LELAKI BERMATA ANEH- sebuah karya SF Thriller kedua
selepas novel Janji Julia
selepas novel Janji Julia
akan diterbitkan pada tahun 2015.
Jemput ikuti siri ini di sini dahulu ya.
Nantikan juga novel seram PUJA tidak lama lagi.
PROLOG
PULAU
PINANG 15 Dis : Seorang lelaki warga Inggeris ditemui mati di atas katil di
sebuah hotel lima bintang di Batu Feringghi pagi semalam.
Mangsa
yang dikenali sebagai Neil Brunger, ditemui oleh isterinya sekitar jam 7.30
pagi.
Mangsa
yang berusia 59 tahun dari Whalley Range, Manchester itu dipercayai sudah pun
meninggal dunia beberapa jam sebelum dijumpai.
Pegawai
penyiasat dan anggota forensik yang diketuai oleh Ketua Superitendan Azli Fauzi berkejar ke tempat kejadian sejurus
selepas dimaklumkan penemuan tersebut.
Polis tidak
menemui apa-apa bukti jenayah di bilik hotel melainkan kesan darah di atas
bantal.
Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat.
“Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah. Mendiang dipercayai mengalami serangan jantung. Kami akan menunggu laporan bedah siasat dahulu untuk menentukan punca kematian sebelum mengambil tindakan seterusnya,” kata Azli Fauzi ketika dihubungi.
Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat.
“Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah. Mendiang dipercayai mengalami serangan jantung. Kami akan menunggu laporan bedah siasat dahulu untuk menentukan punca kematian sebelum mengambil tindakan seterusnya,” kata Azli Fauzi ketika dihubungi.
Isteri
mangsa enggan memberi sebarang ulasan.
Beratus kilometer dari Pulau Pinang, seorang
lelaki tersenyum puas setelah membaca laporan akhbar dalam talian. Hatinya lega
kerana tugas sudah berjaya dibereskan dengan baik. Sekarang, masih ada lagi
tiga nama yang perlu dilenyapkan dari muka bumi. Seorang ahli perniagaan,
seorang ahli politik dan seorang ahli agama. Dia tidak peduli siapa mereka-
yang pentingnya duit.
BAB
1
Masa
: Sekarang.
Lokasi:
Institut Penyelidikan Betha (IPB)
“BREK! BREK!”
jerit seorang pemuda sambil tangan kanannya memegang stereng.
Ariel
kelam-kabut menekan brek. Kereta yang dipandunya, mendadak berhenti di hadapan sebuah
tembok batu yang kotor dan berlumut. Ruang kosong di antara kereta dan tembok
itu cuma dua inci. Dia berpeluh sejuk. Sekujur tubuhnya menggigil dari kepala
hingga ke hujung jari kaki. Jantung berdegup laju.
“Dari
tadi aku kata tekan brek, kau tekan minyak buat apa?” tanya lelaki di sebelah Ariel
dengan nafas yang sama tercungap-cungap. Dadanya turun naik apabila melihat
keretanya hampir remuk menghentam tembok.
“Panik,”
balas Ariel.
Kini
barulah mereka berdua ketawa berderai-derai sambil menyapu peluh yang merenik-renik
di dahi masing-masing.
“Kau
dah boleh bawa kereta tapi… jangan panik. Pastikan kau ingat di mana brek, di
mana minyak. Kalau tertukar susahlah,” balas Jeffri. “Lagipun kau yang bawa
kereta bukan kereta yang bawa kau.”
“Entahlah.
Tiba-tiba saja fikiran aku melayang. Rasa hilang. Aku lupa nak pijak yang mana,”
balas Ariel. Ketawanya masih bersisa. Geli hati pula apabila diingatkan insiden
tadi. Tetapi itulah masalah yang dia tak dapat selesaikan dari dulu sampai
sekarang. Mudah panik semasa memandu. Mudah hilang fokus.
“Dah.
Undur cepat sebelum ayah aku nampak. Nanti dengan aku, aku sekali kena sembur.”
Jeffri
toleh ke arah institut, kelihatan dari situ, beberapa orang petugas di institut
sudah keluar menjenguk di koridor. Mungkin kerana terdengar bunyi tayar yang
terseret ke tanah.
Ariel
patuh kepada arahan Jeffri. Dia mengundurkan kereta Jeffri hingga memasuki
jalan bertar semula. Menukar gear dan berpusing balik ke bangunan utama
institut itu. Jaraknya kira-kira 300 meter. Sebaik sahaja tiba di situ, dia
menarik nafas lega. Tidak ada apa-apa yang dilanggarnya kali ini. Kalau dulu,
pasti ada pasu bunga yang pecah. Bosan betul.
“Kau
kena yakin pada diri kau. Ingat, apa-apa hal, jangan panik. Kau kena sentiasa
sedar yang kau sedang bawa kereta. Jangan berkhayal.” Jeffri bersuara semula
sambil membuka tali pinggang keledarnya.
“Terima
kasih,” balas Ariel. Dia tersenyum lebar. Mujurlah Jeffri seorang yang
penyabar. Kalau orang lain, mungkin kepalanya sudah kena luku dua tiga kali. Dia
sangat terhutang budi dengan Jeffri.
“Kau
senyum ni kenapa?” tanya Jeffri. Dia masih belum keluar dari kereta.
“Sebab
kau nak hadiahkan aku kereta ni, kan?” Ariel menjeling Jeffri sambil tersengih.
Dia sekadar mengusik tetapi kalau itu menjadi kenyataan apa salahnya? Dialah
yang paling gembira.
“Cantik
muka kau?” Jeffri ketawa sekali. Tangannya menyeluk poket seluarnya lalu
mengeluarkan sebentuk kunci.
“Aku
cuma nak beri kau ni,” tambahnya sambil menghulurkan kunci itu.
“La…
kunci saja?” Ariel buat-buat terperanjat walhal perasaannya sukar digambarkan. Dia
sangat suka dan terharu. Walaupun hanya diberikan sebatang kunci namun maknanya
sangat besar untuk orang seperti dia.
Jeffri
tersenyum tenang.
“Aku
tahu kau sukakan kereta ni tapi kau juga tahu apa kata ayah aku kalau aku beri
pada kau. Tapi mulai hari ni, kereta ni kita kongsi dua. Bila-bila kau nak
pandu, pandulah. Aku izinkan. Tapi dengan syarat.”
“Aku
tahu.” Ariel angguk perlahan.
Dia
cukup faham soal itu. Syaratnya ialah kena tunggu Dr. Sid dan Dr. Uzair tidak
ada di institut. Kalau mereka berdua ada, memang cari nahas. Bagaimanapun, memiliki
kunci itu, satu penghargaan yang besar buat dirinya. Satu tanda kepercayaan. Satu
tanda penghargaan yang tidak pernah dimiliki.
Dia
pun tahu, dia tidak mungkin memiliki lebih daripada itu. Dia siapa, Jeffri pula
siapa. Dia bersyukur kerana selama ini Jeffri selalu mahu berkongsi pelbagai
perkara dengan dia. Itu sudah cukup untuk dia yang tidak pernah memiliki
apa-apa.
“Terima
kasih, Jeff.”
Ucapannya
berhenti setakat itu walau dia ingin mengatakan lebih banyak. Dia ingin
mengatakan dia terharu dan sayang kepada Jeffri yang sudah dianggap sebagai
abang. Namun kerana rasa segan, semuanya hanya terpendam dalam hati.
“Ariel,
kau tahu tak yang kau ni istimewa?” tanya Jeffri sambil melepaskan keluhan yang
dalam.
Dia
tidak memandang Ariel tetapi sebaliknya merenung taman kecil di hadapan
institut itu. Taman, di mana dia dan Ariel selalu bermain sorok-sorok semasa
kecil dahulu.
“Apa
yang istimewanya? Bawa kereta pun sampai nak langgar tembok,” balas Ariel. Dia
juga memandang ke arah taman itu. Banyak kenangan mereka tersimpan di situ.
“Satu
hari nanti kau akan tahu apa keistimewaan kau. Tapi aku harap, pada waktu itu
kau tetap anggap aku sebagai kawan.” Jeffri tersenyum penuh makna.
Ariel
garu kepala. Istimewa? Dia hanya anggap itu satu gurauan. Apalah yang
istimewanya dia? Dia, yang tidak punya apa-apa. Namun untuk membantah, dia rasa
tidak wajar. Mereka membesar bersama-sama malah hanya kepada Jeffri dia
berkongsi segala rahsia dan rasa. Kalau dia menolak pujian itu, tentu Jeffri
akan terasa hati.
“Kalau
benar, kaulah orang pertama yang akan tahu,” balasnya kemudian.
“Aku
dah lama tahu.” Jeffri pandang muka Ariel lama-lama. Di wajahnya tergambar
pelbagai perasaan. Dalam senyuman seolah-olah ada tangisan yang tersembunyi.
Dalam suka ada derita yang terselindung.
“Esok,
kau nak ke bandar, kan?” Ariel cuba ubah topik.
Entah
kenapa petang itu dirasakan sangat berbeza. Jeffri kelihatan sedih di matanya,
dia tak suka. Dia tak senang dengan situasi itu. Jeffri adalah seumpama dirinya
yang sempurna. Lelaki itu periang, kacak, bijak dan baik hati. Dia tak mahu
lelaki yang menjadi idolanya itu berubah menjadi dirinya pula. Anak yatim piatu
yang hidup menumpang di situ kerana tidak ada tempat lain untuk dituju.
Alangkah seronoknya kalau hidupnya seperti hidup Jeffri. Tetapi dia sudah lama
menerima kenyataan.
“Kau
nak kirim apa-apa?”
“Belikan
makanan Ugway. Dah tinggal sikit sangat,” balas Ariel sambil cuba tersenyum.
Dia tahu, Jeffri juga sayangkan Ugway, kura-kura yang dibela oleh mereka berdua
sejak setahun yang lalu.
“Okey.”
Itu sahaja jawapan Jeffri sebelum membuka pintu kereta. Tetapi belum sempat kakinya
mencecah tanah, dia menoleh semula ke arah Ariel. “Jangan beritahu ayah aku
tentang kunci tu.”
“Aku
tahu,” balasnya.
Dia
simpan kunci itu baik-baik di dalam poket seluar. Di kepalanya sudah ada
rancangan. Setibanya di bilik nanti, kunci itu akan dirantaikan bersama kunci
biliknya supaya tidak hilang.
“Esok
tahun baru. Anggap saja itu hadiah daripada aku,” balas Jeffri sebelum menutup
pintu kereta.
Ariel
hanya tersenyum. Entah kenapa perasaannya jadi berbaur, ada suka dan sedih yang
terasa. Kali pertama, dia mendapat hadiah dalam hidupnya. Kali pertama dia
terasa memiliki sesuatu yang benar-benar kepunyaannya. Walaupun hanya sebentuk
kunci pendua.
BERSEMPENA kedatangan
tahun baharu, malam itu suasana di Institut Penyelidikan Betha (IPB) begitu
meriah. Seluruh pelusuk institut bermandi cahaya. Dewan makan pula menyediakan
makanan yang berbeza dan lebih istimewa. Semua pekerja dan penghuni di institut
itu hadir kecuali Dr. Sid dan beberapa orang petugas yang sedang bercuti.
“Takkan
dah nak tidur?” Jeffri mendongak apabila Ariel bangkit meninggalkan kerusi.
Begitu juga Faruk yang duduk di sebelah Jeffri.
“Ngantuklah,”
jawab Ariel.
Satu
jawapan yang selamat. Padahal, dia sebenarnya kurang suka majlis keramaian
seperti itu. Dia tidak rasa mahu bergembira atau meraikan apa-apa dalam
hidupnya seperti orang lain. Pada dia, tahun baru atau tahun lama tidak ada
bezanya selain tarikh. Hari ini dan esok hanya dipisahkan malam, selain itu
hidupnya tidak berubah juga.
“Tunggulah
sekejap,” sampuk Faruk dengan dahi yang berkerut.
Ariel
mengerling. Faruk, salah seorang rakan rapat dia dan Jeffri malah sudah berada
di institut itu sejak kecil juga. Bagaimanapun persahabatan mereka bertiga
tetap kukuh walau ketiga-tiga mempunyai latar pendidikan yang berbeza. Faruk
baru balik dari Britain, Jeffri pula bekerja di Kuala Lumpur dan dia, yang
bersekolah pun tidak.
“Aku
dengan Jeff baru nak pasang bunga api.”
Ariel
tetap menggeleng. Dia bukan tak tahu apa aktiviti Jeffri dan Faruk pada setiap
malam tahun baru. Mereka akan memasang bunga api yang sebesar dua genggam di
taman sehingga menggegarkan bukan sahaja kawasan institut malah sehingga
terlihat di sekitar kampung di situ. Sekali pandang memanglah cantik tetapi itu
untuk orang seperti mereka, bukannya dia. Dia tetap tak suka.
Dengan
itu dia tinggalkan dewan makan yang masih lagi kecoh dengan gelak ketawa dan
lagu-lagu yang dipasang nyaring. Dia atur langkah dengan tenang balik ke
Bangunan F bersendirian.
Bau
bunga Muraya yang lembut dan harum menyambut kepulangannya. Dengan perlahan dia
susuri pagar pokok separas pinggang itu sebelum sampai ke sebuah tangga yang
diterangi lampu kalimantang. Dia pijak satu demi satu anak tangga yang
membawanya ke tingkat dua bangunan itu. Di situ juga tempat dia belajar serba
sedikit kemahiran seperti membaca, menulis dan bercakap. Di situlah juga dia
perlahan-lahan menjadi dewasa.
Institut itu adalah dunianya. Pagar batu
setinggi 10 kaki itu adalah batasan hidup yang telah diatur oleh Dr. Sid sejak
dia kecil. Dia tidak dibenarkan keluar. Juga tidak dibenarkan melihat dunia
luar. Tidak dibenarkan berhubung dengan sesiapa kecuali yang dibenarkan. Tidak
dibenarkan membaca akhbar. Tidak dibenarkan menonton televisyen. Dan tidak
dibenarkan memiliki apa-apa.
Tugas
dia hanya tinggal di situ dan mengikut jadual yang telah disusun oleh Dr. Sid. Dalam
seminggu, tiga malam dia perlu tidur di katil makmal. Lima hari seminggu dia
akan menghadiri kelas yang diajar sendiri oleh Dr. Sid selama dua jam.
Selebihnya dia bebas melakukan apa yang dibenarkan di dalam institut itu, selagi
tidak keluar dari batas pagar 10 kaki tinggi itu. Dan yang pastinya dia
sentiasa diawasi dengan CCTV yang dipasang di merata ceruk bangunan kecuali di
dalam bilik tidurnya. Itulah satu-satunya ruang
di mana dia diberi kebebasan yang terbatas.
Setibanya
dia di hadapan sebuah pintu bercat biru, dia menanggalkan kasut. Pintu dikuak
perlahan. Cahaya yang terang dalam bilik itu, menjadikan segalanya jelas
dipandang. Sebuah bilik tidur yang sederhana besar. Lengkap dengan katil,
almari, kerusi dan sebuah televisyen untuk memainkan cakera padat filem-filem
aksi dari barat. Semuanya sudah diulang tonton sampai bosan.
“Ugway!”
Dia mengetuk akuarium kecil yang menempatkan seekor anak kura-kura
bercengkerang hijau lumut. Dia mencampakkan beberapa butir palet ke dalam
akuarium itu dan menutupnya semula rapat-rapat.
“Kau cepatlah besar. Bila kau besar, aku suruh
Jeff hantar kau ke tasik. Kau mesti hidup bebas, berkawan dengan kura-kura lain.
Kau mesti tengok dunia. Jangan jadi macam aku,” katanya sambil menahan perasaan
sebak di dada. Terasa dia dan Ugway tak jauh bezanya. Terkurung dalam satu
dunia yang sempit.
Selepas
jemu melihat Ugway, dia mencapai sebuah buku cerita berbahasa Inggeris yang
terletak di atas meja. Dia bawa ke katil. Sambil berbaring, dia menyelak
halaman yang pertama. Buku itu dipinjamkan oleh Jeffri seperti barang-barang
yang lain juga. Ingatannya terimbau jauh.
“Jangan
sentuh! Itu Jeffri punya. Kalau Jeffri beri kau pinjam, baru kau boleh pinjam.”
Itulah
kata-kata Dr. Sid sewaktu dia berumur tujuh tahun. Dia tidak akan lupa sampai
bila-bila kerana dia tidak boleh lupa kepada sinar kebencian yang terpancar
dari mata Dr. Sid sewaktu mengucapkan kata-kata itu. Sejak itu dia faham. Apa
yang dilihat, didengar, dirasa dan disentuh itu adalah milik orang lain. Dia
tidak berhak ke atas apa-apa pun di situ. Malah kadang-kadang dia rasa dia
tidak memiliki apa-apa meskipun tubuh badan dia sendiri.
Dia
pernah berasa hairan. Pernah juga mempersoalkan kenapa dia tidak seperti Jeffri
ataupun Faruk yang hidup bebas. Kenapa dia tidak dibenarkan ke sekolah seperti
orang lain? Kenapa dia begitu berbeza? Malah juga berbeza dari segi rupa, warna
kulit malah warna mata.
Namun
semua pertanyaan itu tinggal pertanyaan. Hari berganti hari, tahun berganti
tahun. Pertanyaan itu makin lama makin terbenam jauh dalam hati. Makin lama
makin tidak terucap di bibir dan dia hanya mengikut laluan hidup yang telah
ditetapkan Dr. Sid walau entah sampai bila.
Buku
tadi dipegang kemas dengan kedua belah tangan. Matanya segera menyorot baris
demi baris ayat yang ditulis. Dia makin hilang dalam dunia baharu ciptaan
penulis. Makin lama makin terheret dalam kancah konflik dan makin lama kelopak
matanya makin berat.
Akhirnya
dia tertidur dengan buku yang masih terbuka.
LANGIT berwarna
ungu kebiruan. Tujuh bulan purnama berjajaran lurus ke timur. Bintang-bintang
menyerpih lantas berguguran bagaikan hujan meteor Geminid. Ariel terpegun menyaksikan
fenomena yang tidak pernah disaksikan selama ini. Dia terbelit antara rasa terkejut
dan kagum. Namun keasyikan itu mendadak pudar.
Alam
yang tenang dan mengasyikkan tadi, kini berubah laku. Deruan angin terasa panas
dan menggila menerkam tubuh. Sebutir meteor seperti dibidik langit ke arahnya.
Tanpa berfikir dia melompat ke sisi dan terus lari.
Sayangnya
dia terjatuh ke atas tanah berumput yang basah dan sejuk. Dalam kekalutan itu,
dia melihat meteor tadi jatuh melanggar sebuah bangunan batu sebelum bangunan
itu terbakar dengan api yang marak menjulang. Cahayanya melimpah dan menerangi
permukaan air di sekelilingnya.
Dia
terpegun, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sedangkan api yang menjulang
marak seakan cuba memanggang tubuhnya hidup-hidup. Dalam kekagetan itu, tubuhnya
ditarik seseorang.
Ariel
terkinjat. Dia terduduk di atas rumput sambil mendongak. Pandangan matanya
terpaku ke seraut wajah seorang perempuan bermata aneh. Dia sekali lagi terkaku.
Rahangnya jatuh. Lidahnya kelu.
“Ariel!
Bangun!”
Sayup-sayup
dia terdengar satu suara memanggilnya. Sayangnya dia bagaikan dipaku di situ.
Tidak boleh bergerak biarpun untuk menggerakkan tangan. Dia rasa amat lemah dan
sakit di segenap urat saraf.
“Ariel! Bangun!”
Suara
yang entah dari mana itu menyeru lagi. Kali ini lebih kuat dan mendesak. Dia
seolah-olah tersepit di antara dua keadaan. Di sana ada yang memanggil. Di sini
ada yang menahan. Dia bertambah sakit.
“Lepaskan
aku,” rayunya meminta simpati kepada perempuan yang berdiri di hadapannya. Dia
yakin disebabkan perempuan itu, dia terpaku di situ.
“Tunggu dulu. Kita baru saja berjumpa.”
“Aku akan datang lagi,” balas Ariel dengan
yakin. Entah mengapa dia juga terasa ingin sekali bertemu lagi dengan perempuan
itu. Ada banyak perkara yang ingin ditanya.
“Tapi
kita mungkin takkan berjumpa lagi.”
“Aku
janji aku akan datang. Kalau terus begini aku akan mati. Aku sakit.”
Perempuan
itu tidak bercakap lagi. Wajahnya berubah muram. Dia hanya termenung dengan
bibir yang terkatup rapat.
“Tolonglah.
Lepaskan aku. Aku akan datang lagi.” Ariel ulang janjinya. Dia sudah tidak
tahan. Terasa setiap sendi seperti akan putus dua. Dia harap salah satu pihak
akan mengalah.
“Baiklah,
aku akan lepaskan kau kali ini. Tapi aku tak pasti sama ada kita akan bertemu
lagi atau tidak. Tapi kalau kau mahu mencari aku, kau carilah tempat ini.”
Sebaik
sahaja perempuan itu habis berkata-kata, bangunan batu yang terbakar tadi kini
menjadi terang-benderang semula dijulang api yang sungguh marak. Dia hanya
dapat memandang bangunan aneh itu sehinggakan tidak sedar perempuan itu telah
menghilangkan diri di dalam kegelapan malam. Dalam kebingungan, dia terasa
bahunya digoyang keras.
“Ariel!
Aku kata bangun, bangunlah!”
Suara
itu makin jelas dan keras. Kini dia tahu suara itu suara siapa tetapi dia
seperti tersesat di dalam kabus yang semakin tebal. Dia merayau-rayau sehinggalah
terasa satu tamparan keras hinggap di pipinya. Matanya terus terbuka luas walau
kewarasannya masih lagi tertinggal jauh entah di mana.
“Puas
aku kejut. Kau tak bangun-bangun,” bebel Faruk sambil berkerut muka di
hadapannya.
Ariel
menyapu pipinya yang terasa perit. Mendengar suara Faruk yang bertubi-tubi,
barulah perlahan-lahan dia sedar dia berada di mana.
“Kenapa
kau orang kejut aku pagi-pagi ni? Hari ni kan cuti?” Dia mengecilkan matanya
semula. Kepalanya terasa mata berat.
“Ariel!
Dah dekat pukul 9.00 pagilah. Bangun!” Faruk tarik lengan Ariel sehingga kepala
Ariel terpisah dari bantalnya.
“Apa
ni…” Ariel menolak tangan Faruk. Dia tidak senang diganggu dalam keadaan
kepalanya yang mula berubah bengang. Apatah lagi selepas didatangi mimpi yang aneh
itu. Masih ternampak-nampak perempuan bermata aneh itu dan bangunan yang
terbakar marak. Masih terasa urat-sarafnya sakit.
“Ariel,
aku pun tak ingin nak ganggu kau tidur tapi…” Faruk biarkan kata-katanya
tergantung.
Apa
yang masuk ke telinganya membuatkan Ariel membuka mata semula. Dia merenung
wajah Faruk lama-lama. Dilihatnya wajah itu muram. Tiada lagi wajah yang nakal.
Tiada lagi wajah yang suka membuat kacau di institut itu. Dia segera tahu ada
yang tidak kena.
“Jeff,”
tokok Faruk.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.