Bab 11
Kuala Lumpur.
RUMAH MARZITA.
Begitulah nama banglo tiga tingkat yang tersergam megah di pinggir ibu kota.
Rumah milik Tan Sri Dzairil dan arwah isterinya. Tempat kediaman mereka sejak
hampir tiga puluh tahun yang dulu. Ia dibina di tepi sebuah bukit yang
menghadap ke arah banjaran Titiwangsa.
Senja itu, Tan
Sri Dzairil masih duduk berehat di atas bumbung banglo miliknya yang menghadap
ke arah lereng bukit yang menghijau. Matahari yang sudah jatuh di belakang
rumah itu menjadikan kawasan itu redup dan nyaman untuk dijadikan tempat
berehat pada waktu petang membawa ke senja. Itulah tempat kegemarannya untuk
menghabiskan masa lapang dan bersendirian sejak isterinya meninggal dunia.
“Tan Sri…,” panggil Khairul.
Tan Sri Dzairil
mengangkat muka daripada majalah TIMES yang sedang dibacanya. Cermin mata yang
dipakai ditanggalkan. Daripada nada suara Khairul dia tahu ada sesuatu yang
ingin disampaikan dan perkara itu bukanlah perkara yang menggembirakan.
Mungkinkah?
“Tentang
Natrah….” Kata-kata Khairul terhenti lagi.
Semakin tajam
renungan Tan Sri Dzairil menikam wajah Khairul. Sedar-sedar sahaja dadanya mula
berdebar-debar namun dikawal agar tidak terlalu kuat. Dia bimbang dia akan
diserang sakit jantung pula.
“Ada ramai
Natrah dalam fail pendaftaran negara. Saya masih siasat satu persatu,” sambung
Khairul.
Tan Sri Dzairil
menarik nafas lega. Dia fikirkan Khairul mahu menyampaikan berita yang lebih
memeritkan daripada itu. Mujurlah tidak.
“Tak perlu
tergesa-gesa. Asalkan awak dapat cari dia.”
“Saya juga
sedang menjejaki majikannya yang terakhir,” kata Khairul lagi.
“Ikut awaklah.
Setahu saya dia sudah tinggalkan tempat tu. Mungkin juga dia sudah balik ke
kampung dia di Thailand.”
“Siapa yang
beritahu?” tanya Khairul pula.
Tan Sri Dzairil
terdiam. Pedih hatinya apabila diminta menyelak kenangan lama yang telah
dikambus rapat-rapat. Namun oleh kerana dia yang berhajat, dia juga yang harus
berkorban.
“Arwah mak
saya.” Dia lantas teringatkan sesuatu.
“Mama tak mahu
Dzairil tanya pasal dia lagi. Dia bukan siapa-siapa dengan kita,” kata arwah
ibunya puluhan tahun yang lalu apabila dia bertanyakan Natrah sekembalinya dia
dari England.
“Tapi mama,
dia….”
“Dzairil fikir
kenapa mama dan papa hantar Dzairil belajar jauh-jauh?”
Dia terdiam.
Sungguh dia terdiam dan apa yang terfikir di kepalanya pada waktu itu tidak
berani diluahkan. Dia tidak berani menuduh ibunya telah merancang untuk
memisahkan dia dengan Natrah dengan cara yang begitu halus. Lima tahun dia di
perantauan, tidak ada sehari dia tidak merindui Natrah.
“Selepas Dzairil
pergi ke England, dia keluar dari rumah kita.” Ibunya menambah. “Tak guna
Dzairil cari lagi perempuan macam tu. Tak setia.”
“Mama halau dia,
kan?”
Bulat mata
ibunya memandang wajahnya. Namun pertanyaannya itu tidak pernah dijawab
sehinggalah ibunya menutup mata. Dan baginya jawapan itu tidak penting kerana
tiada bezanya apabila Natrah terus tidak ditemui sehingga kini.
“Apa lagi awak
nak tanya?” Dia pula yang menyoal Khairul. Kenangan lama itu dipadamkan segera.
“Sebelum ni… Tan
Sri tak pernah cari dia?”
Dia termenung
seketika. “Pernah. Semasa saya baru balik dari England tapi dia memang sudah
tak ada di situ.”
“Selain itu?”
“Selepas saya
berkahwin dengan Puan Sri… saya lupakan dia.” Satu pengakuan yang begitu
berterus-terang. Ya, dia pernah melupakan Natrah demi kebahagiaan keluarganya.
Adakah itu satu kesilapan? Dia tidak pasti.
“Saya faham,”
balas Khairul.
“Kalau awak
jumpa dia… jangan cakap apa-apa pasal saya. Perhatikan saja bagaimana keadaan
dia.”
“Tan Sri tak nak
jumpa dia?”
Tan Sri Dzairil
tidak menjawab apa-apa. Dia belum tahu sama ada akan berjumpa Natrah ataupun
tidak kerana dia tahu, dia yang bersalah. Majalah TIMES di ribanya, diambil dan
dibuka semula. Namun ketenangan jiwa yang diharapkan di situ sudah tiada.
******
TROLI
yang berisi lampin pakai buang, setin susu dan beberapa paket Maggi ditolak
perlahan-perlahan di celah rak-rak barangan yang mempamerkan barangan dapur.
Maria membelek botol kicap yang tersusun rapi di situ, dia mencari-cari botol
kicap berjenama yang digemari oleh Joe. Sedang mahu mengambil botol kicap yang
dicari, telinganya menangkap bunyi isyarat mesej masuk ke telefon bimbitnya.
“Jumpa?” tanya
Joe yang baru tiba berdekatan dengannya. Daniel di pangkuannya hanya
terkelip-kelip. Sesekali air liurnya menyembur keluar dan meleleh. Cepat-cepat
Joe menyapunya.
Maria angguk
tanpa menoleh. Leka matanya membaca SMS yang tertera di situ. Perlahan-lahan
bibirnya menguntum senyuman.
“SMS daripada
pakwe ke?”
“Makwe Daniel,”
balas Maria. “Kan Daniel, kan?”
Joe pandang
Daniel. “Makwe Daniel? Amboi! Papa dulu habis sekolah baru ada makwe. Daniel
kecil-kecil lagi dah ada?”
“Sebab papa
Daniel tak comel macam Daniel,” sambut Maria sambil ketawa kecil. Telefon
bimbitnya disimpan di dalam beg tangannya semula. Sesungguhnya SMS itu sungguh
menggembirakan hatinya.
“Seronok semacam
saja mama Daniel ni? Papa risau…,” kata Joe sambil berpura-pura berbincang
dengan Daniel di pangkuannya.
Maria mengeluh
sebelum ketawa kecil. Dia mencium pipi Daniel. “Ada orang jeluslah, Daniel.”
Daniel hanya
bergerak-gerak dalam pangkuan Joe. Air liurnya menyembur-nyembur lagi.
“Nak menjawablah
tu,” kata Maria. Gembira melihat Daniel begitu dan lebih gembira dengan berita
yang baru diterima tadi.
“Cakaplah… siapa
SMS tadi tu?” Joe akhirnya kembali serius. Mungkin sudah hilang sabar.
“Anis.” Maria
pandang Joe.
Joe tidak
berbunyi. Dia hanya menunggu.
“Anis SMS alamat
rumah baru dia tu. Dia ajak kita bertiga datang ke sana,” terang Maria. Dia
tahu Joe bukanlah merajuk betul-betul.
“Bila kita nak
pergi?”
“Esok pun boleh
kalau kita berdua menganggur.”
Joe langsung
terdiam. “Esok, abang cuba minta cuti. Maria tetapkan hari.”
“Sebenarnya, saya
dah beritahu pada Cik Pia hal ni. Cik Pia kata, dia okey saja kalau saya ambil
cuti. Lagipun cuti tahunan kan masih ada?”
“Kalau macam tu,
Maria tetapkan tarikh, okey. Abang cuba apply
ikut tarikh tu,” balas Joe pula.
Maria pandang
Joe lama-lama. Hatinya gembira dan teruja untuk ke sana tetapi dalam masa yang
sama ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
“Abang… saya
belum beritahu mak yang kita nak tinggalkan Daniel kat sana nanti.”
Joe menarik
tangan Maria ke arah tepi. Kini mereka berdua berdiri rapat ke rak bagi
memberikan peluang pelanggan lain untuk memilih barang.
“Nak cakap ke?”
“Takkan tak
cakap? Nanti kalau mak tanya kenapa bawa baju Daniel banyak sangat, apa nak
jawab?” balas Maria pula.
“Diam-diam
sajalah,” balas Joe.
“Kalau balik
nanti mak tanya macam mana?”
“Maria jangan
fikir susah-susah dulu, boleh tak? Abang sakit kepala,” balas Joe.
Maria tidak
menjawab lagi. Botol kicap kegemaran Joe diambil sebotol lalu dimasukkan ke
dalam troli. Dia terus menolak troli itu ke kaunter bayaran. Rasa gembiranya
tadi kini bercampur resah. Dia tidak fikir ibu mertuanya akan bersetuju dengan
tindakan mereka nanti tetapi dia harus memilih di antara dua hati yang harus
dijaga.
******
Sementara itu di
Flat Sri Mastura…
“Tutup cepat
hari ni, Ani?” tegur Mak Cik Izzah apabila terlihat wajah Mak Ani yang baru
tiba di hadapan pintu rumah.
Mak Ani
meletakkan bakul yang dibawanya ke atas lantai. Dia menanggalkan tudung yang
dipakai lalu dikibas-kibas ke muka sambil melangkah mendekati Mak Cik Izzah
yang duduk berehat di pangkin luar rumahnya.
“Kepala aku ni
asyik pening dari pagi tadi. Sampai pukul lapan tadi, aku dah rasa nak
tumbang.” Akhirnya dia menjawab juga dan terasa sedikit lega apabila apa yang
ditanggung seorang diri diluahkan.
Mak Cik Izzah
mengesot ke tepi bagi memberikan tempat untuk Mak Ani duduk. Kini mereka berdua
duduk-duduk di situ sambil memandang dada malam yang terang disimbah cahaya
kota.
“Tekanan darah
engkau naiklah tu. Ubat engkau dah habis ke?”
Mak Ani diam
sahaja. Memang ada kemungkinan itu yang berlaku tetapi dia sudah sampai ke satu
peringkat di mana dia sudah berasa teramat jemu menelan ubat. Ada kalanya dia
lebih rela menanggung sakit daripada memasukkan ubat itu ke dalam mulutnya
lagi. Jemu.
“Engkau ni duduk
termenung di luar ni kenapa pula?” Mak Ani bertanya seraya menepuk lembut peha
Mak Cik Izzah. Dia tidak ingin dileteri bagaikan budak setahun jagung.
Mak Cik Izzah
mengeluh. “Entahlah, Ani. Dah tua-tua ni… terfikir pula nasib hidup aku ni.
Sudahlah anak entah di mana, anak angkat pun tak mahu tinggal dengan aku.”
“Anak engkau tak
balik jenguk kau?”
“Dia kata nak
balik minggu depan. Tapi entahlah tu. Dulu pun kata macam tu juga tapi bila
sampai harinya, dia kata nak ikut kawan pergi Genting Highland.”
“Alah…
budak-budak muda. Berseronok tu lebih penting daripada tengok muka kita ni.
Esok, bila kita dah tak ada, baru nak menangis-nangis,” balas Mak Ani. Dia mula
terkenang anak-anaknya yang lain selain Joe. Mujurlah Joe dan Maria mahu
tinggal berdekatan selepas berkahwin. Kalau tidak… nasib mereka berdua tentu tidak
jauh bezanya.
“Engkau lainlah,
engkau beruntung. Anak dan menantu duduk dekat saja. Hari-hari boleh tengok
muka cucu.”
“Redha sajalah,
Izzah. Tak guna bersungut. Lagi kita tak bersyukur, lagi kita mudah sakit. Dah
tua-tua ni, jangan banyak fikir itu tak cukup, ini tak cukup. Apa yang ada,
kita terima. Apa yang tak ada, tak payah rasa sedih. Dah bukan rezeki kita.”
Panjang lebar Mak Ani menasihatkan Mak Cik Izzah. Dia tahu Mak Cik Izzah rasa
di antara mereka berdua sungguh besar perbezaannya.
Walaupun sudah
hampir 10 tahun, mereka tinggal berjiran di flat itu, dia tidak begitu tahu
kisah hidup jirannya itu. Apa yang dia tahu, Mak Cik Izzah seorang janda yang
mempunyai seorang anak yang tinggal bersama bekas suaminya. Selain itu Mak Cik
Izzah mempunyai seorang anak angkat perempuan yang dipanggil Ana tetapi
sekarang sudah tinggal di asrama tempat gadis itu bekerja. Segala perbelanjaan
hidupnya ditanggung oleh wang pencen dan sedikit bayaran yang diberikan Maria
sebagai upah untuk menjaga Daniel setiap hari.
“Engkau cakap
senanglah… aku ni yang mungkin mati sorang-sorang di rumah ni esok,” balas Mak
Cik Izzah.
“Hisy! Janganlah
minta macam tu. Aku ni kan ada? Maria ada, Joe ada… kami akan tengok-tengokkan
engkau. Janganlah bimbang.” Tidak sangka, ke situ pula yang difikirkan oleh Mak
Cik Izzah malam itu. Pilu pula hati tuanya.
“Anak orang,
lain dengan anak sendiri.”
Mak Ani mengeluh
perlahan. “Habis tu? Engkau tak cuba cari anak kau tu? Entah-entah dia pun cari
kau.”
Lama Mak Cik
Izzah terdiam. Dia termenung jauh. “Bukan aku tak nak cari tapi jejak kaki ke
kampung itu pun, bekas suami aku tak benarkan. Ini kan pula nak melihat anak
aku.”
“Itulah kalau
mengikutkan sangat nafsu marah. Suami isteri yang bergaduh, anak yang jadi
mangsa.”
“Dulu aku ada
dengar dari orang kampung… bekas suami aku dapat anak baru tiga orang. Entah
bagaimanalah nasib anak aku tu.”
Suasana menjadi
hening. Mak Ani diam sahaja bagi memberikan ruang untuk Mak Cik Izzah meluahkan
perasaannya. Mungkin dengan itu, hati Mak Cik Izzah akan kembali tenang.
“Bukan aku tak
nak bawa dia sekali pada masa tu tapi suami aku tak izinkan. Lagipun madu aku
tu kononnya sayang sangat pada anak aku tu,” sambung Mak Cik Izzah.
“Kalau aku jadi
kau Zah, aku heret juga anak aku tu. Tak kiralah, apa pun nak jadi,” balas Mak
Ani.
“Kalau
difikirkan balik… memang aku menyesal tak bawa dia. Tapi yalah, benda dah
berlaku. Anak aku tu pun dah besar panjang. Entah-entah dah kahwin pun.”
“Carilah dia,”
gesa Mak Ani.
“Nak cari macam mana? Lagipun nanti orang kata dah besar baru nak cari, dah tua baru ingat
anak, dah besar baru nak menumpang senang. Aku pun tak mahu menyusahkan dia….”
Suara Mak Cik Izzah begitu keras.
Mak Ani mati
akal. “Kalau macam tu… berdoa sajalah moga-moga sebelum kau menutup mata, kau
dapat berjumpa dia semula. Berdoa juga, moga-moga hatinya terbuka untuk cari
kau sebelum terlambat.”
“Ani… katakanlah
aku tak sempat jumpa dia. Boleh tak kau cakap pada dia… aku bukan tak sayang
dia, bukan saja nak tinggalkan dia tapi pada masa tu aku memang tak dapat bawa
dia ikut aku. Aku diceraikan depan tangga, dihalau sehelai sepinggang… parang
dihalakan ke muka aku.” Suara Mak Cik Izzah semakin sebak.
“Kalau itu yang
kau nak… aku akan tunaikan kalau aku terjumpa anak kau. Tapi aku lebih suka kau
tak putus asa. Kau berdoalah sunguh-sungguh, minta pada Tuhan untuk jumpa
semula anak kau walaupun sekali. Selagi kita hidup, selagi itu macam-macam
boleh berlaku.”
Mak Cik Izzah
diam.
“Aku dah tak
larat ni, Zah. Aku nak masuk dulu. Kau jangan nak termenung lama-lama dekat sini…kang
ada pula yang meneman. Pergi masuk tidur. Esok lusa adalah si Ana tu balik.
Jangan fikir yang bukan-bukan.” Mak Ani angkat punggung. Bahu Mak Cik Izzah
ditepuk lembut. Bukan dia tidak mahu melayan lagi rawan hati jirannya itu cuma
jika ditunggu, mahu dia pitam di situ.
“Esok Maria
kerja?” Sempat Mak Cik Izzah bertanya sebelum Mak Ani jauh menapak.
“Kerja,” jawab
Mak Ani sambil memulas kunci rumahnya. Dia masuk ke dalam sambil melepaskan
nafas yang panjang. Dia tahu, selagi bernyawa… kisah manusia tidak akan habis.
Entah apa pula yang akan terjadi esok hari, entah apa pula nasib dirinya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.