Bab 20
DI BILIK ATAS,
Maisara sedang termenung di beranda biliknya. Di situ, dia hanya dapat melihat
sedikit sahaja bahagian laut, selebihnya beranda itu menghadap jalan raya. Dia sedikit
kecewa. Sedang dia termenung menikmati keindahan yang terbentang, dia terdengar
bunyi air seperti dipam di bilik tandas.
Eh! Dia berasa
hairan. Lalu dia melangkah ke bilik air untuk memeriksa. Sebaik sahaja dia
menolak pintu bilik air itu, dia terjerit kecil. Bilik air itu sungguh kotor
dan buruk rupanya. Di lantai dan pada dinding, dipenuhi dengan kesan tanah yang
hitam dan berbau busuk. Ulat melentik-lentik di atas lantai. Dia segera berlari
keluar dari bilik untuk mencari Damien.
“Damien!” Dia
menjerit.
Damien dan Anis
yang kebetulan sedang menaiki tangga, tersentak.
“Damien tolong!”
jerit Maisara lagi.
“Kenapa?” Damien
tercengang. Rasa marah mula timbul apabila melihat kelakuan Maisara yang
kelam-kabut itu. Belum lagi lama, Maisara sudah menunjukkan belang
mengada-ngada, kata hatinya.
“Masuk sekejap.
Kenapa bilik airnya kotor sangat? Eee… jijik!”
“Kotor?” Damien
pandang muka Anis. Daripada cara Anis memandangnya, dia tahu Anis juga tidak
percaya dengan apa yang didengar. Mungkin Maisara sudah mula buat hal. “Mana
ada kotor? Rumah ni dah dibersihkan.”
“Marilah tengok
dulu,” ajak Maisara.
“Tak apalah,
bang. Abang pergilah tengok. Kalau betul kotor, suruh Maya bersihkan. Anis nak…
masuk bilik dulu.”
“Biar abang
hantar Anis ke bilik dulu,” jawab Damien. Dia tahu Anis beralah dengan sikap
Maisara.
Anis geleng. Dia
melangkah tenang ke bilik tidurnya.
Melihatkan Anis
sudah masuk ke dalam bilik, Damien segera mengikut Maisara memeriksa bilik air
di bilik yang lagi satu.
“Tak ada apa-apa
pun? Bersih saja,” katanya setelah memeriksa. Memang dasar Maisara yang suka
buat kecoh.
“Ha?” Maisara
tercengang. Dia menarik Damien keluar dan menerpa masuk. Seperti yang dikatakan
oleh Damien tadi, bilik air itu memang bersih sebersihnya. Aneh. “Aik? Tadi
kotor tau? Betul… aku tak tipu.”
Damien hanya
menghempas nafas. Rasa geramnya kepada Maisara makin bertambah. “Jangan buat
kecohlah. Kecil hati Anis tu nanti.”
“Aku bukan
sengaja nak buat kecoh,” bantah Maisara. Geram rasanya kerana Damien tidak
mempercayai ceritanya tadi. “Memang betul bilik air tu tadi kotor, busuk.
Lantai dia pula penuh dengan tanah hitam. Berulat.”
Damien hanya
menggeleng. Dia tetap tidak dapat menerima cerita Maisara. Baginya Maisara
hanya membuat cerita untuk mengecohkan keadaan dan menyakitkan hati Anis.
“Habis tu? Macam mana kau nak jelaskan sekarang?”
Maisara diam.
Memang dia tidak ada satu pun penjelasan yang boleh diberikan kepada Damien.
Dia sendiri rasa malu dan bingung.
“Damien… kau tak
rasa rumah ni… sort of creepy?” Sehabis
berkata-kata bulu romanya menegak.
“Jangan
mengada-ngadalah,” balas Damien lalu melangkah menuju ke pintu. “Kalau kau nak
tinggal di sini tolong jangan menyusahkan hati Anis. Jangan nak buat cerita
mengarut tu.”
Maisara
kehilangan kata-kata. Cuma bulu romanya terus meremang hingga ke pangkal
tengkuk.
******
DAMIEN kembali
ke biliknya. Dilihatnya Anis sedang berselimut di atas katil. Dia segera
mendekati Anis.
Semena-mena,
Anis berpaling. Dia memandang Damien.
“Kenapa tadi
tu?”
Damien membelai
rambut Anis yang dilihatnya seperti sedikit kering. Dia tersenyum lembut.
“Ah! Minah kecoh
tu,” kata Damien. “Entah apa-apa. Elok saja bilik air tu.”
“Tak baik abang
kata dia macam tu,” balas Anis tetapi jauh di sudut hatinya lega. Risau juga
fikirannya jika benar bilik air di rumah tu kotor. Tentu nanti menjadi bahan
umpatan pula.
“Anis jangan
fikir apa-apa. Tidur sampai keluar peluh,” balas Damien pula apabila menyedari
Anis masih termenung. Dia kemudiannya duduk menyandar pada kepala katil sambil
membelek telefon bimbitnya.
Anis tarik selimut
sampai ke leher. Sebelum dia memejamkan mata, dia berkata, “Abang pergilah
mandi dulu. Baju abang kotor.”
“Kotor?” Damien
yang sedang leka memadamkan semua ‘history’ panggilan yang dibuat dalam buku
telefonnya, terkejut.
“Belakang abang
kotor. Macam ada kesan tanah.”
Damien terasa
darahnya bergemuruh. Mungkin tanah terkena pada bajunya sewaktu dia mendukung
gadis tadi ke dalam keretanya.
“Tak apalah, biar abang mandi sekejap.” Dia
terus bangkit meninggalkan katil dan mencapai tuala. Baju kotornya dicampak
sahaja ke dalam bakul kain sebelum melangkah masuk ke dalam bilik air.
Sementara Damien
mandi, Anis mencapai telefon bimbit Damien lalu memeriksanya. Semua sejarah
panggilan yang diterima ataupun yang telah dibuat oleh Damien telah dipadamkan.
Kotak mesej juga kosong.
Anis termenung
seketika.
******
SUDAH pukul 3.00 petang, Anis masih tidur.
Sesekali Damien memeriksa suhu badan Anis yang semakin menurun. Leher Anis juga
sudah berpeluh. Ubat demam itu berkesan, mungkin Anis hanya demam biasa. Demam
berubah tempat. Perasaan risaunya juga mula menyurut.
Setelah penat
berbaring di sisi Anis, Damien turun ke tingkat bawah. Hajat di hati mahu
menonton TV sementara Anis bangun semula. Sebaik sahaja, dia tiba di tingkat
bawah, suasana dirasakan sangat sunyi dan dingin walaupun di luar rumah nampak
terang-benderang .
Dia menukar
saluran TV beberapa kali. Hinggalah tiba ke saluran ‘LIFE inspired’ dia
berhenti dan duduk dengan selesa. Baru sahaja hendak menumpukan perhatian, dia
ditegur.
“Saya dah
siapkan nasi, tuan. Jemputlah makan.”
Damien terkejut.
Dia lantas menekan butang kawalan volum suara, lalu menggeleng. Sesungguhnya
dia sudah terlupa tentang kehadiran Maya di rumah itu. Debar di dadanya mula
kencang semula.
“Dah dekat pukul
3.00 petang ni, tuan. Makanlah sikit. Untuk puan, saya dah masakkan bubur
nasi.”
“Saya masih
kenyang. Awak makanlah,” balas Damien.
Dia tidak mahu
melayan Maya. Dia tidak mahu melayan jiwanya yang kacau-bilau apabila Maya ada
di sisinya. Entah kenapa setiap kali Maya ada berdekatan, bulu romanya
meremang. Gadis itu sememangnya mempunyai aura yang kuat tetapi tidak menyenangkan.
“Nasi dan lauk,
saya sediakan di atas meja makan. Kalau tuan nak makan nanti, silalah ke sana.
Bubur puan macam mana? Nak saya bawakan ke bilik?” tanya Maya lagi.
Bulu tengkuk
Damien pula meremang. Daripada getaran suara Maya, dia dapat merasakan betapa
dekatnya Maya berdiri di belakangnya. Bagaikan terasa hembusan nafas Maya di
lehernya. Dia segera mengangkat punggung dan menoleh. Memang Sah, Maya berdiri
di belakang kerusinya tadi sambil tersenyum manis.
“Biar saya bawa
bubur tu ke atas,” katanya dalam situasi yang dirasakan amat kekok itu.
“Tuan makanlah
dulu. Lepas tu bawa bubur untuk puan.”
Damien
menggeleng untuk ke sekian kalinya. Entah kenapa, berat benar hatinya untuk
menyentuh masakan Maya. Seperti ada sesuatu yang menghalang dan mematikan
seleranya.
“Awak ambilkan
bubur untuk puan saja.”
Kali ini Maya
mengalah. Dia angguk sekali dan lantas ke dapur. Tidak lama kemudian terdengar
bunyi pinggan pecah.
Pranggg!!! Dan
disusuli jeritan Maya. “Aduh!”
Damien yang
masih berdiri sejak tadi di ruang tamu, segera berlari ke dapur. Jeritan Maya
membuatnya cemas.
“Macam mana
boleh jatuh ni?” Dia tergamam di muka pintu apabila terlihat Maya terkelepok di
atas lantai sambil bersimbah bubur nasi. Cebisan kaca pula merata-rata.
“Tolong, tuan,”
Maya berkerut dahi sambil menggosok buku lali dan betisnya perlahan-lahan.
“Tolong? Nak
tolong apa? Awak tak boleh bangun ke?” Damien terkelip-kelip memandang. Kasihan
juga hatinya melihat keadaan Maya begitu tetapi untuk menolong… dia ragu-ragu.
Maya segera
menggeleng. Wajahnya sebak sekali. “Kaki saya sakit, tuan. Maafkan saya sebab
pecahkan mangkuk.”
“Awak tak payah
kisahkan mangkuk tu, awak pergilah berehat dan tukar pakaian dulu. Biar saya
bersihkan bubur ni.”
Maya
terangguk-angguk tanpa memandang wajah Damien.
“Saya tak boleh
bangun, tuan,” katanya sambil cuma mengangkat tubuhnya berdiri tetapi
terjelepok jatuh semula ke lantai.
Damien garu
kepala. Nak angkat ke? Akhirnya dia mengeluh panjang. Dalam sehari, sudah dua
kali dia mendukung perempuan. Tadi yang di hospital tu, yang ni di dapur pula.
Dengan berhati-hati, dia mendekati Maya dan menarik lengan Maya supaya bangun.
Maya tersentak
bagaikan keliru. Tanpa memandang Damien, dia mengangkat tubuhnya berdiri semula
dengan hanya sebelah kaki. Lalu sambil berjengkit-jengkit… Damien memapahnya ke
bilik tidur di sebelah dapur.
Setelah Maya
didudukkan di atas katil, Damien segera melepaskan pegangannya dan bergerak
pergi.
Maya
membongkok-bongkok membelek kaki dan betisnya yang putih melepak.
“Awak rehatlah
dulu.”
Perasaannya jadi
begitu bercelaru semasa berada di situ. Sepertinya ada sesuatu yang berperang
dalam jiwanya. Dia beristighfar… lalu melangkah keluar. Jika Anis nampak…
mungkin sukar jadinya.
“Terima kasih,
tuan. Tuan baik,” kata Maya sambil menjeling manja.
Kata-kata itu
tidak singgah lama di telinganya. Dia tidak menjawab atau menoleh ke belakang
lagi. Dia baik? Dia hanya menolong apa yang sepatutnya sahaja. Itu pun sedaya
upaya, dia menyentuh Maya seminima yang mungkin. Dia anggap itu situasi
darurat. Tidak mungkin pula dia sanggup melihat seorang perempuan yang dalam
kesakitan merangkak di atas lantai. Ah! Makin bercelaru perasaannya.
Selepas membersihkan kesan bubur dan kaca-kaca
yang berselerakan, dia membawa semangkuk bubur nasi dan segelas air suam ke bilik
Anis. Hilang sudah seleranya untuk menonton TV.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.