Bab 18
PERJALANAN
ke
Hanoi tanpa henti, mengambil masa kira-kira hampir tiga jam setengah. Mereka
tiba di Lapangan Terbang Noibai, kira-kira pada pukul 7.00 petang ataupun pada
pukul 6.00 petang waktu tempatan kerana perbezaan waktu selama satu jam antara Malaysia dan Vietnam.
“Selepas ni kita
nak ke mana pula?” tanya Ari sambil mengekori sahaja langkah Nella dan Maznah yang
macam lipas kudung, mencelah-celah di tengah-tengah penumpang yang lain. Dia
terpaksa mengejar kerana takut kehilangan mereka berdua. Pengalamannya kali
pertama naik kapal terbang tadi pun sudah cukup menakutkan.
“Kak Maznah kata
ada orang yang akan jemput kita,” balas Nella sambil terus berjalan mengekori Maznah
yang sudah jauh ke hadapan.
Ari diam.
Asalkan Nella tidak hilang dari pandangan matanya, dia akan ikut ke mana
sahaja. Tidak lama kemudian, dia terlihat Maznah disambut oleh dua orang lelaki
Vietnam. Seorang sudah agak berusia dan seorang lagi muda dan kurus. Mungkin
pembantu lelaki yang tua.
“Ini, Prof.
Lam.” Maznah memperkenalkan kawannya kepada Ari dan Nella. “Prof. sudah
sediakan kita tempat penginapan.”
Ari dan Nella
angguk sahaja. Tidak lama selepas itu mereka beransur meninggalkan lapangan
terbang untuk menuju ke Jalan Tran Vu.
“Seronok, kan?”
tanya Nella. Laju langkahnya menuju ke arah sebuah van yang sudah bersedia
untuk membawa mereka ke pangsapuri yang sudah disediakan oleh Prof. Lam.
Melihatkan
sneyuman yang tersungging di bibir Nella, Ari tidak sampai hati mengatakan apa
yang sedang bermain di kepalanya. Kenapa dia rasa seperti pernah ada di situ?
Dejavu?
*******
Hampir sejam
kemudian, mereka tiba di Jalan Tran Vu namun Ari lebih terkesima melihat sebuah
tasik yang menghijau yang terbentang di tepi jalan. Walaupun remang senja sudah
berlabuh di atas air, namun tasik itu masih mampu memukau pandangan matanya.
“Itu Tasik Truc
Bach,” kata Maznah apabila menyedari keasyikan Ari terhadap tasik itu. “Nanti,
kamu berdua pergilah melawat tasik-tasik di sini. Ada banyak tasik dan ada
banyak sejarahnya.”
Nella angguk
sambil tersenyum. “Kakak tak akan tinggalkan kami berdua sahaja, kan?”
“Ada
kemungkinan,” balas Maznah dengan serius.
“Ada
kemungkinan?”
Maznah angguk.
“Mungkin akak terpaksa mengikut Prof. Lam ke tapak arkelogi kerana artifak yang
dijumpainya itu belum dibawa keluar lagi.”
Air muka Nella
berubah keruh. “Bagaimana dengan kami?”
“Pergilah
bersiar-siar tapi kakak akan cuba balik sebelum malam.” Maznah senggol bahu
Nella.
Nella tersenyum.
“Jaga diri
baik-baik kalau berjalan di sini.”
Ari dengar
sahaja perbualan itu, matanya asyik memerhati apa yang seperti pernah
dilihatnya.
“Mari. Tempat
penginapan kita di tingkat 13,” kata Maznah sebaik sahaja van yang membawa
mereka bertiga berhenti di bawah sebuah pangsapuri yang tinggi.
******
SEBAIK sahaja
pintu terbuka, Ari berasa lega. Tempat penginapan yang disediakan oleh Prof Lam
tidak jauh bezanya dari rumah Maznah di Kuala Lumpur. Sebuah rumah yang moden
dengan lantai ubin terracota. Sekali pandang, dia tidak melihat sebarang
ciri-ciri tradisional Vietnam di situ. Dia tidak terasa janggal.
“Rumah ni ada
tiga bilik tapi… akak rasa lebih baik Nella tidur sebilik dengan akak,” kata
Maznah sebelum membawa beg pakaiannya ke bilik yang paling dekat dengan dapur.
Nella ketawa
kecil. “Beres,” katanya sambil menyonsong Maznah.
Tinggal Ari di
situ, lalu dia mendekati beranda di hujung ruang tamu. Di situ dia dapat
melihat Tasik Truc Bach yang sedang diserkup kegelapan malam. Sekali lagi dia
terpana memandang bagaikan ada sesuatu yang memaku ingatan dan pandangannya di
situ.
“Kak Maznah
suruh mandi, solat dan siap-siap… sebab lepas tu Prof. Lam nak bawa kita makan
malam,” tegur Nella dari belakang.
Ari tergamam.
Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Nella yang tampak lebih gembira dan tenang.
Dia lalu bertanya, “Nella… apa itu solat?”
Nella terus
kelu.
******
TIDAK lama
selepas itu, Nella kembali ke dalam bilik. Dia termenung di atas katil.
Pertanyaan Ari tadi, membuatnya bingung.
“Kenapa
termenung lagi?” Maznah yang baru selesai mandi menegur. Dia mula membuak beg pakaiannya
yang terhampar di sudut bilik.
Nella tidak
terus menjawab. Wajahnya tetap muram menekur lantai bilik yang dilapisi panel kayu
dari dinding ke dinding.
“Kenapa ni?”
Maznah seakan perasan perubahan air muka Nella.
Nella geleng.
Sesungguhnya dia tidak tahu apa yang harus diterangkan kepada Maznah.
“Cakaplah. Tadi happy, lepas tu monyok pula.”
“Ari,” kata
Nella.
“Kenapa dengan
dia?”
Nella angkat
bahu. Sesungguhnya dia benar-benar bingung. Seumur hidupnya, dia tidak berjumpa
dengan seorang lelaki seperti Ari.
“Cakaplah
kenapa?” Suara Maznah mula meninggi. Direnungnya wajah Nella lama-lama.
“Dia tanya
Nella….” Nella menelan air liur.
Maznah angguk.
“Dia tanya apa?”
“Dia tanya
Nella, apa itu solat,” jawab Nella sebelum kembali tunduk termenung.
Mata Maznah
terkelip-kelip. Lama dia terdiam, menjadikan ruang itu ikut bungkam.
“Dia… tak tahu solat
ke?” Perlahan sahaja pertanyaan itu meluncur keluar.
“Agaknya.”
“Macam nilah. Apa
kata kalau Nella ajar dia sikit-sikit pasal solat, sejauh mana yang Nella tahu?
Kemudian bila kita balik semula ke KL, kita carikan dia ustaz yang boleh bimbing
dia betul-betul dalam bab agama ni.”
Nella angguk.
“Apabila dia datang
kepada kita… kita tak boleh biarkan saja. Apatah lagi mentertawakan dia kerana tak
tahu. Belum tentu pengakhiran kita lebih baik daripada dia nanti,” nasihat Maznah
lagi sambil memaut bahu Nella. “Tapi kan… kenapa Nella pula yang monyok semacam?
Ada apa-apa yang akak tak tahu?”
Nella tidak menjawab.
Dia lantas bangkit dan mencapai sehelai tuala putih yang ada di atas katil. Di dalam
bilik air, dia termenung lagi.
Dia teringatkan mata
Ari yang berair… dia teringatkan lontaran suara Ari yang bergetar. Entah kenapa,
hatinya turut sama menangis….
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.