Bab 5
KEESOKAN
harinya, Damien dan Anis bertolak ke Melaka. Setelah hampir dua jam di atas
lebuh raya, kereta Damien meluncur keluar melalui Tol Pedas lalu masuk ke
sebatang jalan biasa. Dari situ, dia memandu menyusuri jalan itu menuju ke
sebuah tempat yang terletak dalam daerah Tanjung Agas.
“Betul ke ini
jalannya, bang?” Anis bertanya.
Damien menoleh
ke arah Anis seketika. Wajah Anis nampak tidak selesa, nampak cemas. Dia yakin
Anis sedang berdebar-debar. Malah mungkin Anis sedang bergelut dengan rasa
gembira dan takut. Dia faham.
“Hisy! Tak
percaya pada abang ke?”
Anis diam.
Damien ketawa
kecil. Mungkin Anis takut mereka akan tersesat entah ke mana tetapi dia ada
GPS. Kalau tersalah arah pun mungkin dalam jarak 100 meter sahaja. Jalan di
Malaysia ni bercakap, bak kata ayahnya. Maksudnya banyak papan tanda yang
menunjukkan nama jalan dan arah. Sejauh manalah mereka boleh tersesat? Tetapi
dia tahu hati Anis memang sentiasa diselubungi kebimbangan dan keraguan yang
terlalu kuat. Itulah yang ingin dikikisnya nanti.
“Betullah jalan
ni. Di sebalik bukit tu laut. Tempat ni dulu salah sebuah kubu pertahanan
tentera penjajah yang mengawasi selat,” sambungnya lagi apabila mereka sudah
masuk ke sebuah simpang kecil di hujung sebuah pekan kecil yang bernama Pekan
Rastali.
Anis menoleh ke
arah kirinya. Yang dilihatnya hanyalah rumah-rumah kampung yang didirikan
sebuah-sebuah dengan halaman yang agak luas. Pokok-pokok kelapa, rambutan dan
mangga tumbuh subur di samping pokok-pokok bunga kertas pelbagai warna yang
ditanam berjajar di dalam pasu. Tidak sedar, matanya asyik melihat suasana
perkampungan yang mendamaikan di sepanjang jalan namun begitu wajahnya tetap
tidak ceria.
“Anis tengok
apa?” tegur Damien lagi.
“Cantik tempat
ni. Macam kampung Anis.”
Hati Damien
tersentuh. Dia faham, Anis rindukan kampung halamannya namun mereka sama-sama
tahu Anis sudah terbuang jauh daripada keluarga sendiri. Ayah Anis sudah
meninggal, ibu pula entah di mana. Hanya keluarga ibu tiri Anis yang menetap di
situ, mereka pula tidak pernah mahu menerima Anis. Malah sejak Anis berkahwin
dengannya, keluarga ibu tirinya itu seolah-olah sudah berlepas tangan. Mereka
sudah melepaskan Anis bulat-bulat kepadanya. Dia tidak ada masalah cuma dia
faham Anis sesekali rindukan kampung halamannya.
“Kalau Anis
suka, inilah kampung Anis sekarang. Tapi abang rasa, rumah Anis tu tentu lebih
cantik. Sekejap lagi kita sampai,” katanya sekadar menghiburkan hati.
Anis diam
semula. Cuma apabila kereta Damien mula mendaki bukit, dia mula memberikan
lebih perhatian.
“Cantiknya….”
Seolah-olah tanpa sedar, Anis mengucapkan kata-kata itu. Matanya terpaku
memandang laut yang kelihatan dari kedudukan itu. Makin lama makin jelas
terbentang.
Damien memandu
dengan tenang. Jalan berbukit itu agak lengang. Tidak ada banyak kenderaan yang
melaluinya tetapi dia sendiri rasa kagum dengan apa yang terhidang di hadapan
mata. Subhanallah! Ucapnya dalam hati.
“Itu ke
rumahnya, bang?” Anis membongkokkan tubuhnya ke hadapan lalu menjenguk ke arah
sebelah kanan.
Dari situ
kelihatan tersergam sebuah rumah banglo yang terletak di atas tanah yang
mendatar, betul-betul di pinggir bukit yang menghadap ke Selat Melaka. Atapnya
kelabu dan keseluruhannya banglo itu berwarna hitam dan putih. Hanya rimbunan
bunga-bunga pelbagai warna menyuntik sedikit seri selain terdapat sebatang
pokok besar merendang yang tegak di sisi rumah.
Damien membaca
semula alamat yang tertera di atas kad yang diberikan ayahnya semalam. ‘Vila
Helena’ begitulah namanya vila yang dicari-cari. Apabila keretanya mendekati
rumah itu, dia berhenti di tengah jalan lalu menoleh ke arah kanan. Dia
tersenyum.
“Ya, inilah
rumahnya.”
Tanpa berlengah,
dia menekan pedal minyak dan memutar stereng. Keretanya membelok ke sebelah
kanan dan masuk ke sebuah jalan kecil bertar yang sudah pudar warna.
Anis tidak
bersuara. Dia memerhati sahaja Damien menghentikan kereta di luar pagar rumah
itu. Hatinya makin berdebar. Inikah rumahnya?
“Apa tunggu
lagi?”
Damien tersenyum
apabila Anis masih lagi tidak berkutik dari tempat duduknya. Dari riak wajah
Anis, dia dapat merasakan yang Anis masih terperanjat apabila melihat rumah
sebesar itu. Apabila Anis masih diam, dia terus membuka pintu kereta, mungkin
dia yang perlu memulakan segala-galanya.
Dia menapak ke
pintu pagar. Walaupun nampak tenang, hatinya tetap berdebar-debar juga. Dia
juga rasa tidak sabar untuk melihat rumah itu daripada dekat. Entah bagaimana…
seperti ada satu deruan angin yang kuat memukul mukanya. Dia jadi tergamam
sebentar. Selepas itu, pandangan matanya berpinar. Dia hampir rebah.
“Abang!” kata
Anis yang baru melangkah keluar dari kereta. Dia sempat memaut lengan Damien.
“Kenapa ni?”
Damien hanya
menggeleng. Tidak ada jawapan yang dapat diberikan pada waktu itu. Malah
kepalanya tetap terasa berat dan tubuhnya seram sejuk seperti orang demam. Dia
juga terbau sesuatu yang busuk seperti bangkai yang sedang mereput namun
semuanya didiamkan sahaja demi menjaga perasaan Anis.
“Abang okey,”
katanya berbohong tetapi Anis masih merenung wajahnya dengan pandangan yang
pelik. “Betul. Abang okey. Marilah masuk,” katanya.
Anis mula tenang
semula.
Lalu Damien
menggagahkan juga kudratnya untuk membuka pintu pagar.
“Tak berkunci,”
katanya apabila melihat pagar rumah itu hanya diletakkan ensel yang tidak
dimanggakan. “Welcome, to your new home!”
katanya lagi sambil memegang bahu Anis.
Kini mereka
berdua berdiri di tengah-tengah halaman rumah. Di hadapan mereka tersergam
sebuah rumah besar dua tingkat. Lebih besar dari apa yang mereka lihat daripada
jauh.
Anis angguk
perlahan. Matanya terpaku memandang rumah di hadapannya. Sedang mereka berdua
leka memerhati, pintu hadapan rumah itu terbuka dan muncullah seraut wajah
manis di situ.
“Selamat datang, tuan, puan….” Seorang gadis
manis berkata.
Anis tergamam.
Dia menoleh ke arah Damien.
*****
ANIS tidak
bergerak dari tengah halaman. Walaupun kepalanya dimamah cahaya matahari yang
tegak di atas kepalanya, dia tetap tidak melangkah ke hadapan walaupun setapak.
Entah kenapa, kehadiran gadis manis di hadapan pintu itu telah memadam segala
rasa gembiranya yang mula hadir.
Tetapi di
sebalik pandangan mata Anis yang menikam, gadis itu hanya berlagak selamba sahaja.
Dia melebarkan daun pintu dan sekali lagi mempersilakan Anis dan Damien masuk
ke dalam.
“Jemputlah
masuk,” katanya tanpa memandang lagi.
Damien memegang
tangan Anis lalu tersenyum.
“Kita masuk
dulu,” katanya seraya memberikan pandangan penuh makna kepada Anis. Seolah-olah
cuba menyatakan yang hal itu akan dibincangkan kemudian.
Anis faham. Apa
pilihan yang dia ada? Takkan dia hendak merajuk dan lari balik pula? Cuma dia
tidak suka dengan situasi itu. Apa lagi kejutan yang menantinya?
“Mari,” ajak
Damien sekali lagi. Dia dapat merasakan hati Anis tidak senang. Dia sendiri
rasa terkejut dan tidak menyenangi situasi itu.
Melihatkan
ketenangan Damien, Anis cuba menepis rasa marahnya ke tepi. Dia mula melangkah
masuk. Namun sebaik sahaja dia memijak lantai rumah itu, dia diserbu rasa sejuk
dengan tiba-tiba. Bulu romanya terus tegak berdiri dari hujung jari hingga naik
ke tengkuk. Seolah-olah dia masuk ke sebuah tempat yang bersuhu sangat rendah.
Dia terpinga-pinga seketika.
“Macam mana?”
tanya Damien sambil menoleh ke arahnya.
Dia
terkebil-kebil. Macam mana? Tentulah cantik. Cantik sangat bagaikan sebuah
istana perhiasan dalamannya. Terfikir di benaknya berapa banyak wang yang
dihabiskan ayah mertuanya untuk menghias semula rumah itu. Dia terharu.
“Okey,” jawabnya.
Rasa seram sejuk tadi dilupakan sahaja. Mungkin kerana perubahan suhu,
fikirnya. “Awak ni siapa?”
Dia menoleh pula
ke arah gadis yang menyambut kedatangannya dan Damien tadi. Dia sebenarnya
tidak lupa kepada hal yang pokok. Segala keindahan di dalam rumah besar itu
tidak mampu membuatkan dia lupa terhadap perkara yang sedang mengganggu
jiwanya.
“Saya penjaga
rumah ni. Nama saya Maya.” Gadis itu tersenyum namun tidak menghulurkan salam.
Dia hanya tercegat di tepi dinding memerhati gelagat Anis dan Damien.
“Awak penjaga
rumah ni? Dah berapa lama awak bekerja di sini?” tanya Anis lagi.
Suaranya tetap
mendatar bagaikan tidak berperasaan. Namun makin lama, makin cuak hatinya
apabila melihat gadis itu daripada dekat. Dengan bibir yang terbentuk elok,
raut wajah yang bujur sireh dan rambut yang ikal mayang, gadis itu sungguh
cantik di matanya. Apatah lagi jika gadis itu tersenyum, sedap sungguh mata
memandang.
“Dah beberapa
tahun.” Gadis itu menjawab. Kini dia sudah berhenti tersenyum seperti tadi.
Mungkin kerana nada suara Anis yang tidak begitu ramah seperti yang diharapkan.
Dah beberapa
tahun? Jadi gadis itu memang tinggal di situ?
“Awak… tinggal
di sini? Tak takut ke tinggal sorang dalam rumah sebesar ini?” Anis cuba
berhelah.
Bagaimanapun
pertanyaan Anis mengundang senyuman di wajah Maya. “Saya balik ke rumah saya
bila petang. Di sebelah pagi saya datang.”
Anis angguk
perlahan bersama rasa lega yang dirasakan kini. Walau bagaimanapun dia masih
tidak begitu selesa dengan kehadiran Maya di situ.
“Apa tugas awak
di sini?” Dia bertanya namun matanya masih memerhati suaminya yang sudah berada
di ruang tamu kedua rumah itu. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi petikan
piano dari situ. Nampaknya Damien mula selesa namun bukan dia.
“Bersihkan
rumah, siram pokok bunga.” Maya menjawab. “Tapi bila puan dah ada ni, saya juga
akan masak dan basuh baju puan.”
“Tak payahlah
susah-susah masak untuk kami lagipun suami saya hanya suka makan masakan saya.
Saya boleh masakkan untuk dia.”
Maya angguk
faham.
“Selain awak… ada
orang lain tak di rumah ni? Tukang kebun?” tanya Anis lagi. Itu pun satu
maklumat yang penting. Dia tidak mahu lagi apa-apa kejutan untuknya. Kehadiran
Maya di situ sudah cukup membuatkan darahnya naik ke kepala. Betapa dia
membayangkan yang dia hanya akan tinggal berdua di situ sepanjang tempoh
percutian.
“Saya seorang
saja, puan,” jawab Maya.
Anis menjeling.
Kini dilihatnya Maya seperti takut-takut kepadanya. Tidak seperti tadi, kini
Maya tidak lagi mengangkat muka memandangnya. Mungkin gadis itu sudah tahu, dia
bukanlah seorang kawan dan jika dia terancam… dia tidak akan takut untuk
bertindak. Jadi Maya harus awas. Dia bukan saingan. Rumah itu rumahnya dan
lelaki yang berdiri berdekatan piano itu adalah suaminya.
“Abang!”
laungnya apabila Damien semakin jauh.
Damien berpatah
balik ke arahnya.
“Masukkan kereta
dulu. Boleh kita bawa masuk beg,” katanya. Rasanya semua persoalannya tentang
Maya sudah terjawab. Dia juga yakin Maya memahami di mana garis sempadan di
antara mereka berdua.
Damien lantas
menuju semula ke pintu masuk dan melangkah keluar dari situ.
Setelah Damien
pergi, Anis mula memeriksa rumah itu namun tangga yang menghala ke tingkat dua,
dirasakan amat menarik hatinya. Dia pun melangkah ke situ.
*****
DAMIEN
mengeluarkan beg pakaian daripada kereta. Beg itu diletakkan sahaja di tepi
pintu sementara dia melangkah menuju ke sebuah meja batu berwarna hijau di tepi
sebuah kolam ikan. Dia duduk di atas kerusi batu yang tersedia sambil melihat
ikan-ikan koi berenang-renang tetapi bukan itu tujuannya pergi ke situ.
“Boleh saya
bercakap dengan Encik Yahya?” tanyanya sebaik sahaja salamnya disambut oleh
suara seorang wanita di hujung telefon.
Sambil bertanya
dia memicit kepalanya yang terasa berat. Dia runsing jika kesihatannya
merosakkan percutian dia dan Anis di situ tetapi ada hal lain yang perlu
diselesaikan dahulu.
“Encik Yahya
bercuti. Dia ke Thailand,” jawab suara yang menjawab.
“Bila dia
balik?”
“Mungkin
seminggu lagi. Encik boleh tinggalkan nombor, dia boleh hubungi encik bila dia
balik nanti.”
“Tak boleh ke
saya terus call dia di sana? Ada
nombor telefon bimbitnya?” tanya Damien lagi. Timbul rasa kecewa di hatinya
apabila tidak dapat bercakap dengan orang yang menguruskan rumah itu.
“Memang dia ada
tinggalkan nombor telefon tapi dia sudah berpesan supaya percutiannya tak
diganggu sehingga dia balik semula ke sini,” terang wanita itu lagi.
Damien mengeluh
perlahan.
“Kalau macam tu
tak apalah. Saya berikan nombor saya, suruh dia telefon saya segera nanti.
Pesan pada dia juga anak Tan Sri Dzairil telefon,” balasnya seraya meninggalkan
nombor telefon bimbitnya pada wanita itu. Perbualan pun berakhir.
“Dah sampai?”
Suara Tan Sri Dzairil terus masuk ke telinganya apabila panggilan keduanya
bersambung.
“Baru setengah
jam, abah,” jawabnya.
“Macam mana?
Cantik tak rumah tu?”
“Cantik. Tapi
saya belum tengok habis lagi,” jawabnya dengan jujur.
“Bunyinya macam
tak suka saja?”
Damien tersenyum
nipis. Pandangan matanya dialihkan ke arah laut di hadapannya. “Siapa kata tak
suka, abah? Tapi… abah tak kata abah sediakan pembantu rumah sekali dekat sini.
Saya fikir kami tinggal berdua saja.”
“Pembantu
rumah?” Tan Sri Dzairil terdiam seketika. “Mungkin syarikat Yahya yang sediakan
untuk jaga rumah tu sementara waktu. Damien dah telefon dia? Cuba tanya.”
“Dia berada di
Thailand sekarang. Saya minta nombor telefon dia tapi orang di pejabatnya tak
nak beri.” Damien merungut.
“Kalau macam tu,
biarkan sajalah. Kalau Damien dan Anis rasa tak suka pada pembantu rumah tu,
suruh saja dia balik atau serahkan saja pada agensinya. Kalau kena bayar
apa-apa caj pun, bayar sajalah.”
Damien angguk.
Betul juga kata ayahnya tetapi dia pun belum berbincang dengan Anis. Mungkin
Anis suka jika ada pembantu rumah di situ. Sekurang-kurang ada juga teman
berbual dan ada pembantu yang boleh menolong membersihkan rumah sebesar itu.
Anis pun masih tidak berapa sihat.
“Biar saya
bincang dengan Anis dulu. Kalau dia tak kisah, tak apalah. Kalau tak… teruk
juga nak bersihkan rumah sebesar ini.”
Tan Sri Dzairil
ketawa. “Ingat… layan dia baik-baik. Senangkan hatinya. Jangan buat dia penat
sangat.”
Damien tersenyum
semula. Walaupun jauh, ayahnya masih mengingatkan dia soal itu. “Saya ingat…
tapi tadi saya lihat dia berbual dengan pembantu rumah tu. Saya rasa elok juga
dia ada kawan baru untuk berbual.”
“Satu permulaan
yang baik,” kata Tan Sri Dzairil.
Dia juga rasa
begitu. Setelah perbualan mereka berakhir dia lantas bangun lalu melangkah ke
arah rumah. Tetapi langkahnya terhenti di tepi sebuah pasu besar yang berisi
pokok bunga ros berwarna merah muda. Tanpa ragu-ragu, dia memetik bunga itu
sekuntum lalu dibawa masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja dia melangkah, terasa
tengkuknya dicuit. Dia spontan menoleh ke belakang namun tidak ada apa-apa pula
yang kelihatan.
Terima kasih sambung entry kak. Wah, mula-mula masuk rumah dah tegak bulu roma bagai. Maka.. bermulalah suatu misteri. Dapat juga saya tengok perjalanan penghasilan manuskrip genre seperti ini. Boleh juga dibuat rujukan. Terima kasih kak. ^_^
ReplyDeleteRegards,
Fatrim Syah
sama-sama
Delete