MEREKA yang
hadir di tanah perkuburan mulai bersurai seorang demi seorang. Kubur yang
ditinggalkan makin sepi. Antara yang paling akhir melangkah pergi adalah Sofea.
“Sofea!” panggil
Yazid yang berdiri berdekatan dengan keretanya.
Sofea menoleh. Melihatkan
wajah Yazid yang muram dia makin teringatkan arwah Darlina.
“Boleh aku cakap
sekejap?”
“Cakaplah,”
balas Sofea. Kini mereka berdua sahaja yang tinggal di luar tanah perkuburan
itu.
“Darlina sakit
apa sebenarnya?” tanya Yazid.
“Sakit jantung,”
jawab Sofea. Dia masih tidak faham apa masalah Yazid sebenarnya sehingga nampak
begitu muram.
Yazid angguk.
Kemudian dia bertanya pula, “Pernah tak semasa arwah hidup dia bercerita
tentang aku pada kau?”
Sofea tergamam. Untuk
sesaat dia panik.
“Tentulah ada.
Kita kan… sepejabat,” jawabnya. Dadanya sudah mula berdebar-debar.
“Cerita pasal
apa?”
“Yazid… kenapa
kau tanya macam ni? Tak baiklah nak mengumpat pasal arwah,” balas Sofea. Dia
sudah mula rasa tidak sedap hati dengan pertanyaan Yazid.
“Aku perlukan
jawapan, Sofea. Dan aku tahu, kaulah kawan Darlina yang paling akrab. Aku yakin
kau boleh bantu aku.”
“Jawapan?
Jawapan apa yang kau cari? Darlina ada hutang apa-apa dengan kau ke?”
Yazid menggeleng
pula.
Sofea
membetulkan tudungnya yang disingkap angin. Berada di situ dalam suasana yang
makin sunyi seperti memanggil rasa rindunya kepada Darlina. Tetapi dia tahu,
mulai hari ini dia akan hidup tanpa Darlina di sisi cuma dia masih hairan
kenapa setelah Darlina pergi, Yazid baru ingin bertanya.
“Aku mahu sama
ada betul atau tidak, Darlina adalah insan yang bernama Dee?”
Sofea menarik nafas
panjang. Tanpa berlengah, dia tinggalkan tempat itu walaupun dia tahu Yazid
akan tetap mengejarnya.
“Sofea!” panggil
Yazid.
******
Sehari selepas itu di kafe…
“Buat apa kau
nak tahu, Yazid? Darlina dah tak ada. Semua tu dah tak penting lagi dah.
Lagipun… kau pun dah nak dapat anak tak lama lagi. Lupakanlah perkara-perkara
yang tak berkaitan dengan rumah tangga kau,” kata Sofea sewaktu diganggu Yazid
buat sekian kalinya.
“Selagi kau tak
berikan jawapan ya atau tidak, aku takkan berhenti,” balas Yazid. “Tolonglah
kata ya atau tidak.” Yazid renung muka Sofea.
Sofea tarik
nafas lagi. Dia benar-benar tersepit antara amanah yang dipegang dan desakan Yazid
yang kian menyusahkan hidupnya. Ke mana-mana dia pergi seolah-olah Yazid
mengekorinya.
“Kalau aku kata
tidak?”
“Kau bohong.”
“Kalau kau dah
tahu jawapannya, tak payahlah aku cakap lagi,” kata Sofea.
“Kenapa kau
mesti main tarik tali begini, Sofea? Kau… nak balas dendam pada aku?” tanya
Yazid pula.
“Kau tu yang
bersikap entah apa-apa,” balas Sofea. Dia geram dengan tuduhan Yazid
terhadapnya.
“Kita sama-sama
tahu kebenarannya, kan?”
“Kalau kau dah
tahu jawapannya, janganlah ganggu aku lagi.”
“Aku tahu cuma
aku nak pastikan apa yang aku tahu ni betul atau tidak. Dan yang boleh berikan
aku kepastian itu ialah kau,” kata Yazid lagi. Perbincangan mereka semakin
serius.
“Kalau aku
berikan jawapan pun, kau nak buat apa? Apa yang kau dapat?”
Yazid terdiam.
Dia mengalihkan pndangan matanya dari wajah Sofea ke arah luar kafe. Jauh
pandangan matanya menerobos bangunan-bangunan pencakar langit di situ. Lama dia
termenung.
“Sejak aku
ternampak sekeping lukisan di rumah ibu Darlina hari tu, aku… mula terfikir
bahawa Darlina adalah Dee. Selama ini aku benar-benar tak tahu yang…”
“Lukisan apa?”
“Aku pernah
menghadiahkan Dee sekeping lukisan. Lukisan rumah di atas bukit yang menghadap
laut. Aku lukis dengan menggunakan perisian komputer, aku berikan kepada Dee
melalui e-mel. Itu adalah gambar rumah kami. Harapan kami untuk masa depan.
Bagaimana Darlina boleh memilikinya jika dia bukan… Dee?”
Sofea angkat
bahu. Dia masih belum mahu mengesahkan hal itu, dia sendiri baharu tahu walau
dia perasan ada sekeping gambar rumah yang dicetak dan digantung pada dinding
rumah ibu Darlina tempoh hari.
“Cakaplah,
Sofea,” desak Yazid lagi.
Sofea hanya mampu
menggeleng.
******
HARI-HARI
selepas itu… Yazid seakan berhenti menganggu Sofea lagi. Sofea menyangkakan
hidupnya akan tenang semula sambil dia cuba menyingkirkan banyak kenangan bersama
Darlina yang membayangi langkahnya setiap hari. Dia selalu berdoa semoga roh Darlina
aman di alam barzakh dan dia akan terus cuba melalui hari-hari tanpa Darlina
dengan tenang.
“Sudah 40 hari.”
Sofea mengangkat
muka apabila terdengar suara itu. Lama matanya merenung Yazid yang menarik
kerusi di hadapannya. Dia yang baharu sahaja mahu menyuap nasi ke mulut terus
rasa seperti tercekik.
“Sudah 40 hari
Darlina pergi,” sambung Yazid lagi sambil memerhati Sofea yang cuba berlagak
tenang. “40 hari juga aku menantikan kepastian dari kau.”
“Sudahlah,
Yazid,” rayu Sofea. Dia bangkit sambil mengangkat pinggan dan gelasnya untuk
duduk di tempat lain namun tangannya cepat disambar oleh Yazid.
“Ke mana pun kau
lari, aku akan kejar,” katanya.
Sofea duduk semula.
Dia tidak mahu rakan-rakan sekerja mereka menyangkakan yang bukan-bukan pula antara dia dan Yazid.
“Tolonglah,
Sofea. Sudah 40 hari aku asyik tertanya-tanya begini.” Yazid terus merayu lagi.
“Kau seorang
yang pentingkan diri, kan?” balas Sofea pula.
Yazid tergamam.
“Kau nak tahu
bukan kerana jawapan itu terlalu penting bagi kau, bukan?” sambung Sofea lagi
dengan penuh rasa marah. “Kau cuma nak tahu supaya hati kau puas dan tenang. Hanya
itu, kan?”
“Sofea…” tegur
Yazid.
“Sedikit pun kau
tak fikirkan pasal Darlina.”
“Aku…”
“Aku nak tanya
kau depan-depan sekarang. Katakanlah, enam tahun lepas sewaktu kau berkawan
dengan Dee, dan kau dapat tahu Dee adalah Darlina. Adakah kau akan berkahwin dengan
dia?”
Yazid diam.
“Aku rasa
tindakan Dee adalah tepat. Itulah cinta terhadap manusia yang sebenar. Dia
berkorban untuk kau kerana dia nak tengok kau hidup bahagia dengan perempuan
yang lebih cantik, lebih baik dan lebih segala-galanya daripada dia. Tapi kau?
Apa yang kau buat untuk Dee pula? Apa?”
Yazid tidak
menjawab.
“Dee tahu… cinta
sesama manusia bukanlah cinta yang hakiki. Dia lepaskan cintanya walau dia
ingin sekali memiliki kau kerana erti cinta baginya lebih besar daripada
kepuasan dirinya sendiri. Tapi kau?”
“Jadi… kau
mengakulah yang Darlina itu Dee?”
“Sampai mati pun
aku takkan jawab pertanyaan kau tu, Yazid. Kau nak tahu sebab apa?” Sofea
renung muka Yazid yang terlukis riak hampa.
Yazid angguk.
“Sebab aku telah
berjanji kepada Darlina. Dan aku akan tetap berpegang kepada janjinya walaupun
dia sudah tak ada. Dia… sahabat aku yang paling banyak mengajar aku tentang
hidup dan cinta. Aku tak mahu menjadi seorang pengkhianat. Segala rahsianya
akan tetap aku simpan.”
Lama Yazid
termenung.
“Lupakanlah
perkara ini, Yazid. Siapa pun Dee itu, hanyalah kenangan. Tetapi isteri kau,
anak-anak kau yang bakal lahir adalah masa depan. Tak usahlah kau cuba mengejar
bayang-bayang. Kau takkan dapat menangkapnya.”
“Sofea,” panggil
Yazid. “Jangan fikir aku lelaki jahat yang tidak berhati perut. Selama aku
berkawan dengan Dee, aku mencintainya sepenuh hati. Aku tak kisah pun siapa
dia, rupanya bagaimana atau…. Aku cuma teruskan hidup kerana dia… dia kata dia
sudah ada orang baru. Kau tahu tak? Hidup aku kacau-bilau pada masa itu.”
“Aku tahu. Darlina
juga tahu. Malah semua rakan-rakan sepejabat kita tahu,” balas Sofea dengan
hati-hati. Ingin sekali, dia ceritakan betapa tersiksanya jiwa Darlina
menyaksikan itu semua. Betapa teruknya pula dia memberikan Darlina semangat
untuk bangkit semula pada waktu itu. Akan tetapi segala cerita itu ditelannya
dalam-dalam. Biarlah Yazid tidak tahu.
“Tapi kenapa dia
buat aku macam ni, Sofea? Kalau dia bernar-benar Dee, kenapa dia tak mahu mengaku
saja?”
“Aku dah tanya
tadi, kan?” balas Sofea. “Kalaulah benar Darlina itu Dee dan dia mengaku pada
kau depan-depan, adakah kau akan terima dia? Ataupun kau jauhi dia… kau
tinggalkan dia…. Jawapan pertanyaan kau tu ada dalam jawapan pertanyaan aku tadi.”
“Dia takut aku…
tolak dia?” tanya Yazid lambat-lambat.
“Kau sendiri
tahu apa masalahnya, kan?”
Yazid angguk.
Sofea diam.
Walaupun Darlina seorang gadis yang bijak dan baik namun dia dianugerahkan
dengan wajah yang sedikit cacat. Darlina bukanlah gadis yang boleh dipanggil
cantik secara luaran, tambahan lagi dengan penyakit jantung berlubang yang
dihidapinya sejak kecil. Keadaan itu membuatkan Darlina sentiasa berasa rendah
diri untuk bergaul namun sebagai seorang gadis normal dari segi jiwanya, tentulah
Darlina tidak dapat menolak dari rasa cinta yang hadir di hatinya.
“Demi kebaikan
kau… dia… buat itu semua,” kata Sofea lagi.
Yazid hanya diam
termenung.
“Dan aku harap
apa pun yang dia buat… kau hargailah. Cintai isteri kau, sayangi anak-anak kau…”
Mata Sofea mula bergenang. Hanya dia yang tahu segala rasa hati Darlina selama
ini. Menceritakannya kepada Yazid seperti melepaskan beban yang teramat berat.
Akhirnya Yazid
angguk. Matanya bengkak.
“Jadi… Darlina adalah
Dee?” Dia bertanya lagi untuk sekian kalinya.
Sofea angkat
bahu. Perlahan-lahan dia bangkit meninggalkan Yazid yang terus termenung di
situ. Biarlah Yazid fikir perlahan-lahan.
TAMAT
*************************
Cerpen saya yang bertajuk 'Kerikil-Kerikil Di hati' telah terpilih untuk disiarkan dalam majalah
Mingguan Wanita Edisi 1507 (5 Oktober-11 Oktober)
Jemputlah baca di sana.
*HOKIBET
ReplyDelete*BUKATOGEL.COM
*DAFTAR
*REFERRAL
*BUKU MIMPI
*PREDIKSI
* Potongan/Discount Bukatogel.com :
* 2D : 29% = Rp. 70.000
* 3D : 56% = Rp. 400.000
* 4D : 65% = Rp. 3.000.000
* BBM : 7boc7177
* HP/SMS : +639277025291