“APA HAL?” Faruk
angkat kening apabila menyedari riak muram di wajah Rita.
Rita tidak terus
menjawab. Sebaliknya hanya terkebil-kebil memandang pekerja-pekerja institut di
situ lalu-lalang di dalam dewan makan. Kemudian dia terus bangun meninggalkan
meja dan berjalan laju keluar.
Melihatkan
tingkahlaku Rita, Faruk terus mengejar walau airnya belum sempat dihabiskan.
“Apa yang dah
berlaku?” Dia bertanya dengan nada yang agak tegas apabila Rita sudah menonong
ke taman bunga di tengah-tengah IPB. Dia sempat menarik tangan Rita.
Akhirnya Rita
duduk di sebuah kerusi.
“Mereka berdua
nak ke Vietnam.” Dia pandang Faruk.
“Vietnam?” Dahi
Faruk berkerut. “Nak buat apa pula ke sana?”
“Kata Nella, dia
nak ikut kakak angkatnya ke sana buat kerja. Jadi dia nak bawa Ari sekali.”
Faruk terdiam
lama. Kedua-duanya termenung jauh.
Akhirnya Faruk
mengeluh. “Selagi kita tak putus contact,
tak apalah. Biarkan sajalah.”
Spontan Rita
menoleh ke arah Faruk. Tajam matanya merenung wajah itu. “Kau kata tak apa?”
Faruk angguk.
“Biarlah mereka berjalan sikit. Perkara ni dah cukup buat Nella tu tertekan.
Aku rasa kita patut beri dia sedikit kelonggaran. Kalau itu yang dia mahu buat,
kita izinkanlah.”
Rita termenung.
“Soal
perbelanjaan, kau jangan bimbang. Hari ni aku masukkan duit ke dalam akaun
Nella. Kau beritahu dia.”
Lagi sekali Rita
terkejut.
“Aku tak faham
kenapa kau seperti beria-ia mahukan mereka pergi jauh?”
“Bukan soal
pergi jauh ataupun dekat tapi tekanan
yang melampau akan menjadikan semua perkara tidak terkawal. Kita patut
bertolak-ansur, lagipun bukannya mereka pergi berdua. Mereka ada penjaga.”
Rita diam
semula.
“Aku harap
perkara ni boleh diselesaikan secepat mungkin tapi…”
“Jangan salahkan
diri kau pula,” tegur Faruk. “Aku tahu kau belum berani nak masuk ke makmal 91.
Aku faham.”
“Hari ni lagi
teruk. Semua makmal tak boleh masuk. Entah apa yang Dr. Sid dan Dr. Uzair buat
dalam tiga makmal tu, tak seorang pun tahu. Segala ujikaji yang lain dibatalkan
terus.”
“Nanti aku cuba
risik-risik daripada ayah aku. Sementara tu apa kata kalau kau relaks saja? Kau
nampak stress sangat.” Faruk tersenyum.
Rita tarik nafas
panjang. “Selagi kes ini tak selesai, aku tak boleh relaks, Faruk. Nyawa adik
aku juga dalam taruhan.”
“Aku faham, tapi
kita kena percaya pada Ari. Dia akan jaga Nella baik-baik.”
“Harap-haraplah,”
balas Rita sambil melemparkan pandangan mata ke arah tengah taman.
*****
PUKUL 2.00
petang, Faruk mengetuk pintu pejabat ayahnya di tingkat 3 bangunan utama IPB.
Dia tahu kalau ayahnya tidak ada di rumah, ataupun di makmal mesti ayahnya akan
berada di situ.
“Dari mana?”
tanya Dr. Uzair sebaik sahaja terlihat wajah anaknya.
Faruk lantas
masuk dan menarik kerusi. Dia duduk sambil memandang ayahnya yang sedang tekun
meneliti beberapa dokumen.
“Apa yang dibuat
Dr. Sid dalam makmal tu?” tanya Faruk pula. “Sampai sekarang, makmal masih
ditutup.”
Dr. Uzair
meletak semula pen yang dipegangnya. Dia bersandar dengan tenang. Kemudian
memandang siling pejabatnya.
“Dia menguji
Iris.”
Tubuh Faruk
terdorong ke hadapan.
Dr. Uzir
terangguk-angguk. “Payer dah bising.
Dia tak ada jalan lain lagi. Takkan dia nak pergi tumbuk orang tu sendiri
dengan tangan dia.”
Faruk tersenyum.
Dia faham tekanan yang sedang dihadapi oleh Dr. Sid sekarang.
“Jadi bagaimana?
Apa keputusan ujian tu?”
“Positif. Tapi
biasalah dia, terlalu sayangakn budak tu. Takut sangat nak guna. Itu pun malam
tadi, dia hampir lagi berpatah balik.”
Lama Faruk
mendiamkan diri. Walaupun biasa berada di IPB sejak kecil lagi namun hanya
setelah dia masuk bekerja di situ sahajalah baru dia tahu apa sebenarnya yang
diusahakan oleh Dr. Sid dan ayahnya selama ini. Dia yakin Jeffri juga tahu.
Yang tidak tahu hanyalah Ari.
“Iris adalah
harapan terakhir dia,” katanya.
“Bukan itu
saja.”
Faruk mengangkat
muka. Dia tertanya-tanya.
“Ini bukan
semata-mata soal mesin pembunuh dan juga duit. Ini juga soal dendam, cinta dan
maruah.”
“Ayah tak pernah
ceritakan,” balas Faruk. Kata-kata ayahnya sungguh mengejutkan dia. Adakah Dr.
Sid mempunyai hubungan dengan Ari dan Iris?
“Sebab itulah
dia takut mahu menyentuh Iris. Dia sangat sayangkan budak tu. Dia mahu menjadikan
budak itu pengganti apa yang dia tak dapat suatu ketika dulu.”
“Ari pula?”
“Semua orang
tahu dia bencikan Ari. Mungkin kerana Ari mengingatkan dia kepada lelaki yang
sangat dibencinya.”
Faruk ketawa,
kemudian menggeleng.
“Sentimental
juga orang tua tu.”
“Jangan
memperlecehkan kuasa cinta, Faruk. Kuasanya boleh menumbangkan sebuah negara,
inikan pula sekadar sebuah ikatan keluarga.”
Ketawa Faruk
berhenti.
******
SEBAIK sahaja
habis waktu kerja, Rita terus memandu balik ke rumahnya. Di pertengahan perjalanan,
dia berhenti di tepi jalan berdekatan dengan sebuah kedai runcit. Dia menelefon
Nella.
“Susahnya nak contact,” katanya apabila terdengar
suara Nella menjawab salamnya.
“Dekat sini
susah nak dapat line,” balas Nella.
“Faruk pesan,
dia akan masukkan duit dalam akaun Nella hari ni.”
“Dah dapat dah.
Tadi Nella pergi bank, tengok ada duit ekstra.”
“Gunakan duit tu
baik-baik, okey?”
“Maknanya Nella
boleh pergilah, kan?” tanya Nella pula.
Rita bergumam
seketika. “Tapi pastikan contact
kakak setiap hari. Sampai saja sana terus contact.”
“Kakak jangan
bimbang. Nella akan beri kakak angkat Nella semua maklumat kakak nanti. Kalau
jadi apa-apa pada kami berdua, dia boleh contact
kakak terus.”
“Baguslah macam
tu. Tapi ingat, jangan leka. Kita tak tahu apa yang akan berlaku,” pesan Rita
lagi. Hatinya masih risau.
“You
have to trust me,” balas Nella.
“Itu lagi kakak
risau. Nella tu bukan boleh pakai sangat.”
Nella ketawa.
“Tak ada apalah,
kak. Semuanya okey. Nella okey, Ari okey. Kakak angkat Nella pun jaga Nella dengan
baik. Kakak jangan bimbang ya?”
“Kakak harap
semua ni cuma mimpi, Nella.”
“Nella faham
tapi kakak jangan tertekan pula. Nella dan Ari di sini relaks saja, kakak di
sana yang sakit dada.”
“Okeylah. Jangan
lupa telefon kakak setiap hari.”
“Esok, kami dah
ke KL. Nella telefon dari sana, okey?”
Rita angguk.
Matanya bergenang. Setelah memberi salam, dia putuskan panggilan itu. Terasa
adiknya akan pergi jauh dan semakin jauh.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.