Bab 12
CAHAYA bulan
memantul ke laut. Terbias dan teroleng-oleng dibawa ombak ke tengah laut. Angin
yang bertiup lembut menghantar rasa nyaman buat mereka yang berada di Medan
Ikan Bakar Terapung Fort Supai pada malam itu, termasuklah Anis dan Damien yang
sudah sejam berada di situ.
“Cantik, kan
tempat ni?” tanya Damien. Mereka berdua leka menyaksikan keindahan laut yang
disimbah cahaya bulan penuh.
“Tak sangka ada
tempat macam ni kat sini,” balas Anis. Dia fikirkan hanya kedai ikan bakar yang
berdinding kayu di atas jeti nelayan. Rupanya-rupanya kedai ikan bakar terapung
yang dihubungkan dengan jambatan batu yang cantik hingga di tepi laut.
Bagaimanapun semua keindahan itu tidak memadamkan rasa aneh yang ada dalam
hatinya sejak siang tadi.
“Tengok tu.”
Damien menunjuk ke arah sebuah bukit di sebelah kiri medan ikan bakar itu, ada
sebuah jeti yang menyambungkan tempat itu dengan bukit tersebut. “Di atas tu
ada sebuah kubu lama. Sekarang dipanggil Fort Supai. Dulu kota tu dibina oleh
tentera Belanda yang menjaga perdagangan bijih yang dikeluarkan menerusi Sungai
Linggi. Sekarang jadi tempat bersejarah saja.”
“Kedudukannya
agak selari dengan rumah kita kan, bang?” Dia cuma menduga.
Damien angguk.
“Mungkin kita boleh nampak Vila Helena jika kita panjat bukit tu.”
“Nantilah kalau
ada masa,” balas Anis. Walaupun tempat itu indah dan mempesonakan namun ada
sesuatu yang menganggu tumpuannya. Dia perasan Damien agak berbeza pada malam
itu. Suapannya perlahan sahaja, bagaikan tidak berselera menikmati hidangan
ikan bakar seperti selalunya. Belum sempat dia bertanya, Damien terlebih dahulu
membuka mulut.
“Apa kita nak buat esok?”
“Ikut abanglah,”
balas Anis. “Anis tak kisah nak ke mana pun.”
“Alang-alang dah
datang ni… apa kata kita jalan-jalan di Melaka Hilir? Anis pun belum pernah ke
sana, kan?”
“Siapa kata Anis
tak pernah pergi?” Anis membantah. Pandai-pandai sahaja Damien membuat cerita.
Damien tersenyum
bagaikan puas hati apabila Anis mula melenting. “Pernah ke?”
“Tapi dah lama. Semasa ada rombongan sekolah
dulu. Agaknya sekarang tentu dah banyak berubah.”
“Zaman sekolah
rendah dulu tak payahlah cerita. Dah jadi sejarah juga,” balas Damien sambil
ketawa kecil.
Anis tarik muka
masam. Kecil hatinya apabila ditertawakan begitu. Dahulu, hidupnya cuma ada
masa untuk belajar dan bekerja sahaja, mana ada masa untuk berjalan-jalan
seperti orang lain? Duit gaji pun disimpan untuk masa depan. Maklumlah dia
hidup sebatang kara. Siapa yang mahu membantu sekiranya kesempitan?
“Maafkan abang,”
kata Damien sebaik sahaja menyedari yang air muka Anis sudah berubah muram.
“Abang bukan nak ketawakan Anis. Esok abang bawa Anis jalan-jalan ke bandar.
Anis belilah apa-apa barang yang Anis nak. Cencaluk ke, belacan ke… Okey?”
Seleranya sudah
terbantut. Kini dia makan tidak serancak tadi lagi. “Ikut abanglah,” balasnya
pendek.
“Merajuk ke?”
Damien ikut berhenti menyentuh makanannya.
Anis geleng.
Sedaya-upaya dia cuba mengawal rasa rajuk dan kecil hatinya. Mungkinkah dia
yang terlalu sensitif ataupun sememangnya Damien yang tidak sihat?
“Tak menjawab
ni… tentu merajuk, kan?”
“Boleh juga
jalan ke bandar esok. Sebelah petang pula… kita memancing,” balas Anis. Dia
cuba untuk mengendurkan suasana. Rasa rajuknya cuba dipadamkan. Sampai bila dia
harus merajuk?
“Ingatkan abang
untuk beli peralatan memancing esok. Umpannya sekali. Abang lupa bawa.” Damien
mula menyambung suapannya.
Ya, Anis sendiri
terlupa untuk membawa apa-apa ke situ selain pakaian mereka tetapi itu bukan
sesuatu yang menjadi masalah besar. Semuanya boleh dibeli di sini tetapi
hatinya tetap dibelit kesangsian.
“Abang… abang
sihat ke?” Akhirnya terluah juga pertanyaan itu.
Damien tergamam.
“Kenapa tanya macam tu?”
“Entahlah. Abang
yang patut jawab,” balas Anis. Sejak dia melihat Damien hampir tumbang di pintu
pagar siang tadi, dia sebenarnya memerhati setiap gerak-geri suaminya itu
diam-diam.
“Abang tak sakit
apa-apa,” jawab Damien sebelum menyedut air minumannya yang sudah hampir habis.
“Muka abang
nampak pucat.” Itu jawapan yang jujur. Memang wajah Damien nampak pucat di
matanya.
Damien terus
meraba pipinya dengan tangan kiri. “Ya ke? Abang pun tak perasan. Abang rasa
abang hensem saja.” Dia tersenyum pula.
“Kalau abang tak
sihat, janganlah sorok-sorok,” kata Anis. Dia mula rasa seperti tidak
dipercayai. Sebagai isteri, dia mestilah tahu apa yang sedang dialami oleh
suaminya. Tetapi kini, dia berasa seperti tidak berguna.
“Abang sihat
cuma sejak sampai ke rumah tadi, tengkuk abang rasa berat saja. Kepala pun
sekejap pening sekejap hilang.” Barulah Damien mahu membuka cerita.
“Abang nak jumpa
doktor? Manalah tahu, kalau tekanan darah abang naik ke….”
“Abang tak ada
penyakit darah tinggi,” bantah Damien.
“Semalam mungkin
tak ada, hari ini mungkin ada. Sakit-sakit macam ni kan cuma simptom? Kenalah
jumpa doktor.”
“Nantilah,”
balas Damien.
Anis mengeluh
pendek. “Tak mahulah nanti-nanti. Esok abang pergi jumpa doktor, okey? Kita
pergi sebelum kita pergi ke Bandar Hilir. Kalau tak… Anis tak mahu pergi.”
Damien tergamam
seketika. Dia diam sesaat. “Yalah, yalah…,” katanya sebelum tersenyum semula.
Anis berasa
sedikit lega. Itu sahaja yang dipinta. Dia bukanlah seorang doktor yang boleh
mengesan penyakit suaminya. Dia hanya seorang isteri yang tahu menggesa
suaminya mendapatkan rawatan awal jika perlu. Dia hanyalah seorang isteri yang
tahu berperasaan runsing jika suaminya kesakitan.
“Anis jangan
risau ya? Abang tak apa-apa,” kata Damien sambil memandang wajah Anis.
Anis angguk.
Senyuman suaminya dibalas dengan penuh ikhlas. Dia sakit tidak mengapa, dia
cuma tidak sanggup melihat suaminya sakit.
Medan Ikan Bakar yang dikunjungi Damien dan Anis di atas.
******
KIRA-KIRA
pada pukul 11.00 malam, mereka berdua sudah berada semula di rumah mereka.
Ternyata tempat medan ikan bakar terapung itu tidaklah begitu jauh dari tempat
tinggal mereka. Sebaik sahaja balik, Damien terus bersolat Isyak sebelum
menukar pakaian dan naik ke atas katil. Anis membiarkan sahaja, mungkin memang
benar Damien tidak sihat.
“Abang lapar
tak?” tanya Anis sambil tangannya menyelak selimut.
“Anis tanya apa
tadi?” Damien menoleh ke arah Anis sebentar sebelum mengiring semula ke arah
dinding sambil memejamkan mata.
“Anis tanya
abang lapar ke? Kalau lapar, dalam almari bawah tu ada sebungkus mi segera,”
terang Anis. Kini dia sudah bersedia untuk memadamkan lampu tidur. Risau juga
jika Damien masih lapar.
“Anis lapar ke?
Abang kenyang makan ikan bakar tadi. Sedap juga makan dekat situ kan? Tempat
pun tak jauh.”
“Kalau abang tak
lapar, tak apalah. Abang tu tadi makan nasi sikit saja. Boleh kenyang ke?”
tanya Anis sambil mengiring ke sebelah kiri untuk mematikan lampu tetapi dengan
tiba-tiba, dia berasa hairan. Eh! Kenapa Damien diam saja? Lalu dia menoleh.
Perlahan-lahan,
dia mendekati wajah suaminya. La… dah lelap? Katanya dalam hati. Dia tersenyum.
Untuk beberapa saat dia menatap wajah suaminya yang sedang nyenyak tidur. Wajah
itu nampak sungguh tenang, sungguh selesa. Anis mengeluh perlahan, selimut
Damien dibetulkan sambil dia sendiri menarik selimut sampai ke leher. Dia
yakin, dia akan menggigil apabila hari menjelang pagi dalam suhu bilik sesejuk
itu. Namun demi keselesaan Damien dia bertahan.
Sejam berlalu…
mata yang dipaksa pejam itu jadi celik kembali. Sejuk sangat ke? Dia mengerekot
menghadap Damien. Kadang-kadang kalau sejuk sangat pun, dia susah lelap tetapi
ada kemungkinan dia susah lelap malam itu kerana bertukar tempat tidur.
Maklumlah tempat baru, katil baru dan suasana baru. Dia mengeluh perlahan,
sambil cuba memaksa dirinya untuk lelap seperti suaminya.
“Kalau Anis nak
kahwin juga dengan dia, kahwinlah. Mak tak kisah. Nak sangat berlakikan orang
kaya.”
Dengan tidak
semena-mena, kata-kata itu terngiang jelas di telinganya. Kata-kata yang
diterimanya apabila dia menyampaikan hasrat Damien kepada ibu tirinya dahulu.
Satu berita yang sepatutnya diterima dengan rasa syukur, menjadi berita yang
menimbulkan kemarahan dan perlian.
“Bukan soal kaya
atau tak, mak. Tapi ni soal masa depan, Anis,” balasnya pada waktu itu.
Sejujurnya dia tidak tahu apa salah Damien sehinggakan begitu sinis jawapan
yang diberikan ibu tirinya. Padahal selama ini dia dan Damien tidak pernah
membelakangkan keluarga dalam perhubungan mereka. Tetapi satu sahaja yang dia
cukup tahu… apa sahaja yang dia buat semua tidak betul di mata ibu tirinya.
Yang kurang dihina, yang lebih diiri.
“Lantak kamulah
tapi jangan harap mak nak keluarkan duit sesen pun. Nak beri makan adik-adik
kamu pun tak cukup ini pula nak berhabis duit untuk kenduri kendara kamu? Kamu
ingat banyak sangat ke harta yang ayah kamu tinggalkan dulu? Berguni?
Bergantang?” balas ibunya lagi.
Ya, dia sudah
menduganya. Dia sudah menduga dia akan keseorangan dalam menguruskan hal itu.
Sejak ayahnya meninggal, dia tinggal bersama ibu tirinya yang telah
menggantikan tempat ibu kandungnya sejak dia berusia hampir setahun. Di mana
ibu kandungnya dia tidak pernah tahu. Dia hanya memiliki nama dan sekeping
gambar lama.
“Ini gambar mak
Anis,” kata ayahnya semasa berusia hampir dua belas tahun.
“Kenapa ayah
serahkan pada Anis? Ayah simpanlah.” Gambar itu dihulurkan semula kepada
ayahnya.
Ayahnya
menggeleng. Gambar itu diletakkan semula ke dalam tangan Anis. “Anis simpan
gambar ni. Kalau tak… nanti mak tiri Anis bakar. Nanti Anis tak ada langsung
gambar mak Anis.”
Baru dia sedar
tujuan ayahnya.
“Simpan
baik-baik. Ini saja yang tinggal,” kata ayahnya lagi sebelum meninggalkan bilik
tidurnya.
Dia
terpinga-pinga, namun sejak itu gambar itu berada dalam simpanannya. Ke
mana-mana pun dia pergi gambar itu tetap dibawa. Walaupun dia tidak tahu di
mana ibunya dan kenapa dia ditinggalkan namun dia tidak ada berasa benci kepada
seorang wanita yang pernah melahirkannya. Tanpa wanita itu, tiadalah dia di
dunia ini. Tiadalah dia mengenali Damien suaminya.
Prangg!!! Bunyi
kaca terhempas kedengaran.
Mata Anis semakin
celik.
*****
UNTUK
seketika, Anis terkaku di atas katil. Hanya anak matanya yang bergerak-gerak
memerhati ke kiri dan ke kanan. Bunyi apa pula tadi tu? Apa yang pecah? Rasanya
semua pintu dan tingkap sudah ditutup tadi. Dia mula ribut berfikir. Ah!
Mungkin tiupan angin laut kut? Dia menarik semula selimut hingga ke paras
leher. Sempat juga dia menjeling jam loceng di meja sisi. Sudah hampir ke pukul
1.00 pagi.
Anis mengeluh
perlahan-lahan. Apabila keadaan kembali tenang, dia kembali cuba melelapkan mata
namun keadaan di bilik itu dirasakan semakin sejuk sehingga selimut yang
dipakainya seolah-olah tidak memberikan kesan. Dia mula resah. Dia tidak mahu
berjaga hingga ke pagi.
Pranggg!!! Bunyi
kaca terhempas kedengaran lagi. Kali ini makin kuat pula.
Apa lagi yang
jatuh ni? Ada tingkap yang lupa ditutup ke? Hisy! Satu kerja pula nak memeriksa
tingkap di rumah tu pada pukul satu pagi, Anis mengeluh. Lalu dia bangkit dan
menolak selimut ke hujung kaki, dia yakin ada sesuatu yang telah pecah di luar
bilik.
Tombol pintu
terasa amat sejuk di tapak tangannya. Apabila dipulas dan dibuka, terasa pintu
agak berat dan ketat daripada biasa namun dia tidak mengendahkannya lalu
melangkah keluar ke ruang tamu tingkat dua. Setelah memerhati dengan teliti,
Anis tersedar. Tidak ada apa-apa pula yang pecah. Semuanya elok sahaja dalam
keadaan asalnya. Sedang dia berpaling ke belakang untuk masuk semula ke bilik
tidur, sekali lagi bunyi kaca terhempas ke lantai berbunyi.
Pranggg!!!
Di tingkat bawah
ke? Anis menjenguk di tepi tangga namun tidak kelihatan apa-apa yang
mencurigakan. Semuanya nampak seperti biasa. Di dapur kut? Dia terus berfikir.
Sedang dia teragak-agak untuk turun ataupun tidak, terdengar bunyi tapak kaki
seseorang. Begitu berat. Dia menjenguk dari tepi tangga.
Dalam kesamaran
cahaya yang hanya diterangi lampu dari arah dapur, dia ternampak sesusuk tubuh
lelaki sedang duduk di sisi piano. Bajunya berwarna putih, seluarnya juga
putih. Dia memerhati betul-betul, matanya makin besar. Ah, tak mungkin dia!
Ting! Bunyi
piano ditekan.
Kaki Anis sudah
terpaku ke lantai. Dia tidak boleh bergerak. Dadanya berdebar kencang. Seluruh
inci tubuhnya terkaku. Dan apabila lelaki yang dilihatnya itu melangkah ke
arahnya, dia lalu jatuh ke lantai. Tidak sedarkan diri.
INI NOVEL THRILLER.
ReplyDeleteMANA EK PKN RASTALI?.....YG TAHU KUALA LINGGI, KUALA SUNGAI BARU NGAN TANJUNG AGAS.......
ReplyDelete