“Macam ni
potong?” Beberapa hirisan jagung muda yang berada di dalam besen di hadapanku
dipegang oleh Daud. Diangkat tinggi, separas dengan mataku.
Tajam pula aku
merenung hirisan jagung muda yang akan kugoreng sebentar lagi. Apa pula yang
tidak kenanya dengan hirisan itu?
“Orang bukan
potong macam tu.” Suara suamiku kedengaran lagi. Hirisan jagung muda yang
dipegangnya tadi dicampak semula ke dalam besen. Dia menggeleng pula. “Potong
jagung muda pun tak tahu.”
Kemudian dia
berjalan ke peti ais lalu mengeluarkan sekotak air susu. Dia menuangkannya di
dalam sebiji gelas lalu meneguknya di tepi sinki.
Aku pula
tercegat di tepi meja, tempat aku memotong sayur untuk hidangan tengah hari
nanti. Pada waktu itu, air mataku sudah bergenang. Teguran Daud kurasakan
sangat menyakitkan hati. Apa yang menjadi soal pun? Dipotong bagaimana
sekalipun, akan hadam juga dimamah gigi. Lainlah kalau aku campakkan
sebiji-sebiji ke dalam kuali, aku tidak dapat memahami sikap Daud.
“Apa lagi yang tak kena ni, Daud?” Masuk pula
ibu mertuaku, Puan Masita.
Aku kembali tunduk
menyambung kerjaku.
“Tu ha, tengok
tu, mak. Siang sayur pun tak reti.” Daud angkat dagu ke arahku.
Aku diam sahaja.
Malas mahu menjawab kata-kata Daud.
Puan Masita
mendekati meja makan. Seperti Daud, dia juga memerhati hirisan anak jagung yang
kuhiris bulat-bulat, sama seperti hirisan lobak.
“Bukan macam ni…
orang potong jagung muda.” Puan Masita tersenyum mengejek.
Daud ketawa
kecil.
Mukaku kembali merah.
Entah kenapa, aku rasa tidak tertahan lagi, lalu aku tinggalkan meja itu dan
lari ke bilik tidur.
“Tengoklah tu,
bodoh tak boleh diajar.”
Aku terdengar
suara suamiku dari dapur.
*****
TENGAH HARI itu
aku rasa takut untuk kafe. Aku takut jika aku terpandang hirisan jagung muda.
Dan itu juga akan membuat hatiku bagai dihiris-hiris.
“Kenapa duduk
lagi? Jomlah pergi kafe.” Suara Yusrina sampai ke cuping telinga. Sama laju
dengan suaranya dia sudah tiba juga di hadapan mejaku. Riak wajahnya
kehairanan.
“Kau pergilah.
Aku tak laparlah.”
Untuk sesaat
dua, Yusrina masih merenung wajahku. Dia seolah-olah cuba membaca apa yang
tidak kenanya dengan aku.
“Kau mengandung
ya?” telahnya pula.
“Hisy! Ke situ
pula.” Aku menggeleng. Entah kenapa pertanyaan Yusrina tidak menggembirakan
hatiku walaupun sepatutnya aku gembira mendengar usikan sebegitu kerana aku
baharu sahaja berkahwin tiga bulan.
“Habis tu?
Kenapa lain macam saja aku tengok? Muram saja, tak macam muka pengantin baru.”
“Mana ada
pengantin baru lagi? Dah tiga bulan,” jawabku sambil berpura-pura melihat skrin
komputer.
“Selagi tak
cukup setahun, masih honeymoon
lagilah.”
Aku diam sahaja.
Sudah timbul rasa malas mahu bertengkar dengan Yusrina.
“Kalau macam tu,
aku turun dululah. Baby dalam perut dah lapar.” Yusrina tersenyum, dia
tunjukkan perutnya yang telah membusung kerana mengandung lapan bulan.
Aku angguk
sahaja. Kemudian mengalihkan pandangan semula ke arah skrin. Di situ aku lihat jagung muda. Di telinga terdengar macam-macam.
******
“Apa ni? Gosok
seluar pun tak tahu?” Daud hempaskan seluar slack miliknya yang sudah kugosok
pada sebelah malam ke atas katil.
“Apa yang tak
kenanya, bang? Saya dah gosok seluar tu.” Aku ambil semula seluar slack yang
sudah keronyok. Dalam kesibukan pagi, aku terpaksa menggosok seluarnya sekali
lagi.
“Orang kalau
gosok seluar, terbalikkan dulu. Gosok pinggang dia, poket dia satu persatu.
Bukan gosok di sebelah luar saja!” Daud menggeleng dan mendengus marah.
Oleh kerana
malas bergaduh, aku bawa seluarnya ke tempat gosok. Aku terbalikkan. Aku gosok
satu persatu setiap poket depan belakang, aku gosok bahagian pinggang, kemudian aku gosok semula di bahagian depan.
Dalam hatiku merungut, ayahku sendiri tidak pernah secerewet itu. Bagaimanalah
cara ibuku menggosok, semuanya diterima tanpa apa-apa soal. Kenapa bukan Daud?
“Nah! Dah siap,”
kataku. Seluar itu aku hulurkan kepada dia.
Tapi sayangnya
Daud hanya buat tidak peduli. Laju kakinya menuruni tangga dan meninggalkan aku
terpinga-pinga di bilik tidur. Sakit hatiku bukan kepalang.
Di dalam kereta,
Daud bersungut lagi.“Lain kali cepat sikit. Ni terhegeh-hegeh,” katanya.
Aku diam saja.
*****
“APA benda yang
kau masak ni. Ptuiih!” Daud berlari ke sinki lalu berludah. Terdengar air paip
dibuka sebesar-besarnya dan aku yakin lantai dapur sudah basah. Kemudian
terdengar suaranya membebel. “Span ni orang bukan letak kat sini. Orang tak
letak atas sabun. Bodoh!”
Nasi yang kusuap
ke mulut sudah rasa tersekat di tekak. Nasi yang putih gebu sudah terasa kesat
dan tajam bak butiran pasir di sungai. Aku tak faham kenapa hidup menjadi
terlalu rumit sejak hidup bersama Daud.
“Kenapa sampai
muntah-muntah ni, Daud? Kau tak sihat ke?” Puan Masita pula datang ke meja
makan. Dari situ dia terjenguk-jenguk Daud yang masih kelentung kelentang di
sinki, mengemas entah apa.
“Ada ke pula dia
letak span atas sabun basuh pinggan, mak. Cuba mak tengok.” Daud yang datang
dari arah dapur menarik lengan ibunya.
Puan Masita
terpaksa mengikut langkah anaknya. Di sana terdengar mereka berdua ketawa
riuh-rendah mengejek.
Sedangkan aku di
meja makan, menangis.
******
Mata yang hampir tertutup memaksa aku ke bilik
tidur. Masuk-masuk sahaja, aku melihat Daud mengumbah pakaian dari almari baju.
Aku terkejut besar.
“Kenapa ni,
bang? Kenapa keluarkan semua kain baju ni?”
“Abang mahu As
lipat semula kain baju ni. Lipat macam mana mak abang lipat. Kalau tak, jangan
letak baju As di dalam almari ni. Ini almari abang.”
Aku tercengang
beberapa saat. Fikiranku bingung. Adakah aku telah berkahwin dengan salah
orang? Kenapa Daud yang berada sebilik denganku tidak lagi sama dengan Daud
yang dulu? Tapi seperti lain-lain persoalan, aku tetap tidak bertemu dengan
jawapannya.
“Seronoknya,
As,” kata Yusrina apabila aku khabarkan tarikh perkahwinanku dengan Daud enam
bulan yang lalu. Pada waktu itu, Yusrina masih pengantin baru lagi. “Bolehlah
kita sambut baby sama-sama nanti.”
Aku cuma
menggeleng pada waktu itu. Aku terlalu segan membicarakan sesuatu yang taboo
seperti itu walaupun sedar kami sesama perempuan.
“Aku doakan kau
bahagia, dapat ramai anak.” Yusrina ketawa lagi.
Aku ikut
tersenyum. Kegembiraan dan kebahagiaan yang terpancar pada wajah Yusrina seakan
memberikan aku kekuatan. Aku juga berharap agar perkahwinanku nanti juga akan
seindah dan sebahagia perkahwinan dia.
Namun semua
harapanku musnah sejak malam pertama
lagi.
“Heh! Kenapa
tidur pakai baju buruk macam ni?” kata Daud sewaktu masuk ke dalam bilik
pengantin.
Aku tercengang. Aku
pandang baju tidur baharu yang aku beli sebulan sebelumnya. Itulah kali pertama
aku pakai. Buruk?
“Ni cadar ni.
Kenapa tak tukar? Panaslah tidur atas kain licin macam ni.” Daud tarik cadar
yang mengalas katil pengantin. Semuanya dicampak ke atas lantai. Terpaksalah
aku kelam kabut mengemas dan menukar cadar yang lain. Kemudian Daud berkata lagi.
“Kain cadar apa
ni? Tak ada ke yang lebih cantik?”
Aku berkerut
dahi. Aku tidak tahu apa cadar yang harus aku bentang supaya mulutnya berhenti
membebel. Dalam keadaan penat dan letih selepas seharian mengadakan kenduri,
sekarang aku terpaksa melayan kerenah seorang lelaki yang sudah menjadi
suamiku. Beginikah yang dinamakan perkahwinan?
“As tidur
sajalah sorang. Abang nak balik rumah mak abang. Tidur sini pun panaslah.” Daud
terus mencapai kunci keretanya dan berlalu pergi.
Meninggalkan aku
menangis sendiri di atas katil pengantin. Dan sejak itu hatiku terus didera dan
didera sehingga ada waktunya aku merasakan bahawa perkahwinan itu satu
kesilapan. Dan aku tidak tahu bagaimana aku boleh berkahwin dengan dia pada
awalnya. Sungguh aku tidak tahu sehingga ke detik ini.
*****
“Ceritalah pada
aku, apa yang tak kenanya dengan kau ni, As. Aku pernah dengar ada orang yang
mengandung berubah perangai. Jangan-jangan kau pun macam tu juga kut?” Yusrina
terus mendesak sewaktu kami makan tengah hari di Mc D sahaja hari itu.
“Berapa kali aku
nak cakap? Aku tak mengandung.” Kali ini kesabaran aku sudah sampai ke
kemuncak. Aku pandang muka Yusrina betul-betul, aku mahu dia lihat dalam mata
aku yang tidak berdusta ini bahawa aku tidak mengandung. Sungguh.
“Oh! Ya ke? “ Air
muka Yusrina berubah “Habis tu apa masalahnya pula?”
Aku tidak
sanggup memandang wajah Yusrina lagi. Aku takut sikap keprihatinan dia
menyebabkan aku membuka cerita tentang Daud. Pada aku kisah rumah tangga kami,
adalah rahsia kami. Malu Daud malu aku walaupun Daud bersikap sebaliknya.
“Mak, ajarlah
dia ni buat teh. Tawar. Tak sedap langsung.” Daud menggelengkan kepala di
hadapan tetamu yang ada di rumah pada waktu itu.
“Alah, orang
baru kahwin, tentulah tak berapa pandai kerja dapur.” Sahut salah seorang
tetamu di situ yang aku tidak tahu apa pangkat gelarannya cuma aku tahu mereka
semua saudara-mara Daud sekeluarga.
“Dia memang
bodoh, mak andak. Bukan sebab baru kahwin ke apa. Gosok seluar pun tak tahu,
potong anak jagung tak tahu.” Daud mula membaca satu persatu kesalahanku di
hadapan semua tetamu. Sampai soal cara bentang cadar pun diceritakannya.
Aku sudah merah
muka. Walaupun tetamu-tetamu yang ada di situ hanya tersenyum namun aku tidak
merasakan semua itu lucu.
“Hei! Termenung
apa tu?”
Suara Yusrina
membawa aku kembali ke alam nyata. Seleraku yang tadi ada mula hilang apabila
memikirkan soal Daud dan sikapnya.
“Aku tahu kau
tak mahu cerita pada aku apa masalah kau. Dan itu buat aku lebih yakin bahawa
ini mesti melibatkan hal rumah tangga
kau.” Yusrina terus bercakap seorang.
Aku buat tidak
tahu sahaja. Aku dan Yusrina ternyata mempunyai kisah perkahwinan yang berbeza.
Dia bahagia dan aku tidak. Dapatkah Yusrina faham semua itu?
“Aku pun macam
kau juga, semasa mula-mula berkahwin aku menghadapi kesukaran untuk
menyesuaikan keadaan dengan kehidupan baru. Kau nak tahu? Tiga bulan pertama,
aku dengan suami aku menggunakan bilik air yang berbeza walaupun tinggal dalam
satu rumah.”
Aku memandang
hairan.
Tapi Yusrina
ketawa pula sambil menutup mulutnya. “Aku tak boleh terima yang aku berkongsi
bilik air dengan orang lelaki. Dalam kepala aku masih mengasingkan bilik air
lelaki dan perempuan itu berbeza seperti didikan mak ayah aku dulu.”
“Habis tu macam
mana kau boleh berubah?”
“Masa akan
mematangkan kita. Perlahan-lahan, fikiran aku berubah, aku boleh terima dia
masuk ke bilik air aku dan aku boleh masuk ke bilik air dia. Semuanya
bergantung kepada minda kita.”
Aku termenung.
Macam mana caranya supaya aku dapat mengadaptasi pengalaman Yusrina ke dalam masalah
aku?
“Pasal makanan.”
Yusrina bercerita lagi. “Dia suka sangat makanan Jepun, sedangkan aku, yang
itulah aku paling alergi. Tengok sushi pun aku boleh muntah. Akibatnya dia
selalu keluar dengan kawan-kawan dia makan sushi, dan aku makan hati di rumah
setiap hujung minggu.”
Aku ketawa
kecil. Aku tidak sangka Yusrina yang aku lihat selalu riang selepas berkahwin
ada juga kisah suka dukanya.
“Pernah tak dia
sakitkan hati kau? Dia dera perasaan dan harga diri kau?”
Yusrina terus
terdiam.
“Pada awal
perkahwinan memanglah susah. Kita bayangkan selepas berkahwin semuanya indah
sahaja. Kita bayangkan kita sanggup berdepan dengan apa sahaja walau susah
ataupun senang. Tapi kita tak tahu, apa yang dikatakan senang dan apa yang
dikatakan susah. Susah itu pula, seteruk mana susahnya? “
Aku angguk. Aku
setuju.
“Dan apabila
kita rasa kita telah berjumpa dnegan sesuatu yang paling teruk, kita akan
disuakan lagi dengan pengalaman yang lebih teruk. Seolah-olah kehidupan selepas
berkahwin itu langit adalah bumbung dan langit juga lantainya. Tidak ada had
ujian yang bakal menguji perkahwinan kita.”
“Kau pernah
lalui pengalaman yang teruk?”
“Pernah.”
Perlahan sahaja jawapan Yusrina.
Melihatkan air
muka Yusrina berubah keruh, aku tidak mendesak.
“Jadi apa yang
kau buat untuk mengatasinya?”
“Bersuara.”
“Bersuara?”
“Bersuara,”
jawab Yusrina. Kali ini dia pandang muka aku.
“Kalau dia tak
nak dengar?”
“Ajar dia
mendengar.” Laju sahaja jawapan Yusrina, bagaikan jawapan itu sudah
diprogramkan dalam kepalanya.
Aku diam. Aku
masih berfikir. Mahukah Daud mendengar suaraku sedangkan sejak dahulu aku
terlalu memberikan dia kuasa untuk menentukan segala-galanya. Aku fikirkan apa
yang aku lakukan itu adalah tanda cinta dan apa yang dilakukan Daud semuanya
baik untuk masa depan kami. Aku cuma tidak sangka, keadaan akan menjadi terlalu
rumit sehinggakan cara menyusun kasut pun kena ikut cara dia.
“Kau tahu? Di
awal perkahwinan, memang kita semua takut. Aku takut hidup aku terlalu berubah
sehinggakan aku kehilangan kawalan. Maklumlah setelah hidup sendiri selama 27
tahun, kini hidup aku dikawal oleh orang lain pula. Dan suami aku takut
hidupnya terlalu berubah sehingga dia tidak boleh mengawal kehidupan kami. Tapi
percayalah, perkahwinan itu mesti dikawal oleh dua-dua individu yang terlibat. Bukan
salah satu. Bukan sahaja dibiarkan pula. Dua-dua kena banyak komunikasi,
dua-dua kena memandu supaya perkahwinan itu stabil dan ada hala tuju.
Insya-Allah, selepas itu pelayaran hidup akan tenang.”
Aku berfikir
lagi.
“Tapi, aku juga
nak beritahu kau sesuatu yang penting.”
“Apa dia?”
“Selagi apa yang
disuruh suami kau tu tak mendatangkan bahaya dan tak melanggar hukum hakam
agama, kau ikutkan sajalah. Insya-Allah, lama-lama nanti, tak ada apa yang
boleh buat dia bising lagi.”
Aku tarik nafas.
“Dan lagi satu,”
tambah Yusrina. “Jika suami kau sayangkan kau… dia akan dengar. Jadi bersuaralah.”
*****
Sepuluh tahun
selepas itu…
Hirisan demi
hirisan jagung muda jatuh satu persatu ke dalam besen. Aku hiris memanjang
persis yang diajar oleh ibu mertuaku dulu. Namun ingatan terhadap jagung muda
itu tetap bersemadi dalam ingatanku. Kerana penghinaan yang diberikan masih
bermukim di lubuk hati.
“Seluar abang
dah gosok?” tanya Daud yang baru keluar dari bilik mandi.
Aku angguk. “Ada
atas katil.”
Suamiku terus
berlalu namun sempat aku tegur.
“Jangan
berjalan! Masuk balik dalam toilet,
lap hingga kering!”
Suamiku
tergamam, kemudian dia tergelak. Perlahan-lahan dia berpatah balik ke dalam
bilik air.
Aku pandang
sahaja. Walau sudah 10 tahun aku cuba mengubah tabiatnya yang suka keluar dari
bilik air tanpa mengelap badan hingga kering, aku masih gagal. Namun aku
percaya pelayaran kami masih jauh dan masih banyak perkara yang aku dan dia
perlu ubah supaya perkahwinan kami stabil dan tidak terumbang-ambing.
Dan setelah 10
tahun, aku tidak lagi salah memotong jagung muda, sudah pandai bancuh teh yang
sedikit manis dari kebiasaan, sudah pandai susun kasut seperti mahunya dan
sudah pandai melipat kain sama panjang, sama bentuk seperti bajunya.
Pendek kata, tidak ada alasan lagi untuk dia bersungut lagi malah sebaliknya aku yang kini banyak berleter dan dia yang terkial-kial mahu menyesuaikan diri dengan caraku. Aku juga akan bersuara apabila dihina, diherdik, disindir. Aku bersuara kerana aku juga punya perasaan dan punya hala yang aku mahu tuju dalam perkahwinan ini.
Dan seperti kata Yusrina, apa yang penting adalah komunikasi dua hala. Aku tak boleh jadi dia, dan dia tak boleh jadi aku tapi kami sama-sama boleh jadi kami….
Pendek kata, tidak ada alasan lagi untuk dia bersungut lagi malah sebaliknya aku yang kini banyak berleter dan dia yang terkial-kial mahu menyesuaikan diri dengan caraku. Aku juga akan bersuara apabila dihina, diherdik, disindir. Aku bersuara kerana aku juga punya perasaan dan punya hala yang aku mahu tuju dalam perkahwinan ini.
Dan seperti kata Yusrina, apa yang penting adalah komunikasi dua hala. Aku tak boleh jadi dia, dan dia tak boleh jadi aku tapi kami sama-sama boleh jadi kami….
TAMAT
Hihihi. Akak MK, mmb betul. Walupun sy belum kahwin lagi, tapi inilah apa yang kawan-kawan saya alami. Yang baru nak merasai nikmat rumah tangga. Mmg awal perkahwinan perempuanlah paling banyak kena bersabar. Kena kuat. Bila baca cerita ni saya tergelak. Betullah apa yang kawan2 saya cakap. Perempaun ni kena lagi kuat semangatnya berbanding lelaki bila baru kahwin. Cerita yang menarik. Saya suka cerpen ni :)
ReplyDeleteTerima kasih, PT. Kisah benar ni...cara potong sayur pun nak jadi hal tapi itulah.....
Deletehihiii gelak2, suke2... sikit2 ade tkena batang hidung sendiri!hai,mengimbau memori mase baru2 kawin dulu la k MK... :D
ReplyDeleteBiasalah kan, mula-mula kahwin macam anggap kebahagiaan itu macam 'ready made' rupa-rupanya kita yang kena buat semua...
Deleteala kak...kenapa tak tulis sikit scene dia bersuara dgn suami dia pulak? nak tgk gak muka si daud tu pulak yg jatuh warna. heheh..
ReplyDeleteanyway, menarik kak. rasa mcm nak print bagi adik ipar baca sbb dia pun selalu merungut adik saya suka buli dia. heheheh...
Heheh...dah penat sangat dah semasa tulis cerita tu. Kalau ada masa yang lebih panjang mungkin akak boleh panjangkan lagi. Itulah akibatnya buat kerja dalam masa yang suntuk.
Deletesapa la yg suka makan makanan Jepun tu.. ish2.. dah la hanyir..tak masak pulak tu..
ReplyDeleteanyway cerpen akak ni best. nanti dah kawin saya nk buli la bini saya.. kalau tak nnt dia buli saya pulak..
Adalah yang cerita pada akak dia tak suka sushi.. Jangan nak buli-buli ya, nanti dia buli Nad balik baru tahu...
Deletewaaa.. sib baik tak jadi mcm tu. Mula2 kawen saya je yg membebel sampai skrg, tapi tak teruk sgt membebelnya.. hehe. Betul lah.. perkahwinan ni perlayaran yg tak ada phujung. dan komunikasi mmg penting. Elok sgt akak buat cerpen ni, suh budak2 yg tak kawen baca... hehe.
ReplyDeleteBudak2 tak kawen baca, jadi takut pulak nak kawen Cik Puan...
DeleteKebahagiaan itu bukan 'ready made' TAGLINE dia..
DeleteWah. Seriusnya sebuah perkahwinan. Pasal gosok seluar slack tu baru Isha tahu macam tu cara gosoknya. Dan pasal kena tukar cadar kahwin tu pun baru isha tahu. Hehe. Terima kasih akak atas perkongsian ilmu. Mudah2an Allah permudahkan jika Isha berumahtangga nanti.
ReplyDeleteNak kata itu cara yang betul, tidak juga Isha. Bermakna setiap suami itu ada caranya, kena perhatikan apa yang suami mahu.
Deleteakak mengajak saya untuk berfikir. ehehhe..
ReplyDeleteterima kasih. Insya-Allah.
DeleteSemoga menghasilkan buah fikiran yang baik ya, Aaamiin.
ReplyDelete*HOKIBET
ReplyDelete*BUKATOGEL.COM
*DAFTAR
*REFERRAL
*BUKU MIMPI
*PREDIKSI
* Potongan/Discount Bukatogel.com :
* 2D : 29% = Rp. 70.000
* 3D : 56% = Rp. 400.000
* 4D : 65% = Rp. 3.000.000
* BBM : 7boc7177
* HP/SMS : +639277025291
hee.....tahniah krn cerpen ni mmg benar2 hidup.
ReplyDeleteitulah realiti kehidupan berumahtangga.
Met pon mengalaminya sampaikan rasa menyesal pula berkahwin. haaa...
tapi sabar....sabar...sabar. dan belajar kenal suami. kita susah nak ubah dia, kita yg perlu banyak berubah jika inginkan rumahtangga kekal.
la ni dah 21 th usia perkahwinan Met...
eee....alhamdulillah.....
Alhamdulillah. terima kasih sudi singgah baca.
Deletehee.....tahniah krn cerpen ni mmg benar2 hidup.
ReplyDeleteitulah realiti kehidupan berumahtangga.
Met pon mengalaminya sampaikan rasa menyesal pula berkahwin. haaa...
tapi sabar....sabar...sabar. dan belajar kenal suami. kita susah nak ubah dia, kita yg perlu banyak berubah jika inginkan rumahtangga kekal.
la ni dah 21 th usia perkahwinan Met...
eee....alhamdulillah.....