Bab 16
Di Vila Helena….
ANIS sudah lama
terjaga namun dia tidak turun dari katilnya. Dia berbaring sahaja sambil
menatap siling dan berfikir. Betulkah semua yang ditempuhinya malam tadi itu benar-benar
berlaku? Betulkah yang dilihatnya itu Danny? Kenapa Danny datang semula dalam
hidupnya? Kenapa?
“Sudah sampai
masanya untuk Anis bina hidup baru,” kata Cik Pia beberapa tahun yang lalu
sewaktu dia baru mengenali Damien.
“Bukan saya tak
nak, Cik Pia. Tetapi dia….”
“Cubalah Anis
kenali hati Damien betul-betul dulu. Saya yakin satu hari nanti, Anis akan
mengakui walaupun mereka kembar seiras tapi mereka dua individu yang berbeza,”
pujuk Cik Pia lagi. “Muka saja hampir sama tapi hati lain-lain. Berilah dia
peluang.”
“Kenapa bukan
Cik Pia sahaja yang beri dia peluang?”
Cik Pia
menggeleng. “Sejak kecil lagi saya sudah menganggap Damien tu seperti adik saya
saja. Tapi dengan Danny, lain. Sebab itulah Damien selesa memanggil saya Kak
Pia. Antara kami tak wujud apa-apa perasaan lain selain perasaan sebagai kakak
dan adik.”
Dia terdiam
seketika. Dia masih ragu-ragu untuk menerima kehadiran Damien dalam hidupnya.
Bukan kerana dia tidak nampak kesungguhan hati Damien tetapi dia sebenarnya
meragui hatinya sendiri. Cukuplah sekali dia jatuh cinta dengan terburu-buru.
Dia sudah serik.
“Dia cintakan
Anis. Apa lagi yang Anis mahukan?” tanya Cik Pia. “Anis masih ingatkan Danny?”
Dia diam sahaja.
Walaupun dia sedar, Danny sudah lama tidak ada. Malah pertemuan mereka pun satu
keajaiban namun perasaan yang tertinggal dalam hatinya bukan sesuatu yang dibuat-buat. Perasaan cinta dan rindu seolah-olah
terpahat di situ. Sukar untuk dialihkan ke tempat lain.
“Inilah realiti,
Anis. Yang telah pergi tetap pergi. Yang masih hidup perlu terus melangkah.
Jika kita berhenti, kita juga akan mati sebelum masanya.”
“Bagaimana pula
dengan Cik Pia?”
Cik Pia tersenyum
tenang. “Sudah lama saya menerima hakikat yang Danny dah tak ada. Bukan
bermakna saya lupakan dia tetapi rezeki dia sudah sampai di situ sahaja, sedangkan
rezeki kita masih ada. Kalau kita tak menggunakan apa yang Tuhan berikan,
bukankah itu seolah-olah kita tak bersyukur?”
Sejak itulah dia
cuba belajar menerima Damien sebagai Damien. Tidak pernah sekali terlintas di
hatinya untuk membayangkan Damien itu Danny. Tidak pernah terlintas di hatinya
juga bahawa Damien menggantikan tempat Danny. Dia melihat Damien sebagai
individu yang benar-benar berbeza. Sejak itulah
dia dapat menerima kehadiran Damien dalam hidupnya sehingga kini.
Sayangnya… kehadiran Danny malam tadi seolah-olah mencabar kekuatan perasaannya
sendiri.
“Anis masih
ingatkan Danny?” tanya Damien semasa mereka baru bertunang.
Dia tersenyum.
“Mestilah ingat. Dia juga keluarga kita, kan?”
“Kalau abang
simpan misai dan janggut, macam mana?” tanya Damien lagi sambil tersenyum.
Dia berkerut
dahi. Sukar untuknya menerima Damien dengan wajah yang sebegitu. Lagipun dia
tidak suka lelaki yang bermisai.
“Tak payahlah.
Tak hensem.”
Damien tersenyum
lagi. “Abang cuma tak mahu Anis pandang abang tapi ingatkan Danny.”
Dia rasa amat
terperanjat dengan pengakuan itu. Walaupun dia cuba menerima perbezaan di antara
Damien dan Danny, adalah mustahil untuk dia memadamkan ingatannya terhadap
arwah Danny seratus peratus kerana wajah mereka seiras.
“Apa yang nak
dicemburukan? Orang dah tak ada.”
“Abang faham,
dia cinta pertama Anis.” Kata-kata Damien termati seketika. Kelihatan susah
benar untuk dia meluahkan isi hatinya pada waktu itu. “Tentulah dia ada ruang
yang istimewa di hati Anis tapi… sekarang abang bakal suami Anis. Abang harap
Anis tahu yang mana satu lebih penting.”
Dia rasa amat
tersentuh. Tidak sedar air matanya bergenang pada waktu itu. Dia terharu dan
pada yang sama rasa amat disayangi.
“Sayang, dia
adalah sejarah. Sejarah tak boleh diubah lagi tapi abang… adalah masa depan
Anis. Tempatnya lebih luas dan jauh lebih istimewa di hati Anis.”
Ya, itulah pengakuannya
dulu dan dengan mengingatinya kini… bebayang Danny seolah-olah menjauh dan
memudar kembali. Dia lalu bangkit meninggalkan katil. Mungkin semua itu
hanyalah mainan tidur.
******
SELESAI
mandi dan menukar pakaian, Anis melangkah turun ke tingkat satu. Walaupun
badannya masih lemah namun hatinya ingin sekali menatap wajah Damien. Entah
mengapa ada rasa rindu yang membuak di jiwanya. Rindu kepada seorang suami.
“Awak ada nampak
suami saya?” Dia bertanya kepada Maya yang sedang menyapu sampah di dapur. Dia
sudah mencari di ruang tamu, di anjung belakang dan kini masuk semula ke dalam
rumah tetapi Damien langsung tidak kelihatan.
Maya berpaling
dan menghadap Anis.
“Suami puan? Dia
dah keluar.”
“Keluar? Ke
mana?”
Maya angkat
bahu. “Dia tak cakap tapi….”
“Tapi apa?” Hati
Anis mula berdebar-debar. Riak wajah Maya yang sedikit pucat itu membuat
hatinya bertambah risau. Suaminya ke mana pula? Mencari ubat? Baru dia
teringat.
“Muka dia macam
bosan saja,” jawab Maya sambil menyimpan penyapu di dalam sebuah bilik kecil di
tepi dapur. Kemudian, dia menarik sebuah kerusi di meja makan. Tudung saji
dibuka. “Puan nak minum? Saya ada buatkan kopi. Kuih pun ada.”
Anis tidak
menjawab. Kata-kata Maya masih berlegar-legar di fikirannya. Bosan? Muka Damien
macam bosan? Dia mula rasa bersalah. Kenapalah dia harus demam sewaktu mereka
sedang bercuti? Mungkinkah Damien berasa jengkel?
Maya hanya
memerhati Anis yang sudah duduk di atas kerusi. Dia segera menuangkan kopi ke
dalam cawan putih bercorak bunga ros. Cawan itu diletakkan di hadapan Anis
dengan sopan.
“Minumlah, puan.
Dah nak tengah hari.”
Anis menjeling
cawan di tepi lengannya. Kopi. Dia lantas menolak cawan itu ke tengah meja.
“Tak apalah,
saya tak minum kopi. Berikan saya air kosong saja.”
“Air kosong?”
Maya tergamam. Matanya memerhati sahaja air kopi hitam pekat yang tidak diminum
Anis.
“Ya, saya nak
air suam,” balas Anis. Kepalanya mula berdenyut semula. Segala apa yang
dipandang bagaikan teroleng-oleng.
“Puan makanlah
sikit. Tak baik biarkan perut kosong, nanti melarat-larat demam tu,” kata Maya
sambil meletakkan segelas air kosong di hadapan Anis.
Anis segera
mencapai gelas itu. Diteguk air kosong itu sepuas hati. Namun hatinya merungut
diam-diam… ni bukan air suam, ni air sejuk. Tetapi dia malas untuk meluahkannya
kepada Maya. “Macam mana awak tahu saya demam?”
Maya tersenyum.
“Pagi tadi tuan turun cari ubat demam tapi di rumah ni memang tak ada simpan
ubat tu.”
“Jadi pagi tadi
awak jumpalah suami saya? Ada dia pesan apa-apa?”
“Memang ada, dua
tiga kali juga.” Maya tersenyum lagi seperti cuba mengingatkan sesuatu. “Tapi
tak ada pula dia pesan apa-apa untuk puan. Mungkin dia terlupa.”
Dahi Anis
spontan berkerut. Memang salah dia, dia terlupa yang Damien mahu mencarikan
ubat untuknya. Tidak hairanlah jika Damien tidak ada tetapi lama betul suaminya
pergi?
“Ala, puan.
Lelaki memang macam tu… kadang-kadang kalau sedang asyik dengan sesuatu tu,
isteri pun boleh lupa. Tapi dia tetap akan balik bila dia ingat.”
“Awak dah kahwin
ke, Maya?” Anis bertanya pula. Kata-kata yang diluahkan Maya bagaikan lahir
daripada pengalaman. Tidak sangka pula dia yang Maya sudah berkahwin, sekali
pandang bagaikan anak dara lagi.
Maya menggeleng.
“Masih menanti seseorang yang sanggup berkahwin dengan saya.”
“Jodoh tu di
tangan Tuhan. Siapa jodoh kita, bila bertemu dan berkahwin… semua di
tangan-Nya,” kata Anis pula. Hairan juga di hatinya, macam mana gadis secatik
Maya itu masih belum berkahwin. Tetapi itulah namanya belum sampai rezeki.
Tidak kira betapa cantik pun seseorang gadis, jika belum sampai jodohnya maka
kekal begitulah ia. Dalam diam, dia mensyukuri jodohnya dengan Damien.
“Apa nak buat,
puan? Orang tak tepati janji. Janji nak kahwin dengan kita tapi bila sampai
masanya tak datang-datang.”
Anis menoleh ke
arah Maya yang berdiri berdekatan dengan dapur. “Awak sudah ada kekasih?
Kekasih awak tu pergi mana?”
Maya tunduk
memandang lantai. Senyumannya tadi telah hilang diganti riak sedih yang
mendalam.
“Saya pun tak
tahu. Tapi dia kata dia akan balik ambil saya sebab tu saya tetap tunggu dia.”
Anis termenung
seketika. Riak sedih di wajah Maya membuat hatinya ikut tersentuh. Begitulah
hati seorang perempuan. Kasihnya… setianya… ada kala hingga dibawa mati. “Awak
tunggu saja? Awak tak cuba cari dia?”
Maya menggeleng.
“Saya dah janji dengan dia. Saya akan tunggu dia balik.”
Anis tidak
bertanya lagi. Dia belum larat untuk bercerita panjang. Mungkin setelah dia
sihat dan ada masa untuk bertanya itu dan ini, dia akan luangkan masa untuk
mengenali gadis itu. Sekarang dia hanya mahu berehat sementara menantikan
suaminya balik. Dia rasa seperti mahu demam semula.
Sebelum dia
beredar dari situ, dia sempat memandang ke atas meja. Ada sepiring kuih yang
tidak biasa dilihatnya di situ. Rupa kuih itu seperti karipap namun kulitnya
putih pucat danlembik.
“Kuih apa tu?”
Hatinya yang berasa pelik terus memaksanya bertanya juga.
“Kuih
Sayang-Sayang, puan. Luarnya tepung pulut, intinya kelapa manis. Puan
makanlah.”
Anis menggeleng
lalu beredar. Entah kenapa tekaknya tidak berselera melihat kuih itu.
*****
DI
RUANG TAMU, Anis berbaring di atas sofa. Malas rasanya untuk naik semula ke
bilik, lagipun dia mula berasa jemu menatap siling bilik berseorangan. Sedang
cuba memejamkan matanya, dengan tiba-tiba sesuatu melintas di ingatannya. Dia
memandang ke arah Maya yang juga sedang membersihkan perabot tidak jauh dari
tempatnya berbaring.
“Semasa awak
datang tadi… ada tak awak jumpa apa-apa barang yang pecah?” Dia bertanya.
“Barang pecah?”
tanya Maya semula. “Tak ada, puan. Kenapa?”
Tak ada? Tapi…
dia dengar dengan jelas. Bukan sekali malah dua tiga kali dia mendengar barang
kaca terhempas ke lantai. Jika tidak ada, bunyi apa pula yang didengarnya malam
tadi?
“Malam tadi…
saya dengar bunyi benda pecah di bawah ni tapi saya tak periksa pula,”
balasnya.
Maya tersenyum.
“Tak ada, puan. Mungkin puan salah dengar kut? Mungkin juga bunyi angin. Di
sini kalau malam-malam, biasanya angin kuat.”
“Tapi saya
dengar dengan jelas ada benda pecah. Mungkin barang kaca,” tegasnya lagi.
“Tak ada puan,
kalau ada tentu saya dah jumpa,” balas Maya. Masih lagi dengan jawapannya.
“Awak dah
periksa betul-betul? Cuba awak periksa dalam bilik lain. Entah-entah ada benda
jatuh dalam bilik,” kata Anis lagi. Sukar untuknya menerima jawapan Maya. Dia
yakin memang ada benda yang terhempas ke lantai malam tadi dan keyakinannya
tidak berubah.
Maya diam
seketika sebelum berhenti mengemas dan menjawab, “Nanti saya periksa, puan.”
“Sebelum awak
balik nanti, pastikan awak dah kunci semua pintu dan tingkap.” Pesannya sebelum
Maya menaiki tangga ke tingkat atas.
Maya hanya
mengangguk sebelum meneruskan langkahnya. Tidak lama kemudian, Maya turun
semula ke ruang tamu. “Saya tak jumpa apa-apa yang pecah, puan. Semua bilik
seperti biasa saja.”
Anis tidak
berkata apa lagi. Mungkin benar yang dia sudah tersilap dengar. Sedang dia cuba
menenangkan diri, dia terdengar bunyi hon kereta di hadapan rumah. Kuat sekali
bunyinya dan dia tahu itu bukan bunyi hon kereta Damien.
“Tak apa, biar
saya tengok,” katanya sewaktu Maya mahu membuka pintu hadapan.
Maya berundur ke
dapur.
Anis melangkah
perlahan-lahan ke pintu. Dan apabila pintu dibukanya, dia terlihat seorang
gadis di hadapan pagar. Dia terkedu.
Eh, ni sambungan erti cinta eh?
ReplyDeleteYa, ini sambungannya.
ReplyDelete