Bab 22
“KITA… nak ke
mana ni, bang?” Anis sekadar mahu tahu. Tali pinggang keledar dipakai seperti
biasa.
“Kita cari
klinik yang paling dekatlah. Kalau ada dekat simpang depan tu, dekat situlah
kita pergi dulu. Boleh?” Damien bertanya kepada Anis pula. Dengan keadaan Anis
yang lemah dan pucat itu dia tidak berhajat untuk membawa Anis berjalan jauh.
Dan dia yakin pasti ada klinik yang berdekatan.
Anis angguk
sahaja. Di sepanjang perjalanan ke simpang, dia hanya mendiamkan diri sambil
cuba menikmati lagu-lagu Maher Zain yang berkumandang di dalam kereta itu.
Sejuk hatinya.
Seingat Damien,
ada sebuah klinik di hujung Pekan Rastali. Dia pun lantas memutar stereng
menuju ke arah klinik itu, sayangnya apabila tiba di situ, klinik itu pula
tutup.
“Tutup?” kata
Anis apabila Damien memberhentikan keretanya di hadapan klinik itu. Matanya
lurus memandang pintu klinik yang berkunci rapat.
“Anis tunggu
sekejap ya? Abang nak tanya orang.”
Damien terus
membuka pintu kereta dan keluar. Daripada ke hulu ke hilir mencari tanpa arah,
lebih baik dia meringankan mulut bertanya. Setelah memberi salam dia
memberanikan diri bertanya kepada seorang pak cik tua yang baru sahaja keluar
dari sebuah kedai runcit yang terletak bersebelahan dengan klinik tadi.
“Saya sebenarnya
mencari klinik, pak cik. Dekat mana klinik yang paling dekat selain daripada
klinik di sebelah ni?”
“Paling dekat di
Masjid Tanah. Itu pun kalau buka. Hari ni kan hari Ahad? Tapi lebih baik ke
Hospital Intan Hayati. Lebih dekat,” jawab pak cik tersebut.
Damien terdiam seketika.
Setelah mengucapkan terima kasih, Dia masuk semula ke dalam keretanya. Dadanya
masih berdebar dan fikirannya masih terawang-awang setelah bercakap dengan pak
cik tersebut.
“Ada? Dekat
mana?” tanya Anis sambil memandang wajah Damien yang seolah kebuntuan.
“Hospital
adalah. Boleh?” tanya Damien pula. Dia mula mengundurkan keretanya
perlahan-lahan. Dia tahu Anis tidak suka ke hospital, dan dia juga rasa berat
hati mahu ke Hospital Intan Hayati sekali lagi.
“Hospital? Anis
bukannya sakit teruk, bang. Anis cuma demam saja.” Anis mula bingung. Dia
nampak teruk sangat ke? Berbanding klinik, hospital lagilah dia takut nak
pergi. Dia takut kena tahan di wad. Sakit sikit jadi sakit banyak.
“Hari ni hari
Ahad. Klinik tak buka. Lagi-lagi kalau dah petang macam ni.”
“Kalau macam tu,
kita pergi esok sajalah,” kata Anis. “Anis pun dah rasa makin sihat selepas
dapat angin luar ni.” Dia cuba tersenyum. Senyuman untuk menjual modal.
Damien tidak
menjawab terus. Dia termenung jauh sambil terus memandu.
“Abang, Abang!”
panggil Anis.
Damien baru
tersedar. Dia menoleh ke arah Anis sambil mengangkat dagu untuk bertanya. Dia
masih buntu, dia belum dapat membuat keputusan sama ada mahu bertegas membawa
Anis ke hospital ataupun berpatah balik sahaja.
“Kita nak ke
mana ni, bang?” Mata Anis lurus memandang jalan. Di kiri-kanan hutan ataupun
paya yang dipenuhi semak-samun. Dengan keadaan petang yang semakin tua, jalan
yang sunyi itu terasa menyeramkan.
“Betul Anis tak
mahu ke hospital?” Damien memberhentikan keretanya di tepi jalan.
Anis angguk
laju.
“Kalau macam
tu…kita cari kedai makan. Boleh?”
“Boleh…”
Bersama satu
tarikan nafas yang panjang, Damien membuat pusingan U untuk berpatah balik ke
Pekan Rastali. Dalam hatinya, dia sendiri tidak pasti. Lega ataupun semakin
rasa bersalah.
******
“BOLEHLAH kat
sini,” kata Anis sebaik sahaja duduk di atas sebuah kerusi. Tangannya menarik
lengan Damien supaya ikut duduk di sebelahnya. Dia tahu, Damien agak tidak
biasa makan di kedai kecil seperti itu tetapi dia juga tidak larat untuk
berjalan jauh ke kedai yang lain. Kedai itu sudah cukup bagus pada pandangan
matanya. Bersih walaupun tidaklah secantik restoran besar.
Damien duduk
perlahan-lahan. Dia ikutkan sahaja kehendak Anis. Yang pentingnya Anis dapat
mengisi sesuatu dalam perutnya.
“Nak makan apa?”
Dia bertanya kepada Anis sebaik sahaja pelayan tiba di meja mereka.
“Mi sup ada?”
tanya Anis pula.
Setelah pelayan
lelaki itu mengangguk, Anis terus membuat pesanannya. “Saya nak mi sup satu.
Air limau ais satu.”
“Make
it two,” kata Damien.
“Semalam abang
yang tak sihat, hari ni Anis pula.” Anis memulakan bicara sementara menanti mi
yang dipesan siap. Perlahan-lahan ada rasa sayu meresap di hatinya. “Pening
kepala abang macam mana? Dah hilang?”
“Bangun pagi
tadi dah tak rasa pening macam semalam. Dah okeylah tu.”
“Abang tak nak
periksa tekanan darah? Mana tahu ada masalah?”
Damien
menggeleng. “Abang sihat, Anis tu yang demam terkejut.”
Usikan Damien
membuatkan Anis tersenyum. Dia demam terkejut? Terkejut kerana dapat rumah
sendiri yang besar itu? Dia tidak menolak jika sememangnya itu yang menjadi
sebabnya tetapi entah kenapa dia rasa bukan begitu. Rasa tidak sihat yang
dirasakan kali ini bukan sahaja seperti demam biasa tetapi seolah-olah setiap
urat dan inci tubuhnya juga kesakitan tetapi dia tidak mahu Damien berasa susah
hati.
“Itu baru kahwin
dengan abang. Kalau kahwin dengan anak raja, mungkin terus pengsan tiga hari
tiga malam,” usik Damien lagi.
“Baguslah kalau
macam tu,” katanya perlahan.
Sekurang-kurangnya
dia bersyukur kerana Damien sudah kembali sihat seperti biasa. Jika dua-dua
orang jatuh sakit, tentu keadaan bertambah sukar. Habislah percutian mereka ke
situ.
“Esok, kita
pergi klinik ya. Esok bukalah klinik tadi tu.”
“Anis harap esok
Anis dah sihat. Kalau tak seratus peratus pun, semakin baik pun jadilah,” balas
Anis.
“Jangan salahkan
diri Anis. Sakit pening pun pemberian Tuhan. Sabar dan redha sajalah.”
Lembut suara
Damien masuk ke telinga Anis. Anis angguk. Dia faham soal itu cuma sedikit
sebanyak dia berasa bersalah juga kepada suaminya. “Tapi maafkan Anis
sebab…percutian kita tak berjalan seperti sepatutnya.”
“Anis jangan
risau soal tu. Kita lama lagi di sini. Kita buatlah apa yang terlarat, jangan
paksa diri, kita cuma datang sini untuk berehat dan menghabiskan masa bersama-sama.”
Anis rasa
terharu sangat. Ketika mi sup yang masih berasap itu menyentuh lidahnya, dia
menanamkan azam agar tidak mengalah kepada kelelahan tubuh yang dirasakan
sebelum ini. Dia ingin sihat, dia ingin Damien gembira semula. Kerana kemuraman
di wajah Damien yang cuba diselindungkan itu, tetap mengejar rasa bersalahnya
ke mana-mana. Siapa yang suka jika isteri asyik sakit sahaja? Fikirnya.
*****
MAISARA tersedar
dari lenanya tidak lama selepas Anis dan Damien meninggalkan Vila Helena.
Kesepian rumah itu membuatkan dia teringat kepada ibunya.
“Mummy,”
panggilnya.
“Maisara di mana
ni?”
“Di mana lagi?
Di Vila Helenalah,” jawab Maisara sambil tersenyum. Dia tahu, pemergiannya ke
situ tidak direstui ibunya tetapi dia juga tidak dapat menahan rasa ingin
tahunya tentang rumah itu.
“Jumpa ke?”
“Jumpa. Tadi
mummy beritahu uncle ya pasal saya nak ke sini?”
“Kenapa? Dia ada
telefon Maisara ke?” balas Datin Zarina.
“Haah, uncle tak
beri saya ke sini tapi saya buat tak dengar saja. Dia suruh tinggal di hotel.”
“Dia tak nak
Maisara ganggu Anis dan Damien kut? Eloklah kalau Maisara tinggal di hotel
saja. Mummy pun setuju.”
“Tak mahulah,
mummy. Rugi. Vila ni cantik betul. Kalah resort.”
“Ya ke? Vila tu
dah diubahsuai ke?”
“Nampaknya
begitulah sebab semua perabot di rumah ni barang baru. Cuma ada sikit-sikit
saja perhiasan lama yang dikekalkan.” Maisara merenung lukisan akrilik yang
tergantung di hadapan matanya. Lukisan sebuah kapal yang sedang belayar di
lautan. Cantik.
“Nampaknya
beria-ia uncle kamu habiskan duit untuk menantu dia tu.”
“Menantu
kesayangan. Mestilah,” balas Maisara. Rasa cemburu muncul di fikirannya. Sejak
kehadiran Anis dalam keluarga itu, dia rasa seperti ada persaingan antara dia
dan Anis. Kalau dulu dialah gadis kesayangan bapa saudaranya. Kini tidak lagi.
“Jadi Maisara
nak tinggal di situ? Sampai bila?”
“Sampai puas,”
jawabnya main-main. Tetapi dia memang tidak rasa mahu meninggalkan vila yang
cantik itu dalam masa yang terdekat.
“Ikut
Maisaralah. Tapi kalau rasa apa-apa, keluarlah dari situ,” balas Datin Zarina.
“Rasa apa pula?”
“Manalah mummy
tahu?”
“Hisy! Mummy ni…
janganlah cakap macam tu.” Maisara tutup semula telefonnya. Kesepian yang kian
mencengkam, membuatkan dia tidak berani langsung turun daripada katilnya.
*******
PUKUL 7.30
malam. Damien dan Anis baru tiba semula di Vila Helena. Walaupun hari sudah
menjengah malam namun di situ, cuaca belum gelap sepenuhnya. Sedang Damien
membuka kunci pintu, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Faiz di situ.
“Anis masuk
dulu…,” kata Damien sebelum dia melangkah ke arah buaian yang tergantung di
bawah sebatang pokok besar berdekatan dengan pagar. Dia duduk di situ.
Anis tidak
membantah, dia terus sahaja melangkah masuk ke dalam rumah.
“Ada apa, Faiz?”
Dada Damien berdebar-debar. Entah kenapa, sebaik sahaja terpandang nama Faiz di
skrin telefon, dia jadi menggelabah dan berpeluh-peluh.
“Doktor Azim ada
telefon kau tak?”
“Tak ada.
Kenapa?”
“Doktor Azim
telefon aku tadi. Dia tanya pasal kau.”
“Dia nak apa?”
“Perempuan tu
tak stabil semula. Dia nak jumpa kau esok,” jawab Faiz.
“Buat apa jumpa
aku? Cucuk sajalah ubat penenang ke… apa-apa ke kat perempuan tu.” Damien
menyapu peluh di dahinya walaupun angin senja yang menampar pipinya terasa
sangat dingin.
“Manalah aku
tahu? Tapi kau datanglah jumpa dia esok. Tentu ada hal yang dia nak bincangkan
pasal tu,” balas Faiz.
“Kau ada beri
dia nombor telefon aku tak?”
“Tak. Aku lupa.”
“Jangan beri.
Tolong jangan beri.”
“Kau belum
beritahu isteri kau?”
Damien menelan
air liur. Pertanyaan itu seakan-akan membuatkan lehernya tercekik.
“Aku dah telefon
ayah aku. Aku akan bincang dengan ayah aku dulu nanti. Tengoklah macam mana.
Kalau hal ni boleh selesai tanpa pengetahuan dia lagi baik.”
“Ikut kaulah
tapi jangan lupa pergi ke hospital esok. Pukul 10.00 pagi di bilik yang sama,”
pesan Faiz sebelum menamatkan panggilannya.
Sebaik sahaja
telefon bimbitnya senyap semula, Damien termenung. Kenapa Dr. Azim nak jumpa
dia pula? Jika mahu dia memberikan maklumat, rasanya pagi tadi dia sudah
menceritakan segala-galanya yang dia tahu. Sudah tidak ada apa lagi yang boleh
dibantunya. Sedang dia cuba mencari jawapan kepada persoalan itu, telefon
bimbitnya berbunyi lagi…
“Helo sayang,”
jawabnya.
“Naiklah cepat.
Waktu Maghrib bukannya lama sangat,” celoteh Anis.
“Abang naiklah
ni….” Damien mematikan panggilan Anis lalu mengangkat punggung dari buaian.
Sebaik sahaja dia mahu melangkah… terasa bahunya ditolak. Dia terdorong ke
hadapan beberapa langkah. Apabila dia menoleh ke belakang, dia tidak melihat
sesiapa. Hanya buaian yang didudukinya tadi sedang terhayun laju.
ek seramnya.
ReplyDelete