Bab 8
DI VILA HELENA,
Damien tercari-cari Anis di tingkat bawah. Di ruang tamu tidak ada, di ruang tamu kedua pun tidak ada
malah, di bilik-bilik lain juga tidak ada. Akhirnya dia menjengah ke ruang
dapur.
“Duduklah, tuan.
Saya dah buatkan air,” sapa Maya sebaik sahaja terlihat wajah Damien di situ.
Dia segera menarik sebuah kerusi untuk Damien. Pantas sahaja tangannya
menuangkan air sirap ke dalam sebiji gelas. Dia tersenyum di tepi meja. Menunggu.
Damien
menggeleng. “Awak ada nampak isteri saya?”
“Mungkin dah
naik ke atas agaknya. Tuan minumlah dulu.” Maya menyuakan gelas yang telah berisi air sirap yang merah
menawan.
“Saya tak rasa
nak minum sekarang. Kalau saya mahu… saya minta,” balas Damien sambil
berpaling. Entah kenapa jiwanya terasa resah apabila melihat senyuman Maya yang
seperti tidak kena. Renungan mata gadis itu juga bagaikan boleh memukau dan
mengkhayalkan jika dibalas. Ah! Dugaan… fikirnya sambil melajukan langkah.
“Tuan!” panggil
Maya secara tiba-tiba.
Langkah Damien
terhenti. Dia menoleh ke belakang tetapi tidak bertanya apa-apa. Dia hanya
memerhati Maya berdiri di tepi pintu dapur sambil mengangkat kain batiknya
separas betis. Resah benar lakunya bagaikan sedang ditimpa masalah.
“Kalau tuan nak
makan apa-apa… tuan cakaplah, saya boleh masakkan,” sambung Maya. Wajah
resahnya perlahan-lahan berubah tenang dan akhirnya membuahkan senyuman yang
manis.
Oh! Damien
menarik nafas. Dadanya terasa lega. Itu sahaja ke?
“Tak payahlah awak
susah-susah masak untuk saya. Isteri saya boleh buat.”
“Apa salahnya
cuba masakan saya pula, tuan? Tuan cakap saja nak makan apa. Saya boleh
buatkan,” jawab Maya pula tanpa malu-malu.
Damien terus
menggeleng. Dia hanya mahu mencari Anis, kenapa pula dia berhadapan dengan
masalah makan minum ni? Dia mula jengkel dengan sikap Maya yang degil.
“Awak tak dengar
ke apa yang saya cakap?”
Maya terdiam.
Apabila
dilihatnya Maya sudah tidak bersuara, dia berpaling semula dan menaiki tangga
ke tingkat dua. Sesekali sambil dia memijak tangga, bunga ros di tangannya
dicium-cium. Dilupakan sahaja soal Maya, dia ada banyak perkara yang perlu
dibincangkan dengan Anis.
Sementara itu di
tingkat bawah….
Maya memerhati
gelagat Damien sehingga tidak kelihatan lagi. Setelah itu dia berpaling dan
masuk semula ke dapur. Air sirap di dalam gelas tadi dibuang sahaja ke dalam
sinki. Dia sudah yakin, orang yang ditunggu-tunggunya telah tiba.
******
ANIS meletakkan
semula sebuah cermin kecil berbentuk bulat di atas meja solek. Dia mengangkat
pula sebuah kotak bedak berbentuk empat segi yang berukiran penuh. Sudah
beberapa minit dia di situ sambil leka melihat alat-alat solek yang begitu
cantik tersusun sebagai hiasan. Sedang dia menyusun barang-barang itu semula,
dia terdengar suara memanggil namanya. Dia lantas menjauhi meja solek itu.
“Abang! Abang
buat apa di bilik ni? Anis pilih bilik yang satu lagilah,” katanya sebaik
sahaja membuka pintu bilik yang bersebelahan dengan bilik yang dimasukinya
tadi.
“Ini bukan bilik tidur utama ke?” Damien
keliru seketika.
“Memang bilik
utama tapi Anis lebih suka bilik yang di sebelah. Berandanya menghadap laut.
Yang ini menghadap jalan.”
Damien
tersenyum. Dia melangkah mendekati Anis yang masih memegang tombol pintu bilik
itu.
“Nah!” Damien menghulurkan sekuntum bunga ros
merah muda yang dipetiknya tadi.
Spontan Anis
tersenyum dan akhirnya dia ketawa kecil.
“Abang tahu… tak
payah cakap pun abang tahu,” kata Damien sambil memaut pinggang Anis. “Nak
sindir abanglah tu.”
“Anis tak
sindirlah, bang. Cukuplah ni….” Anis ketawa lagi sambil menghayun langkah
menuju ke bilik yang bersebelahan dengan bilik itu. Bunga ros di tangannya
digenggam erat. Bahagia sungguh hatinya mendapat pemberian itu. Walaupun hanya
sekuntum bunga ros, tetapi itu bunga kegemarannya.
“Tak sindir ya?
Mari sini.” Damien menarik pinggang Anis dan menolaknya tubuh Anis ke dinding
bilik. “Habis tu kenapa ketawakan abang?”
Muka Anis
menjadi merah padam kerana terlalu banyak ketawa. “Anis… Anis tak ketawakan
abang. Anis hanya ketawakan….” Dia ketawa lagi.
“Berapa kali
abang nak cakap? Masa tu abang tak tahu bunga apa yang Anis suka jadi… I just try my luck, okey?”
Anis ketawa lagi
sehingga berair matanya kerana teringatkan peristiwa yang berlaku semasa mereka
mula menjalinkan hubungan kira-kira setahun setengah yang lalu.
“Anis! Kau
keluar sekejap boleh tak? Aku rasa bos kita sedang panik dekat luar tu,” kata
Maria apabila masuk ke pejabatnya dengan tiba-tiba pagi itu. Mukanya begitu
serius dan cemas.
“Apa hal?” Dia
tidak menunggu lama untuk bereaksi. Di kepalanya hanya terfikir apalah yang
telah terjadi kepada Cik Pia, majikan mereka berdua. Dia lantas menarik tangan
Maria dan sama-sama melangkah menuju ke pejabat Cik Pia. Waktu itu jantungnya
berdegup amat laju. Janganlah terjadi apa-apa kepada Cik Pia, doanya dalam
hati.
“Anis!” Suara
Cik Pia sungguh lantang.
Langkahnya
langsung terhenti. Dia berkerut dahi sambil cuba mempercayai apa yang sedang
dilihatnya pada waktu itu.
“A… apa… apa
kenanya ni, Cik Pia? Siapa yang hantar ni?” tanyanya tergagap-gagap apabila
melihat bilik itu dipenuhi bunga-bungaan yang pelbagai jenis, warna, rupa dan
bau. Pejabat itu seolah-olah sebuah kedai bunga pula. Ada bunga ros, carnation,
tulip, iris, lili dan pelbagai macam lagi. Sehinggakan yang dia tidak pernah
dilihat pun ada juga.
“Bunga raya pun
ada?” Maria bersuara sambil mengambil beberapa kuntum bunga raya yang pelbagai
warna di antara pelbagai bunga yang ada. Bunga orkid yang paling banyak di
situ. Besar, kecil dan pelbagai bentuk.
“Dia beli satu
kampung punya bunga agaknya,” usik Maria sambil tersengih.
Cik Pia dan
seisi pejabat riuh ketawa.
“Lain kali
beritahulah orang tu, bunga apa yang Cik Anis suka. Tak payahlah beli bunga
satu kampung ni….” Cik Pia akhirnya bersuara sambil menggeleng.
Muka Anis merah
padam dan rasa seperti mahu terbakar apabila ditertawakan lagi oleh rakan-rakan
seisi pejabat. Dia yakin pekerja-pekerja Taman Air Vienna (TAV) di tingkat
bawah pun pasti boleh mendengar gelak ketawa mereka. Dia sudah rasa seperti mukanya
tebal dua tiga inci.
“Ingatkan bunga
sekampunglah tu,” tegur Damien.
Ingatan Anis
terhadap peristiwa itu terhenti. Senyuman di bibirnya juga perlahan-lahan
memudar. “Abang sayang Anis tak?”
“Sekampung,”
balas Damien.
Anis tergelak
semula. Sejak peristiwa itu Damien suka merujuk kepada perkataan ‘sekampung’
apabila mahu mengaitkan soal ‘banyak’. Dia biarkan sahaja namun perkataan itu
tetap mencuit perasaannya.
“Tak percaya?”
Damien tersenyum sambil merapatkan bibirnya ke dahi Anis. Dahi itu dikucup untuk
sekian kalinya dengan penuh perasaan sayang. “Abang terlalu sayangkan Anis,
malah perkataan ‘sekampung’ itu pun tak layak untuk mewakili betapa besarnya
kasih sayang abang untuk Anis. Tapi abang tak tahu perkataan lain.”
“Percaya…,”
balas Anis perlahan. Dia memang percaya tetapi bukan seratus peratus. Dia juga
percaya apa-apa sahaja boleh berlaku di antara mereka berdua. Lebih-lebih lagi
kalau dikenangkan apa yang sedang terjadi.
“Anis sayang abang tak?” tanya Damien pula.
“Sekampung…,” jawabnya sambil tersenyum.
Damien segera
mencuit pinggang Anis.
Anis ketawa
kegelian dan cuba lari namun tubuhnya disambar tangan Damien. Mereka bergelut
di tepi pintu bilik. Gelak ketawa mereka semakin kuat. Tanpa disedari ada
seseorang yang leka memerhati.
“Tuan, puan. Ini
beg,” kata Maya yang tercegat di tepi anak tangga. Di sisinya terletak beg baju
Anis dan Damien yang sudah dibawa naik ke situ.
Damien dan Anis
sama-sama tersentak. Gelak ketawa mereka terhenti.
******
“HA… itulah,
buat lagi,” kata Anis sebaik sahaja mereka berdua masuk ke dalam bilik yang
dipilih Anis. Mukanya masih merah padam.
Damien hanya
ketawa kecil. Kejadian tadi masih berbekas di hatinya. Dia tahu Anis cukup malu
jika kemesraan mereka berdua terlihat oleh orang lain apa lagi oleh Maya yang baru
mereka kenali beberapa jam yang lalu. Tetapi dia tidak mahu mengambil berat
soal itu kerana ada soal lain yang lebih patut dibincangkan sekarang.
Beg yang
dibawanya kini diletakkan di luar almari baju. Dia tahu sebentar lagi Anis akan
mula mengeluarkan pakaian mereka dan menyusunnya di dalam almari itu.
“Biarlah dulu,”
tegurnya apabila Anis mula menyentuh beg pakaian itu, tepat seperti
jangkaannya. Dia menarik tangan Anis lalu menghela Anis ke sebuah sofa panjang
di sudut bilik itu.
Sekali pandang,
dia sangat berpuas hati dengan apa yang disediakan di dalam bilik itu. Semuanya
lengkap dan perabotnya sangat minima sehinggakan bilik itu kelihatan luas dan
lapang. Ditambah dengan warna tanah yang melatari dinding dan dihias sebuah
lukisan cat minyak sebagai titik tumpu. Dia berasa sungguh santai di situ.
Anis mengikut
sahaja tanpa sebarang soal.
“Sebenarnya
abang ada perkara nak bincangkan dengan Anis,” kata Damien apabila Anis sudah
duduk selesa di sisinya.
“Anis tahulah
abang seorang pengarah urusan tapi takkan dalam rumah pun nak adakan
mesyuarat,” usik Anis sambil tersenyum.
“Mesyuarat ni
penting. Soal hidup dan mati,” jawabnya pula dengan muka yang serius.
Dahi Anis mula
berkerut seribu. Dia merenung Damien tidak berkelip.
Damien
tersenyum. “Abang bergurau sikit pun tak boleh.”
“Tadi kata nak
berbincang sekarang nak bergurau pula. Yang mana satu ni, bang?”
“Abang nak
tanya, Anis tak kisah ke Maya bekerja di rumah ni?” Baru kini Damien
bertanyakan hal yang sebenar. Dia bimbang jika terus bergurau dengan Anis, hal
yang ingin ditanyakan langsung hilang entah ke mana. Kerana biasanya begitulah
yang terjadi.
“Hal itu….” Anis
terdiam seketika. “Abang fikir macam mana?”
“Abang? Kalau
abang, abang ikut Anis,” jawabnya cepat. Dia memang tidak tahu mahu berfikir
apa. Lagipun rasanya Anis lebih layak membuat keputusan itu jika melibatkan hal
rumah tangga. Dia sebagai suami akan ikut sahaja.
“Abang suka
sajalah, kan?”
“Aik? Lain macam
saja bunyi tu?” Dia pandang Anis lama-lama. Dia dapat menghidu bau cemburu di dalam
bilik itu tetapi dia rasa bahagia. Cemburu tandanya sayang. Dia cukup percaya
soal itu.
Anis langsung
tidak menjawab, sebaliknya menoleh ke arah lain dan menarik muka masam.
Cemburulah tu,
kata hati Damien. “Anis, sebab itulah abang tanya Anis. Kalau Anis tak suka
dia, kita suruh sajalah dia balik tapi…”
Anis menoleh ke
arah Damien semula.
“Tapi siapa nak
bersihkan rumah ni? Nanti Anis penat, Anis juga yang membebel macam siaran
radio tak cukup penaja,” sambung Damien lagi. Dia berharap agar Anis berfikir
masak-masak.
“Abanglah… siapa
lagi?” tanya Anis.
“Abang kan
bercuti dua minggu?”
Anis tarik muka.
“Abang cuma
pandai jadi pengarah urusan saja, jadi pembantu rumah ni abang tak tahu, abang
tak pernah belajar,” tambah Damien. Sekaligus mencari helah. Sememangnya dia
cukup tidak suka melakukan kerja rumah terutamanya berkemas. Itulah
kelemahannya yang paling teruk.
“Kalau dia tak
kemas abang sekali, Anis tak kisah,” balas Anis pula setelah berdiam diri.
Damien
tersengih. Geli hatinya apabila melihat Anis cemburu. Dengan pembantu rumah pun
boleh cemburu, entah-entah selama ini Anis cemburukan Mak Bija juga. Boleh jadi
juga kalau Mak Bija itu masih muda dan cantik seperti Maya. Mujurlah Mak Bija
itu tua, kalau tidak susah juga jadinya. Tetapi di sebalik itu semua, dia rasa
bahagia.
“Boleh percaya ke ni?” Dia mengusik.
Anis tidak
menjawab.
“Tadi kata tak
kisah. Ini macam berat hati pula. Kenapa?”
“Yang abang tu
macam teruja sangat bercakap soal ni, kenapa?” tanya Anis pula.
Wah! Tingginya
nada. Damien mula menghidu keadaan yang berbahaya. Lalu dia menjawab dengan
suara yang lembut, “Mana ada teruja? Abang cuma nak tahu. Abang tak nak Anis
rasa tak selesa di rumah Anis sendiri. Abang pun tak tahu syarikat yang
menguruskan rumah ni ada sediakan pembantu rumah sekali. Tapi kalau Anis tak
suka, kita boleh berhentikan dia.”
Lama Anis
mendiamkan diri. Mungkin sedang memikirkan kata-kata Damien.
“Abang cuma
kisah pasal Anis. Percayalah,” katanya lagi.
Akhirnya Anis
mengangguk. Sambil menyentuh tangan Damien, dia berkata, “Kita biarkan sajalah
dulu. Kita tengok dia buat kerja macam mana. Kalau okey, biarkan sajalah. Anis
pun rasa tak larat nak kemas rumah sebesar ni sorang-sorang.”
“Abang ikut
saja. Anis nak pun boleh, tak nak pun boleh.” Damien berlapang dada sahaja. Kalau
Anis boleh menerima kehadiran Maya di situ, dia tidak kisah. Dia cuma bimbang
jika perasaan Anis makin terganggu.
Anis mengeluh.
“Kenapalah abah susah-susah belikan rumah sebesar ini kan, bang? Beli rumah
kecil pun tak apa. Sekarang dah kena pakai pembantu rumah.”
“Sebab abah
sayangkan Anis,” jawab Damien. Dia bahagia sekali kerana ayahnya sangat
menyayangi Anis, isterinya.
Namun jawapannya
mengundang gerimis di wajah Anis. Tanpa diduga, Anis mula menangis tersedu-sedu
di pangkuannya.
Damien garu kepala.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.