Bab 15
Sementara
itu di Flat Seri Mastura….
“ITU
pun dia dah turun,” tegur Mak Ani sambil menghulurkan kedua belah tangannya
untuk menyambut Daniel yang baru dibawa masuk ke dalam kafe oleh Maria.
Dengan senyuman,
Maria menyerahkan Daniel ke pangkuan ibu mertuanya. Walaupun terasa berat hati
untuk berpisah dengan anaknya setiap pagi tetapi demi kerja dia terpaksa
meninggalkan anaknya itu di bawah pengawasan Mak Cik Izzah. Jika hendak
diharapkan ibu mertuanya, dia bimbang ibu mertuanya tidak akan cukup tangan
kerana perlu menguruskan kafe tersebut juga.
“Mana Mak Cik
Izzah? Selalunya dia yang sampai dulu.”
Terdetik rasa
hairan kerana perempuan tua yang lebih kurang sebaya dengan ibu mertuanya itu
tidak kelihatan lagi di situ seperti selalunya. Apa yang lebih dibimbangkan
jika Mak Cik Izzah sakit dan tidak dapat menjaga Daniel.
“Sekejap lagi
turunlah tu,” balas Mak Ani yang sedang leka melayan rengek Daniel. “Kalau nak
pergi kerja dulu, pergilah. Mak boleh jaga sekejap.”
“Saya takut
jalan jammed saja, mak.”
“Pergi sajalah.
Mak boleh jaga.”
“Kalau macam tu,
biar saya pergi dulu, mak. Abang pun dah tunggu dalam kereta.” Dia menghulurkan
salam sebelum mengucup tangan ibu mertuanya dan kemudian kucupan kasihnya
singgah di pipi Daniel pula. “Tapi kalau Mak Cik Izzah tak dapat jaga Daniel,
mak telefon tau. Saya akan cuba minta cuti kecemasan.”
“Sekejap lagi
turunlah orang tua tu,” jawab Mak Ani. Dengan tiba-tiba suaranya berubah nada
apabila terlihat Mak Cik Izzah masuk ke situ, “Haaa, Zah. Kenapa lambat pula
pagi ni?”
Mak Cik Izzah
mengeluh. “Sejak tinggal sorang-sorang ni, beginilah aku ni, Ani. Malam tak
boleh tidur, bangun pagi lambat.”
Maria hanya
ketawa mendengar mulut Mak Cik Izzah yang riuh.
“Tak apalah, mak
cik. Kalau lambat pun, saya tinggalkan Daniel di sini dulu,” kata Maria sambil
tersenyum. Dia tidak sampai hati melihat Mak Cik Izzah berasa bersalah pula.
Kesanggupan Mak Cik Izzah menjaga Daniel pun sudah tidak ternilai harganya
dengan wang ringgit yang dihulurkan saban bulan.
“Tak boleh kan,
Daniel? Nanti habis rambut Daniel bau asam pedas,” jawab Mak Cik Izzah sambil
mengambil Daniel dari dukungan Mak Ani. Seperti berebut pula mereka berdua.
“Aku tak masak
asam pedas pagi-pagilah, Zah,” bantah Mak Ani sambil menarik muka.
“Tak masam asam
pedas masak rendang,” usik Mak Cik Izzah sambil ketawa.
Mak Ani cuma
menggeleng. “Tulah, kau. Yang kau benarkan anak kau tu duduk asrama buat apa?
Sekarang kau juga yang sunyi.”
“Habis? Nenek
Daniel tu tak duduk sorang-sorang ke….,” balas Mak Cik Izzah seolah bercakap
dengan Daniel dalam dukungannya.
Daniel cuma
tersenyum. Air liurnya menyembur-nyembur.
“Cepatlah bawa
cucu aku ke atas. Lama-lama kat sini, pening kepala budak tu.” Mak Ani sudah
mengalah.
“Bukan Daniel
saja yang pening, nenek pun pening….” Mak Cik Izzah ketawa sambil melangkah ke
arah pintu kedai bersama Daniel.
“Saya pergi
dulu, mak,” kata Maria sebelum segera mengikut langkah Mak Cik Izzah, dia tahu
Mak Cik Izzah dan ibu mertuanya hanya bergurau walaupun kedengarannya agak
kasar. Mungkin hanya dengan cara itu hati mereka berdua boleh bahagia,
fikirnya.
Setelah mengucup
pipi Daniel sekali lagi, Maria meninggalkan tempat itu. Dia bersyukur kerana
dikurniakan insan-insan yang penyayang di sekelilingnya.
*****
“KENAPA lambat?”
tanya Joe sebaik sahaja Maria masuk ke dalam kereta.
“Tak ada apa,”
balas Maria. Tidak terfikir di kepalanya untuk menyalahkan Mak Cik Izzah pula.
Biarlah dia yang menangung jika Joe terasa marah dek kelewatan yang tidak dapat
dielakkan itu.
Joe terus
memandu keretanya meninggalkan kawasan flat dan menuju ke jalan utama. “Dah
cakap dengan mak?”
Maria geleng.
“Kenapa tak
cakap lagi?”
“Tak tahu nak
cakap macam mana,” balas Maria perlahan. Itulah yang sebenarnya.
“Kalau susah
sangat, tak payahlah cakap. Kalau mak marah nanti, kita diam sajalah. Cukup
hari kita pergi ambil Daniel, kalau tak pun kita tunggulah Anis dan Damien
balik semula ke KL.”
“Tengoklah
nanti. Kalau saya rasa berani nak cakap, saya cakap. Kalau tak berani… abanglah
cakap.”
“Eh! Maria punya
idea, Marialah yang cakap,” bantah Joe.
“Alah… kalau
abang cakap, mak tak marah kut? Abang kan anak dia?”
“Hisy! Antara
abang dengan Daniel, mak lebih sayang Daniel lagi tau?”
Maria ketawa
kecil. Tak tahu pula dia, yang suaminya rasa ada persaingan sekarang. “Kita
suruh Daniel sajalah cakap, nak?”
Joe hanya ketawa
kecil. Persoalan itu tinggal persoalan.
*****
DI PEJABAT Tan
Sri Dzairil, pagi itu dikunjungi seorang tetamu. Tan Sri Dzairil yang baru saja
tiba di situ agak terperanjat.
“Ada apa Zarina
datang jumpa abang ni?”
Datin Zarina
yang duduk di hadapan Tan Sri Dzairil, tersenyum hambar. “Betul ke saya dengar
yang abang belikan menantu abang sebuah rumah di Melaka?”
Mendengarkan
pertanyaan itu, tahulah Tan Sri Dzairil akan tujuan kedatangan adik iparnya ke
situ. Lalu, dia mengangguk.
“Bukan Vila
Helena, kan?” Datin Zarina merenung wajah Tan Sri Dzairil.
“Kalau vila tu,
kenapa pula?”
“Tapi kan… arwah
mak tak benarkan sesiapa balik ke situ lagi?”
“Arwah mak dah
lama tak ada. Lagipun abang tak nampak apa masalahnya sehingga larangan itu
dikeluarkan kepada sesiapa. Kita semua dah tua, anak-anak pun sudah besar
panjang. Apa masalahnya?”
“Jadi betullah,
abang belikan menantu abang tu Vila Helena?”
Tan Sri Dzairil
angguk. “Rumah tu sangat cantik. Abang rasa sangat sesuai untuk Anis dan
Damien.”
“Bukan kerana
abang masih ingatkan kisah lama abang?”
“Kalau ya pun,
apa salahnya?”
Datin Zarina
terdiam.
“Sudahlah.
Jangan masuk campur hal keluarga abang sampai macam tu sekali. Abang bukannya
gunakan duit syarikat untuk beli rumah tu, abang gunakan duit abang sendiri,”
sambung Tan Sri Dzairil lagi.
Air muka Datin
Zarina berubah keruh. “Saya bukan nak masuk campur urusan abang tapi saya rasa
larangan arwah mak dulu ada sebabnya.”
“Sebab apa?”
Datin Zarina
menggeleng. “Saya pun tak tahu, Tetapi itulah yang kerap kali dipesannya dulu.
Menyebut pasal vila tu pun dia tak mahu.”
“Abang tahu soal
tu. Tapi semua tu dah lama berlalu.”
“Tapi abang
masih ingatkan vila tu lagi, kan?”
Tan Sri Dzairil
angguk. Dia tidak menafikannya, malah kebelakangan ini hatinya sering rasa
terpanggil untuk balik ke situ. Dia sahaja yang menahan.
“Saya dah
berikan abang peringatan. Kalau terjadi apa-apa pada Maisara….” Datin Zarina
terdiam.
“Apa
kena-mengena pula dengan Maisara?” Suara Tan Sri Dzairil meninggi.
“Dia… dia dalam
perjalanan ke sana.”
Tan Sri Dzairil
tergamam.
******
SETELAH Datin
Zarina meninggalkan pejabatnya, dia terus menghubungi Maisara. Hatinya geram
betul dengan sikap anak saudaranya itu. Makin besar, makin tidak mendengar
kata.
“Maisara,”
panggilnya terus apabila panggilan telefonnya dijawab.
“Morning,
uncle.”
“Maisara di mana
sekarang ni?”
“Highway,”
balas Maisara dengan lancar.
“Maisara nak ke
mana?”
“Nak ke rumah
Damien.”
“Janganlah ke
sana.” Dia menegah.
“Kenapa pula tak
boleh?” bantah Maisara dengan satu pertanyaan pula.
“Uncle kata tak
boleh, tak bolehlah. Janganlah diganggu Damien dan Anis kat sana tu. Mereka kan
pergi bercuti?”
“Saya bukan nak
ganggu, saya pun nak pergi bercuti juga. Kalau rumah tu tak best, saya duduk kat hotel sajalah,”
balas Maisara acuh tak acuh.
Tan Sri Dzairil
menarik nafas panjang apabila mendengar jawapan yang dilontarkan oleh Maisara.
Dia tahu Maisara seorang yang cukup keras kepala.
“Singgah sekejap
sajalah. Lepas tu tinggal di hotel, bil hantar ke pejabat uncle.” Dia
benar-benar berharap agar Maisara hanya singgah beberapa minit di Vila Helena.
Kalau lebih lama, dia tahu air mata Anis akan menitik lagi.
“Tengoklah dulu,
uncle.” Maisara memutuskan panggilan.
Tan Sri Dzairil
mengetap gigi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.