Bab 4
SEBUAH beg
pakaian kecil berjenama Dolce and Gabbana terletak elok di atas katil. Beg
berwarna emas metalik itu sudah dipenuhi dengan pakaiannya dan Damien untuk
tinggal di Melaka selama tiga hari. Beg yang langsung tidak menarik pada
pandangan matanya namun bukan itu yang membuatkan Anis termenung di situ.
“Dah siap?”
“Tunggu abang
masak air, kemudian sejukkan air, tentulah sempat siap,” balas Anis. Puas
hatinya kerana dapat memerli suaminya. Tadi kata turun minum air sekejap, ini
sudah hampir sejam pula. Hingga dia sudah siap berkemas.
Damien
tersengih.
“Abang rasa kita
kena pakai beg lebih besar.”
Anis mengerutkan
dahi. Beg lebih besar? Nak isi apa agaknya?
“Abang dah dapat
cuti dua minggu. Bolehlah kita tinggal di sana lama sikit.”
“Dua minggu?!”
Anis hampir menjerit. Kenapa bunyinya seperti tidak masuk akal sahaja?
Selalunya Damien susah sangat dapat cuti walaupun bekerja dengan syarikat
keluarga sendiri. Ini sampai dua minggu pula? “Abang ambil cuti tanpa gaji ke?
Tak payahlah sampai macam tu.”
“Abah yang beri
cuti. Dia suruh kita duduk sana sampai puas.”
“Abah dah tak
suka Anis tinggal di sini?” tanya Anis pula. Hatinya mula terusik. Sejak dia menjadi
menantu di rumah itu, belum pernah dia meninggalkan rumah selama itu. Pergi
berbulan madu pun hanya seminggu. Itu pun di Pulau Langkawi sahaja. “Abah dah
bosan lihat muka Anis ya?”
Damien
menggeleng. “Anis kan suka tengok laut? Abah cuma mahu abang temankan Anis
tengok laut sepuas-puasnya.”
Ya ke? Tanya
Anis dalam hati. Mungkin Damien tidak berkata benar tetapi tidak nampak pula
Damien berbohong.
“Kalau Anis tak
suka tinggal di situ macam mana?”
“Abang akan buat
sampai Anis suka.”
“Kalau Anis tak
suka juga?”
Damien garu
kepala. Dia seolah-olah tidak tahu mahu menjawab apa lagi.
Anis tersenyum
melihat gelagat suaminya. Dalam keadaan seperti itu, dia merasakan sangat
dimanjakan. Apa sahaja yang dia mahu, seboleh-bolehnya akan ditunaikan oleh
Damien.
“Anis gurau sajalah. Tapi boleh tak abang
berjanji dengan Anis satu perkara?”
Kening Damien
terangkat tinggi. Dia hanya memandang Anis tanpa suara.
Tangan Anis
segera menyentuh tangan Damien. Digenggam erat-erat sepenuh jiwa raganya sambil
melirik ke arah tangan mereka berdua yang sedang bertaut mesra.
“Anis cuma nak
abang janji pada Anis… kalau Anis tak suka tinggal di situ, kalau Anis mahu
balik ke sini… abang mesti bawa Anis balik bila-bila masa yang Anis nak.”
Itu sahaja yang
dia mahukan. Bukan intan berlian, bukan juga emas permata. Dia hanya inginkan
rasa selamat. Rasa yang hanya boleh dirasai di rumah itu, di bilik itu. Dia
mahu Damien berjanji supaya jika ada apa-apa berlaku di sana, dia boleh kembali
ke situ pada bila-bila masa yang dia mahu. Hanya dengan itu dia akan berani
melangkah keluar dari rumah itu.
“Abang janji,” kata
Damien.
Anis tersenyum.
Zip beg Dolce and Gabbana di sebelahnya ditarik semula. Baju-baju di dalamnya
dikeluarkan dan disusun semula di atas katil.
“Abang patut
beli beg yang lebih cantik sikit. Tak maco pakai beg berkilat macam ni, macam
perempuan….” Dia mula membebel sambil memandang beg yang menyakitkan matanya
sejak tadi.
Damien ketawa
sahaja. Sebuah beg pakaian yang lebih besar dikeluarkan daripada almari. Sambil
mengheret beg itu ke arah Anis dia bertanya, “Besar ni cukup?”
Anis tersenyum.
Dalam hatinya berdoa, semoga pemergiannya ke sana bukanlah untuk
selama-lamanya.
******
MALAM itu, di
meja makan, ketiga-tiganya tidak seriuh selalu. Masing-masing tunduk memandang
nasi bagaikan itu makan malam terakhir buat mereka bertiga di rumah itu. Tan
Sri Dzairil menyuap dengan perlahan. Damien pula tidak mengangkat muka. Anis
yang duduk di kerusi yang bertentangan dengan suaminya juga hanya diam membisu.
“Tak apa ke kami
tinggalkan abah lama-lama ni?” Akhirnya dia bersuara. Rasanya wajar jika dia
bertanya sendiri kepada ayah mertuanya apa yang merisaukan hatinya. Jika
ditanyakan kepada Damien, mungkin tidak semuanya benar-benar lahir dari hati
lelaki itu.
“Mak Bija, kan
ada? Pak Din ada. Khairul ada,” jawab Tan Sri Dzairil sambil tersenyum. “Apa
yang nak dirisaukan?”
Hati Anis tidak
tercuit pun dengan jawapan itu. Walaupun lebih daripada itu wujud di situ namun
belum tentu wujud di hati ayah mertuanya. Dia tahu.
“Lebih baik
kalau abah ikut sama. Abah pun dah lama tak bercuti,” katanya pula. Dia juga
tahu ayah mertuanya tidak mahu mengaku kalah. Tidak mahu mengaku yang hati
tuanya akan rasa sunyi tanpa dia dan Damien.
“Kerja di ofis
banyak.”
“Kalau kerja
banyak, buat apa benarkan abang tu cuti? Kan dah menyusahkan abah pula?” Cepat
sahaja dia menjawab. Jika betul itu alasannya, dia rasa sangat bersalah. Kerana
menemankan dia, Damien terpaksa bercuti dan membebankan kerja di bahu ayah
mertuanya pula.
“Anis pergi
sajalah. Abah rasa Anis tentu suka tempat tu. Ada laut. Ada tempat memancing.
Medan ikan bakar pun tak jauh dari situ.”
Anis tersenyum
kecil. Pandai sungguh ayah mertuanya menukar topik perbincangan. Lain yang
ditanya, lain yang dijawab. Namun belum cukup untuk membuat dia berasa lega
meninggalkan ayah mertuanya tinggal berseorangan di rumah itu selama dua
minggu.
“Anis risau,”
katanya terus-terang sahaja. “Abah tinggal sorang. Lagipun kerja di pejabat
banyak.”
“Jangan
risaulah. Apa gunanya Maisara tu kalau tak boleh diharapkan?” balas Tan Sri
Dzairil lagi.
Mendengar nama
Maisara disebut, Anis langsung terdiam. Semena-mena terasa hatinya sakit
semula.
Kemuraman wajah
Anis disedari Tan Sri Dzairil. Lalu dengan segera dia berkata, “Anis pergi
dulu… kalau ada masa lapang abah pergi sana.”
“Betul ni?” Anis
tersenyum tawar. Terdetik di hatinya jika kata-kata yang dilontarkan oleh ayah
mertuanya hanyalah tidak lebih dari penyejuk jiwa.
Tan Sri Dzairil
angguk dengan penuh yakin.
“Tapi kalau nak
ditunggu masa lapang, sempatlah Anis balik ke sini pula nanti,” balas Anis
dengan selamba. Dia menyuap nasi perlahan-lahan. Tidak dihiraukan pandangan
tajam yang dilemparkan oleh Damien kepadanya.
“Abah janji…
abah akan jenguk Anis nanti,” kata Tan Sri Dzairil lagi.
“Janji mesti
ditepati.” Anis pandang wajah ayah mertuanya betul-betul. Dia hanya mahukan
kejujuran.
“Hujung minggu
depan abah pergi sana. Bagaimana?” Tan Sri Dzairil membalas renungan Anis.
“Anis pegang
janji abah,” katanya penuh makna.
Tan Sri Dzairil dan Damien saling
berpandangan.
Suasana sudah
berubah, meja makan itu tidak lagi sesunyi tadi. Namun begitu hati Anis tidak
pasti, adakah kegembiraan yang dipamerkan Damien dan ayah mertuanya itu ikhlas
atau hanyalah sebuah sandiwara. Namun dia tahu, dia sendiri rasa terpaksa.
Banyak hati lain yang terpaksa difikirkan juga selain hatinya.
*****
Di Flat Seri
Mastura…
TANGISAN seorang
bayi lelaki lantang kedengaran di rumah itu. Tangan dan kakinya terkapai-kapai
menggapai angin. Kulit mukanya yang putih gebu mula berbintik merah.
“Daniel...,”
panggil Maria. Anak kecil itu diangkat dan didukungnya. Tangisan bayi itu makin
reda namun dia tahu pasti ada yang tidak kena sehingga menyebabkan Daniel
menangis.
“Abang cepatlah
sikit! Daniel dah lapar ni.” Maria melaung suaminya yang sedang membancuh susu
di dapur. Sementara itu dia cuba mengagah-agah Daniel yang masih mencebik. Dia
tersenyum. Bahagia sungguh jiwanya dengan kehadiran Daniel dalam hidupnya.
“Nah!” Joe
menghulurkan botol susu sebelum duduk di sisi Maria dan mematikan suis
televisyen. Ruang tamu rumah itu pun terus menjadi senyap. Dia dan Maria
sama-sama memerhati Daniel yang sedang enak menyusu di pangkuan Maria.
“Siang tadi Anis
telefon,” kata Maria.
Padanya itulah
saat yang sesuai untuk memberitahu hal itu kepada Joe. Selagi perkara itu tidak
disampaikan kepada Joe, ia seolah-olah sentiasa terbuku di hatinya.
“Dia dah sihat
ke?” Joe pandang Maria sambil jarinya mencuit pipi Daniel yang gebu.
Maria tunduk
memandang Daniel di pangkuannya. Mata Daniel yang berusia hampir empat bulan
itu pejam celik, sesekali mula kuyu. Dia yakin Daniel akan lelap sekejap lagi
oleh itu dia tidak patut bercakap kuat.
“Entahlah,”
jawabnya.
“Apa yang Maria
nak cakap dengan abang sebenarnya?” tanya Joe pula.
“Anis nak ke
Melaka esok,” jawab Maria dan lantas menerangkan segala-gala yang dia tahu
kepada suaminya pula.
“Jadi Maria pun
nak ke sanalah ya?” balas Joe. Dia tersenyum nipis.
Melihatkan
suaminya tersenyum, Maria ikut tersenyum juga. “Kalau bolehlah. Itu pun Anis
kena minta izin Damien dulu.”
“Bagus juga,
kita pun dah lama tak pergi bercuti.” Ada rasa sedih di hujung suara Joe.
Maria diam
sahaja. Dia tahu, dia tidak perlu menyuluh apa yang sudah terang. Memang hidupnya
dan Joe seadanya sahaja seperti hidup orang lain. Malah boleh dikatakan
hidupnya dengan Anis juga sudah jauh berbeza sejak Anis menjadi menantu Tan Sri
Dzairil. Cuma dia bersyukur kerana persahabatannya dengan Anis dan Damien tidak
banyak berubah.
“Maafkan abang,”
kata Joe perlahan tanpa mengangkat muka dari wajah Daniel.
Maria tergamam.
Perlahan-lahan diangkatnya muka lalu merenung wajah Joe di sebelahnya. “Kenapa
abang cakap macam tu?”
Joe menarik
nafas pendek lalu melepaskannya laju. “Yalah… sejak kita berkahwin, abang tak
pernah belikan apa-apa untuk Maria. Rumah ni pun dihadiahkan orang.”
“Habis tu? Yang
dalam tangan Maria ni apa?” Maria angkat sedikit Daniel di pangkuannya. Dia
terkejut malah berasa hiba apabila mendengar kata-kata Joe.
Joe diam.
“Anak kita ni,
adalah hadiah yang tidak ternilai untuk saya, bang,” kata Maria lagi. “Saya tak
minta apa-apa pun selain mahu abang sentiasa berada di sisi kami berdua.”
Joe angguk.
“Kalau macam tu,
tak payahlah kita pergi ke Melaka.”
“Eh! Janganlah
macam tu. Kita pergilah.” Joe tergamam pula.
“Dah tu… kalau
abang nak cengeng macam ni dekat sana, lebih baiklah tak payah. Hairan pula
Anis tu nanti,” balas Maria. Dia masih terkejut dengan sikap Joe, dia sedar Joe
rasa rendah diri jika dibandingkan dengan Damien. Akan tetapi itu seperti tidak
mempercayai kasih sayangnya.
“Janganlah
merajuk,” pujuk Joe. “Kita pergilah.”
“Tak malu! Orang
belum confirm pun nak ajak kita lagi
ke rumah dia,” balas Maria.
Joe tersengih.
“Kalau orang tu ajak, kita pergilah. Bukan selalu dapat tinggal di rumah tepi
laut. Canggih tu.”
Maria ikut
tersenyum. Dia harap, di sebalik gurauan Joe itu, hati Joe sudah terubat.
“Abang.” Dia memanggil.
Joe mengangkat
muka memandangnya.
“Saya dah ada
semua yang saya nak,” kata Maria sepenuh hati. Dia harap Joe faham.
Joe angguk
sahaja.
*****
MALAM terus
bertambah tua. Suasana di sekitar Flat Seri Mastura bertambah sunyi namun Maria
belum dapat melelapkan mata walau sudah naik ke katil sejak sejam yang lalu.
“Kenapa tak
tidur lagi?” Suara Joe memecah keheningan itu.
“Macam mana
abang tahu saya tak tidur lagi?” Maria sedikit terkejut mendengar suara
suaminya. Sangkaannya Joe sudah lama melelapkan mata. Adakah fikiran suaminya
juga terganggu?
“Sebab Maria tak
berdengkur.”
“Saya tidur
berdengkur ke, bang?” Maria tumbuk bahu Joe sekuat hati.
Joe ketawa
kecil. “Kalau tak percaya, nanti abang rakamkan ya?”
“Tak mahulah.”
Pipi Maria sudah terasa panas. “Tapi kenapa pula abang tak tidur ni?”
Joe tidak terus
menjawab, sebaliknya hanya mengeluh.
“Bang…,” panggil
Maria. “Boleh saya cakap sikit tak?”
Joe angguk.
“Apa kata kalau
kita benarkan Anis jaga Daniel buat sementara waktu?” tanyanya perlahan tanpa
berani memandang wajah Joe.
“Boleh ke Anis
tu jaga baby?”
“Kita kena beri
peluang pada dia merasa apa yang kita rasa. Seperti mana mereka berdua pun tak
pernah kedekut dengan kita selama ni.”
Joe terus
angguk. Dia tidak keberatan jika itulah yang dirasakan baik oleh Maria. “Abang
tak ada masalah, cuma….”
“Saya tahu.
Abang mesti fikirkan soal mak abang, kan?” Maria teringatkan ibu mertuanya, Mak
Ani yang tidak boleh berenggang dengan Daniel.
“Haah, hilang
sekejap pun tak boleh. Ni kan pula kalau dia tahu, kita nak pinjamkan Daniel
kepada Anis? Dengarlah dia punya leteran setiap hari.” Joe tersenyum. Sudah
dibayangkan awal-awal rajuk dan marah ibunya nanti.
“Kita cubalah
pujuk,” balas Maria. Dia pun terfikir soal itu juga.
“Marialah pujuk.
Abang tak larat nak dengar.”
“Yalah, yalah…”
Maria membalas sebelum memejamkan mata. Lega sedikit hatinya kerana telah menyuarakan
hasrat hatinya kepada Joe. Harap-harap Anis memahami niatnya untuk membantu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.