Bab 6
Sementara itu di
Kuala Lumpur…
TAN SRI DZAIRIL
meletakkan telefon bimbitnya di atas meja semula. Dia menggamit Khairul agar
datang segera kepadanya. Ada sesuatu yang ingin ditanyakan sebelum rakannya
yang lain tiba di lounge hotel itu untuk minum dan berbual-bual seperti selalu.
“Yahya ada letak
pembantu rumah di rumah tu?”
Khairul
tersentak. “Pembantu rumah? Saya pun tak pasti, Tan Sri. Tan Sri nak saya
suruh Pak Din hantar Mak Bija ke sana?”
“Bukan itu. Tapi
Dami kata tadi, di sana dah ada pembantu rumah,” terang Tan Sri Dzairil. Dia
tahu Khairul telah keliru dengan pertanyaannya tadi.
“Di rumah tu ada
pembantu rumah? Nanti saya telefon Encik Yahya,” balas Khairul pula. Telefon bimbitnya dikeluarkan
daripada poket seluarnya.
“Dia ada di
Thailand. Dami dah telefon tadi.” Tan Sri Dzairil menarik nafas panjang. Dia
sedikit kesal walau tidak menganggap itu masalah yang terlalu besar.
“Tapi eloklah
kalau ada pembantu rumah. Rumah tu kan besar?” tanya Khairul pula.
Tan Sri Dzairil
mendongak memandang Khairul. Baru dia sedar yang Khairul tidak memahami semua
perkara.
Khairul termangu
sebentar tetapi dia menjawab juga, “Tan Sri nak saya selesaikan hal ni?”
“Saya cuma nak
tahu kalau-kalau kamu tahu soal ini? Kamu yang uruskan hal dengan syarikat
Yahya tu, kan?” Dia pandang muka Khairul sekali lagi.
Khairul angguk.
“Tapi dalam inbois, tak ada pula dinyatakan khidmat pembantu rumah, Tan Sri.
Mungkin satu extra service.”
Extra
service? Mungkin juga tetapi belum tentu bagus jika berdepan
dengan anak menantunya.
“Kamu cuba
hubungi Yahya lagi. Pastikan perkara ini betul-betul. Kalau menantu saya tak
suka, suruh Yahya keluarkan pembantu rumah tu dari situ. Saya hantar menantu
saya ke sana sebab nak gembirakan hati dia bukan nak buat dia marah.”
Khairul tidak
membantah. Dia hanya terangguk-angguk sebelum bergerak menjauhi tempat duduk
Tan Sri Dzairil kerana salah seorang rakan Tan Sri Dzairil sudah pun tiba di
situ.
Tan Sri Dzairil
menyambut ketibaan rakan karibnya dengan mesra. Masalah tadi ditolak ke tepi
seketika namun dia tetap berdoa agar Anis dan Damien baik-baik sahaja di sana.
Tetapi dia juga bersedia jika Anis atau Damien menelefonnya pada bila-bila masa
sahaja.
*******
KHAIRUL bergerak
ke tepi pintu masuk Hotel Hilton. Dari tempatnya berdiri dia masih dapat melihat
Tan Sri Dzairil berbual-bual dengan dua orang rakannya di Cosmo Lobby Lounge.
Dia segera menghubungi pejabat Yahya.
“Dia bercuti?”
Hatinya hampa. Walaupun sudah diberitahu oleh Tan Sri Dzairil tadi, dia sekadar
mahu mengesahkan hal itu sendiri. Setelah mematikan telefon, dia berjalan pula
ke arah Pak Din yang sedang berdiri tidak jauh daripada pintu hotel.
“Nak ke mana?”
Pak Din terlebih dahulu menegurnya.
“Pak Din tolong
hantar saya ke bank sekejap,” balasnya.
Pak Din segera
mengangguk. Lalu mereka berdua pun melangkah menuju ke kereta.
“Pak Din, kalau
saya tanya sikit boleh tak?”
“Tanya apa?”
“Pasal menantu
Tan Sri,” jawab Khairul.
“Apa yang kamu
nak tahu?”
“Dia sakit ke?”
“Tan Sri tak
cerita pada kamu?”
Khairul
menggeleng.
“Kalau Tan Sri
tak cerita tu… maknanya dia tak nak kamu tahu.” Begitu pula jawapan Pak Din.
“Alah, Pak Din.
Saya bukan nak tahu hal yang sulit-sulit pun. Saya cuma nak tahu pasal menantu
Tan Sri tu saja.”
“Yang kamu sibuk
nak tahu tu kenapa? Adalah sebabnya kalau Tan Sri tak beritahu.”
“Kalau Pak Din
tak nak beritahu saya dia sakit apa, tak apalah.” Dia mula terasa kecil hati.
Terasa dipinggirkan.
“Menantu Tan Sri
tu kemurungan.” Pak Din berkata setelah terlihat wajah muram Khairul.
“Disebabkan
keguguran tu?”
Pak Din angguk.
“Mereka kan baru
kahwin? Banyak lagi masa.”
“Adalah yang tak
kena tu,” balas Pak Din sambil membuka pintu kereta.
Khairul pandang
wajah Pak Din lama-lama. Tetapi Pak Din bersikap selamba bagaikan tidak mahu
bercerita lebih lanjut.
******
SEMENTARA itu di
rumah Datin Zarina, Maisara mengekori ibunya ke hulu ke hilir tanpa putus asa.
“Cakaplah,
mummy. Kenapa dengan rumah di Melaka tu?” desaknya untuk ke sekian kalinya
sejak tiba di rumah itu sejam yang lalu. Entah kenapa ibunya seperti berat
benar untuk bercerita soal itu. Namun makin dirahsiakan, makin kuat perasaan
ingin tahunya bergejolak. Seperti lahar yang menanti masa untuk dimuntahkan.
Akhirnya Datin Zarina
mengalah. Di bilik tidurnya dia berhenti menyusun langkah. “Kenapa Maisara nak
tahu sangat soal tu?”
“Mestilah. Kalau
pasal keluarga kita, tentulah saya kena ambil tahu,” balas Maisara. Tetapi di
sebalik itu semua dia seolah-olah dapat merasakan bahawa ada rahsia yang boleh
digunakan kelak jika perlu. Kalau tidak, apa perlunya dia membuang masa?
Datin Zarina
mengeluh. Dia atas katil, dia termenung jauh. “Tak ada apa-apalah. Mummy
teringat sebuah kisah lama.”
“Apa kaitan
antara rumah tu dengan uncle?” Maisara terus bertanya perkara yang penting. Itu
sahaja dia hendak tahu.
“Mummy cuma agak
saja.”
“Apa yang mummy
agak?”
“Mummy agak, uncle
kamu belikan Vila Helena untuk Anis,” jawab Datin Zarina.
“Vila Helena?”
Buat kali pertama, Maisara mendengar nama vila itu. Terdetik rasa tertarik di
hatinya untuk mengetahui lebih lanjut. “Kenapa saya tak pernah mendengar nama
vila tu selama ini?”
“Sebab vila tu
dah lama dijual oleh datuk kamu. Mummy sendiri menyangkakan bahawa semua
perkara lama sudah dilupakan.” Mendatar sahaja nada suara Datin Zarina.
“Mummy pernah ke
vila tu? Kenapa bunyinya macam vila tu ada kisah yang dirahsiakan?” Maisara
merenung wajah ibunya. Dia tidak akan balik sebelum tahu semua perkara.
Sayangnya,
ibunya menggeleng.
“Mummy tak
pernah sampai ke vila tu. Semasa mummy kenal dengan daddy dulu, keluarga datuk
kamu sudah berpindah ke Ampang.”
Maisara rasa
sedikit kecewa. “Jadi apa masalahnya sehingga mummy menyebut semula pasal vila
tu?”
Datin Zarina
termenung lagi, seolah-olah cuba mengingati kenangan lalu.
“Daddy Maisara
dengan uncle Maisara, berbeza umur agak jauh. Lebih kurang sepuluh tahun. Jadi
semasa uncle Maisara berumur 17 tahun, daddy Maisara baru berusia tujuh tahun.
Tetapi dia pernah bercerita pada mummy, datuk Maisara menjual vila tu ke tangan
seorang Inggeris kerana ada sesuatu telah terjadi di situ.”
Maisara mula
rasa tertarik semula.
“Apa yang telah
terjadi?”
Datin Zarina
angkat bahu. “Mummy pun tak tahu sangat kisah yang sebenarnya. Maklumlah daddy
Maisarah pun masih kecil ketika tu. Cuma katanya, keluarganya berpindah
serta-merta pada suatu malam. Sejak itu mereka sekeluarga tak mencecahkan kaki
lagi ke vila tu dan vila tu terus dijual kepada orang lain.”
Maisara terdiam.
Jawapan ibunya tidak banyak menerangkan apa yang kelam di fikirannya. Semuanya
seperti masih tinggal misteri. “Tapi kenapa pula uncle belikan vila tu untuk
Anis? Kenapa tak belikan rumah yang lain?”
“Mummy rasa
kejadian yang cuba disembunyikan tu ada kaitan dengan uncle Maisara.”
“Ada kaitan?
Apa?”
Datin Zarina
hanya menggeleng. “Tapi nenek kamu pernah berpesan kepada daddy Maisara supaya
kisah vila itu tidak diungkit lagi di hadapannya atau di hadapan uncle Maisara sampai
bila-bila. Sebab itu perkara ni cuba didiamkan.”
“Marah benar
nenek kepada vila tu,” komen Maisara. Rasa tertariknya timbul semula. Seingat
dia, dia tidak pernah mendengar nama vila itu disebut oleh sesiapa pun dalam
keluarganya. Mungkinkah benar, uncle dia telah membelikan vila itu untuk Anis?
“Mummy tahu tak di mana letaknya vila tu?”
Datin Zarina diam
sahaja.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.