Bab 21
“DAH bangun?” Damien bertanya sambil memerhati
Anis yang terkelip-kelip di atas katil. Tidak sangka pula dia, Anis sudah
terbangun. Mungkinkah Anis terdengar bunyi mangkuk yang pecah tadi? Berdebar
hatinya, apa yang harus diterangkan nanti?
Anis menggumam.
Sambil menolak selimutnya hingga ke hujung kaki dia berkata, “Dah tak larat
tidur. Badan pun dah berpeluh.”
“Kalau dah
bangun, makan sikit bubur ni ya?” Damien membawa mangkuk bubur bersama air
kosong ke katil. Mungkin Anis tak dengar apa-apa, fikirnya.
“Bubur? Abang
masak bubur?” Mata Anis membesar.
“Maya yang
masakkan,” balas Damien. Dia faham kenapa Anis seolah-olah tidak percaya. Dia
sememangnya seorang lelaki yang tidak pandai hal-hal di dapur. Itu memang
kekurangannya.
“Maya?”
“Abang turun
tadi dia dah siap masakkan bubur ni. Nasi dan lauk pun ada.” Damien pandang
muka Anis. Dia tidak tahu untuk menjangkakan apa-apa. Anis suka ke… Anis marah
ke? Dia hanya menunggu. Mangkuk berisi bubur nasi berlaukkan ikan bilis itu
disuakan ke arah Anis.
“Uwekkk…”
Anis terjeluak
sambil menutup mulut dan hidungnya dengan tangan kanan. Tangan kirinya pula
menolak mangkuk bubur itu. Kepalanya menggeleng laju dengan mata yang berair.
Muka Anis merona merah bak udang bakar.
Damien tergamam.
Teruk betul demam ni… itu yang dia faham.
“Kenapa Anis?
Nak muntah?”
“Bubur apa ni,
bang? Busuk betul macam bau….” Anis terdiam tetapi terus menutup hidung dan
mulutnya bagaikan takut dipaksa.
“Busuk? Mana ada
busuk?” Damien cium mangkuk itu. Tidak ada pun apa-apa yang berbau busuk. Pelik
betul, Anis ni….
Anis masih
menggeleng laju dan tangannya masih menolak-nolak mangkuk bubur itu.
“Abang boleh
buang bubur ni tak? Kalau tak pun tolong bawa keluar dari bilik ni. Anis tak
tahan, rasa nak muntah sangat.”
Damien termenung
seketika. Ingin dia memujuk lagi agar Anis mahu menjamah sesudu dua tetapi dari
nada suara Anis dia tahu, pujukannya tidak akan berjaya. Akhirnya dia mengalah.
“Okey, abang hantar
bubur ni ke bawah. Anis nak makan apa-apa tak? Abang boleh pergi beli.”
“Anis tak lapar
lagi, bang. Kalau Anis lapar nanti Anis cakap. Abang tak lapar ke? Abang dah
makan?” tanya Anis pula.
Damien
menggeleng perlahan. Dia berasa begitu kasihan kepada Anis. Sudah dapat rumah
yang begitu cantik, demam pula.
“Abang tak
lapar. Abang hanya akan makan bila Anis makan.”
Anis tersenyum
kelat. “Kalau Anis sihat… malam ni kita pergi makan ikan bakar lagi, nak?”
“Anything
you wish, sayang,” balas Damien. “Tapi… selepas kita
pergi klinik.”
“Hah?” Anis
terkejut.
“Demam Anis
belum kebah ni. Tengok nasi pun nak muntah… mesti belum sihat betul. Kita
jumpalah doktor minta ubat yang lebih baik,” pujuk Damien sambil membelai
rambut Anis. Perasaannya yang telah tenang tadi kembali berserabut. Dia yakin
demam Anis pasti berpanjangan. Sedang dia membantu Anis supaya baring semula,
telefon bimbit Anis berbunyi.
******
ANIS menyambut
telefon yang dihulurkan oleh Damien. Selepas menekan butang ‘answer’ dia terus
memberi salam walaupun suaranya masih serak-serak basah.
“Mak nak cakap
sikit ni.” Menderu sahaja suara ibu tirinya masuk ke telinganya.
“Apa, mak?” Dia
menunggu.
“Engkau ada duit
tak? Mak nak duit.”
Dahi Anis
langsung berkerut. Rasa pening yang masih bersisa terus berdenyut kuat. Bukan
mahu bertanya khabar dirinya dahulu, terus melulu meminta duit. Ingin sekali
dia menjerit kuat-kuat.
“Mak nak buat apa? Banyak ke?” Dia tidak
berani memandang wajah Damien.
“Lima belas
ribu. Bukan nak buat apa pun, tapi nak bayar tanah rumah ni yang digadai dulu
tu. Tanah ayah kau juga.”
Untuk sesaat
Anis terdiam.
“Orang lain yang
bergadai orang lain yang kena bayar? Apa ni, mak? Suruhlah adik tu bayar,”
“Eh! Kalau dia
ada duit, tak adalah aku minta duit kau. Kalau kau tak bayar, alamat lepaslah
tanah dan rumah pusaka tu ke tangan orang. Kau nak?”
“Tapi kenapa
mesti Anis? Duit tu kan mak guna untuk majlis perkahwinan dia?”
“Semuanya salah
kau juga. Kalau kau tak tolong hari tu, tak payahlah sampai mak nak
bergadai-gadai tanah tu. Ini kau beri seribu dua saja, mana cukup?”
Anis hanya mampu
menggeleng. Belum sempat dia menjawab lagi, telefonnya sudah dirampas oleh
Damien.
“Berapa yang mak
nak?”
“Lima belas
ribu. Kau banyak duit, kan? Kau beri duit tu pada Anis. Aku nak tebus tanah
ayah dia.”
Anis tercengang
melihat kelakuan Damien. Dia cuba menghalang Damien daripada terus berbual
dengan ibu tirinya tetapi Damien tetap memegang telefon itu erat-erat.
“Nanti saya
hantar cek,” balas Damien.
“Kalau pos
lambat, biar aku ambil daripada Anis.”
“Tapi kami bukan
di KL, mak. Kami di Melaka.”
“Kalau macam tu,
biar mak ke sana saja. Nanti kau berikan alamat.”
Damien pandang
Anis. Anis sudah menggeleng laju. Apa pun yang dibincangkan di antara Damien
dan ibu tirinya, dia tidak bersetuju.
“Yalah. Mak nak
bercakap dengan Anis lagi? Dia demam.”
Panggilan terus
terputus. Damien dan Anis saling berpandangan dalam diam.
******
“JANGAN risau
apa-apa, okey?” kata Damien sambil tersenyum tenang.
“Mak tak patut
buat macam tu. Dia yang bergadai kenapa kita pula yang kena tanggung masalah
tu?”
“Tak apalah,
mungkin mak tak ada arah lain nak minta tolong.”
“Tapi nanti…dia
pandang kita ni macam mesin ATM. Cucuk saja keluar duit,” balas Anis.
“Abang tak mahu
Anis fikirkan sangat. Nanti abang beri cek, Anis serahkan pada dia.”
“Membazir saja,”
balas Anis. Dia masih rasa tindakan ibu tirinya itu tidak betul. Malah semasa
majlis perkahwinan adik tirinya yang serba mewah dulu pun, dia tidak bersetuju
langsung. Padahal majlis dibuat di rumah pusaka sahaja pun.
“Yang pentingnya
ketenangan Anis. Kalau rumah tu berubah tangan kepada orang lain, Anis juga
yang tak senang hati, kan?”
Anis diam.
“Abang tahu,
Anis sayangkan rumah dan tanah tu walau Anis tak duduk di situ.” Damien belai
rambut Anis. “Tak ada yang lebih berharga pada abang selain kegembiraan dan
ketenangan hati Anis. Duit boleh dicari.”
Mata Anis mula
bergenang tanpa malu-malu. “Anis minta maaf kerana mak tiri Anis menyusahkan
abang.”
Damien
menggeleng. “Abang tak rasa susah pun. Abang buat untuk Anis bukan untuk dia.”
“Terima kasih,
bang. Tapi…betul ke abang nak beri alamat rumah ni pada mak?”
“Biarlah dia
datang sini. Boleh dia tengok rumah Anis, kan?”
“Kalau macam tu
kata abang, tak apalah. Harap dia tak ganggu kita saja. Abang tahu sajalah mak
tu macam mana. Semua benda tak betul.”
“Sekarang Anis
isteri abang, kalau dia melampau, siaplah dia,” balas Damien. “Anis jangan
fikirkan sangat soal ni ya? Jom, kita pergi klinik. Lepas tu kita pergi makan.”
“Maisara macam
mana?”
“Berhenti
fikirkan pasal orang lain boleh tak?” balas Damien.
Anis tidak
berani berbunyi lagi.
******
DENGAN
rasa berat hati, Anis bangkit juga meninggalkan katil. Pergi ke klinik,
bukanlah idea yang dia suka tetapi membantah arahan suami juga bukan satu sikap
yang betul. Lebih-lebih lagi arahan untuk kebaikan dia juga. Lalu sambil
memujuk hatinya sendiri, dia membersihkan badan dari kesan peluh yang
mencurah-curah tadi.
Di
bawah pancuran air yang suam-suam kuku, dia menghimpun kekuatan yang bersisa.
Dia tidak mahu percutian di situ rosak hanya kerana kerenah tubuhnya yang tidak
begitu memberikan kerjasama. Entah apa kenanya, sejak masuk ke rumah itu, dia
terasa tidak begitu sihat sekali. Lebih tidak sihat daripada semasa berada di
Rumah Marzita tetapi dia mendiamkan sahaja perkara itu daripada pengetahuan
Damien.
Jam
di tangannya sudah pukul 5.00 petang sewaktu dia menutup pintu di belakangnya.
Damien yang sentiasa berada di sisi memegang erat tangannya bagaikan tidak mahu
dia berubah fikiran. Dia tahu Damien amat memahami perasaannya terhadap klinik,
hospital dan segala apa yang berkaitan dengan perkara itu.
“Abang nampak Maya?” Dia tertinjau-tinjau
untuk mencari kelibat Maya tetapi tidak ada. Rumah itu terasa amat kosong.
Maisara pun masih berkurung di bilik.
“Entahlah.”
Damien ikut memerhati sama. “Dah balik kut? Dia ada kunci sendiri, biarlah.”
Kali ini Anis
tidak bertanya lagi. Itu pun satu soal yang berlegar dalam fikirannya kini.
Bubur apa yang dimasak oleh Maya untuknya? Kenapa bau bubur itu amat busuk dan
meloyakan? Kenapa bubur itu rupanya amat kelabu dan menjijikkan? Malah dia
seolah terlihat cacing halus bergerak-gerak di dalamnya. Keseluruhannya bubur
itu berbau seperti bangkai. Huk! Teringatkan sahaja, perutnya bergelora semula.
“Anis tak
apa-apa?” tanya Damien sebaik sahaja menyedari perubahan air muka Anis.
“Anis… Anis nak
muntah.” Serentak dengan itu, dia menpercepatkan langkahnya menuruni tangga dan
meluru mencari sinki. Di situ air liurnya terlambak bersama angin perut yang
bergelora keluar. Untuk beberapa saat dia rasa urat perutnya kejang.
Damien mengurut
belakang Anis beberapa kali. Dia memandang Anis dengan pandangan sayu.
“Kalau Anis tak
larat sangat, biar abang beli sajalah makanan. Anis tunggu di rumah. Boleh?”
Terus Anis
menggeleng. Tunggu di situ pun rasanya tidak banyak membantu keadaannya. Dia
bukan tidak larat cuma dia rasa meloya apabila teringatkan semula bubur yang
masak Maya tadi.
“Abang boleh
tolong tak?”
Damien segera
mengangguk.
“Tolong buang
semua bubur yang dimasak Maya tadi. Buang juga semua makanan yang dimasak dia.
Anis tak tahanlah. Anis meloya,” kata Anis dengan bersungguh-sungguh sebelum
melangkah keluar meninggalkan dapur. Damien tinggal di situ melakukan apa yang
dipinta Anis.
Sebaik sahaja,
Anis meninggalkan dapur, dia menuju ke arah pintu hadapan dan membukanya. Udara
petang yang segar membuatkan dia rasa lebih bertenaga. Gelora di dalam dadanya
juga telah beransur pulih.
“Dah?” Dia
bertanya apabila Damien datang semula kepadanya.
“Dah tapi….”
“Tapi?”
“Tak ada apa pun
di dapur. Dalam periuk tak ada, dalam peti ais tak ada, bawah tudung saji pun
tak ada,” jawab Damien. “Cuma ada bubur semangkuk yang abang bawa naik ke atas
tadi saja. Tapi itu abang dah buang.”
Anis tidak tahu
mahu menjawab apa. Esoklah dia bertanya kepada Maya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.