Bab 14
KERETA
dipandu perlahan mendaki bukit. Waktu itu baru sekitar pukul 7.15 pagi namun
suasana di situ sudah cerah. Langit biru mula kelihatan dan cahaya matahari
mula terbias di celah-celah awan. Sungguh cantik, sayangnya Damien tidak ada
masa untuk menikmati itu semua. Di fikirannya, hanya mahu mendapatkan ubat secepat
mungkin untuk Anis. Kalau dapat dua biji Panadol pun jadilah, fikirnya.
Dengan tenang,
Damien memandu menuju ke Pekan Rastali yang terletak di tepi simpang tiga yang
menuju ke arah bandar. Setelah ulang alik melalui jalan itu sebelum ini, dia
sudah semakin biasa dengan permandangan hutan dan kampung kecil di tepi jalan
itu. Namun perasaannya sedikit risau apabila tiba di tempat yang dituju, tidak
kelihatan sebuah kedai pun yang dibuka. Awal sangat ke? Dia terjenguk-jenguk
mencari kedai yang sudah dibuka, sayangnya tidak ada.
Setelah memandu
dari hujung pekan hingga ke hujung pekan, dia masih belum melihat sebuah pun
kedai runcit yang dibuka. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk pergi ke bandar
yang berhampiran, mungkin di sana dia akan menemui stesen minyak ataupun 7
Eleven. Sedang dia melalui sebuah kawasan yang sunyi, tiba-tiba kelihatan sesuatu benda putih
menerpa dan melintas di hadapan keretanya. Dia menekan brek secara mengejut.
Keretanya mendadak terhenti, kepalanya hampir terhempas ke papan pemuka jika
tidak ditahan oleh tali pinggang keledar.
Sambil memegang
dadanya yang masih tercungap-cungap, Damien membuka pintu. Dia yakin, dia telah
terlanggar sesuatu. Dan apabila dia berjalan ke hadapan kereta, kelihatan
sekujur tubuh seorang perempuan terbaring di sebelah tayar kereta.
“Ya,
Allah!” Itu sahaja yang terucap
dibibirnya.
*****
UNTUK seketika
waktu, dunia seakan berhenti berputar. Masa tidak berdetik, angin pun tidak
berhembus. Damien terpaku memandang sekujur tubuh yang terbaring di sisi jalan.
Fikirannya bingung.
“Cik! Cik!” Dia
memanggil apabila rasa kagetnya hilang. Dia melutut di sisi gadis itu untuk
melihat keadaannya. Tidak sedar, peluh di dahinya mula menitik.
“T… to… tolong
saya.” Itulah kata-kata terakhir yang diucapkan oleh gadis berambut lurus paras
bahu itu sebelum menutup mata. Tangan yang diangkat tadi kini longkai menyentuh
bumi.
“Cik! Cik!”
Damien terus memanggil namun gadis itu tetap tidak sedarkan diri. Tergeletak di
pinggir jalan.
Ya, Allah! Apa
aku nak buat ni? Dia berdiri semula. Setelah mundar-mandir kegelisahan, dia
menelefon seseorang.
“Faiz! Tolong
aku Faiz!” katanya laju. Dia terus terlupa untuk memberi salam.
“Kenapa
kelam-kabut sangat ni?” jawab satu suara.
“Tolong aku
Faiz. Aku langgar orang ni…” Damien memicit kepalanya. Tubuhnya mula menggigil.
Kalau gadis tu mati macam mana? Anak siapalah pula ni…. Kepalanya makin sakit.
Dia memerhati jalan raya yang sunyi itu. Tidak ada sebuah kenderaan yang lalu
untuk meminta bantuan.
“Hah? Kau
langgar orang? Dekat mana? Kau okey tak?”
“Entah. Aku tak
tahu dekat mana ni… tapi aku menuju arah ke bandar agaknya.” Untuk seketika,
dia betul-betul buntu di mana dia berada.
“Orang yang kau
langgar tu macam mana? Mati ke?”
“Aku rasa belum
mati lagi. Nafas dia ada tapi dia pengsan.”
“Dia luka ke?
Parah ke?”
Damien menoleh
semula ke arah gadis itu. Tidak kelihatan pula apa-apa luka selain sedikit
calar dan wajahnya yang pucat lesi.
“Tak ada pun.
Entahlah, aku tak sentuh dia,” jawabnya.
“Kalau tak luka,
kau bawa sajalah ke hospital. Nanti aku pergi sana jumpa kau.”
“Hospital?
Manalah aku tahu dekat mana ada hospital? Aku bukan tahu sangat tempat-tempat
di Melaka ni.”
“Kau ni, Dami.
Panik tak tentu hala. Kau masukkan nama Hospital Intan Hayati dalam GPS kau.
Nanti kau jumpalah. Hospital tu terletak tepi laut. Aku rasa dalam lima
kilometer sahaja daripada rumah kau tu. Sekejap lagi aku cari kau dekat sana….”
Damien
mengeluarkan telefon bimbitnya, dia memasukkan nama hospital yang disebut oleh
Faiz dalam perisian GPS. Ya, hospital itu memang wujud. Tergesa-gesa dia
menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam poket. Dengan tiba-tiba, langkahnya
terhenti seketika.
Nak hantar gadis
itu ke hospital? Hatinya mula berbolak-balik. Macam mana nak angkat ni? Mahu
tidak mahu dia membuka pintu kereta belakangnya lalu menggendong tubuh gadis
yang berbaju kurung putih itu ke dalam kereta. Ya, Tuhan! Ampunkan aku kerana
telah menyentuh dia. Dia rasa bersalah berganda-ganda.
*****
DEGUP jantung
Damien berdetak pantas. Dalam hidupnya inilah kali pertama dia dihadapkan
situasi yang secemas itu. Dan dia tidak mahu ada sesiapa pun menghembuskan
nafas terakhir di dalam keretanya. Dia benar-benar berharap agar gadis itu
dapat diselamatkan. Tidak sedar dia telah memecut laju.
“Dami tahu ke
mana Danny pergi?” Pertanyaan ayahnya hampir empat tahun yang lalu terulang
semula di ingatannya.
“Danny? Kenapa
abah tanya saya? Kalau tak di ofis, tentulah di rumah Kak Pia.” Dia menjawab
dengan tenang.
Ayahnya
menggeleng. “Abah dah puas cuba hubungi dia sejak petang tadi. Dia tak ada
hubungi Dami?”
Berderau
darahnya apabila mendengar jawapan daripada ayahnya. Dari duduk terus dia
bangun membelek telefonnya. Tidak ada satupun panggilan daripada Danny ataupun
mesej. Dia cuba menghubungi Danny namun sayangnya telefon Danny dipadamkan.
“Abah dah cuba
tanya Kak Pia? Mungkin Kak Pia tahu?”
“Sudah. Pia kata
dia pun tak jumpa Danny sejak pagi tadi,” jawab ayahnya.
Dia cuba sekali
lagi namun masih gagal menghubungi Danny. Dia mula resah, lebih-lebih lagi
melihatkan wajahnya ayahnya yang juga sudah kelihatan muram.
“Helo, Kak Pia.
Kak Pia dapat hubungi Danny?” Dia terus menghubungi Kak Pia pula namun seperti
yang diberitahu oleh ayahnya, Kak Pia juga gagal menghubungi Danny. Pada waktu
itu Danny bagaikan hilang tanpa jejak dan sememangnya itulah yang berlaku.
“Zack kata
paling akhir mereka makan tengah hari bersama tengah hari tadi. Lepas tu dia
balik ke TAV tapi Danny ke tempat lain.” Kak Pia memberikan maklumat.
Dia bingung,
Danny tidak pernah berkelakuan begitu sebelum ini. Adakah Danny sengaja
menghilangkan diri untuk menenangkan dirinya sebelum majlis akad nikahnya
keesokan hari?
“Mungkin…
mungkin dia nak bertenang kut?” katanya kepada ayahnya pada waktu itu.
Ayahnya diam
sahaja. Entah kenapa riak mendung di wajah ayahnya tetap tidak hilang dan
kekeruhan di wajah ibunya bagaikan memberi satu petanda bahawa Danny tidak akan
pulang lagi.
Siren ambulans
yang berselisih dengan keretanya di pintu masuk Hospital Intan Hayati
menyedarkan dia yang sedang diulit kenangan lama. Betapa cemasnya perasaan dia
sekeluarga apabila kehilangan Danny benar-benar menjadi nyata. Dan kini… di
belakangnya adalah seorang gadis yang pasti ada ibu dan bapanya. Dia bertekad
untuk memulangkan gadis itu ke pangkuan mereka dengan selamat.
Di hadapan
bahagian wad kecemasan, dia tergesa-gesa memberhentikan keretanya
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.