagi. Sesungguhnya dia sendiri teramat ingin tahu apa rahsia di sebalik semua itu. Adakah Borhan terlibat dengan sesuatu yang tidak sepatutnya tanpa pengetahuan mereka? “Tuan yang sepatutnya tahu.”
“Kalau saya tak tahu?”
“Tuan patut cari sebelum terlewat.”
“Bagaimana?”
Pak Harun termenung seketika. “Pak Harun cadang-kan tuan bertanya kepada yang tahu selok-belok perkara ini.”
“Siapa?”
“Bagaimana dengan Encik Adam?”
Borhan angguk. Cadangan Pak Harun dirasakan agak bernas. Lagipun siapalah yang dia boleh harapkan selain daripada Adam di situ? “Saya akan tanya dia nanti.”
“Tuan,” panggil Pak Harun lagi. “Hati-hati,” katanya sebelum mengangkat punggung dari situ.
Borhan sekadar mengangguk. Malam itu dia termenung panjang.
N
 Sementara itu di rumah Hanisa….
Air matanya menitik lagi. Puas disapu namun setitis dua jatuh juga ke nasi yang sedang dijamah lalu bergaul menjadi satu. Sesungguhnya lauk-pauk yang dibekalkan oleh Mak Yah seolah menghilangkan rasa rindu bertahun-tahun. Mencairkan segala kekebalan yang melingkari hatinya selama ini. Menghakis segala rasa bencinya.
“Maafkan Hani, Mak Som. Bukan Hani tak rindu tapi Hani tak boleh balik ke situ….” Air matanya berhamburan lagi dan meresap ke celah-celah jari.
Selesai makan, dia membuka diarinya lalu menulis:
Dear diary,
Aku gembira kerana dia masih ingatkan aku walaupun dia sedang bergembira di samping keluarga. Hanya dari jauh dapat kuhantarkan ucapan terima kasih ini kerana malam ini aku berasa seperti manusia yang berperasaan semula. 

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.