Bab 9
SETELAH
kesedihannya reda, Anis bangkit meninggalkan Damien di sofa itu. Dia menuju ke
arah beg pakaian yang diletakkan Damien di tepi almari.
“Kalau masih
penat, malam nantilah kemas,” tegur Damien yang seolah-olah tidak mahu bangun
daripada sofa. Dia kini sudah mula berbaring dan meluruskan kaki di situ.
Matanya mula pejam celik untuk menahan rasa kantuk yang mula terasa.
“Anis nak cari
telekung,” jawab Anis.
Dia yakin waktu
solat Zuhur sudah pun masuk waktu. Dia sememangnya tidak suka melewatkan waktu
solat. Baginya biar solat dahulu sebelum dia melakukan apa-apa pun. Dia takut
terleka sehinggakan waktu solat terlewat ataupun terlepas. Namun tidak
disangka, kata-katanya membuatkan Damien terus bangkit meninggalkan sofa pula lalu
duduk di sisinya.
“Biarlah abang
tolong,” kata Damien sambil menarik beg itu pula rapat ke sisinya.
“Kalau abang nak
tidur, pergilah tidur sekejap. Nanti pukul 2.00 petang Anis kejutkan,” balas
Anis. Kasihan pula dia melihat wajah Damien yang lesu di sebelahnya. Mungkin
suaminya kepenatan setelah hampir tiga jam memandu daripada Kuala Lumpur ke
situ tadi.
“Tak naklah,
nanti malam susah nak tidur pula,” kata Damien.
“Ikut abanglah,”
balas Anis. Dia sudah malas menyuruh apa-apa namun dengan tiba-tiba sahaja
terlintas sesuatu di fikirannya.
“Abang….” Dia
pandang muka Damien. Apabila Damien membalas pandangannya dia langsung berkata,
“Semalam… Anis telefon Maria.”
“Abang patut
rasa pelik ke?” Damien memerli.
Anis ketawa
kecil. Dia tahulah, dia dan Maria berhubung hampir setiap hari. “Anis
beritahulah yang kita nak ke sini.”
“Abang boleh
agak perkara seterusnya,” balas Damien sambil menahan tawa.
“Apa dia?”
“Tentu Maria pun
nak datang ke sini, kan?”
“Pandai pun.
Tapi Anis nak minta izin abang dulu. Kalau abang izinkan mereka bertiga datang,
barulah Anis benarkan.”
Damien angguk.
“Terpulang pada Anislah. Ini rumah Anis. Kalau Anis rasa nak terima tetamu di
sini, abang tak kisah. Boleh juga mereka bercuti di sini, kan? Ada juga teman
abang memancing malam-malam nanti.”
Anis menjeling.
Dia sudah bayangkan yang Damien akan banyak menghabiskan masa bersama Joe dan
batang kail. Dia mula rasa tersisih. Dia mula meragui rancangannya untuk
mengajak Maria dan Joe ke situ pula.
“Abang gurau
sajalah. Rumah Anis ni, campak kail dari beranda ni pun boleh.”
“Jangan nak
kutuk rumah Anis.” Anis tarik muka.
“Siapa kutuk?
Abang puji tu.”
Anis sudah malas
melayan gurauan Damien. “Jadi abang izinkan?”
“Ya, ajaklah.
Ajak Mak Ani sekali.”
“Tak mahulah
ajak Mak Ani,” bantah Anis pula.
“Kenapa pula? Nanti
orang tua tu merajuk baru tahu.”
Anis menggeleng.
“Tak laratlah dengar segala macam petua Mak Ani tu. Suruh cari daun tu, suruh
cari buah ni… hisy!”
Damien ketawa
sahaja.
“Cepatlah. Tadi
kata nak tolong kemas,” tegur Anis apabila Damien leka sangat mengusap
rambutnya seperti tidak ada kerja lain.
“Yes,
mem,” balas Damien sebelum ketawa kecil. Sambil
membetulkan sila, dia mula mengasingkan baju-bajunya.
Anis melihat
sahaja gelagat suaminya tetapi dalam fikirannya mula membayangkan pertemuan dia
dan Maria nanti. Tentu banyak perkara yang perlu diceritakan. Dia mula rasa
tidak sabar pula.
*****
SEBAIK sahaja
Anis masuk ke bilik air, Damien keluar ke beranda. Tubuhnya segera disambut
tiupan angin laut yang menderu-deru. Lalu dia melabuhkan punggung di atas
sebuah kerusi rehat yang tersedia di situ sambil mengeluarkan telefon
bimbitnya. Ada sesuatu yang ingin dipastikan.
“Aku ni…,”
katanya sebaik sahaja salamnya disambut oleh satu suara.
“Dah sampai di
Melaka?”
“Baru saja
sampai. Aku ada perkara nak tanya…,” katanya berterus-terang sahaja kepada Joe.
Selama ini pun, di antara mereka boleh sahaja bercerita apa sahaja perkara.
Pada dia, walaupun Joe dan Maria hanya dikenali setelah peristiwa di Flat Seri Mastura
itu berlaku, namun mereka berdua adalah kawan yang baik. Begitu juga dengan Mak
Ani, ibu Joe yang peramah dan baik hati.
“Pasal apa?”
“Maria ada
beritahu apa-apa pasal Anis?”
“Pasal kau orang
nak ke Melaka tu sajalah. Kenapa?”
“Itu saja?”
tanya Damien lagi. Dia ingin tahu kalau Anis ada bercerita tentang soal yang
lain kepada Maria.
“Setahu aku itu
saja. Entahlah kalau Maria tak cakap pula pada aku,” balas Joe.
Damien menarik
nafas. “Tapi ini pun sudah cukup baik, kan? Tadi dia cakap, nak ajak kau orang
semua ke sini nanti. Datanglah.”
“Semakin baik
dah tu. Kami sedang usahakan cuti. Kalau dapat kami datang bawa Daniel,” balas
Joe.
“Aku benar-benar
berharap rancangan ni berjaya, Joe. Kalau kau orang datang bawa Daniel tinggal
di sini lagi bagus.” Damien berasa lega.
“Aku dan Maria
dah bincang soal tu. Kami dah buat keputusan nak tinggalkan Daniel pada kau
orang berdua selama seminggu nanti. Boleh tak?” tanya Joe pula.
“Hah?” Damien
benar-benar tersentak. “Boleh ke?”
“Jangan beritahu
Anis dulu. Kita tengok dulu dia macam mana nanti. Kalau dia boleh terima
Daniel, kita teruskanlah.”
Damien
tersenyum. Dia tidak ada masalah dengan rancangan itu, malah dia rasa amat
terharu kerana Joe dan Maria sudah merancang hingga ke situ.
“Aku berterima kasih pada kau orang berdua.
Jangan tak datang pula,” katanya sebelum beralih ke topik lain. Bagaimanapun
perkhabaran itu membuatkan dia berasa sangat gembira. Tidak sabar rasanya mahu
menghabiskan masa bersama Anis dan Daniel nanti.
“Abang bercakap
dengan siapa?” Dengan tiba-tiba sahaja Anis menegur.
“Staf abang,”
jawab Damien kelam kabut.
“Bercuti tu,
buatlah cara bercuti….” Anis berpaling dan masuk semula ke dalam bilik.
Damien
tersenyum. Perlahan-lahan, ditinggalkan beranda itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.