Bab 17
Hospital Intan
Hayati….
“SAYA tak tahu
doktor. Saya jumpa dia terbaring di tepi jalan,” jawab Damien separuh jujur.
Doktor lelaki
itu hanya mengangguk sebelum mengikut jururawat masuk ke bilik rawatan
kecemasan. Damien ditinggalkan di luar pintu tanpa sebarang jaminan.
Damien hanya
memerhati Bilik Kecemasan yang telah tertutup rapat, dia berasa sedikit lega
kerana sekurang-kurangnya gadis itu sudah ada di tangan pihak yang boleh
melakukan sesuatu. Sambil menarik nafas panjang, dia melabuhkan punggung di
salah sebuah kerusi di situ dan cuba menelefon Anis.
Dia menunggu
dengan tenang tetapi panggilannya tidak dijawab. Dia mendail berkali-kali namun
tetap tidak ada sesiapa yang menjawab panggilannya. Dia mengeluh lagi. Sama ada
Anis di dalam bilik air ataupun Anis langsung tidak mendengar bunyi telefon
bimbitnya. Dia bertambah susah hati. Anis di rumah entah bagaimana khabarnya,
gadis di dalam Bilik Kecemasan juga entah apa ceritanya.
“Hah! Macam mana
orang tu?” tegur seorang lelaki berkaca-mata sambil menghulurkan salam.
Damien tergamam
seketika namun huluran salam itu disambut mesra. Tangan Faiz, sahabat lamanya
ditarik dan diajak duduk di sebelahnya.
“Dalam Bilik
Kecemasan lagi.” Dia menoleh sedikit ke arah Bilik Kecemasan di sebelah
kirinya. Bilik itu masih tertutup rapat cuma sesekali kelihatan jururawat dan
pembantu perubatan keluar masuk. Resahnya masih bersisa.
“Kalau tak
cedera parah, mungkin pengsan sebab terkejut saja,” balas Faiz dengan tenang.
“Janganlah susah hati sangat….” Dia pandang muka Damien lama-lama. Dihadiahkan
senyuman buat penenang jiwa.
“Entah apalah
malangnya aku hari ni…. Cari ubat tak jumpa, jumpa pula perempuan tu,” jawab
Damien seraya mengeluh.
“Perempuan? Yang
kau langgar ni perempuan ke?”
Damien angguk.
“Yang pelik tu, tempat tu bukannya ada rumah atau apa-apa. Kalau tak silap aku
tadi, di sebelah kanan aku kebun getah dan di sebelah kiri macam hutan… Kenapa
dia tiba-tiba meluru ke kereta aku, tak tahulah. Mujur aku sempat tekan brek.
Kalau tak mungkin dah melambung dah.”
Faiz mengeluh.
“Itulah namanya dah nak jadi. Bukan boleh fikir logik lagi dah. Yang kau
merayap pagi-pagi ni nak ke mana? Isteri kau mana?”
“Pasal dialah
aku keluar rumah tadi. Aku nak cari ubat demam tapi kedai kat tempat aku tu
semua tutup, aku pun jalan ke depan lagi. Tup… tup… ini pula yang aku jumpa.”
“Relakslah.
Mungkin tak ada apa-apa tu,” balas Faiz lagi.
Damien mengeluh
panjang. Dia betul-betul tidak menyangka pagi itu akan berubah rentak. Tadi
dirasakan begitu nyaman namun sekarang dirasakan begitu menyesakkan.
“Sabarlah. Kalau
tak ada apa-apa tu sekejap lagi kau boleh baliklah,” tambah Faiz.
Belum
sempat Damien membalas, seorang
jururawat menegur mereka berdua.
“Encik, doktor
nak jumpa sekarang.”
Damien dan Faiz
serentak berpandangan sebelum bergegas ke Bilik Kecemasan.
******
“DIA
sudah sedar tapi masih lemah. Badannya banyak kehilangan air dan tidak
bertenaga. Terdapat juga kecederaan yang mencurigakan. Saya masih menunggu
keputusan x-tray dan ujian darah. Kes ini saya rujuk kepada pihak polis,” kata
doktor lelaki tadi dengan wajah yang serius. Namanya Dr. Azim.
Tidak lama
selepas itu, dua orang anggota polis tiba di situ. Mereka hanya berdiri di tepi
pintu.
“Dia ada
ceritakan apa-apa?” tanya Damien.
“Buat masa ini,
dia sangat lemah. Dia belum buka mulut lagi,” balas doktor itu.
“Doktor rasa dia
akan okey?” Damien pandang wajah doktor itu dengan tajam. Itu sahaja yang
penting sekarang.
“Susah nak cakap
buat masa ni. Kita jangkakan, dia akan pulih dalam masa beberapa hari lagi jika
tidak ada sebarang komplikasi lain.” Dr. Azim membalas renungan Damien.
Damien menghela
nafas, dia belum berasa lega lagi. Walaupun dia amat jelas yang dirinya tidak
bersalah tetapi selagi gadis itu belum menceritakan hal yang sebenarnya, dia
rasa seperti terbabit sama.
“Encik berdua sila ikut anggota polis ni dan
berikan semua keterangan yang encik tahu.”
Damien dan Faiz
berkerut dahi tetapi tidak pula membuka mulut. Setelah mengucapkan terima kasih
kepada doktor itu, mereka meninggalkan bilik itu untuk membuat laporan polis.
Sedang Damien berjalan keluar, tiba-tiba seorang gadis menjerit.
“Awak! Tolong
saya awak!”
Semua yang ada
di situ terpinga-pinga. Gadis berbaju kurung putih itu menjerit dan menangis
sambil menghulur tangan ke arah Damien. “Awak! Jangan tinggalkan saya… Awak
tolong saya!”
Damien tergamam. Wajahnya bertambah pucat apabila
semua mata di situ merenung ke arahnya.
******
HAMPIR
dua jam selepas itu, Damien dan Faiz berada di kantin Hospital Intan Hayati
yang terbuka dan menghadap ke Selat Melaka. Kedua-duanya termenung panjang.
“Kau tak
bersalah… janganlah susah hati macam tu. Kau pun datang sini nak bercuti, kan?” Akhirnya Faiz bersuara. Air teh
ais dalam gelasnya dikacau perlahan-lahan dengan straw.
Damien masih
termenung. Sesak dadanya dengan apa yang baru menimpa. Tidak semena-mena dia
terlibat dengan sebuah kes yang memeningkan kepala. Siapa gadis itu, datang
dari mana, hendak ke mana… semuanya dia tidak tahu. Tetapi itulah yang ditanya
oleh pihak polis tadi berkali-kali. Mereka tidak percaya kepada jawapannya
kerana gadis itu seolah-olah mengenalinya.
“Aku tak kenal
dia, Faiz. Sungguh, aku cakap betul….” Dia menggeleng lemah.
“Bila perempuan
tu dah sihat nanti, mungkin dia boleh ceritakan perkara yang sebenar kepada
polis. Kau tak bersalah, kau jangan takut,” balas Faiz.
“Aku tak takut
kalau aku bersalah tapi….”
“Tapi apa?”
Cepat sahaja Faiz membalas. Matanya tajam merenung wajah Damien.
“Aku takut kalau Anis tahu perkara ni.”
Faiz tersenyum.
“Takkanlah Anis nak fikir yang bukan-bukan pula, kan?”
Damien tarik
nafas. Ingin sahaja dia mengiyakan kata-kata Faiz itu tetapi dia tidak fikir
keadaan akan menjadi semudah itu. Jika orang lain boleh berfikir yang
bukan-bukan, kenapa tidak Anis? Hati isteri mana yang tidak akan gusar apabila
melihat suaminya berdekatan dengan seorang perempuan lain? Dia yakin Anis juga
begitu atau sekurang-kurangnya memendam rasa curiga walaupun sebesar hama.
Malah dalam keadaan Anis sekarang, dia bimbang keadaan Anis akan bertambah
teruk.
“Balik nanti…
kau ceritalah pada dia betul-betul. Jangan sorokkan apa-apa. Bawa dia datang
sini jumpa perempuan tu. Tentu dia tak marah dan faham,” kata Faiz pula.
“Polis dah beri
amaran supaya aku tak ke mana-mana sampai mereka dapat bukti aku tak bersabit
dengan kes ni. Aku harap, kes ni taklah
merebak menjadi berat pula.”
“Maksud kau?”
Damien angkat
bahu walaupun dalam kepalanya terbayang seribu kemungkinan yang teruk-teruk.
“Kau fikirlah… jika ada seorang perempuan macam tu kelam-kabut lari keluar
daripada hutan, kau fikir apa yang aku fikir?”
“Polis kata akan
siasat tempat kejadian, kan?”
“Ya, dan aku tak
fikir mereka akan jumpa apa-apa. Lainlah kalau mereka bawa anjing pengesan ke.
Tapi kes ni bukanlah kes berprofail tinggi.”
Secara
tiba-tiba, Faiz tersenyum dan memetik jarinya. “Kenapa kau tak telefon ayah
kau? Minta bantuan dia. Mungkin kes kau dapat disiasat betul-betul.”
Damien
menghempaskan keluhan, entah apalah yang akan difikirkan ayahnya nanti.
Akhirnya dia mengangguk, mungkin itulah jalan yang terbaik buat masa ini. “Aku
telefon sekejap lagi. Jom kita balik dulu. Aku dah lama sangat tinggalkan Anis
ni.”
“Anis tinggal
sorang ke?”
“Tak. Ada
pembantu rumah di rumah tu.” Entah kenapa dia berasa lega pula.
Faiz angguk
seraya mencuit lengan Damien. “Tak nak melawat orang tu dulu ke?”
Langkah Damien
terhenti. Dia memandang Faiz. “Perlu ke?”
“Jomlah…,” gesa
Faiz. “Sekejap saja. Lepas tu kita baliklah.”
Damien tidak
menolak lagi apabila bahunya dipaut Faiz.
*****
SETELAH
mendapatkan panduan daripada doktor dan jururawat di Bilik Kecemasan, mereka
berdua naik ke tingkat tiga yang menempatkan bilik rawatan khas. Buat masa ini,
gadis itu masih diasingkan daripada pesakit lain lantaran keadaan mentalnya
yang belum begitu stabil.
“Awak! Awak
tolong saya, awak!!!” Gadis itu menjerit lantang bersama air mata yang
membasahi pipinya sebaik sahaja ternampak wajah Damien yang baru sahaja
melangkah masuk ke bilik itu dengan diiringi seorang anggota polis. Serta-merta
bilik itu menjadi tegang semula.
Damien dan Faiz
terus terkaku apabila gadis itu meronta daripada pegangan jururawat dan meluru
ke arah Damien.
“Awak… hantar
saya balik, awak. Tolong saya, awak,” katanya lagi sambil menarik-narik lengan
Damien.
Jururawat segera
menariknya pergi tetapi gadis itu tetap tidak mahu melepaskan lengan Damien.
“A… Awak duduk
sana dulu.” Damien cuba memujuk. Sakit dan perit di lengannya membuatkan dia
sedar bahawa keadaan itu tidak boleh dibiarkan sahaja. Dia juga yang akan
susah.
Perlahan-lahan
gadis itu melepaskan pegangan tangannya. Dia merenung wajah Damien dengan
pandangan yang sayu.
“Saya duduk sana
tapi awak… awak jangan tinggalkan saya. Saya takut mereka datang. Jangan beri mereka
ambil saya,” katanya pula sambil menggeleng laju.
Damien angguk.
Kepalanya makin keliru dengan sikap dan kata-kata gadis itu. Dia menoleh ke
arah Faiz namun Faiz hanya mengangkat bahu.
Setelah gadis
itu naik semula dan berbaring di atas katilnya, Damien mengajak Faiz keluar
dari bilik itu.
“Awak!!!”
Sekali lagi
Damien terkejut. Langkahnya terus sahaja terhenti.
“Awak nak ke
mana?” Gadis itu bertanya lagi dengan suara yang kuat.
Damien menelan
air liur. Kepalanya mula pening. “Awak duduk situ… nanti saya datang semula.”
“Betul? Awak tak
tinggalkan saya, kan?” tanya gadis itu lagi. “Awak jangan pergi, saya takut.”
“Ya… awak tidur
dulu,” jawab Damien sambil menjeling ke arah Faiz. Sedikit sebanyak dia
menyalahkan Faiz kerana mengajak dia ke situ. Sekarang siapa yang susah?
Gadis itu diam
dan kembali merebahkan tubuhnya semula ke atas katil dan mengiring
membelakangkan Damien.
Melihatkan
keadaan yang sudah kembali tenang, Damien segera membuka pintu dan melangkah
keluar dengan laju sambil diekori oleh Faiz.
“Fuh! Gila…
itulah kau. Nak sangat tengok dia. Tak ada penyakit nak cari penyakit,” rungut
Damien.
Faiz cuma
tersengih dan menggeleng. Secara tiba-tiba sahaja langkahnya terhenti. Dia
tidak bergerak walaupun Damien sudah melangkah ke hadapan.
Damien yang
menyedarinya juga berhenti melangkah. Dia menoleh ke belakang dan memandang Faiz yang tercegat di situ.
“Kenapa?”
Faiz membalas
pertanyaan Damien dengan pandangan yang pelik. “Kenapa perempuan tu asyik
panggil kau macam….”
“Macam apa?”
balas Damien. Dahinya sudah berkerut tanda tidak senang dengan cara Faiz
memandangnya. Padanya Faiz yang pandang dia semacam.
“Cara dia tengok
kau… cara dia panggil kau… macam ada sesuatu saja,” balas Faiz. Kini dia tidak
tersenyum lagi. Di wajahnya terbayang kekeliruan yang jelas.
“Kau jangan syak
yang bukan-bukan. Aku tak kenal pun dia, siapa namanya atau dari mana
datangnya.” Damien menyambung langkahnya semula. Hatinya mula mendidih. Dia
tidak sangka Faiz sendiri boleh menyangka yang bukan-bukan terhadapnya.
Kali ini Faiz
tidak membantah atau mengiyakan. Dia hanya menyusun langkahnya beriringan
keluar dari kawasan wad itu.
Di pintu
hospital, mereka berjabat tangan sekali lagi sebelum berpisah. Tetapi sebelum
itu Faiz sempat berpesan sekali lagi, “Jangan lupa telefon ayah kau. Aku rasa
lebih baik kau cari peguam yang mahir dalam kes-kes macam ni.”
Damien bertambah risau.
******
SEBAIK sahaja
Damien masuk ke dalam keretanya semula, dia termenung seketika. Dia benar-benar
bingung dengan apa yang telah menimpanya. Entah daripada mana munculnya masalah
itu, dia sendiri tidak pasti tetapi dia tahu, itu semua ketentuan Tuhan dan
pasti ada hikmah di sebaliknya yang dia belum tahu. Bagaimanapun, dia berasa
ragu-ragu. Adakah dia cukup kuat untuk menempuhnya?
Bersama hempasan
nafas, dia menekan nombor telefon milik Anis namun… sekali lagi tiada jawapan.
Hatinya mula dibelit rasa bimbang. Lalu dia menelefon ayahnya pula. Mungkin
betul kata Faiz, perkara itu bukan perkara kecil.
“Saya di… di… di
Hospital Intan Hayati,” jawabnya setelah menjawab salam yang diberikan ayahnya.
Dadanya berdebar-debar. Dia tidak pasti apa reaksi ayahnya nanti kalau tahu hal
itu.
“Hospital? Buat
apa? Anis sakit?”
Pertanyaan itu
membuatkan dia kehilangan kata-kata. Dia tahu ayahnya sangat bimbangkan Anis.
Tidak ada hal lain yang menjelma dalam fikiran ayahnya selain soal itu. Dan itu
menambahkan tekanan kepadanya.
“Dami!” tegur
ayahnya.
Damien bagaikan
tersedar. “Abah… saya nak cakap sikit.”
Tan Sri Dzairil
hanya menggumam dan menunggu.
“Tadi… saya
terlanggar orang, bah.” Itu sahaja yang terluah oleh bibir Damien. Selepas itu
dia senyap sambil menantikan tindak balas ayahnya. Marahkah ayah?
“Huh? Macam mana
dengan orang tu?”
“Dia tak
apa-apa. Cuma pengsan sekejap tadi. Saya dah bawa dia ke hos….”
“Alhamdulillah,”
sampuk Tan Sri Dzairil. “Dah minta maaf dengan dia? Kenapa Dami tak pandang
betul-betul sampai langgar orang semua?”
Damien menggaru
kepala. Minta maaf apa? Bukan aku yang salah, jawabnya dalam hati. “Tapi,
bah….”
“Dia minta ganti
rugi? Atau nak saman?” sampuk Tan Sri Dzairil lagi.
“Belum sampai ke
situ, bah. Tapi….” Damien mengeluh lagi.
“Apa masalahnya
ni? Macam susah sangat abah dengar.”
Mahu tidak mahu,
terpaksalah Damien menceritakan semua perkara yang telah terjadi daripada mula
hinggalah akhir. Tan Sri Dzairil hanya diam membisu.
“Apa saya nak
buat sekarang, bah?”
“Abah akan
hantar peguam kita ke sana. Dami dengan dia bincang dengan polis dulu. Tengok
macam mana kes siasatan ni berjalan. Abah juga rasa elok Dami beri apa-apa
sahaja bantuan atau maklumat yang diperlukan polis. Jangan sorok apa-apa.”
Damien menghela
nafas. Bukan itu yang membebani fikiranya. “Tapi Anis belum tahu.”
“Kenapa Dami tak
beritahu dia? Dia berhak tahu apa-apa pun yang berlaku pada Dami,” balas Tan
Sri Dzairil.
Lagi sekali Damien
menghela nafas. Kalaulah keadaan semudah itu, mungkin tidaklah menjadi masalah
sekarang. “Sebab… perempuan tu pelik
sikit.”
“Pelik? Apa yang
pelik?”
“Cara dia
panggil saya, cara dia pandang dan pegang….” Damien menarik nafas lagi. Semakin
sesak jiwanya apabila memikirkan sikap gadis itu. “Saya sendiri pun tak tahu
kenapa dia bersikap macam tu. Dia buat macam dia kenal saya sedangkan saya tak
kenal dia. Kawan saya dekat sini pun tanya hal tu. Dia pun macam syak yang
bukan-bukan pula.”
“Abah tak faham
apa Dami cakap ni tapi Dami bukan hidup sorang lagi. Apa-apa pun Anis berhak
tahu.”
“Abah… abah pun
tahu Anis tu macam mana,” balas Damien. Dia yakin Anis tidak akan dapat
menerima perkara ini dengan mudah. Apa
yang dia takutkan, Anis hilang kepercayaan kepadanya. Anis akan syak yang
bukan-bukan.
Tan Sri Dzairil
hanya diam.
“Abah free tak? Abah boleh datang sini
sekejap?” Akhirnya itu sahaja yang terfikir di kepalanya. Mungkin setelah
ayahnya melihat gadis itu sendiri, ayahnya akan faham apa yang menganggu
jiwanya saat itu. Apa yang menjadi persoalannya sekarang.
“Sekarang tak
boleh, Tapi lusa mungkin abah boleh lari sekejap ke sana. Perlu ke abah
datang?”
“Bila abah
datang nanti, abah terus ke Hospital Intan Hayati. Call saya bila dah sampai.” Damien mengharap agar jawapannya itu
dapat difahami oleh ayahnya. Pada saat-saat yang membingungkan itu, dia
memerlukan seseorang yang benar-benar mengenali dirinya di sisi.
Lama juga Tan
Sri Dzairil mendiamkan diri. Mungkin berfikir, mungkin juga cuba menyelami
situasi yang dihadapi oleh Damien. Akhirnya dia memberikan persetujuan untuk ke
situ tanpa menetapkan tarikh dan masa.
“Abah tolonglah datang. Selepas tu… saya ikut
apa saja cakap abah,” katanya buat kali terakhir. Dia benar-benar takut
mengambil tindakan yang boleh memudaratkan diri dan emosi Anis.
“Ya, abah
datang.”
“Lagi satu,
abah. Tolong jangan beritahu apa-apa pada dulu Anis ya… Sekurang-kurangnya Dami
nak abah tengok dulu keadaan perempuan tu.”
“Ya, tapi ada
satu perkara yang abah nak beritahu Dami.”
“Apa dia, abah?”
“Abah baru dapat
tahu yang Maisara dalam perjalanan ke sana.”
“Apa? Dia nak
buat apa ke sini?” Damien berkerut dahi. Terasa fikirannya makin sesak.
“Dia kata nak
pergi bercuti juga tapi abah harap kamu hati-hati sikit dengan dia tu. Jangan
sampai Anis tu berkecil hati lagi.”
Damien menarik
nafas panjang, kemudian menggeleng dan termenung lagi. Dia tidak pasti adakah
kedatangan Maisara itu elok ataupun tidak tetapi dia akan melindungi Anis
sedaya-upaya jika perlu.
“Saya akan buat
apa yang perlu, abah,” jawabnya sebelum menamatkan perbualan,
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.