“Teringat lagi
ke?” Sofia melontarkan pandangan seketika kepada pasangan pengantin yang baharu
sahaja turun dari pelamin. Kemudian dia memandang aku pula yang sejak tadi
merenung tanpa berkelip.
Aku diam. Sukar untuk
kujawab pertanyaan itu seperti mana sukarnya untuk aku melupakan segala-galanya
walau sudah hampir dua tahun berlalu. Perasaan itu masih ada.
Sofia pegang
bahu aku. Diusapnya lembut.
Aku jadi malu,
aku bimbang ada orang yang perasan ataupun tertanya-tanya pula. Lalu aku tolak
tangan Sofia dengan baik.
“Jom kita balik!”
kataku. Beg tangan sudah kuambil. Aku bersedia untuk meninggalkan majlis
perkahwinan yang belum berakhir itu. Bagaimanapun apalah ertinya majlis itu
seandainya pengantin perempuannya… bukan aku.
“Tunggulah dulu.
Kita belum pun jumpa Yazid. Nanti dia ingat kita tak datang pula majlis dia,”
balas Sofia.
“Alah, buat masa
sekarang, kita datang atau tak datang dia bukan nampak lagi. Yang dia nampak
hanya muka isteri dia,” jawabku pula.
Sofia tarik
nafas kemudian diam seketika seperti cuba menyelami kata-kataku. “Tunggulah
sekejap lagi. Majlis dah nak habis ni. Kau tak nak ke kenal dengan isteri dia
tu?”
Aku geleng.
Sungguh aku
tidak sanggup untuk bertentang mata dengan isteri Yazid. Apatah lagi untuk
berpura-pura gembira di hadapan Yazid. Biarlah aku pandang dia dari jauh
sahaja. Itu sahaja yang aku mampu kerana pada hari itu, aku sedar yang hatiku
masih rapuh untuk berdepan dengan sebuah rasa kecewa.
“Okeylah, aku
pun tak nak kau stres sangat. Aku harap, semasa dia buka hadiah kita nanti dia
tahulah kita datang ke majlis dia.” Sofea bangkit berdiri.
Aku pun ikut
Sofea meninggalkan majlis itu. Di muka pintu aku hanya ditegur oleh
adik-beradik Yazid kerana ibu bapa Yazid sedang sibuk melayan keluarga besan
mereka. Aku rasa sangat kosong, sangat tidak dikehendaki di majlis itu.
Setelah menerima
cenderahati daripada salah seorang adik Yazid, aku beredar bersama air mata
yang membasahi pipi.
*******
Lima
tahun lalu…
“Bila kau nak
berterus-terang dengan dia ni?” tanya Sofea sambil melihat aku sibuk
berchatting dengan Yazid di Facebook.
“Entahlah…”
“Lambat laun kau
kena terus-terang juga pada dia.”
“Aku belum ada
kekuatan,” balasku.
“Tapi dia
betul-betul sayang pada kau. Tak baik kau buat pada dia macam ni.” Sofea renung
muka aku dalam-dalam.
“Aku dah kata,
aku tak kuat. Aku takut kalau dia tahu siapa aku, dia terus tak mahu kawan dengan
aku lagi.”
“Kenapa pula
macam tu? Kalau dia dah sayangkan kau… dia sepatutnya boleh terima siapa kau
yang sebenarnya.”
“Sepatutnya
begitu tapi…”
“Lebih baik kau
berterus-terang saja, Dar. Daripada kau siksa dia, kau siksa diri kau macam ni.”
Aku geleng.
Hatiku kuat mengatakan yang aku akan kehilangan Yazid jika aku berterus-terang
kepadanya siapa aku yang sebenarnya. Aku yakin Yazid akan menolakku
mentah-mentah. Yazid akan menjauhiku. Padahal dia telah menjadi sebahagian
daripada hidup aku selama ini. Tanpa dia aku akan kembali sunyi dan tidak
bersemangat untuk meneruskan hidup yang sudah lama terumbang-ambing. Tetapi
lumrahnya hidup… rupa paras dan usia sering kali tidak berbelas kasihan.
“Aku tahu… aku
tak akan jadi isteri dia, Sofea. Satu hari nanti dia akan tinggalkan aku juga,”
kataku perlahan. Satu hakikat yang aku sendiri akui.
“Jadi? Apa
bezanya kalau kau berterus-terang dengan dia sekarang?”
Aku geleng. “Kalau
kau kasihankan aku… tolonglah jangan desak aku dan tolonglah jangan beritahu
dia tentang hal ini. Berilah aku sedikit masa untuk merasa kasih sayangnya
sementara boleh. Sekurang-kurangnya ada juga sesuatu yang manis untuk menjadi
peneman mimpi aku di malam hari.”
Sofea hanya
menggelengkan kepala.
“Kau patut cuba,
Dar. Mana tahu kalau-kalau terbuka hatinya untuk menerima kau. Mungkin semua
sangkaan kau tu meleset.”
“Perasaan aku
pada dia terlalu besar. Walaupun aku sayangkan dia tetapi aku sedar diri. Aku
sedar aku lebih tua daripada dia, aku sedar aku tak cantik dan tak padan dengan
dia. Jadi aku tak mahu dia terasa serba salah untuk terima aku apabila dia tahu
aku siapa. Mungkin selepas itu, dia tak akan berkawan lagi dengan kita berdua.
Mungkin juga dia akan minta kerja di tempat lain. Aku tak mahu kehilangan dia
macam tu saja.”
“Pening kepala
aku. Mula-mula aku rasa kau fikirkan soal dia. Kemudian aku fikir kau hanya
pentingkan diri kau,” balas Sofea.
Mataku membesar.
“Kenapa kau cakap macam tu?”
“Kau nak biarkan
dia macam tu berapa lama? Setahun? Dua tahun? Sampai bila kau nak dia terus
memasang angan-angan sedangkan kebenarannya kau sorokkan. Sampai bila?”
Aku diam.
“Aku lihat dia
selalu tersenyum di pejabat. Aku lihat dia bersemangat sejak kenal orang yang
dia anggap sebagai kekasih dia. Sayangnya aku yang sedih bila terpandang dia.
Aku takut dia kecewa satu hari nanti apabila tahu hal yang sebenarnya.”
Aku tarik nafas.
Aku diam. Kata-kata Sofea membuatkan aku serba salah. Adakah aku hanya
mementingkan diri sendiri?
******
Yazid 83: Dee,
bila nak jumpa ni?
Dee : Dee sibuk.
Yazid83 : Takkan
satu hari pun tak boleh jumpa?
Dee : Tunggulah nanti kalau Dee nak jumpa
Dee bagitau.
Yazid83 : Sampai
bila nak macam ni, Dee? Mak dah tanya bila nak bawa Dee datang rumah jumpa dia.
Dee : Kalau mak Yazid nak sangat Yazid
kahwin, Yazid cari orang lain sajalah.
Yazid83 : Ada ke patut cakap macam tu? Yazid nak
kahwin dengan Dee saja.
Dee : Kalau Dee cakap Dee tak boleh kahwin dengan
Yazid?
Yazid : Yazid tak kahwinlah sampai bila-bila.
Dee : Ramai perempuan lain.
Yazid : Tapi tak sama dengan Dee.
Dee : OFFLINE
Aku menangis.
Hari demi hari Yazid terus mendesak untuk berjumpa dengan aku. Aku makin sedar
bahawa Yazid semakin menyayangiku dan aku juga begitu.
“Jumpalah saja
dia, Dar. Kesian dia,” pujuk Sofea. “Dia serius tu.”
Aku geleng.
“Aku tak boleh.”
“Aku temankan,”
balas Sofea.
Aku tetap
geleng. “Aku akan kehilangan dia, Sofea.”
“Mana kau tahu?
Kau belum jumpa dia lagi. Mungkin dia tak seperti lelaki lain. Mungkin dia tak
pandang pada perbezaan usia atau rupa paras.”
“Aku tak suruh
dia sayang aku.” Air mataku mula mengalir lagi. “Aku tak suruh.”
“Aku tahu kau
tak suruh dia jatuh cinta pada kau tapi… sikap kau menawan hati dia. Kau orang
berdua serasi, saling memberi semangat, saling melengkapi. Apa lagi yang
penting?”
Air mataku makin
banyak yang turun.
“Aku tak boleh
jumpa dia, Sofea. Aku lebih rela kehilangan dia daripada jumpa dia dan
berterus-terang akulah perempaun yang dia ingin kahwini itu.”
“Tapi kenapa?”
“Sebab jika aku
kehilangan dia sekarang, aku masih boleh berada dekat dengan dia lagi. Melihat
dia dari jauh sudah cukup buat untuk aku teruskan hidup.”
Sofea tarik
nafas panjang.
“Okey, kalau itu
keputusan kau. Aku harap kau make it
quick. Makin lama kau tunggu, perkara ni makin susah. Makin kuat cinta dia
pada kau, makin susah kau nak putuskan perhubungan kau dengan dia. Aku tahu
sangat hati kau tu… kau nak tapi kau tak berani. Kau rela hilang sedikit
daripada hilang semua. Tapi bagi akulah… lebih baik kau lepaskan dia secepat
mungkin. Mungkin kau hanya menjauhkan jodoh dia sahaja.”
Aku diam sambil
menyapu air mataku. Walaupun kata-kata Sofea itu betul namun apa yang aku
tanggung masih tak terselam dek perasannya. Aku mencintai Yazid walau aku tahu
aku tak boleh memilikinya. Dan berdepan dengan dia selepas ini mungkin akan
jadi jauh lebih sukar daripada hari-hari sebelumnya.
Aku harus
belajar hidup sendiri semula.
*******
Yazid83: Dee?
Dee?
Dee : Ya.
Yazid83: kenapa
senyap saja kebelakangan ni?
Dee : Sibuk
Yazid83: Sibuk
ke atau dah tak suka?
Dee : OFFLINE
Selepas beberapa
hari, Yazid menghubungi aku lagi.
Yazid83 : Dee?
Dee : Ya
Yazid83: Kenapa
ni?
Dee :
Kenapa apa?
Yazid83: Dee dah
tak macam dulu.
Dee : Baguslah kalau tahu.
Yazid83: Kenapa
Dee? Yazid ada buat salah ke?”
Dee :Yazid tak salah tapi Dee yang salah.
Yazid83: ???
Dee : Dee ada kawan lain sekarang.
Yazid83: ???
Dee : OFFLINE
Aku menangis,
menangis dan menangis. Aku dapat rasakan Yazid sedang kecewa. Mungkin juga
sedang marah kepada aku. Mungkin juga Yazid sedang menyumpah dan memaki hamun
aku. Mungkin akulah manusia paling dia benci pada waktu itu.
Dan aku… adalah
manusia yang paling malang dan sedih. Aku kehilangan orang yang aku sayang dan
kini dibenci pula. Aku terduduk.
Keesokkan
harinya di pejabat… aku terserempak dengan Yazid.
“Lambat hari ni,
Yazid?” tegur Sofea semasa kami terserempak di hadapan pintu lif.
Yazid diam
sahaja. Teguran Sofea seperti tidak didengarinya.
Setelah Yazid
jauh, Sofea bertanya, “Kau orang gaduh ke malam tadi?”
Aku geleng
sambil menahan air mata dari melimpah turun.
“Eh! Cakaplah,”
tegur Sofea.
Aku cuma
menggeleng smabil menunjukkan bilik air. Aku bergegas ke situ sambil diekori
Sofea. Di dalam bilik air, tangisanku meledak.
Sofea tepuk
bahuku dengan lembut. “Bersabarlah. Kau dah buat sesuatu yang betul,” katanya.
********
Hari demi hari
berlalu… aku berhempas-pulas mengawal hidupku semula. Bukan mudah kerana orang
yang aku sayang sentiasa ada di hadapan mata. Sedihnya, susahnya…aku dapat
lihat dengan jelas sekali. Dan aku tahu dia juga sedang cuba sedaya-upaya
mengawal hidupnya semula. Kami berdua berjuang berasingan dan itu membuatkan
hatiku sakit dan sedih.
“Macam mana? Dah
okey?” tanya Sofea pada suatu hari.
“Okey kut?”
jawabku.
“Kau… tak chat lagi dengan dia?” Sofea memandang
wajahku dengan penuh curiga.
Aku geleng. “
Dia… dah delete aku dari friendlist dia. Bukan tu saja… dia juga block aku.”
Sofea tersenyum
tawar. “Tapi akaun kau yang lagi satu tu…”
“Yang itu taklah…
apa dia peduli pasal aku?” balasku. “Nobody
special.”
“Janganlah kata
macam tu… kau pun ada keistimewaan.”
“Cuba aku beritahu
dia yang akulah Dee yang dia suka sangat tu. Mahu dia terguling-guling gelak
kat lantai.”
“Apalah kau…
cakap macam tu pula.”
“Tak apalah,
Sofea. Lelaki macam tu, anytime boleh
dapat makwe baru. Apalah nak dikisahkan sangat aku ni. 10 kali lebih dari aku
pun dia boleh dapat nanti.”
Sofe tidak terus
menjawab. Dia sama termenung seperti aku di kafe.
******
Kira-kira
setahun selepas aku memutuskan perhubungan dengan Yazid, aku menerima berita
yang buat aku menangis lagi. Yazid telah ada pengganti Dee. Di Facebook,
kemesraan mereka berdua tertayang jelas.
“Lain macam saja
aku tengok mereka berdua ni?” kata Sofea pada suatu malam sewaktu kami melepak
di sebuah kopitiam.
Aku menjeling skrin
telefon milik Sofea. Terpapar di situ post
dan komen-komen di antara Yazid dan seorang gadis yang bernama Azie.
“Mak we baru
dia,” balasku.
Sofea angkat muka
dan merenungku pula.
“Kenapa pandang
aku pula?”
“Kau… kau….”
“Eloklah tu, dah
sampai masanya dia ada mak we baru. Mungkin dia boleh bawa perempuan ni jumpa
mak dia, kemudian bertunang, selepas tu kahwin,” balasku lancar. Padahal dalam
hati bagaikan ingin meraung-raung.
Sofea terus tak
bertanya apa-apa lagi.
Beberapa bulan selepas
itu… aku terlihat gambar-gambar di sebuah majlis pertunangan terpapar di profile Yazid. Aku tahu, Yazid sudah pun
menjadi tunangan orang.
Aku hanya mampu
menangis. Sofea langsung tidak berani bertanya apa-apa.
******
Semalam…
“Betul ni?”
Sofea bertanya untuk sekian kalinya kepada aku.
Aku angguk.
“Aku takut kau
nangis saja nanti,” balasnya.
“Taklah. Kalau
aku nak nangis pun, aku nangis dalam kereta saja. Aku takkan nangis depan dia.
Percayalah.” Aku tersenyum walaupun hanya pura-pura. Walaupun aku sendiri tidak
pasti sama ada aku akan kuat ataupun tidak untuk berdepan dengan semua itu.
Tetapi aku hendak
lihat Yazid bersanding di atas pelamin. Aku hendak lihat betapa segaknya dia
apabila berpakaian pengantin. Aku hendak lihat dia tersenyum penuh bahagia
walaupun semua itu bukan untuk aku. Aku hendak lihat semua itu kerana semua itu
pernah singgah dalam angan-anganku.
Namun apabila
masa itu datang, aku sedar aku tidak sekuat yang aku fikirkan.
*****
Sekarang…
“Sudahlah tu…
kan semalam aku dah tanya betul-betul pada kau? Kau betul ke nak datang sini,
kau kata kau okey.” Sofea menghulurkan aku lebih banyak kertas tisu. Semuanya
cepat sahaja basah dan renyuk. Malah aku rasa marah kepada air mata yang tidak
kering-kering.
“Selagi kau
masih ada rasa sayang pada dia… selagi itulah kau akan menangis.”
“Hanya dia yang
ada dalam hati aku, Sofea.”
“Tapi dia dah
jadi milik orang lain. Dia dah jadi suami orang.”
“Tapi bagi aku
dia tetap dia… dia semangat aku.”
Sofea tarik
nafas panjang.
“Ikut kaulah.
Aku harap satu hari nanti kau sedar, tak guna memuja bulan di langit.”
“Sekurang-kurangnya
aku ada teman di malam hari,” balasku.
“Kau sendiri
yang mencari siksa. Apa yang kau harapkan selepas ini?” Suara Sofea semakin
tinggi.
Aku diam.
“Kau hanya akan
lebih terluka dan terluka. Esok lusa dia akan siarkan gambar isteri dia pregnant. Lepas tu dia siarkan gambar
isteri dia bersalin, lepas tu dia siarkan gambar anak-anak dia pula. Kalau dia
buat kenduri akikah atau cukur jambul, dia jemput kita datang. Kau pun datang sambil
berpura-pura gembira, padahal kau datang nak lihat bagaimana rupanya anak-anak
dia sambil memikirkan….”
Aku menangis
lagi.
“Dar… hidup kau
bukan hanya untuk menangis. Kau berhak gembira, tersenyum dan bahagia. Tapi kalau
kau terus tunggu dia… aku tak nampak di mana hak kau.”
“Aku cintakan
dia, Sofea. Walaupun aku tak dapat hidup bersamanya… jangan suruh aku melupakan
dia. Harapan yang pernah ada, membuatkan aku terus kuat. Kalau aku bunuh
harapan itu…”
“Dengar cakap
aku. Kau tak boleh hidup bersandarkan illusi.”
“Apa yang aku
ada? Apa?”
Sofea mengeluh.
“Tuhan itu Maha
Adil. Tentu ada sesuatu untuk kau… kau jangan putus asa.”
“Kau nak tahu?
Aku sebenarnya tak pernah putus asa. Harapan untuk aku hidup dengan dia sentiasa
bermain dalam fikiranku. Aku berdoa semoga satu hari nanti, Yazid tahu aku
mencintai dia.”
Sofea hanya
dapat menggelengkan kepala dan tidak bercakap lagi.
Aku pula semakin
asyik merenung langit biru. Di sana aku lihat wajah Yazid.
Dar tu ada masalah apa??..Dia siapa smpai Yazid x leh tahu ttg dia...kebenaran apa yg dia smbunyikan??
ReplyDeletebyk persoalan yg x terjawab..
"Perasaan yg pernah ada"..sesuatu yg menyakitkn
Wah nk touching2 lak..like my real story..
Terima kasih Miss A. Mungkin cerita ini patut dipanjangkan lagi. Siapa yang pernah mengalami rasa cinta tersembunyi ini boleh memahami perasaan Darlina kan.
Deletemantap Cerpen nya
ReplyDelete