Keesokan
harinya…
ANIS baru sahaja
selesai mengemas meja bersama Mak Bija di dapur. Walaupun Mak Bija pembantu
rumah yang sudah bertahun-tahun bekerja di rumah ayah mertuanya, dia tetap rasa
perlu untuk turun tangan membantu apa yang mampu. Sedang dia membasuh cawan di
sinki, Mak Bija memanggilnya.
“Puan, Tan Sri
panggil di depan.”
“Tan Sri
panggil? Kenapa dia belum pergi kerja lagi?”
Mak Bija angkat
bahu dengan wajah tidak tahu apa-apa.
Melihatkan
reaksi Mak Bija, Anis segera mengeringkan tangannya. Terdetik di hatinya bibit
kerisauan, seandainya kelengahannya menyusahkan orang lain. Setibanya di ruang
tamu, dia tergamam. Dilihatnya, selain Damien, ayah mertuanya turut berada di
situ menunggunya dengan wajah yang serius.
“Ada apa, abah?”
Dia bertanya sambil mengambil tempat duduk di sebelah Damien di atas sofa.
Entah kenapa terasa tubuhnya seram sejuk sahaja. Mungkin kerana debaran yang
sedang mengasak dada.
“Anis tak sihat
ke malam tadi? Cepat betul balik?” Tan Sri Dzairil terus bertanya walaupun dia
belum menjawab pertanyaan Anis.
Air muka Anis
terus berubah. Adakah Damien sudah memberitahu ayah mertuanya tentang apa yang
telah berlaku pada malam tadi? Dia menggeletar halus. Pelbagai perkara melintas
di kepalanya.
Damien pula
hanya mendiamkan diri.
“Kalau tak
sihat, pergilah ke hospital,” sambung Tan Sri Dzairil lagi apabila Anis terus
tidak menjawab pertanyaannya.
“Sihat cuma
malam tadi… Anis penat sikit,” balas Anis. Dia benar-benar berharap tindakannya
malam tadi tidak mengundang rasa marah atau jengkel di hati ayah mertuanya
pula. Dia mula rasa takut. Rasa yang tidak pernah hadir sebelum ini. Dia takut
ayah mertuanya membencinya pula. Sudahlah dia tidak dapat memberikan cucu yang
diharap-harap selama ini.
“Kalau macam tu,
tak apalah. Abah ingat Anis sakit. Pia pun ada cari Anis malam tadi.”
“Nanti Anis telefon Kak Pia minta maaf,”
jawabnya walaupun dia masih merasakan seperti ada sebab lain dia dipanggil ke
situ.
Tan Sri Dzairil
menyeluk kot yang dipakainya. Segugus kunci dikeluarkan dari poket lalu diletakkan
di atas meja kopi di antara dia dan Anis. Kemudian dia mengangkat muka
memandang wajah Anis dan Damien pula.
Anis
terpinga-pinga. Namun dia terasa berat mulut untuk bertanya.
“Ambillah. Itu
untuk Anis,” kata Tan Sri Dzairil lagi sambil memandang wajah Anis dengan
tenang.
“Untuk… untuk
Anis?” Anis seolah-olah tidak percaya. Adakah dia salah mendengar?
Tan Sri Dzairil
angguk. “Ya, untuk Anis. Ambillah. Abah belikan Anis sebuah rumah di tepi laut.
Abah harap Anis suka.”
Ha? Anis
benar-benar tergamam. Sebuah rumah di tepi laut? Sedar-sedar sahaja bahunya
dipaut Damien.
“Abah hadiahkan
sebuah rumah untuk Anis. Hadiah perkahwinan kita,” terang Damien pula sambil
tersenyum kepada Anis.
Rasa tergamam
Anis mula hilang. Perlahan-lahan dia dapat menerima kejutan itu. Akhirnya dia
tersenyum dan berkata, “Terima kasih, abah. Besar sungguh hadiah abah, tak
terbalas oleh Anis.”
Tan Sri Dzairil
tersenyum nipis. “Abah tak harapkan apa-apa balasan material. Cukuplah kalau
Anis dan Damien dapat hidup aman bahagia. Saling mempercayai antara satu sama
lain. Kamu berdua kena kuat dan bekerja sama mempertahankannya. Hilang
kepercayaan bagaikan hilang pertahanan. Itu akan membuka ruang kepada anasir
luar masuk mengganggu dan merosakkan rumah tangga kamu.”
Anis tertelan
air liur. Terasa benar dia disindir.
Mujurlah selepas
itu ayah mertuanya beredar. Tinggal dia bersama Damien, sama-sama merenung
segugus kunci itu.
*******
“ANIS buat keputusan.” Dengan tiba-tiba Damien
berkata. Suasana ruang tamu yang sunyi sepi tadi pun berakhir.
“Anis tak tahu,”
balas Anis perlahan. Matanya masih merenung gugusan kunci yang berada tidak
jauh daripadanya. Sejak diletakkan di situ, dia belum lagi menyentuhnya. Bukan
dia tidak teringin tetapi dia gementar.
“Itu kan Anis
punya? Anislah yang kena buat keputusan.”
Anis tahu, ingin
sahaja dia menjawab begitu tetapi bukan semudah itu untuk dia membuat
keputusan. Ada sesuatu yang menghalang jiwanya daripada terus sahaja melompat
dan mengambil kunci itu.
“Pada abang, ia
tiba tepat pada waktunya.” Damien berkata dengan selambanya.
Anis menoleh ke
arah Damien. Entah kenapa dia mula berasa curiga.
“Abang ada
kena-mengena dengan soal ni?”
Damien
menggeleng pula.
Jadi Damien pun
tidak tahu apa-apa mengenai kunci itu? “Kalau abang pun tak tahu … kenapa abang
cakap macam tu?”
Damien menghela
nafas panjang. Kemudian dia tersenyum pula. “Apa kata kalau kita anggap saja
yang kita pergi bercuti di sebuah resort?”
“Maksud abang?”
“Perkara ni
bukan tak boleh dibawa berbincang lagi. Kalau kita pergi sana dan Anis rasa tak
suka rumah tu, kita mungkin boleh buat sesuatu. Ubahsuai ke, atau jual saja dan
beli yang lain,” jawab Damien.
“Boleh ke?” Anis
hairan. Damien seolah-olah menganggap perkara itu begitu mudah. Sepertinya
harga rumah itu hanya seseringgit dua.
Damien angguk.
“Yang pentingnya, kita pergi tengok dulu rumahnya macam mana. Lagipun kalau
Anis tak pergi tengok langsung, apa pula kata abah, kan?”
Anis terus terdiam.
Rasa serba tidak kenanya timbul semula.
Menyedari hal
itu, cepat-cepat Damien berkata, “Abang… abang tak paksa. Cuma itu saranan
abang. Jangan Anis rasa terpaksa pula.”
Anis geleng.
Entah kenapa sejak mendengar kata-kata Maisara semalam, hatinya mudah sahaja
berasa cuak dan mencurigai semua perkara. Dia mula berfikir dan melihat keadaan
keluarga itu dari sudut yang lain. Malah kini dia mudah berasa takut jika
apa-apa yang dilakukannya di rumah itu mengundang rasa marah dan benci di hati
ayah mertuanya.
“Kita pergi,”
katanya perlahan.
“Macam kena
paksa saja? Nak pergi tengok rumah sendiri kenalah gembira sikit.” Damien
menegur.
“Suka,” jawab
Anis sambil cuba melindungi rasa serba-salahnya lagi. “Tapi abang perlu tolong
Anis kemaskan baju.”
“Beres! Tak ada
hal.” Damien tarik lengan Anis. Mereka berdua melangkah bersama naik ke tingkat
atas.
******
BEBERAPA minit
selepas itu, Damien meluru turun ke dapur. Ada sesuatu yang ingin dilakukannya.
“Macam mana?
Menjadi tak?” Menerpa sahaja pertanyaan dari bibir Tan Sri Dzairil sewaktu
dihubungi melalui telefon.
“Nampaknya,
okey. Dia sedang kemas baju kat atas.” Damien masuk ke ruang dapur, alasannya
yang diberikan kepada Anis tadi ialah dia haus. Jadi dia ke situ untuk
mendapatkan segelas air.
“Alhamdulillah.
Abah harap bila dia balik nanti, dia dah gembira sikit.”
“Mujur rumah tu
dah siap,” balas Damien.
“Itulah abah
ingat nak serahkan pada hari jadi dia nanti. Tapi dah jadi macam ni, lebih
baiklah kita serahkan sekarang saja.”
“Saya harap dia
faham kita sayangkan dia,” balas Damien. Dia teringatkan apa yang telah terjadi
pada malam tadi. Dia benar-benar tidak sangka, hingga ke tahap itu hati Anis
terluka. Tetapi satu perkara yang orang lain mungkin tidak sedar, luka di hati
Anis, luka juga di hati dia.
“Ini mesti kerja
keluarga mak cik kamu. Kalau tak mak cik kamu, mesti mulut si Maisara tu. Mulut
macam apa saja,” balas Tan Sri Dzairil.
“Itulah
masalahnya, abah. Yang sudah tu, sudahlah. Saya dah pun berkahwin dengan Anis.
Kak Pia pun dah kahwin, tak payahlah nak ungkit atau pandai-pandai aturkan
jodoh orang. Lebih baik mereka sibuk carikan jodoh untuk Maisara tu pula.”
“Mereka ada
cakap apa-apa ke pada Dami?”
“Pantang jumpa,”
balas Damien. “Cuma saya kesiankan Anis. Kita mungkin dah biasa dengan Maisara
dan keluarga dia tapi Anis tak.”
“Tak apalah.
Nanti abah cuba nasihatkan mereka apa yang boleh. Tentang Anis tu, cubalah Dami
pujuk dan yakinkan dia. Abah tak nak benda ni jadi luka, kemudian menanah.”
“Terima kasih,
abah. Saya cuba,” balas Damien.
“Cuba itu
sebahagian saja daripada ikhtiar, sebahagian lagi ialah doa. Usaha tanpa doa
itu sombong namanya.”
“Baik, abah. Tapi
kerja-kerja saya macam mana pula? Saya tak tahu abah nak serahkan kunci tu hari
ni,” kata Damien semula sambil menjeling ke arah Mak Bija, yang sesekali
mengangkat muka memerhati tingkah lakunya di dapur. Dia memberikan isyarat
meminta segelas air sejuk untuk diminum. Sementara itu dia duduk di meja makan
menunggu.
“Itu kamu jangan
risau. Abah akan suruh penolong pengurus atau Maisara uruskan mana-mana yang
penting dulu. Kamu ambillah cuti dua minggu.”
“Dua minggu?”
“Tak cukup?
Berapa lama Dami nak?”
Damien ketawa
kecil. Terasa di hatinya, betapa sayang ayahnya kepada Anis. Maklumlah menantu
tunggal. Sejenak hatinya sebak. Kalaulah Danny masih ada…
“Dami! Kenapa senyap? Berapa lama nak cuti?”
“Cukuplah dua
minggu tu, abah. Itu pun Anis mesti terkejut, entah-entah dua hari saja dia dah
nak balik ke sini,” jawab Damien kelam kabut. Tadi semasa Anis bertanya berapa
banyak baju yang perlu dibawa ke sana, dia hanya kata untuk tiga hari. Kalau
sudah dua minggu, mungkin mereka perlu bawa lebih banyak.
“Pujuklah dia
tinggal di situ lama sikit. Tempat tu cantik. Di tepi laut.”
“Abah pernah ke
situ ke?”
“Pernah,” balas
Tan Sri Dzairil. “Tapi dah lama dulu. Semasa abah dengar Anis suka rumah di
tepi laut, abah terus teringatkan rumah tu. Mujurlah rumah tu pun memang nak
dijual.”
“Berapa….”
“Itu Dami tak
payah tahu,” sampuk Tan Sri Dzairil dengan cepat. “Asalkan dapat buat Anis
gembira semula, abah tak kisah sangat.”
Damien tersenyum
sebelum meneguk air sejuk yang dibawakan Mak Bija sebentar tadi. Sejuk tekaknya
sesejuk jiwanya. Dia bersyukur kerana mendapat seorang ayah yang sangat
memahami masalah mereka berdua.
“Terima kasih,
abah.”
“Ingat pesan
abah. Pujuk dia dengan lembut. Luka di luar kita boleh nampak, luka di dalam
kita tak tahu berapa besarnya.”
Damien menarik
nafas perlahan-lahan.
******
DI DALAM bilik
tidur di tingkat atas, Anis membuat satu panggilan. Setelah tiga kali menekan
nombor yang sama, barulah panggilannya dijawab.
“Maria!” katanya
setelah Maria habis menjawab salamnya di hujung sana.
“Aku baru nak
telefon kau,” balas Maria.
“Habis tu?
Kenapa tak telefon?”
“Nak telefonlah
ni tapi banyak benar pula kerja pagi ni. Sementara Cik Pia cuti kahwin kan,
semua perkara aku yang kena handle.”
“Nasib
engkaulah, Maria,” balas Anis. Walaupun dia bersimpati dengan kesibukan Maria
namun apa dayanya untuk menolong. Dia sudah pun berhenti kerja di situ sejak
berkahwin dengan Damien enam bulan yang lalu.
“Apa hal engkau
telefon ni?” tanya Maria pula.
“Aku nak
beritahu, esok aku nak ke Melaka.”
“Buat apa?
Damien ada mesyuarat di sana ke?”
“Taklah. Aku
pergi bercuti.”
“Berdua saja?”
“Habis tu?
Takkan nak angkut semua orang pula kut?”
Maria melepaskan
tawa. “Manalah tahu, kalau-kalau ayah mertua kau pun ikut sekali. Selalunya kau
orang jarang berenggang. Kemana-mana pun selalu pergi bertiga.”
Anis tersenyum.
Kata-kata Maria memang betul. “Kali ni kami pergi berdua saja sebab ada hal
lain sebenarnya.”
“Hal apa pula?”
“Sebenarnya aku
nak pergi tengok rumah aku kat sana,” jawab Anis.
“Rumah kau? Bila
masa pula kau beli rumah di Melaka? Kau tak pernah cerita pun pada aku.”
“Memanglah aku
tak beli. Tapi tadi ayah mertua aku hadiahkan aku sebuah di rumah di situ. Jadi
aku kenalah pergi tengok. Nanti apa pula kata dia, kan? Kalau aku buat bodoh
saja.”
“Really? Wah, bertuahnya
kau! Jadi kau nak ke rumah itulah ya? Mesti cantik, kan?”
“Kata suami aku
tadi, rumah tu di tepi laut. Kalau rumah tak cantik, laut tetap cantik, kan?”
“Haah. Wah!
Bolehlah aku bercuti ke sana juga nanti,” balas Maria lagi.
“Aku kena minta
izin Damien dulu. Selepas tu, aku SMS kan alamat rumah tu. Bolehlah kau bawa
anak kau sekali ya.” Anis sedar suaranya sedikit bergetar apabila menyebut soal
anak.
“Tak ada
masalah. Daniel pun dah lama tak jumpa mak angkat dia. Entah kenal entah tidak
lagi,” jawab Maria sambil bergurau.
Anis hanya
ketawa kecil menyambut gurauan Maria itu walau di dalam hatinya cukup terasa
pahit.
“Okeylah aku
bukan nak ganggu kau kerja, aku cuma nak
bagitahu itu saja,” katanya untuk menamatkan perbualan.
“Anis,” panggil Maria.
“Apahal semalam tu?”
Anis terdiam
seketika. Kemudian dia menarik nafas panjang.
“Nantilah aku
cerita,” katanya sebelum termenung jauh.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.