Bab 3
TAN SRI DZAIRIL
mengalihkan pandangan matanya ke arah Khairul. Lelaki yang bertugas sebagai pembantu
peribadinya sejak lima tahun yang lalu itu hanya terkebil-kebil membalas
pandangannya. Dia tahu, Khairul banyak menyimpan rahsia peribadinya malah kini
pada Khairullah ingin disandarkan satu lagi rahsia.
“Rumah tu dah
siap, kan?” Dia bertanya.
Khairul yang
sedang berdiri di sebelahnya tersenyum. “Sudah, Tan Sri. Semasa Encik Yahya
menyerahkan kunci rumah tu, semua kerja pembersihan dah selesai. Tinggal untuk
anak dan menantu Tan Sri masuk saja.”
Bukan dia lupa.
Khairul telah menyatakan kepadanya perkara itu dua hari yang lalu tetapi entah
kenapa hatinya seolah-olah ingin diyakinkan sekali lagi. Dia bimbang jika Anis
tidak sukakan rumah itu. Dia hanya mahu yang terbaik untuk anak menantu
kesayangannya itu.
“Tan Sri macam
susah hati saja? Ada apa-apa yang perlu saya uruskan lagi?” tanya Khairul.
Dia tidak hairan
dengan pertanyaan Khairul. Lima tahun berkerja di bawahnya, sememangnya
menjadikan lelaki itu cukup masak dengan sikapnya. Tetapi kali ini… dia
menyimpan satu permintaan yang mungkin paling sukar untuk diuruskan oleh
sesiapa malah sukar juga untuk diluahkan dengan kata-kata.
“Khairul,”
panggilnya.
Khairul pantas
mendekat.
“Duduk,”
katanya.
Tanpa berlengah,
Khairul terus melangkah ke hadapan meja lalu duduk di situ tanpa sepatah kata.
Matanya sahaja yang menyeluruhi wajah Tan Sri Dzairil di hadapannya.
“Saya tak tahu
sama ada awak boleh lakukan ini ataupun tidak.” Tan Sri Dzairil diam sebentar.
Matanya merenung dokumen-dokumen yang ada di atas meja pula. Jika tidak kerana
panggilan daripada Damien tadi, mungkin dia masih menekuni dokumen-dokumen yang
perlu ditandatanganinya pada waktu itu. Sekarang, fikirannya kembali terarah
kepada satu rahsia silamnya.
Khairul hanya
diam menunggu. Berkutik pun tidak di atas kerusi.
“Saya mahu awak
cari seseorang.”
Akhirnya dapat
juga diluahkan olehnya hasrat hatinya yang satu itu. Sejak isterinya Marzita
meninggal dunia setahun yang lalu… keinginan yang satu itu sering
menghambatnya. Makin lama, dia merasakan keinginan itu makin kuat.
“Siapa yang Tan
Sri maksudkan?” tanya Khairul. Dia sudah membuka PDA miliknya untuk mencatatkan
sesuatu.
Matanya
terkelip-kelip. Sesungguhnya itu bukanlah satu pengakhiran, sebaliknya satu
permulaaan yang baru dan berat risikonya. Dia sedar, tindakannya mungkin akan
mengubah banyak situasi. Namun apakan daya, dorongan hatinya cukup kuat
bagaikan tidak boleh dibendung lagi.
“Namanya Natrah.
Natrah Abdullah. Dia seorang muallaf keturunan Thai.”
“Tan Sri ada
gambarnya?”
Tan Sri Dzairil
menggeleng. Sedikit kesal kerana tidak pernah menyimpan gambar Natrah namun itu
bukanlah salahnya. Sebagai suami tidak wajar dia menyimpan walaupun sekeping
gambar cinta pertamanya. Dia sendiri tidak menjangkakan akan memerlukan gambar
Natrah di kemudian hari.
“Maklumat?”
Apa yang boleh
diceritakan tentang Natrah? Dia termenung lagi. Semuanya sudah agak kabur namun
yang tinggal hanyalah rasa manis sebuah rasa cinta yang pernah bertapak kukuh
di jiwanya puluhan tahun yang lalu. Namun dia juga tahu, itu tidak akan banyak
membantu.
“Tak banyak,”
jawabnya apabila menyedari Khairul sedang menanti jawapannya.
Khairul diam
lagi. Dia mencatatkan sesuatu di atas skrin PDA miliknya. “Saya akan buat apa
saja, Tan Sri. Tapi kalau Tan Sri ada sedikit maklumat yang penting, mungkin
boleh membantu. Misalnya tempat lahir, umurnya dan alamat dia yang terakhir.”
“Umurnya dua
tahun lebih muda daripada saya.” Tan Sri Dzairil menjawab sambil memerhatikan
reaksi Khairul. Dia tahu orang yang dicarinya bukan muda lagi. Mungkin pada
waktu ini, Natrah sudah pun bercucu-cicit. Mungkin juga Natrah sudah…. “Saya hanya mahu tahu dia berada di mana dan bagaimana
keadaannya sekarang.”
Khairul
mengangguk seolah-olah cukup faham.
“Dia ni… apa
hubungannya dengan Tan Sri?”
Kulit mukanya
terasa panas. Timbul rasa segan yang bukan kepalang sehinggakan dia tidak
sanggup menentang wajah Khairul. Apa yang perlu dikatakan? Berbohong atau
berterus-terang?
“Dia… dia ….”
“Saya faham.
Rahsia Tan Sri, rahsia saya. Saya akan cari dia sampai dapat,” Khairul berkata
apabila Tan Sri Dzairil tidak dapat meneruskan kata-katanya lagi.
Dia cuma mampu
mengangguk. Itulah kelebihan Khairul. Tidak perlu dijelaskan panjang lebar,
Khairul selalu berjaya membaca fikiran dan kemahuannya.
“Adakah orang
yang Tan Sri cari ini ada kaitannya dengan rumah itu?” Dengan tiba-tiba sahaja
Khairul bertanya.
Dia terkedu.
Bulat matanya merenung Khairul. Sekali lagi Khairul berjaya meneka dengan
tepat.
******
SETELAH Khairul
meninggalkan pejabatnya, Tan Sri Dzairil menyambung semula tugas-tugasnya.
Sedang dia sibuk berbincang dengan setiausahanya yang bernama Qira, masuk
seorang gadis yang kurus langsing ke pejabatnya.
“Tak tahu ketuk
pintu ke?” tegur Tan Sri Dzairil. Jengkel betul hatinya dengan sikap Maisara
yang seperti tidak tahu menghormatinya langsung.
“Alah, saya nak
cari Damien ni uncle. Sejak pagi tadi tak nampak pun dia,” jawab Maisara.
Lansung tidak mengendahkan teguran Tan Sri Dzairil. Bukan orang tua itu yang
dicari.
Tan Sri Dzairil
menarik nafas panjang. Hanya mengenangkan Maisara itu sudah tidak mempunyai
ayah sahaja, apatah lagi sebagai anak saudaranya, dia menahan sabar. “Dia bercuti.”
“What?
Dia bercuti? Berapa lama? Dia nak ke mana?”
“Yang kamu kecoh
sangat ni kenapa? Dia bukannya budak kecil yang perlu dijaga lagi,” sindir Tan
Sri Dzairil. Pening kepalanya melihat kelakuan Maisara.
“Tak adalah,
uncle. Orang lain bini pregnant juga,
tapi tak adalah sampai ambil cuti lama macam tu. Takkan dia nak dukung bini dia
tu ke mana-mana pula?” Maisara rasa terkejut, kecewa malah kini meluat.
Buat seketika,
Tan Sri Dzairil tergamam. Anis mengandung? Dia tak tahu langsung tetapi
kemudian fikiran warasnya mula sedar yang kata-kata Maisara bukan boleh
dipercayai sangat.
“Dia nak dukung
ke, nak lambung ke, dia punya pasallah. Bukannya dia suruh kamu yang dukung,”
balasnya sambil ketawa kecil.
Muka Maisara berubah
cemberut. “Alah, uncle ni. Orang tanya betul-betul, dia main-main. Cakaplah
kenapa Damien cuti lama?”
“Dia nak ke Melaka
dengan Anis,” jawab Tan Sri Dzairil dengan selambanya. Dia sudah malas mahu
melayan Maisara.
“Ke Melaka?”
Maisara terdiam seketika. “Buat apa pula? Saya tak tahu pun ada mesyuarat di
sana.”
“Siapa kata ada
mesyuarat?”
“Kalau tak pergi
mesyuarat, dia pergi buat apa pula lama-lama?”
“Bercutilah.
Buat apa lagi?”
“Bercuti?”
Maisara membulatkan mata. “Kenapa pula bercuti waktu ni? Kita kan ada banyak
projek yang perlu disiapkan? Mengada-ngada sungguh.”
“Siapa
mengada-ngada?” sergah Tan Sri Dzairil. Panas hatinya mendengar mulut celupar
Maisara.
Maisara tersedak
air liur. “Tak ada… maksud saya, kenapa pula sampai kena bercuti panjang? Kita
kan ada banyak kerja?”
“Sebab… mereka
berdua nak pergi tengok rumah baru Anis. Uncle yang belikan untuk dia.”
Lagi sekali Maisara
terlopong. “Teruknya! Baru kahwin enam bulan, dia dah minta rumah? Bayangkan
kalau dah kahwin enam tahun! Agaknya dia minta holdings kita ni.”
Tan Sri Dzairil
menghempas keluhan. Tidak sangka ke situ pula fikiran Maisara terhadap Anis.
Kini dia mula faham kenapa Anis boleh terasa hati dengan sikap Maisara dan ibu
Maisara. Mereka berdua selalu memikirkan hal yang buruk-buruk sahaja terhadap
orang. Tidak ada yang baik.
“Bukan macam tu,
Maisara. Dengar baik-baik kata uncle. Anis tak minta apa-apa tapi uncle yang
hadiahkan sebagai hadiah perkahwinan dia dengan Damien.”
“Baguslah tu,
uncle. Lama-lama esok, habis harta uncle diserahkan kepada dia,” balas Maisara
dengan nada angkuh. Makin benci hatinya mendengar kata-kata Tan Sri Dzairil,
rasa tak sabar pula dia memberitahu ibunya tentang perkara itu.
“Kalau habis pun
tak apa. Uncle bukan boleh bawa masuk kubur.”
“Huh!” Maisara
mendengus lalu mahu melangkah pergi.
“Nanti dulu,”
kata Tan Sri Dzairil. Apabila Maisara menoleh, dia menyambung kata-katanya,
“Sementara Damien tak ada ni, Maisara kena siapkan kerja dia.”
Maisara
tergamam. Sambil menjeling, dia meninggalkan pejabat Tan Sri Dzairil dengan
segera.
Tan Sri Dzairil
termenung di situ sambil memikirkan kenapa Maisara seolah-olah benci sangat
kepada Anis. Setahu dia, Maisara tidak pula ada hati terhadap Damien. Mungkin
ada salah faham di mana-mana, fikirnya.
*******
SEBAIK sahaja
meninggalkan pejabat Tan Sri Dzairil, Maisara melangkah laju masuk ke
pejabatnya pula. Selepas menghempas punggung ke kerusi, dia terus menelefon
ibunya, Datin Zarina.
“Mummy,”
panggilnya dengan suara yang sebak. Hatinya sakit betul.
“Hah? Kenapa
pula ni?”
“Uncle belikan
perempuan tu rumah di Melaka,” katanya terus kepada hal pokok.
“Perempuan mana
pula ni?” tanya Datin Zarina. “Uncle kamu ada calon bini baru ke?”
“Bukanlah,
mummy…,” rengek Maisara. Geram pula hatinya kerana ibunya tidak memahami apa
yang telah disampaikan. “Perempuan gedik tulah. Siapa lagi?”
“Anis?” Datin Zarina
terdiam sesaat. “Uncle kamu belikan rumah untuk perempuan tu?”
“Haah, kat
Melaka.”
“Kat melaka?”
“Ya, uncle
sendiri yang cakap tadi.”
“Jangan-jangan
rumah tu kut?” tanya Datin Zarina pula.
“Rumah mana
pula, mummy?”
Datin Zarina
diam sahaja.
“Mummy? Mummy?”
panggil Maisara namun panggilannya sudah diputuskan ibunya. Dan apabila dia
cuba menghubunginya semula, panggilannya tidak diangkat. Makin sakit hatinya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.