Bab 7
Kuala Lumpur.
BLOK B di
kawasan Flat Seri Mastura sudah jauh berubah. Begitu juga dengan Blok A, C dan
D. Kesemuanya sudah dicat baru dan segala kerosakan telah dibaikpulih
sepenuhnya. Lif tidak lagi rosak, alat permainan di taman permainan pun sudah
ditukar ganti. Pendek kata, kawasan itu kini sudah kembali ceria setelah
bertukar pemaju. Penduduk juga sudah ramai, tidak seperti waktu dahulu.
Di bawah flat
itu, kafé milik Mak Ani mula dikunjungi pelanggan yang rata-ratanya adalah
penghuni di sekitar flat itu juga. Waktu makan tengah hari adalah waktu yang
paling sibuk walaupun hari itu adalah hari Sabtu. Antara yang sibuk membantu
ialah Maria.
“Mana Joe?
Kenapa tak turun?”
“Tidurlah
agaknya tu. Kadang-kadang tu, dia lebih lelap daripada Daniel. Daniel dah
bangun, dia belum lagi.” Maria tersenyum namun tangannya tetap ligat menceduk
nasi untuk pelanggan.
Mak Ani hanya
menggeleng, dia menyimpan kain yang digunakan untuk mengelap meja yang baru
dikosongkan pelanggan sebentar tadi.
“Tak apalah,
mak. Malam tadi dia overtime sampai
pukul 11.00 malam. Letih lagilah tu agaknya.”
“Maria pun letih
juga. Bukannya Maria tak bekerja?” balas Mak Ani.
Maria tersenyum
tenang. Dia bimbang ibu mertuanya menyangkakan yang bukan-bukan terhadap
suaminya. Dia faham Joe penat bekerja sepanjang minggu. Ditambah kerja lebih
masa hingga ke tengah malam, dia boleh melihat sendiri betapa penat suaminya
mencari nafkah untuknya dan Daniel.
“Saya kan ada
tolong mak? Biarlah dia berehat saja,” katanya dengan lembut.
Mak Ani tidak
menjawab. Dia duduk sahaja di atas kerusi di tepi kaunter.
Maria pun
mendekat. Dengan teragak-agak dia berkata, “Mak… semalam Anis telefon saya.”
“Tak ajak dia ke
mari?” tanya Mak Ani pula.
Maria terdiam
sebentar. Bukan dia tidak mahu mengajak, malah jika dia tidak mengajak pun…
Anis sepatutnya sudi datang ke situ. Mereka semua bukannya orang lain, semuanya
sudah seperti satu keluarga walaupun kedudukan mereka sudah berbeza.
“Dia ke Melaka,
mak,” jawab Maria. Mungkin itulah jawapan yang paling selamat untuknya. “Saya
ingat… saya pun nak ke sana jumpa dia. Mak nak ikut sekali?”
“Kedai ni siapa
nak jaga? Nak harapkan Abang Mat kau tu… ada yang hangus di dapur tu,” balas
Mak Ani sebelum ketawa kecil.
Nampaknya ibu
mertuanya menolak dan sekaligus memberikan alasan yang konkrit. Sememangnya di
kedai itu bukanlah ramai sangat pekerja yang boleh diharapkan. Abang Mat pula
lebih banyak di dapur kerana kerjanya hanyalah sebagai seorang tukang masak.
“Bila nak pergi?
Nak bawa Daniel sekali nanti?” tanya Mak Ani pula apabila Maria asyik
termenung.
“Belum tahu.
Tunggu Anis SMS. Dia pun baru sampai ke sana hari ni,” terang Maria kelam
kabut. Hilang sudah segala yang difikirkan tadi.
“Di Melaka tu…
dia tinggal di mana? Di hotel?”
Maria menggeleng.
“Rumah dia sendiri. Tan Sri yang belikan untuk dia.”
Mak Ani seolah-olah
tergamam mendengarnya. “Bertuahlah dia. Tan Sri anak-beranak tu memang baik
orangnya.”
Maria tidak
menafikan langsung. Malah dia dan Joe sendiri telah mendapat sebuah rumah percuma
di kawasan itu sebagai hadiah perkahwinan mereka berdua. Cuma dia tetap tidak
mahu tinggal di Blok C yang banyak menyimpan kenangan dia bersama Anis, lalu
dia memilih sebuah rumah di Blok B juga cuma berlainan tingkat dari rumah Mak
Ani. Jadi dia tidak hairan jika Tan Sri Dzairil ataupun Damien menghadiahkan
Anis sebuah rumah yang lebih besar dan gah. Mereka mampu.
“Tengoklah apa
dia buat pada flat kita ni kan, mak?”
“Sebab arwah
Danny dulu memang nak ambil alih tempat ni daripada pemaju yang lama. Tan Sri
hanya tunaikan hajat tu walaupun anaknya tu dah tak ada,” jawab Mak Ani.
Mereka berdua
seolah-olah tenggelam dalam kenangan lama. Masing-masing teringatkan arwah
Danny, kembar Damien yang rangkanya ditemui oleh Anis di atas bumbung Blok C
hampir tiga tahun yang lalu. Disebabkan peristiwa itulah mereka semua menjadi
rapat namun mereka juga tidak pernah menyangka bahawa Tan Sri Dzairil begitu
baik dan pemurah kepada mereka sekeluarga.
“Jadi mak setuju kami pergi ke sana?”
“Asalkan jangan
pergi lama sangat, sudahlah. Mak rindu cucu mak sorang tu,” balas Mak Ani ambil
tersenyum memandang Daniel yang sedang didukung Joe masuk ke dalam kafe itu.
Maria diam
sahaja. Terus tidak sampai hatinya untuk memberitahu rancangannya untuk
meninggalkan Daniel bersama Anis buat sementara waktu.
*****
PETANG itu,
semasa Maria cuba memujuk Daniel tidur, dia dihubungi oleh Cik Pia dari
Mauritius.
“Ingatkan, dah
lupa kita kat sini,” usik Maria.
“Mana boleh
lupa? Ofis macam mana?” tanya Cik Pia.
“Semuanya okey.”
“Slow
saja jawab ni? Ada masalah ke?”
“Cik Pia jangan
risaulah. TAV okey,” tegas Maria.
“Habis tu bunyi
macam sedih saja ni?” pintas Cik Pia.
“Tak ada apa,
Cik Pia. Cuma saya nak ke Melaka beberapa hari, agak-agaknya boleh tak saya
ambil cuti? Kalau dapat dua hari pun tak apa.” Maria luahkan juga
permintaannya. Sememangnya perkara itu pun menyesakkan kepalanya juga.
Bagaimana kalau dia tidak dapat bercuti sementara Anis berada di Melaka? Hancur
sahajalah rancangannya.
“Nak ke Melaka?
Ada apa kat sana?”
“Nak ke rumah
Anis.” Maria pun menceritakan hal yang sebenar.
“Kalau macam tu,
ambil sajalah cuti. Asalkan tak kena dengan waktu cuti umum, tak apalah. Kalau
tak, nanti TAV kelam-kabut. Pengunjung ramai waktu tu,” balas Cik Pia lagi.
“Nanti saya
periksa kelendar. Kita cuti hari Isnin, kan? Saya cubalah cuti Isnin sampai
Rabu ke. Nanti saya maklumkan pada Cik Pia lagi.” Di kepalanya terbayang
kesibukan pengunjung yang mandi-mandi di Taman Air Vienna (TAV) yang diuruskan
sekarang. Betul juga kata Cik Pia, dia harus mencari hari yang sesuai untuk
bercuti. “Cik Pia jangan risaulah pasal TAV, honeymoon sajalah di sana puas-puas.”
Cik Pia tergelak
di hujung talian.
Setelah telefon
bimbitnya menjadi senyap, Maria terbayangkan wajah ibu mertuanya. Dia masih
tidak dapat mencari kekuatan untuk memujuk wanita itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.