“Sudah-sudahlah
tu main. Dah nak masuk waktu Maghrib ni,” tegur Eton. Tangannya pantas merentap
kain tuala yang tersidai di ampaian bajunya. Sakit di hatinya bagai tidak dapat
ditahan-tahan apabila melihat Lijah dan Nana masih berborak-borak di atas
pangkin kayu walaupun hari sudah memanggil senja.
“Nak sudahlah
ni, Ton. Malam ni nak ikut kami ke surau? Imam baca kitab malam ni,” jawab
Lijah sambil mengesot turun dari pangkin kayu yang terletak betul-betul di
antara rumahnya dan rumah Eton. Batu seremban ditinggalkan sahaja di atas
pangkin.
Nana yang duduk
di atas pangkin bersama Lijah tadi pun ikut mengesot turun sama. Dia hanya
mendengar perbualan Lijah Dan Eton tanpa masuk campur.
Eton hanya
menjeling tajam. Ajakan Lijah menambah rasa panas di dadanya. Bukan soal baca
kitab yang membuat hatinya sakit tetapi ajakan Eton. Jika orang lain yang
mengajak tidak mengapa.
“Aku sakit
kepala,” jawabnya ringkas.
“Engkau sakit
ke? Kenapa tak beritahu kami? Boleh juga kami jenguk engkau,” sampuk Nana.
Berkerut-kerut mukanya.
“Haah, Ton.
Macam mana? Dah hilang ke sakit kepala tu?” Lijah pula bertanya.
Eton menarik
nafas. Rasa sakit hatinya bagaikan telah sampai ke kemuncak. “Kalau aku mati
keras dalam rumah tu pun, bukannya kau orang berdua nak ambil tahu. Sibuk main
baru seremban tu siang malam.”
“Main siang
malam apanya? Kalau dah tak ada kerja tu, kami mainlah. Kami ajak engkau,
engkau tak nak,” balas Lijah sambil tersenyum. Nana juga.
Eton rasa
terpukul. Walaupun itu yang dikatakan Lijah dan Nana tetapi bukan itu yang dia
nampak. Selama ini setiap hari Lijah dan Nana duduk di pangkin itu bermain batu
seremban. Tidak kira siang, tidak kira malam. Entah apa yang seronoknya, dia
tidak tahu.
“Lantak
engkaulah, Jah. Aku ni cuma menegur,” balasnya sebelum melangkah masuk ke
rumah.
“Marilah main
dengan kami, Ton. Dah puas aku ajak engkau,” kata Lijah lagi.
Eton cuma
menggeleng. Dia sudah tidak tahu untuk
berkata apa lagi. Mereka berdua itu sudah gila agaknya.
******
Keesokkan
harinya…
“Emak demam ke,
mak?” tegur Ani anak Eton. Dia pegang bahu Eton, diraba kepala Eton.
Eton tepis
dengan kasar.
“Kenapa ni, mak?
Sejak dua tiga hari ni Ani tengok mak masam saja. Kalau mak sakit, marilah Ani
bawa ke klinik jumpa doktor.”
Eton buat tak
tahu. Buat tuli. Badannya tidak demam tetapi hatinya sakit.
Ani mengeluh
sendiri.
“Benci,
menengoknya. Dah tua-tua tak sedar diri. Perangai macam budak-budak,” rungut
Eton pula. Sudah tidak terempang segala sakit di hati.
“Siapa
berperangai macam budak-budak?” Ani tersenyum. “Mak Cik Lijah ke?”
“Siapalah lagi?
Lijah dengan Nana, sama saja dua orang tu.” Eton menggeleng pula. Sudah tidak
tercapai akalnya melihat perangai kawan dia yang sama sebaya dan sekampung itu.
“Apa Mak Cik
Lijah buat, mak? Apa yang perangai budak-budaknya?”
“Tu… engkau
tengok tu atas pangkin. Setiap hari selepas Asar, mereka pun mulalah bermain
batu seremban tak henti-henti. Kadang-kadang malam pun main juga.”
“Malam pun main
juga?” Ani mengintai dari balik langsir. Dia juga nampak Mak Cik Lijah dan Mak
Cik Nana, kawan ibunya sedang bermain batu seremban sambil bergelak ketawa.
Seronok benar gayanya mereka berdua. Ibu dia sahaja yang masam mencuka di situ.
“Mak tak nak join?” Dia bertanya.
“Hisy! Tak kuasa
aku. Dah tua-tua, bukan budak-budak kecil lagi nak main tu semua. Buang tabiat
ke apa?” Dia duduk di atas katilnya pula. Dia berbaring, namun ingatannya
kepada Lijah dan Nana di atas pangkin masih belum mahu hilang.
“Apa salahnya,
mak? Suka-suka saja. Sambil bermain boleh juga borak-borak. Hilang juga sunyi
mak tu,” kata Ani.
Eton mendengus.
Dia memejamkan mata sebagai tanda tidak mahu mendengar lagi apa yang
diperkatakan oleh anaknya.
Ani pun beredar.
Setelah Ani
beredar, dia membuka matanya semula. Namun apa yang tertayang di matanya
hanyalah secebis kenangan lalu…
*****
Sewaktu mereka bertiga
berumur 7 tahun…
“Bukan
macam tu main,” tegur Nana. Batu seremban di tangan Eton dirampasnya. “Macam
ni,” katanya.
Sebiji
demi sebiji batu seremban dibaling ke udara kemudian disambut apabila batu yang
masih berada di atas tikar diraut dalam genggamannya. Eton lihat sahaja
bagaimana Nana buat.
“Aku pula,” kata
Lijah. Batu seremban berpindah tangan dari tangan Nana ke tangan Lijah.
“Eh! Bagilah Eton main juga,” kata Nana. Batu
seremban di tangan Lijah dirampasnya semula.
“Tadi dia dah
main. Akulah pula,” balas Lijah.
“Belum lagi.
Memang turn dia yang main, bukan aku.
Aku tolong ajar dia saja.”
Dengan muka yang
masam, Lijah pulangkan batu seremban itu kepada Eton.
Eton sambut
dengan rasa suka. Akhirnya dapat juga dia main batu seremban walau dia tahu dia
tidak pandai sangat bermain. Baru dua kali baling, suara Lijah melantun tinggi.
“Dah mati! Dah
mati!” Tanpa menunggu lagi, batu seremban di hadapan Eton diambil Lijah. Sebiji
pun tidak tinggal.
Selepas itu Eton
lihat sahaja betapa cekapnya Lijah membaling dan menangkap. Dalam hatinya
tumbuh rasa kagum yang bukan main. Kemudian apabila Lijah buat silap, giliran Nana
pula tiba. Nana juga secekap Lijah. Lambat sungguh buat silap. Lambat sungguh
mati giliran Nana.
“Nah, Ton!
Giliran engkau pula,” kata Nana. Kini batu seremban itu berpindah tangan ke
tangan Eton semula.
Eton senyum
riang. Dia mula melambung batu seremban dan menangkapnya. Namun tiba-tiba Nana
mengaduh dengan kuat.
“Aduh!” Nana
tekap matanya dengan tangan. Ada darah.
Eton dan Limah
terkejut. Mereka berdua tergamam seketika sedangkan Nana menangis-nangis
kesakitan.
“Ha..ha… tak
tahu! Eton buat Nana buta,” kata Lijah dengan tiba-tiba.
Hah? Nana buta
ke? Dengan rasa yang bersalah yang amat sangat, Eton berlari meninggalkan
pangkin tempat mereka bermain lalu menyorok di bawah katil di dalam rumahnya.
Eton tidak keluar walau hari sudah menjelang malam.
“Eton! Eton!”
Suara ibunya memanggil tanpa henti-henti. Sudah lama dia dengar tetapi dia
tidak berani keluar. “Keluarlah, Ton. Mak nak cakap sikit ni.”
Eton diam
sahaja. Eton peluk bantal busuknya. Eton tidak sengaja buat mata Nana buta
tetapi Eton juga tahu kalau sudah buta, mata tidak boleh sembuh lagi. Itu yang
Eton takut.
“Dekat sini
rupanya. Keluarlah…” Akhirnya Ibu Eton tahu juga yang Eton sedang menyorok di
bawah katil. “Keluarlah, jangan takut. Mata Nana tak apa-apa, luka sikit saja
dahi dia.”
Hah? Tak buta?
Eton pandang wajah ibunya lama-lama. Jangan-jangan ibu dia tipu kut?
“Mak baru balik
dari rumah Nana. Nana tak apa-apa. Mak Nana pun tak marah Eton,” pujuk ibunya
lagi sambil menarik tangannya keluar dari bawah katil.
“Betul ke, mak?”
“Betul… buat apa
pula mak nak berbohong. Kalau betul Eton buat mata Nana buta, mak sendiri
hantar Eton ke balai polis.”
“Hah?” Bulat
mata Eton.
Tapi ibu Eton
hanya ketawa. Dia bersihkan habuk dan sawang pada bahu Eton. “Dah, pergi mandi
dulu, selepas tu makan. Dah nak masuk Isyak dah, tak mandi-mandi lagi.”
Eton mula lega.
Dia mandi, makan dan masuk tidur. Namun sejak itu dia sentiasa bermimpi yang
pelik-pelik pasal batu seremban. Dia bermimpi batu seremban tercucuk pada mata Nana.
Dia bermimpi mata Nana berdarah-darah dua-dua belah. Dia bermimpi kepala Lijah
berlubang kena batu seremban, macam-macam lagi dia mimpi.
Lama-lama dia
jadi takut pada batu seremban. Pandang sahaja batu seremban, dia nampak darah. Pandang
sahaja batu seremban, dia nampak darah. Tapi itu tidak menyedihkan dia, ada
yang lain juga yang turut berubah.
“Engkau jangan
mainlah,” kata Lijah pada suatu petang semasa dia datang ke pangkin Lijah. Pada
waktu itu Lijah dan Nana sedang sibuk bermain batu seremban.
“Aku… nak tengok
saja,” katanya sambil duduk di sebelah Lijah. Dia sendiri pun masih takut untuk
menyentuh batu seremban itu. Dia hanya mahu duduk dan lihat mereka bermain.
“Tak payahlah,
nanti berdarah kepala kami,” kata Lijah lagi.
“Aku nak tengok
saja. Bukan nak ganggu kau orang main,” balasnya. Dia mula rasa kecil hati
kerana Lijah tidak membenarkan dia duduk di situ.
“Nanti batu ni
kena muka kau, lepas tu melantun dekat kepala kami, macam mana?” Lijah
menjawab. Nana angguk.
Tanpa suara, dia
tinggalkan tempat itu. Dia tahu Lijah dan Nana tidak mahu berkawan dengan dia
lagi kerana kejadian itu.
Dia kehilangan
dua orang rakannya disebabkan batu seremban.
******
Masa berlalu.
Dia, Lijah dan Nana bersekolah di sekolah yang sama, kadangkala satu kelas,
kadangkala berlainan kelas. Tetapi mereka bertiga tetap membesar bersama-sama
sehinggalah berpisah sewaktu melanjutkan pelajaran ke universiti. Dia menjadi
seorang guru, Lijah menjadi seorang jururawat dan Nana tidak bekerja kerana
terus berkahwin sebaik sahaja habis MCE.
Dan sekarang,
ketiga-tiganya sudah tua, sudah pencen dan sudah kembali semula ke kampung itu
namun yang menghairankan dia ialah sikap Lijah dan Nana yang masih suka bermain
batu seremban tanpa jemu-jemu.
“Marilah main,”
ajak Lijah kepadanya pada suatu petang kira-kira tiga tahun yang lalu.
“Tak mahulah
aku, macam budak-budak,” katanya.
“Apa salahnya
kita main? Boleh bincang-bincang, sambil-sambil tu… cerdaskan otak kita
mengira.” Lijah cuba berhujah.
“Tak ada
maknanya aku nak mengira-ngira lagi waktu dah tua ni. Dah jenuh aku mengajar
budak-budak mengira semasa aku kerja dulu. Haih… cukup-cukuplah tu.” Dia tetap
enggan. Tapi yang sebenarnya dia enggan kerana masih cuak dengan batu seremban
itu. Bagaimana kalau dia tersalah sambut dan batu itu melantun ke kepala Lijah
dan Nana?
“Ikut engkaulah,
Ton. Jangan kata kami tak mengajak kamu pula ya?”
Dia diam sahaja.
Dan hari demi hari dia lihat Lijah dan Nana semakin asyik bermain. Ada kalanya
seperti mereka masih kanak-kanak. Mereka berdua ketawa, bergurau, berkongsi
makanan dan bercerita apa sahaja.
Dia?
******
Jadi pada suatu
hari… dia menunggu petang. Selalunya selepas Asar, Lijah dan Nana akan duduk
bermain batu seremban di atas pangkin di bawah pokok manggis. Dia tunggu dan
tunggu. Dia hendak bermain sama pada petang itu. Dia hendak pulihkan semula
persahabatan mereka seperti dulu-dulu. Dia mahu nikmati semula alam yang penuh
gembira seperti mereka masih kanak-kanak. Dia rindu semua itu.
Kemudian dia ternampak
Lijah dan Nana berjalan menghala ke arah tempat yang biasa. Mereka mula
bermain. Dia bergegas turun ke tanah dan memakai selipar. Belum sempat sampai
ke pangkin dia tercengang.
Lijah dan Nana
tidak ada di situ.
Yang ada hanyalah
sepasang kanak-kanak perempuan yang dia cukup kenal. Dia tergamam.
“Eh! Ton! Kata
tak nak main dengan kami. Kenapa datang?” tanya salah seorang daripada
kanak-kanak itu.
Eton tercengang.
Lijah dan Nana telah kembali menjadi kanak-kanak semula. Sedangkan dia…. sudah
pun terlambat.
TAMAT
***********************************************
PENGUMUMAN
Assalamualaikum,
Di sini saya ingin memberitahu bahawa novel SETEGUH ILALANG telah pun siap dicetak.
Harganya : RM 26.00 / RM 29.00 (736 muka surat).
Kepada yang ingin mendapatkannya sila hubungi saya di:
pnmaria1@gmail.com
cerita ni memang best tapi saya tak faham macam mana Lijah dengan Nana boleh jadi budak kecil?
ReplyDelete*HOKIBET
ReplyDelete*BUKATOGEL.COM
*DAFTAR
*REFERRAL
*BUKU MIMPI
*PREDIKSI
* Potongan/Discount Bukatogel.com :
* 2D : 29% = Rp. 70.000
* 3D : 56% = Rp. 400.000
* 4D : 65% = Rp. 3.000.000
* BBM : 7boc7177
* HP/SMS : +639277025291