SUASANA di luar
Grand Ballroom masih sibuk. Walaupun majlis resepsi kedua-dua mempelai sudah
pun berakhir namun masih ramai yang menunggu kemunculan Cik Pia bersama
pasangannya sebelum mereka berangkat pulang. Antara yang menunggu ialah dua
orang gadis.
“Cantik sungguh Cik Pia malam ni. Suami dia
pun kacak. Sepadan sungguh.” Satu suara perempuan kedengaran jelas. Penuturnya
seorang perempuan muda yang indah sekali penataannya dari hujung rambut ke
hujung kaki.
“Ya ke? Kalau
akulah, aku lebih suka Cik Pia kahwin dengan sepupu aku,” balas pula seorang
wanita yang kurus langsing di sebelahnya. Pakaiannya juga tidak kalah hebat dengan
perempuan yang pertama.
“Jangan kata,
kau maksudkan Damien.”
“Siapa lagi?
Sepupu aku tu kan lawa, kacak? Kalau berlakon mungkin boleh kalah Aaron Aziz
tu. Memang sepadanlah dengan Cik Pia.”
Ketawa sopan
terburai.
“Dulu aku pun
sangka Cik Pia akan kahwin dengan Damien. Yalah, selepas Danny meninggal. Tak
sangka pula dia boleh kahwin dengan perempuan lain.”
“Tak usah kan
engkau, aku pun terkejut gila masa tu. Tiba-tiba saja perempuan tu wujud entah
dari mana. Rasa tak percaya pun ada. Aku tanya pada Cik Pia, Cik Pia pula buat
bodoh saja. Geram aku.”
“Macam tak sepadan saja. Seorang lawa sangat, seorang so and so….”
“Memang tak
padan tapi dah Damien nak juga. Uncle aku terima sajalah. Ikutkan aku dan
keluarga aku pada masa tu nak bantah juga. Kami lebih suka kalau Damien pilih
Cik Pia. Lebih secocok. Sama lawa, sama taraf. Kenal pun dah lama.”
“Hati dah
berkenan, nak buat macam mana?” Perempuan yang pertama membalas dengan senyuman
melirik.
“Kau tak tahu,
sejak mereka kahwin dah dua kali gugur.”
“Tak serasilah
tu…”
“Menyesal pula
aku tak cuba halang dari dulu,” balas yang kurus langsing dengan penuh nada
kesal. Mereka terus berbual tanpa memandang keliling.
Tanpa sedar
perbualan dua orang perempuan itu didengar dan dilihat oleh Anis yang berdiri
tidak jauh di belakang mereka. Dia kenal salah seorang daripadanya, yang kurus
langsing bak model itu adalah sepupu suaminya yang bernama Maisara. Hasratnya
untuk menegur tadi terus berkecai apabila sedar dirinya menjadi bahan umpatan.
“Anis,” tegur Maria yang datang dari arah bilik
air. “Kau ke mana tadi? Puas aku cari.”
Anis cepat-cepat
memalingkan wajahnya ke arah lain. Puas dia kerdipkan mata supaya air mata yang
hampir jatuh, tertahan semula. Kini dia faham, kenapa kehadirannya di sisi
sanak saudara Damien selalu disambut dengan pandangan dingin. Semena-mena, dia
terasa kedatangan dia di majlis itu pun tidak kena.
“Kenapa ni?” tanya
Maria kehairanan. “Kau tak sihat ke?”
“Tak… tak ada
apa. Kau ada nampak Damien?” tanyanya pula. Kini, dia tidak ingin berada di
situ walaupun sesaat. Dia rasa tidak layak.
“Tadi, aku
nampak dia berbual dengan Joe di dalam dewan. Kenapa? Kau dah nak balik ke?”
Maria merenung wajah Anis. “Tunggulah sampai Cik Pia tukar baju dulu.”
Anis berasa
serba-salah untuk menjawab. Untuk memandang wajah Maria pun dia terasa amat
malu, bagaimana dia dapat memandang semua wajah sanak saudara Damien dan Cik
Pia yang sedang berkumpul di majlis itu?
“Aku nak balik,
Maria. Tolong panggilkan Damien,” katanya.
“Kau duduk sini
dulu ya? Aku cari Damien.” Maria tarik lengan Anis ke tepi. Setelah Anis duduk
di sebuah kerusi berdekatan meja pendaftaran tetamu, Maria melangkah laju ke
dalam dewan semula.
Anis menarik
nafas perlahan-lahan. Cuba ditenangkan lautan hati yang sedang diamuk badai. Dan
apabila dia mengangkat muka, pandangan matanya bertembung dengan pandangan mata
Maisara dan temannya tadi. Walaupun dia melihat senyuman di wajah mereka, namun
perasaannya tidak mentafsirkan senyuman itu sebagai senyuman yang ikhlas. Dia
terasa sungguh hina.
Mujurlah Maria
pergi tidak lama.
“Anis,” tegur
Damien dengan lembut. Di sisinya ada Joe dan Maria. “Kenapa ni? Anis tak
sihat?”
“Kita balik,
bang,” pinta Anis. Tidak ingin dijawab pertanyaan itu.
“Okey.” Damien
tidak membantah, mungkin kerana majlis itu pun sudah berakhir. Lengan Anis
ditarik lembut untuk meninggalkan dewan.
“Maria,” panggil
Anis. Dia rasa dia perlu menyatakan sesuatu. “Baliklah, ini bukan tempat kita,”
katanya perlahan.
Kata-kata Anis
membuatkan Maria tercengang.
Namun Anis tidak
mahu menjelaskan apa persoalannya sekarang. Dia terus melangkah meninggalkan
dewan itu. Di pertengahan jalan, mereka ditegur Maisara.
“Eh! Nak balik
dah ke? Tunggulah Cik Pia dan suaminya turun dulu. Lagipun kan ada post-party?”
Damien tersenyum
sebelum menoleh ke arah Anis sekilas. “Tak apalah, Anis tak sihat malam ni.”
Maisara angguk
perlahan. Kemudian dia berbisik kepada Damien dan Anis.
“Dah ada yang
baru ke?” Dia mengangkat kening ke arah perut Anis.
Mendengarkan
pertanyaan itu, Damien ketawa kecil sebelum meneruskan langkah. Maisara tinggal
terkulat-kulat dengan wajah kelat.
Semasa menuruni
lif, Anis menjeling ke arah suaminya, Damien. Terasa alangkah tidak sajaknya
dia berdiri di sebelah lelaki itu. Ada benarnya apa kata Maisara tadi, mereka
berdua mungkin tidak sepadan.
******
PERJALANAN
pulang ke rumah, terasa agak sepi. Kedua-duanya lebih banyak mendiamkan diri
daripada bercakap. Keadaan itu mengundang resah di hati Damien.
“Anis tak sihat
ya?” Damien menoleh ke arah Anis sekilas.
Anis tidak terus
menjawab. Fikirannya berputar ligat mencari satu jawapan yang tidak berdusta
dan tidak juga menyatakan yang benar.
“Penat,”
katanya.
“Sudah berapa
bulan Anis sibuk menolong Cik Pia uruskan majlis tu, tentulah penat. Tapi
syukurlah semua dah selesai, kan?”
Anis terus
angguk. Tanggapan itu memang benar.
“Tapi kalau Anis
penat pun, biasanya mulut Anis tak penat. Makin bising adalah,” sambung Damien
sambil tersenyum nipis.
Anis diam sahaja
namun perasaan sedihnya sudah mula membuak-buak ingin dilepaskan.
“Mesti ada yang
tak kena, kan? Maisara ada cakap apa-apa pada Anis ke?” tanya Damien lagi.
“Kata-kata dia tu boleh didengar, difikir jangan. Kalau pasal orang semua dia
tahu apa yang elok tapi kalau pasal diri sendiri, hancur.”
Hingga ke saat
itu, perasaan Anis sudah tidak dapat diempang lagi. Lalu berjuraianlah air
matanya. Makin lama, makin laju dan akhirnya dia teresak-esak.
Melihatkan Anis
begitu, Damien memperlahankan kenderaannya dan akhirnya berhenti di tempat
parkir di sebuah taman rekreasi. Dia merenung Anis yang masih lagi menangis.
Disentuh bahu Anis dengan lembut.
“Mengucap. Ingat
Tuhan,” katanya memujuk namun sebaliknya tangisan Anis menjadi lebih kuat lalu
ditariknya kepala Anis ke dada. Dibiarkan air mata Anis membasahi baju Melayu
yang dipakainya. Dia sedar ada yang tidak kena sehingga menyebabkan hati isteri
yang tercinta begitu tersiksa. “Kenapa ni? Cakaplah pada abang.”
“Betul ke
keluarga abang tak suka abang kahwin dengan Anis?” Dalam deraian air mata Anis
bertanya.
Damien terkedu.
Dieratkan pelukannya. Dia menggeleng laju.
“Betul ke?”
“Tak betul.
Siapa cakap macam tu?”
Anis diam.
“Selama ni
pernah ke abang atau abah buat Anis terasa macam tu?” tanya Damien pula.
Sedikit sebanyak hatinya sedih apabila dituduh dengan sesuatu yang tidak benar.
“Anis tahu kan, yang keluarga abang sangat sayangkan Anis?”
“Bagaimana
dengan keluarga abang yang lain?”
“Keluarga yang
mana?”
“Sanak saudara
abang,” jawab Anis terus-terang.
“Sanak saudara?”
Damien terdiam sesaat. “Kalau mereka ada kata apa-apa yang menyinggung perasaan
Anis, abang minta maaf bagi pihak mereka. Tapi tolong beritahu abang, siapa
yang menyinggung hati Anis tu, biar abang jumpa dia sekarang juga.”
Anis menggeleng
lagi. Dia tidak ingin mengeruhkan keadaan. Dia hanya ingin tahu kebenaran
supaya mudah dia membawa dirinya jauh-jauh dari kelompok yang tidak boleh
menerima kewujudannya. Dia sedar dirinya siapa.
“Anis,” panggil
Damien dengan lembut. Kini dia faham kenapa hati Anis terasa. “Abang sendiri
pun ada yang benci, ada yang tak suka tapi itu semua tak penting. Asalkan Anis
dan abah tak benci abang, sudah cukup untuk abang berasa bahagia dan teruskan
hidup dengan gembira.”
Jawapan Damien
membuatkan Anis berhenti menangis. Pelukan suaminya dirasakan makin erat dan
kejap sehinggakan dia rasa sukar bernafas. Sejenak, dia dapat merasakan
kesayuan di hati suaminya dan dia mula rasa berdosa.
“Ampunkan Anis,
bang,” katanya.
Damien mengangguk
lesu. Kemudian mengusap kepala Anis dengan penuh kasih sayang. Apabila Anis
mendongak memandangnya, dia berkata, “Jangan sesekali berhenti mempercayai
abang. Perjalanan hidup kita berdua masih jauh.”
Tanpa sebarang kata,
Anis melabuhkan wajah ke dada suaminya. Terasa reda segala gundah di jiwa.
Ah! saya dah terbaca. Tak boleh ketinggalan. Good job, Kak Maria
ReplyDeleteTerima kasih, Monalita.
ReplyDelete