Bab
18
Di
Kuala Lumpur…
TAN
SRI DZAIRIL gelisah. Dia berasa tidak sedap hati dengan berita yang disampaikan
Damien sebentar tadi. Kenapa pula boleh sampai terlanggar orang? Setahu dia,
Damien adalah seorang pemandu yang berhemah. Berpuluh tahun memandu, sebelum
sekali pun anaknya disaman atas apa-apa kesalahan lalu lintas tetapi baru
sehari ke Melaka, sudah sampai kemalangan. Dia mengeluh berat.
“Qira, contact Datuk Mustapha.” Dia menoleh ke
arah Qira, setiausahanya. Waktu itu dia dan Qira sedang berehat di lobi Hotel
Marriot, Putrajaya sementara seminar yang dihadirinya hari itu disambung
semula.
“Baik, Tan Sri,”
jawab Qira.
Dia menggamit
pula Khairul supaya datang kepadanya. Dia tidak boleh menunggu sahaja.
Konsentrasinya hilang sebaik sahaja mendengar cerita Damien. Satu perkara yang
cukup disedarinya adalah dia sangat mementingkan soal keluarganya melebihi apa
sahaja di dunia ini. Apa sahaja yang dirasai oleh mereka, dia akan turut sama
merasainya sebagai seorang ayah. Danny dan Damien adalah kehidupannya. Cukuplah
sekali dia menderita setelah kehilangan Danny, dia akan selalu ada untuk
Damien.
“Tan Sri….”
Khairul berdiri bersebelahan Tan Sri Dzairil.
Tan Sri Dzairil
lalu menarik sedikit lengan Khairul, mereka berdua melangkah ke suatu sudut
lobi itu. Jauh sedikit daripada semua peserta seminar itu yang sedang berbual
dan berbincang.
“Lapangkan
sehari dua untuk saya ke Melaka,” kata Tan Sri Dzairil tanpa bertangguh. Dia
sendiri menyemak catatannya di dalam organizer yang dipegangnya.
Sesak nafasnya apabila melihat temu janji yang bersusun di situ.
“Tan Sri nak ke
Melaka? Tapi dulu Tan Sri kata… hujung minggu nanti baru nak ke sana.” Khairul
bersuara. Riak wajahnya jelas terkejut.
“Kalau boleh
saya nak ke sana esok. Awak aturkan dengan Qira. Mana temu janji yang boleh
dilewatkan tu, lewatkan sehari dua.” Tan Sri Dzairil sudah tidak kisah lagi.
Makin difikirkan soal Damien, makin kalut rasa hatinya. Jika tidak betul-betul
susah, tentu Damien tidak meminta dia pergi ke sana. Mesti ada sesuatu yang
telah terjadi, fikirnya.
“Ada apa-apa
yang perlu saya tahu, Tan Sri?” tanya Khairul pula. Dia masih kelihatan
bingung.
“Damien langgar
orang,” jawab Tan Sri Dzairil.
“Langgar orang?”
Tan Sri Dzairil
angguk. Walaupun Damien kata orang yang dilanggar tidak minta ganti rugi atau
mahu menyaman, dia percaya kes itu tidak akan selesai begitu sahaja.
Sekurang-kurangnya sebagai sesama
manusia, mereka patut berasa simpati di atas segala kesakitan yang ditanggung
orang itu dan keluarganya. Dan dia tidak akan teragak-agak untuk menghulur
beberapa ribu duit perbelanjaan. Pada dia, itu pun belum tentu dapat
menghilangkan kesan trauma dan kesakitan yang dialami mangsa tersebut.
“Mati?”
Tan Sri Dzaril
mengeluh sebelum menjeling ke arah Khairul. “Tak. Tapi saya rasa saya nak ke
sana tengok keadaannya. Lagipun Damien mahu sangat saya ke sana. Tentu ada
apa-apa.”
“Kalau macam tu,
saya akan uruskan secepat mungkin,” kata Khairul sebelum Qira menghampiri
mereka berdua.
“Datuk Mustapha
di talian, Tan Sri.” Qira hulurkan telefon bimbitnya.
Tan Sri Dzairil angguk.
Debaran di dadanya makin kuat.
“Assalamualaikum,
Tan Sri. Apa khabar?” Suara Datuk Mustapha kedengaran riang.
“Tak berapa
baiklah, Datuk,” balas Tan Sri Dzairil setelah menjawab salam Datuk Mustapha.
Mereka sudah kenal lama dalam dunia bisnes. Sekarang firma guaman Datuk
Mustapha yang menguruskan semua hal-hal perundangan syarikat-syarikatnya. Malah
menjadi peguam keluarganya juga.
“Lain macam
bunyinya tu?” Datuk Mustapha ketawa.
“Sediakan
seorang peguam untuk Damien.”
“Damien?
Kenapa?” Ketawa Datuk Mustapha terus hilang.
“Dia terlanggar
orang. Dah jadi kes polis,” terang Tan Sri Dzairil.
“Okey, no problem.
Dia di mana sekarang?”
“Di Melaka.
Datuk ada nombor telefon dia, kan?”
“Saya akan
hantar peguam terbaik saya ke sana. Tan Sri jangan bimbang apa-apa,” balas
Datuk Mustapha lagi.
Tan Sri Dzairil
mengangguk perlahan. Dia tahu Datuk Mustapha dan barisan peguamnya boleh
dipercayai. Apa yang penting hanyalah duit. Ada duit, banyak perkara boleh
diuruskan.
“Uruskan dengan
baik. Jangan sampai ada pula yang teraniaya.”
“Tan Sri jangan
bimbang. Saya bukan tak kenal cara Tan Sri. Tan Sri anggap saja perkara ni dah
selesai. Kalau Damien telefon, katakan pada dia jangan susah hati. Kami akan
buat apa saja supaya dia dibebaskan daripada sebarang masalah.”
Tan Sri Dzairil
menarik nafas panjang. Panggilan Datuk Mustapha ditamatkan. Dia tahu Datuk
Mustapha akan berusaha apa saja untuk menyelamatkan Damien tetapi dia tetap
berasa tidak sedap hati.
“Esok saya nak
ke Melaka,” katanya kepada Qira.
“Esok Tan Sri tak boleh ke Melaka,” kata Qira
sambil membuka PDA di tangannya. Dia meneliti catatannya di situ satu-persatu.
“Kenapa? Ada
mesyuarat penting ke?”
Qira angguk.
“Tan Sri ada mesyuarat dengan Menteri esok. Pukul 2.00 petang. Pagi pula, Tan
Sri ada upacara perasmian tapak perumahan di Bangi. Dua perkara ni saja yang
tak boleh diubah. Yang lain sudah saya aturkan.”
Tan Sri Dzairil
terdiam. Dia harap Damien mampu bersabar sehingga dia datang.
Bab 19
“NOT
SO BAD….” Maisara memuji sambil melangkah masuk ke dalam Vila
Helena. Sejak dia tiba di hadapan Vila Helena tadi lagi, dia sudah rasa
tertarik dengan rumah itu. Rupa bentuknya dan permandangan di sekitarnya,
benar-benar mempersonakan dia. Dia sedikit kecewa kerana sangkanya vila penuh
misteri itu hanyalah sebuah vila yang buruk. Rupa-rupanya secantik dan segah
itu.
Anis tidak
menjawab, dia hanya mempersilakan Maisara duduk di ruang tamu.
“Maya!”
panggilnya dengan suara yang sedikit ketar. “Buatkan air ya?”
“Damien mana?
Kereta dia pun tak ada.”
“Dia keluar ke
kedai,” jawab Anis. Dia masih tertanya-tanya apa tujuannya Maisara datang ke
situ dan dari mana pula Maisara tahu tentang rumah itu?
“Sorry,
aku datang tak bagitahu.”
“Ada… mesyuarat
di sini ke?” Anis cuba berhelah. Dia benar-benar berharap agar Maisara tidak
lama di situ. Melihat muka Maisara sahaja, sudah mengembalikan rasa kecil
hatinya.
“Tak adalah.
Saja nak bercuti di sini. Tak apa, kan kalau aku bermalam di sini beberapa
hari?”
Anis menggeleng.
Walaupun dalam hatinya sudah terasa mahu menangis. Mujurlah Maya keluar tepat
pada masanya. Dua cawan kopi diletakkan di atas meja di tengah-tengah ruang.
“Siapa tu?”
Maisara terus bertanya setelah Maya menghilang di dapur semula.
“Pembantu rumah
yang jaga rumah ni.”
“Cantiknya!
Macam tu punya cantik pun jadi orang gaji saja?”
Anis diam. Tidak
kuasa difikirkan kata-kata Maisara yang selalu diluahkan tanpa berfikir.
“Kau ni kenapa
nampak lembik saja? Morning sickness
ke?” Maisara menumpukan perhatian kepada Anis pula. Sejak tiba di situ,
dilihatnya Anis seperti tidak bermaya sahaja.
“Demam sikit,”
balas Anis.
“Kalau demam
pergilah klinik.”
Anis angguk.
Semakin pening kepalanya apabila terpaksa melayan Maisara yang serba tahu itu.
Syukurlah, tidak lama kemudian dia mendengar pintu pagar Vila Helena dibuka
seseorang. Dia yakin Damien sudah balik.
*******
“KAU
buat apa di sini?” tanya Damien sebaik sahaja masuk ke ruang tamu. Matanya
memandang tepat ke arah Maisara yang sedang duduk tidak jauh dari isterinya.
Dia tidak terkejut lagi apabila ternampak kereta Maisara di pekarangan Vila
Helena. Cuma kalau boleh, dia ingin memberitahu Anis terlebih dahulu supaya
Anis lebih bersedia. Sayangnya sudah terlambat.
“Uncle tak
beritahu ke?”
“Beritahu apa?” Sengaja
dibiarkan Maisara rasa tidak selesa, tidak dialu-alukan.
“Pasal aku nak
ke sinilah.”
Damien angguk. “Ya,
ada. Tapi kenapa kau datang sini?”
“Bukan kau
sorang saja yang tahu bercuti? Isteri kau pun dah benarkan aku tinggal di sini
beberapa hari.”
Damien terasa
seperti disindir. Dia pandang Anis untuk mendapatkan kepastian namun Anis
tunduk sahaja. Dia sedar, Anis sedang beralah untuk tidak mengeruhkan keadaan.
Tentu banyak perkara yang bermain dalam fikiran Anis sekarang, itu yang dia
tidak suka.
“Ikut kaulah.
Rumah ni pun banyak bilik kosong. Taklah kami sunyi sangat bila malam-malam,”
jawabnya.
“Sebut pasal
bilik, boleh tak aku naik ke atas? Nak mandilah, rimas.” Maisara mencapai beg
tangannya.
“Naiklah. Bilik
nombor dua di sebelah kanan tangga tu, bilik kami. Yang lain tu semua kosong.
Pilihlah saja yang mana satu nak.”
Maisara
tersenyum. Tanpa berlengah, dia memanjat tangga naik ke tingkat dua.
Damien mengeluh
panjang. Entah kenapa dirasakan, segala usahanya dan ayahnya sia-sia sahaja.
Tapi tentu ada sebab kenapa Maisara sibuk mengikutnya datang ke situ, fikirnya
pula.
*****
“ABANG ke mana
tadi?” Anis bertanya setelah Maisara tidak kelihatan lagi. Sudah puas dia
menahan rasa sakit kepalanya sementara menanti suaminya melayan kerenah
Maisara.
“Abang cari ubat
untuk Anis. Anis dah makan?” tanya Damien pula.
Anis geleng.
Seingat dia hanya ada air sejuk dalam perutnya sejak terbangun dari tidur tadi.
Damien bingkas
bangun.
“Abang nak ke
mana lagi?”
“Tunggu sekejap,
abang ambilkan air dan sudu,” kata Damien sambil melangkah ke dapur. Tidak lama
kemudian dia keluar semula ke ruang tamu sambil membawa segelas air kosong.
“Abang ada beli nasi lemak untuk Anis. Anis makan sikit, lepas tu baru telan
ubat.”
Anis tidak
membantah. Badannya terasa makin lemah.
Damien bukakan
bungkusan nasi lemak yang dibawa pulang. Nasi lemak itu disuapkan ke mulut Anis
namun Anis mengelak.
“Biar Anis makan
sendiri,” kata Anis. Sudu di tangan Damien dicapainya.
“Maafkan, abang.
Abang pun baru tahu tadi. Abah kata dia dah cuba halang, tapi tak berjaya.”
“Bukan salah
abang, sampai abang kena minta maaf pada Anis.” Anis suap nasi lemak
perlahan-lahan. Serentak itu terdengar perutnya berbunyi.
“Memang bukan
salah abang, tapi dia sepupu abang,” balas Damien. Rasa jengkel di hatinya
masih terasa. “Nanti abang suruh abah pujuk dia balik ke KL. Kalau tak pun
tinggal di tempat lain.”
“Tak payahlah,
bang,” kata Anis. “Anis tak nak abah fikir, Anis ni tak sukakan saudara-mara
abang.”
Damien merenung
wajah Anis lama-lama. Dia tahu di sebalik getaran suara itu, Anis memendam
perasaan tidak suka. Perasaan tidak selesa. Maklumlah dalam keadaan bercuti,
Anis pula sakit-sakit. Kini mereka terpaksa menerima tetamu yang pasti akan
menuntut untuk dilayan itu ini. Dia yakin Anis susah hati dengan kedatangan
Maisara di situ.
“Abang janji,
abang akan buat apa yang boleh,” katanya. “Kita jangan fikirkan dia. Kita buat
tak tahu saja, okey?”
Anis angguk. Dia
tahu, Damien sedang cuba menguruskan keadaan di situ dengan sebaik-baiknya.
Selepas dirasakan perutnya beralas, dia menelan dua biji ubat demam yang
dihulurkan suaminya. Kemudian dia teringatkan sesuatu.
“Bang,”
tegurnya. “Abang keluar rumah awal pagi tadi, kan?”
Damien angguk.
“Kenapa sampai
tengah hari abang baru balik? Jauh betul abang cari nasi lemak?”
Air muka Damien
berubah keruh. Berderau darahnya. “Kereta abang rosak. Tu yang lambat.”
“Kereta abang
rosak?” Anis tergamam.
******
“TERUK ke
rosaknya, bang? Tapi sebelum kita datang ke sini semalam, kan kereta tu dah
diservis?” Sambil bertanya Anis menahan ketar yang terasa. Dengan tiba-tiba dia
dihurung rasa sejuk yang teramat sejuk. Mungkin kerana terperanjat atau kerana
suhu badannya yang kian memuncak.
Damien tersenyum
nipis. “Kalau dah nak jadi tu… apa-apa pun boleh terjadi, kan?”
Ya, Anis menyetujuinya
dalam hati. Kalau sudah mahu berlaku, akan berlaku jua seperti demamnya yang
kini terasa semakin kuat.
“Teruk ke?”
“Taklah teruk
sangat. Dah okey pun. Kenapa Anis tak angkat telefon tadi? Berkali-kali abang
telefon.”
Mata Anis
membulat. “Abang ada telefon Anis? Anis tak dengar apa-apa pun, bang. Mungkin
telefon Anis masih dalam beg tangan. Balik daripada makan semalam, Anis terlupa
langsung nak keluarkan.”
“Tak apalah.
Abang risaukan, Anis saja. Nanti kita pasang telefon lain dalam rumah ni.”
Terbit rasa
kesal di hati Anis kerana tidak memeriksa telefon bimbitnya sebaik sahaja
bangun tadi. Pada fikirannya, Damien hanya berada di tingkat bawah. Dia terlupa
yang Damien keluar mencari ubat untuknya.
“Siapa tolong abang tadi?”
“Tolong? Tolong
apa?” Damien pandang muka Anis.
“Tolong abang repair keretalah. Senang ke cari bengkel
pagi-pagi tadi? Hari Ahad pula tu.”
Damien
terkulat-kulat seketika. Macam mana dia boleh lupa? Cepat-cepat dia menjawab,
“Kawan abang, si Faiz.”
Anis angguk
perlahan.
“Kenapa tak ajak
dia ke sini?”
Damien yang
sedang mengunyah nasi lemak tersedak. Cepat-cepat dia mencapai air kosong dan
meneguknya.
“Dia ada hal
tadi,” jawab Damien selepas berdeham beberapa kali.
“Abang ajaklah
dia ke sini, kita pun bukan ada kawan-kawan di tempat ni,” balas Anis. Dalam
diam, dia rasa bersyukur kerana sekurang-kurangnya ada Faiz yang boleh membantu
mereka jika terjadi apa-apa. Setahu dia, Faiz adalah salah seorang daripada
kawan baik Damien. Pernah juga dia bertemu dengan Faiz beberapa kali di Kuala
Lumpur walaupun dia tahu Faiz menetap di Melaka bersama orang tuanya.
“Nantilah…
tunggu Anis sihat dulu.”
“Petang ni
sihatlah. Demam sikit saja ni,” balas Anis.
“Demam sikit?
Panas macam ni, apa yang sikitnya?” Damien sentuh tapak tangannya ke dahi Anis.
Hatinya mula terasa bimbang apabila dahi Anis panas berapi semula.
Anis tersenyum
tawar. “Abang janganlah risau sangat… demam beralih tempat saja ni,” jawab
Anis.
“Abang pun tak
nak Anis demam macam ni. Tapi kalau tak baik juga, petang nanti abang bawa Anis
pergi klinik, okey?”
Mendengarkan
perkataan klinik disebut, Anis terus sahaja menggeleng. Perkataan itu tidak
jauh bezanya dengan perkataan hospital. Dia ngeri. Segala kesakitan yang
ditempuhnya sebelum ini bagaikan terasa semula di sekujur tubuhnya.
“Kalau Anis tak
nak, abang dukung Anis,” kata Damien lagi sambil menarik tangan Anis supaya
bangun. “Sekarang Anis naik atas dan tidur sampai sihat.”
“Sekejap lagi
Anis sihat…percayalah,” kata Anis sambil terketar-ketar bangkit dari kerusi.
Mahu memanjat tangga pun terasa tidak larat tetapi dia harus kuat, di saat
matanya terpandang kotoran di baju suaminya dia berasa kasihan. Entah apalah
yang telah ditempuhi Damien seketika tadi….
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.