Bab 13
“ANIS!
Anis! Kenapa tidur di sini?” Suara Damien mula riuh di pagi hari itu. Dia
benar-benar terkejut apabila mendapati Anis tergolek di atas lantai dengan
tangan terkulai ke tangga apabila dia keluar mencari Anis sebaik sahaja bangun
tidur. Fikirnya Anis turun untuk menyediakan sarapan.
“Anis?” Dia
terus memanggil. Risau hatinya apabila tubuh Anis terasa amat sejuk bak air
batu, bibir Anis juga kering dan membiru. Lalu tanpa berlengah, dikendong tubuh
Anis dan dibawanya ke dalam bilik. Tubuh Anis diselimutnya hingga ke paras
leher. Dia bingung.
Mujurlah
beberapa saat selepas itu, Anis mula bergerak-gerak.
“Anis,”
panggilnya segera. Dia ingin sangat melihat Anis sekurang-kurangnya membuka
mata.
“Abang…,” jawab
Anis perlahan.
Damien
meletakkan tapak tangannya ke dahi Anis, dia tergamam. Dahi Anis panas berapi
pula walaupun bibirnya masih membiru kesejukan. “Anis, abang bawa Anis ke
hospital ya? Anis demam.”
Tanpa diduga,
Anis menggeleng lemah. “Ubat…,” katanya.
“Tunggu
sekejap.” Damien tergesa-gesa meninggalkan katil. Dalam kepalanya hanya nampak
ubat demam yang mungkin ada di dapur.
******
WALAUPUN masih
bingung dengan apa yang berlaku kepada Anis, Damien turun juga ke tingkat
bawah. Setiap kali tapak kakinya memijak anak tangga yang berlapiskan marmar
hitam, ada rasa sejuk yang menjalar hingga ke urat perut. Dia sendiri tidak
sangka rumah itu akan sesejuk itu pada waktu pagi. Mungkin juga dengan sebab
itu Anis jatuh sakit dengan tiba-tiba, fikirnya.
Setibanya di
tingkat bawah, dia terus menuju ke bilik dapur. Sedang dia mencari Peti
Kecemasan yang mungkin ada di situ, dia ditegur oleh satu suara.
“Tuan cari apa?”
Damien mengurut
dada sambil beristirgfar dalam hati. Di muka pintu dapur, kelihatan Maya
berdiri di situ dengan baju-T dan kain batiknya seperti semalam cuma lain warna
dan corak.
“Tuan cari apa?”
ulang Maya.
“Ada ubat demam? Panadol ke… atau apa-apa
saja,” katanya tergesa-gesa setelah rasa terkejutnya hilang. Dia benar-benar
tidak sangka ada orang lain di situ kerana hari masih lagi awal pagi. Cepat
betul Maya masuk kerja?
Dia kembali membuka dan menutup pintu kabinet
dapur. Namun tidak kelihatan langsung tanda-tanda peti kecemasan wujud di rumah
itu. Dia menuju pula ke arah peti ais. Juga kosong.
“Tak pasti pula
saya, tuan.” Maya menjawab dan sama-sama sibuk mencari berdekatan dengan
Damien.
“Ada?” tanya
Damien lagi.
Maya menggeleng.
“Biar saya cuba cari di sebelah depan. Mungkin ada di dalam almari dekat
tangga. Maya menjeling sebelum beredar. Lemah gemalai dia mengatur langkah ke
arah almari yang dimaksudkan.
Damien diam
sahaja. Dia menuju ke arah cerek elektrik yang terletak elok di atas kabinet
dapur. Dituang segelas air yang suam untuk Anis. Dia berharap benar agar ada
ubat walaupun sebiji dua. Menyesal pula kerana tidak bersedia menghadapi
kemungkinan itu.
“Jumpa tak?”
tanya Damien.
“Oh, tuan!” Maya
terperanjat lalu bergerak ke belakang dan terlanggar tubuh Damien yang memegang
segelas air. Akibatnya, baju Damien basah bersimbah air suam.
“Maaf, tuan!
Maaf!” kata Maya sambil tangannya laju menyapu air yang membasahi baju-T
Damien.
Damien tergamam
seketika. Untuk beberapa saat dia berasa keliru apabila jari-jemari Maya
menyentuh dadanya yang basah. Apabila tersedar, dia segera menepis tangan Maya
dan bergerak ke arah tangga. Terasa mukanya panas.
“Ambilkan air
lain,” perintahnya sambil menyuakan gelas yang dipegang tadi.
“Baik, tuan.”
Gelas itu dicapai segera oleh Maya lalu tergesa-gesa dia melangkah ke dapur.
Tidak lama kemudian, gelas itu diserahkan semula kepada Damien tanpa suara.
Damien terus
menaiki tangga semula. Otaknya masih keliru, sekujur tubuhnya terasa hangat
membahang. Dia dibelit rasa bersalah dan berdosa. Kalaulah Anis nampak tadi…
“Tuan!” panggil Maya di tepi tangga. Sambil
tersenyum dia bertanya, “Siapa yang demam?”
“Puan,” jawab
Damien sebelum mengatur langkah makin laju. Risaunya makin tebal. Ubat untuk
Anis masih belum ada, Maya pula yang macam-macam. Makin tepu kepalanya.
“Saya ingatkan
tuan yang sakit… muka tuan pun nampak pucat sikit.”
Damien menggumam
dan lantas meneruskan langkah. Sudah dua orang mengatakan mukanya pucat,
mungkin memang benar dia tak sihat.
Di tepi tangga,
Maya tersenyum lebar.
******
TANGANNYA
sedikit ketar sewaktu memulas tombol pintu yang berwarna keemasan. Terasa
dirinya masih diburu rasa bersalah yang tiba-tiba muncul dari entah mana.
Sungguh dia tidak menjangkakan yang Maya akan berada di rumah itu sebegitu
cepat. Jika dia tahu, dia tidak akan turun dengan hanya berbaju-T nipis dan
berkain pelikat.
“Abang…,”
panggil Anis.
Damien memandang
wajah Anis yang tampak sangat pucat pagi itu. Bibir isterinya makin kering dan
kini mata Anis juga bengkak. Kenapa dengan Anis ni? Dalam kekeliruan, dia
menyuakan air yang dibawa kepada Anis.
“Minum sikit,”
katanya bersulam rasa pilu. Sedih hatinya kerana gagal mencarikan walaupun
sebiji ubat untuk Anis.
Anis tidak
membantah. Dengan jari yang terketar-ketar dia menyentuh gelas yang dipegang
suaminya. Sejurus itu juga rasa suam terasa di jari-jemarinya. Dia lalu meneguk
setakat yang termampu ditelan.
“Abang tak jumpa
ubat,” sambung Damien lagi.
Anis menggeleng.
“Ini pun dah
cukup, bang,” jawabnya.
“Sekejap lagi,
kita pergi klinik ya?”
“Anis tak
laratlah.” Anis serahkan semula gelas yang dipegang kepada Damien. Hampir
segelas juga air yang masuk ke perutnya.
“Kalau Anis tak
larat, abang dukung.”
Anis menggeleng
lagi.
“Mana boleh
macam tu? Nanti melarat-larat demam Anis, siapa yang susah? Anis juga, kan?”
Damien bersuara lembut. Tangan kanannya membelai rambut Anis yang sedikit
kusut. Dia masih dapat merasakan tubuh Anis begitu panas.
“Tak nak… Abang
belikan Anis ubat demam sajalah. Ada agaknya dekat kedai runcit tepi simpang
jalan besar tu.”
Damien diam
sebentar. Nampaknya Anis betul-betul tidak mahu ke klinik. Mungkin kerana Anis
langsung tidak larat untuk meninggalkan katil, fikirnya.
“Abang beli dulu
ubat demam tu, kalau tak sihat juga baru kita pergi.” Anis bersuara antara
dengar dan tidak. Matanya terpejam rapat.
“Anis tidur
dulu, nanti abang fikir apa yang abang boleh buat.” Dia membetulkan selimut
Anis dan lantas turun daripada katil. Dia melangkah ke bilik air pula.
Selesai bersolat Subuh, Damien mengangkat tangan
berdoa. Dia memohon untuk kesihatan Anis dan ayahnya. Dia juga memohon
keampunan di atas setiap dosa-dosanya. Namun, apabila sekilas wajah Maya terbayang,
hatinya kembali resah seperti ada sesuatu yang tidak kena.
*******
SETELAH
mandi dan siap berpakaian ringkas, Damien mengambil kunci kereta. Dari
tempatnya berdiri dia dapat melihat Anis sedang tidur nyenyak, walaupun begitu
hatinya tetap tidak tenang. Selagi Anis tidak menelan sebarang ubat, dia masih berasa
seperti dia bukan seorang suami yang bertanggungjawab.
“Abang cari ubat
sekejap ya,” katanya kepada Anis. Apabila kata-katanya tidak dibalas, dia
mengucup dahi Anis sebelum beredar. Sempat dia memerhati ke sekeliling sebelum
menutup pintu.
“Bagaimana
keadaan puan?” tanya Maya.
Lagi sekali
Damien terkejut. Langkahnya terkaku di tepi pintu.
“Saya nak ambil
baju kotor.” Bagaikan dapat membaca fikiran Damien yang keliru, Maya berkata
dengan tenang sambil tersenyum.
“Ambillah tapi
puan sedang tidur. Dia masih demam,” balasnya sambil mengatur langkah menuruni
tangga.
“Saya… tak boleh
masuk bilik tuan. Boleh tuan tolong ambilkan?”
Langkah Damien
terhenti tetapi untuk memudahkan segala perkara, dia masuk semula ke bilik
tidurnya. Tidak lama kemudian dia keluar membawa bakul kain lalu dihulurkan
kepada Maya.
Maya
menyambutnya dengan tenang.
“Tuan nak ke
mana pagi-pagi ni? Sarapan saya dah sediakan,” katanya lagi. Selangkah demi
selangkah dia mengekori Damien yang telah menuruni tangga.
Damien hanya
menoleh sedikit ke arah dapur. Dari situ, dia dapat melihat ada makanan dan
minuman yang terhidang di atas meja walaupun dia tidak pasti apa yang
dihidangkan.
“Kan saya dah
kata semalam, awak tak perlu sediakan apa-apa untuk kami?” katanya dengan
sedikit jengkel.
“Tak apalah,
tuan. Puan pun tak sihat pagi ni. Marilah minum dulu, tuan… keluar dengan perut
lapar tak baik. Di sini pun, kalau pagi-pagi macam ni jarang ada kedai makanan
Melayu yang buka.”
Damien
memekakkan telinga. Tanpa mempedulikan kata-kata Maya, dia terus melangkah ke
arah pintu sambil menggenggam kemas kunci keretanya.
“Betul tuan tak
nak makan dulu?” tanya Maya lagi. Dia sempat mengejar Damien di muka pintu
hadapan. Di tangannya sudah ada sepiring kuih yang berbau harum. “Saya ada buat
Kuih Sayang-Sayang. Cubalah rasa, tuan.”
Damien hanya
menjeling tajam. Dia harap itu sudah cukup untuk mengunci mulut Maya yang
terlebih ramah pagi itu. Lalu tanpa suara, dia cepat-cepar beredar dari situ.
“Baik-baik bawa
kereta, tuan. Pagi-pagi ni… macam-macam benda ada kat atas jalan raya tu,”
pesan Maya lagi sebelum Damien menutup pintu kereta.
Damien hanya
mengeluh panjang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.