*Novel Lelaki Bermata Aneh akan diterbitkan pada tahun 2015
ARIEL
terus melompat dari katil dan berlari ke bilik Jeffri. Sewaktu dia tiba di
situ, bilik itu sudah pun dikerumuni oleh penghuni institut. Baru dia sedar
ramai yang sudah tahu perihal Jeffri, kecuali dia yang enak menyulam mimpi. Dia
mula rasa marah kepada dirinya sendiri.
“Kenapa
dengan Jeff?” tanyanya sambil menolak sesiapa sahaja yang ada di hadapan.
Faruk
hanya kata ada yang tidak kena dengan Jeffri, Faruk tidak kata… Tanpa sempat
ditahan, dia merentap kain selimut yang menutupi tubuh Jeffri.
Dia
terpempan.
Wajah
pucat Jeffri membuat sekujur tubuhnya menggeletar. Darah merah yang keluar
daripada kedua belah hidung dan mulut Jeffri masih menitik ke atas cadar yang
mula basah.
“Jeff!
Bangun, Jeff!” katanya sambil menggoncang tubuh Jeffri yang semakin kaku. Dia
bingung. Malam tadi mereka berdua baru sahaja makan malam dan berbual-bual, pagi
ini…
“Jangan
macam ni,” pujuk Faruk sambil memegang bahu Ariel.
“Jeff
belum mati. Jeff…” Dia terduduk di atas lantai tanpa menghiraukan semua mata
yang memandang. Dia tersedu-sedu sambil menutup mukanya dengan kedua belah
tangannya. Jiwanya masih menolak. Tak mungkin Jeffri telah mati. Tak mungkin.
“Sudahlah,
tak baik menangis macam ni,” pujuk Faruk lagi sambil menarik tubuh Ariel bangun
dari lantai dan membawanya keluar ke beranda bilik. Lantas cahaya pagi menerpa
ke wajah mereka berdua, menghantar sedikit kehangatan.
“Apa
yang berlaku ni? Kenapa…” tanya Ariel sambil menahan perasaannya. Pandangan
matanya masih dikaburi air mata. Puas disapu namun air mata itu tetap juga
tidak berhenti mengalir.
“Tak
pasti lagi tapi aku rasa dia kena serangan jantung,” balas Faruk dengan tenang.
Dia melemparkan pandangan ke arah kebun getah di hadapan mereka. Suasana
kehijauan itu nampak mendamaikan walau tidak cukup indah di saat itu.
“Jeff
tak pernah sakit jantung. Lagipun umur dia baru 25 tahun.” Suara Ariel mula
meninggi. Alasan itu sukar diterima olehnya walaupun dia tahu kematian itu
bukan ketentuan manusia. Ada kuasa lain yang mengawal hidup dan mati.
Faruk
angkat bahu.
“Sudah
ajal dia macam tu. Kita nak kata apa?”
“Dr.
Sid dah tahu?”
“Malam
tadi kan malam tahun baru? Engkau bukan tak tahu ke mana Dr. Sid pergi
selalunya? Tapi dia dah diberitahu. Dia dalam perjalanan balik.” Faruk mengerling
jam di tangannya. Jam itu menunjukkan waktu baru hampir ke pukul 9.35 pagi.
Ariel
diam. Setiap kali dia menoleh ke arah dalam bilik, perasaannya jadi pilu. Dia
yakin Dr. Sid pasti akan lebih sedih lagi. Jeffri adalah satu-satunya anak Dr.
Sid.
“Ayah
kau mana?”
“Selepas
kami dapat tahu tadi, ayah aku terus pergi jemput Dr. Sid. Ayah aku kata dia
sendiri yang nak sampaikan berita ini. Mungkin sekejap lagi mereka sampai.
Sudah lama ayah aku pergi.”
“Siapa
yang jumpa Jeff?”
“Pengawal
keselamatan yang meronda. Dia kata pintu bilik Jeff terbuka. Apabila dia masuk,
dia jumpa Jeff dah macam tu.”
“Apa
kita nak buat ni? Hubungi polis?”
“Ayah
aku kata tunggu mereka balik dulu.” Faruk menggeleng.
“Kenapa
baru sekarang kau beritahu aku?”
Air
muka Faruk berubah. “Kau tahu tak, berapa lama aku kejutkan kau? Dah puas aku menjerit
tapi kau tidur macam orang mati. Apa kena dengan kau?”
Ariel
tarik nafas. Dia sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku. Sehingga saat itu,
kepalanya amat sakit sehinggakan terasa seperti hidungnya mahu berdarah. Dia
juga berasa amat lemah seperti segala tenaga di dalam tubuhnya telah dihisap
keluar. Walhal dia hanya tidur. Bukankah sepatutnya tidur itu merehatkan tubuh
badan dan mengembalikan tenaga? Dia tidak dapat memahaminya. Otaknya begitu letih.
Belum
sempat dia membuka mulut untuk bertanya kepada Faruk, kedengaran pula bunyi
riuh-rendah di pintu bilik. Masuk Dr. Uzair.
FARUK
dan Ariel terus masuk semula ke dalam bilik Jeffri. Kehadiran Dr. Uzair di situ
juga menandakan Dr. Sid sudah sampai.
“Ariel
ikut saya.” Dr. Uzair berpatah balik keluar dari situ sebaik sahaja ternampak
muka Ariel.
Ariel
tercengang. Dia tidak sangka itu yang akan diucapkan oleh Dr. Uzair sebaik
sahaja sampai ke situ. Dia menoleh ke arah Faruk. Bimbang kalau-kalau dia
tersalah dengar.
Faruk
juga terpinga-pinga.
Oleh
kerana itu satu arahan, Ariel ikut sahaja langkah Dr. Uzair. Setelah berusaha mencelah
di antara penghuni institut yang masih bersesak-sesak di pintu bilik Jeffri,
akhirnya dia dan Faruk dapat keluar dari situ. Mereka mengikut Dr. Uzair turun
ke tingkat bawah. Dari situ mereka menuju pula ke bangunan A.
Setibanya
di sana Dr. Uzair melangkah pula ke pejabatnya tanpa sebarang suara. Pada waktu
itu Ariel dapati dua orang pengawal keselamatan sudah berada di luar bilik Dr.
Uzair. Sejurus dia masuk, kedua-dua orang pengawal keselamatan tadi juga ikut
masuk dan berkawal di muka pintu.
Detik
demi detik berlalu. Ariel masih tidak faham kenapa dia dipanggil ke situ. Dia
pandang Dr. Uzair sayangnya Dr. Uzair yang bermata garang di sebalik cermin
matanya, tidak langsung mengangkat muka memandangnya.
“Bawa
dia.” Semena-mena, Dr. Uzair mengeluarkan arahan kepada pengawal keselamatan.
Serentak
dengan itu juga kedua-dua orang pengawal keselamatan tadi terus memegang lengan
Ariel dengan kuat.
Ariel
tergamam. Tangan pengawal ditepis tetapi tidak cukup pantas. Akhirnya kedua
belah tangannya dikilas ke belakang dengan kasar sehingga tangannya terasa
kebas.
“Doktor? A.. apa ni?” Dia mula panik. Bingung
bertambah bingung. Rasa hendak pitam juga ada.
“Ayah,
kenapa tangkap Ariel?” tanya Faruk pula. Dia pegang tubuh Ariel.
Dr.
Uzair pandang muka Faruk. Dia mengeluh berat sebelum tertunduk semula memandang
lantai.
“Kau
tak perlu berpura-pura lagi, Ariel.” Dr. Uzair menikam wajah Ariel dengan
pandangan mata yang penuh kebencian.
Dahi
Ariel berkerut. Sudah terasa nafasnya panas.
“Berpura-pura
apa? Kenapa saya dibuat macam ni?” Suaranya meninggi. Dia tetap cuba melepaskan
tangannya dari pegangan pengawal keselamatan sayangnya gagal.
Mata
Dr. Uzair terkelip-kelip.
“Malam
tadi. Kau yang bunuh Jeffri, bukan?”
“Apa?”
Ariel dan Faruk sama-sama bertempik.
“Kau
boleh tak mengaku tapi… kami ada bukti.” Dr. Uzair memeluk tubuh.
“Mustahil!”
Ariel cuba menerkam. Dia tidak faham apa yang sedang dikatakan oleh Dr. Uzair.
Dia bunuh Jeffri?
“Sementara
kami uruskan jenazah Jeffri, kau akan dikurung. Selepas itu nanti terpulanglah
kepada Dr. Sid.”
“Ayah…”
Faruk menerpa pula ke arah ayahnya yang sudah mahu meninggalkan bilik itu.
Dikejar sampai ke luar.
“Ayah…,”
katanya sambil menarik lengan Dr. Uzair.
Dr.
Uzair berhenti melangkah. Dia pegang bahu Faruk yang pucat lesi.
“Jeff
bukan kena serangan jantung yang biasa. Dia telah dibunuh. Kami ada bukti.
Ariel yang bertanggungjawab.”
Mendengarkan
kata-kata Dr. Uzair, Ariel yang sudah diheret ke muka pintu terus menjerit dan
meronta.
“Aku
tak bunuh Jeff, Faruk! Aku tak buat!”
Kemudian
dia terasa satu pukulan yang keras hinggap di belakang kepala. Dia terasa amat
sakit. Pandangan matanya mengecil dan langsung bertukar gelap. Fikirannya
berhenti berfungsi. Tubuhnya melorot jatuh ke lantai. Perlahan-lahan dia
diseret pergi oleh kedua-dua orang pengawal keselamatan.
Faruk
yang melihat ingin mengejar tetapi dipegang Dr. Uzair.
BILIK
itu kecil. Hanya ada sebuah tingkap dengan jeriji besi padu. Sebuah kipas di
atas kepala yang berputar dengan kelajuan maksimum. Sebuah pintu yang berkunci.
Selain itu tidak ada apa-apa di bilik itu yang boleh dirakam dengan mata kasar.
Dan Ariel masih terlungkup di atas lantai. Baru sedarkan diri.
Sebaik
sahaja dia membuka mata, perkara yang pertama dia lihat ialah lantai yang berhabuk
tebal. Batuknya tersembur. Pembuluh nafasnya sesak. Dia batuk dan batuk sehingga
dapat menghambur keluar segala habuk yang mendak di kerongkongan. Sayangnya belum
lagi lega nafasnya dia terdengar derap tapak kasut menuju ke situ. Anak matanya
melirik tajam ke muka pintu.
Sebaik
sahaja daun pintu dikuak seseorang, Ariel memejamkan matanya. Berpura-pura
bagaikan belum sedar. Walhal jantung berdegup bagai kuda dipacu.
“Ariel,”
panggil Faruk yang baru sahaja melangkah masuk.
Pintu
ditutup semula. Di tangannya ada sebuah dulang plastik yang berisi nasi lemak,
roti dan sedikit sambal sardin. Ada juga satu cawan plastik berisi teh yang
sudah suam. Kesemuanya diambil dari dewan makan sebelum ke situ.
Faruk?
Sebaik sahaja telinga Ariel menangkap suara Faruk dia terus membuka mata semula.
Lantas, dia menggunakan kedua belah tapak tangannya untuk menekan lantai dan
menolak tubuhnya supaya mampu bangun.
Faruk
pantas meletakkan dulang di lantai. Kemudian menolong Ariel untuk duduk dengan
bersandarkan dinding.
“Kau
tak apa-apa?”
Ariel
tidak tahu bagaimana mahu menjawab pertanyaan itu. Semuanya masih serba tidak
kena bagi dirinya. Kepala sakit. Badan lemah. Jiwa hancur.
“Aku
bawakan kau nasi lemak. Kau makan dulu ya?” Faruk angkat dulang plastik yang
dibawa tadi. Disuakan ke arah Ariel.
Tetapi
Ariel pandang sahaja dulang itu tanpa rasa teruja. Deria baunya sudah hilang.
Selera makannya sudah mati. Akhirnya dia hanya termenung dan duduk diam
bagaikan patung. Terasa seperti hidupnya sudah berakhir. Sudah tiada gunanya
lagi.
“Makanlah
sikit. Kau perlukan tenaga.”
“Aku
tak bunuh Jeff.” Itu yang Ariel jawab. Pada waktu itu, itulah sahaja yang
penting bagi dirinya. Bukan soal makan ataupun minum.
“Aku
tahu,” balas Faruk dengan yakin.
“Jadi
kenapa mereka tuduh aku?”
Faruk
tarik nafas. Matanya terkelip-kelip merenung daun pintu bilik itu.
“Ayah
aku kata, dia ada bukti.”
“Bukti
apa? Aku tak faham.” Suara Ariel meninggi. Dia mula hilang sabar. Semua itu
tidak masuk akal. “Kau pun tahu yang aku masuk tidur lebih awal daripada Jeff
malam tadi.”
“Shhh!
Jangan kuat sangat,” tegur Faruk sambil menoleh ke arah Ariel sebentar.
“Ini
semua tak betul. Tak masuk akal.” Ariel merungut sendiri.
“Tapi
bukan itu yang penting sekarang.”
Ariel
menoleh ke arah Faruk.
“Dr.
Sid percaya kau yang bunuh anak dia.”
Ariel
hanya mampu menggeleng. Dia tidak sangka semudah itu Dr. Sid mempercayai tuduhan
Dr. Uzair. Mungkinkah kerana dia bukan siapa-siapa?
“Jeff
tu abang aku.” Itu sahaja yang dapat dikatakan untuk mewakili sejujur-jujurnya
perasaan dia terhadap Jeffri. Malah kalau disuruh dia menggadaikan nyawa pun
dia sanggup.
“Perasaan
bukan bukti yang sahih. Penafian kau tak akan dapat menandingi bukti yang
mereka ada.”
“Bukti?”
Sekali lagi Ariel berasa hairan. “Apa bukti yang ayah kau ada? Aku nak tengok.”
“Shh…
bertenang. Bukan soal itu yang kau kena fikirkan sekarang,” balas Faruk.
“Soal
apa lagi yang lebih penting? Kat atas sana Jeff dah mati. Aku di sini dituduh
bunuh dia. Kau ingat tuduhan tu tuduhan yang menyeronokkan? Tuduhan membunuh
tahu tak?” Suaranya sekali lagi meninggi.
Melihatkan
kelakuan Ariel yang begitu tertekan, Faruk menepuk-nepuk bahu Ariel dengan
lembut.
“Cubalah
bawa bertenang. Fikir satu-satu,” katanya lembut.
“Nak
fikir apa lagi?”
“Jeff
dah mati. Itu kita tahu. Tapi apa yang kita perlu fikirkan sekarang ialah soal kau.”
Ariel
mula berfikir. Sayangnya dia tidak nampak apa yang cuba disampaikan oleh Faruk.
Apa yang dia boleh buat lagi kalau terkurung di dalam bilik kecil itu? Basuh
muka pun belum. Kencing pun terpaksa ditahan-tahan.
“Kau
kena lari dari sini.” Faruk berbisik sambil merenung mata Ariel dalam-dalam.
Lari?
Ariel menggeleng.
“JANGAN
jadi bodoh. Cuba kau fikir apa akan jadi kalau kau tunggu di sini.” Keras
kata-kata Faruk kali ini.
Ariel
pandang lama muka Faruk. Seorang lelaki yang tampan. Kulitnya sawo matang. Dahi
luas. Rambutnya ikal beralun. Pendek kata wajah dan warna kulit mereka berdua
kalau dibandingkan bagai malam dengan siang. Amat kontra.
Namun
pada hari itu dia melihat sisi Faruk yang begitu berbeza. Dia seolah-olah
diperlihatkan isi hati Faruk yang selama ini tidak pernah ditonjolkan.
“Nanti
bila polis datang sini, aku akan cakap pada mereka. Mereka tentu akan siasat
perkara ni betul-betul. Mereka akan siasat bukti. Apabila aku dibuktikan tak
bersalah, tentu Dr. Sid akan percaya.” Begitulah yang dia baca dalam novel
setiap malam sebelum tertidur. Itulah yang dia percaya. Polis akan siasat
mengikut bukti dan dia percaya tidak akan ada bukti kerana dia tidak bersalah.
Faruk
menggeleng seraya mengeluh hampa.
“Faruk?”
Ariel menegur. “Kenapa kau mengeluh? Tak betul ke apa yang aku cakapkan tu?”
“Kalau
mereka nak serahkan kau kepada polis, pagi tadi lagi polis dah sampai ke sini,”
balas Faruk dengan lesu.
Jawapan
Faruk membuatkan Ariel terdiam lama. Dia menelan air liur yang hampir kering.
Terasa tidak tertelan. Dia cuba memikirkan kemungkinan yang lain.
“Habis
tu kenapa mereka tak panggil polis?”
Faruk
tidak menjawab walau sepatah pun. Sebaliknya hanya tunduk membisu.
Ariel
ikut diam.
“Jangan
kata yang mereka nak serahkan aku kepada SIKORP. Aku berhak disiasat. Aku
berhak dipenjarakan.” Sekarang satu kemungkinan singgah di kepalanya. SIKORP.
Perkataan itu bagaikan bergema dan melantun-lantun dalam ruang fikirnya.
Perkataan yang sudah cukup untuk membuat urat perutnya cekang.
Faruk
menoleh.
“Kalau
kau tunggu. Kau mati.”
Ariel
tarik nafas panjang-panjang. Kata-kata Faruk memberikan satu jawapan yang
mengerikan. SIKORP ialah sebuah kumpulan aneh. Dia pernah melihat anggota SIKORP
datang dan membawa pergi beberapa orang ahli di institut itu yang melakukan
kesalahan berat. Mereka hanya pulang dalam keranda tanpa otak. Sehingga
sekarang dia tidak tahu lebih lanjut mengenai SIKORP. Dia cuma mendengar
beberapa cerita ngeri yang dibisikkan oleh kakitangan institut itu. Cerita itu
beredar bak Urban Legend yang menyeramkan.
Sesiapa
yang melakukan kesalahan berat di situ akan diserahkan kepada SIKORP. SIKORP
akan menghantar beberapa orangnya yang bertatu kepala naga di tapak tangan
untuk mengambil pesalah. Selepas beberapa hari hanya jasad yang akan pulang
untuk disemadikan. Dengarnya bukan otak sahaja yang dikorek hidup-hidup tetapi
juga mata, telinga dan segala organ dalaman yang boleh berfungsi.
Membayangkannya sahaja isi perut Ariel bergelodak ingin keluar.
“Tapi
macam mana….” Dia pandang Faruk.
“Kau
tunggu aku malam ni,” jawab Faruk sambil bangkit berdiri.
“Apa
kau nak buat?”
“Aku
akan usahakan sesuatu,” balas Faruk dengan tenang.
“Kalau
aku lari, aku akan nampak seperti bersalah. Tak usahkan Dr. Sid, tukang sapu
pun akan percaya aku yang bunuh Jeff.”
“Kau
cuma ada dua pilihan. Kau tunggu di sini dan lihat otak kau dikeluarkan hidup-hidup.
Atau kau lari dan cuba kumpul bukti untuk membersihkan nama kau. Yang mana kau
nak?” tanya Faruk dengan pantas. “Sekurang-kurangnya kalau kau lari, kau masih
hidup. Kau boleh buktikan yang kau tak bersalah. Tapi kalau kau tunggu…. mayat
kau tak boleh buktikan apa-apa. Kau mahu berputus asa atau ambil peluang
sementara masih ada?”
Ariel
termenung lama. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk lari dari masalah.
Apatah lagi lari dari tempat itu.
“Kau
fikir dulu. Aku datang lagi malam nanti.” Faruk berhenti di muka pintu. “Kau
mesti habiskan semua makanan tu. Lepas tu berehat. Malam nanti kau mungkin
perlukan semua tenaga yang ada.”
Setiap
kata-kata Faruk diingatkan baik-baik. Namun sehingga saat itu dia masih belum
dapat meyakinkan diri sama ada tindakan itu betul ataupun salah. Ke mana dia
hendak lari? Ke mana dia hendak pergi? Patutkah dia lari?
“Faruk,
malam tadi aku bermimpi. Aku melihat bintang jatuh ke bumi.” Dia tersenyum
kelat. Entah kenapa dia tiba-tiba teringatkan mimpi itu semula. Mimpi yang
belum sempat diceritakan kepada Jeffri.
“Mungkin maknanya kau akan selamat.” Faruk
tersenyum nipis sebelum menutup pintu di belakangnya.
Sebaik
sahaja pintu itu tertutup rapat, Ariel rasa begitu sunyi dan buntu. Benarkah
dia akan keluar dari batasan pagar 10 kaki tinggi itu? Ke mana dia harus pergi?
Semuanya nampak kabur.
best... dh diterbitkan ke belum? tak sabar nak tunggu sambungannya...
ReplyDelete