Bab 23
SETIBANYA di
tingkat dua, Anis menuju ke bilik Maisara. Kesenyapan bilik itu, membuatkan dia
berasa ragu-ragu untuk mengetuk.
“Maisara,”
panggilnya perlahan. Pintu bilik itu dibuka dengan perlahan-lahan. Tidak
berkunci.
Maisara yang
sedang berselimut di atas katil menoleh.
“Aku ada belikan
kau nasi goreng tadi. Kalau lapar, turunlah makan,” kata Anis. Terbit rasa
bersalah pada Maisara kerana dia tidak dapat melayan tetamunya dengan baik.
Apatah lagi Maisara adalah tetamu pertamanya di rumah itu.
“Kau keluar ke
tadi? Kenapa tak ajak aku sekali?”
“Pada mulanya
kami nak ke klinik tapi tak ada klinik yang buka waktu ni. Kami singgahlah
makan. Kau lapar ke? Pergilah makan dulu.”
Maisara
menggeleng. “Belum lapar sangat. Tadi tengah hari aku makan banyak di dapur.
Sedap juga masakan pembantu rumah kau.”
Anis terdiam
sesaat. “Kau makan tengah hari di bawah?”
“Haah, pembantu
rumah kau ketuk pintu dan ajak turun makan. Aku makanlah.”
“Tak apalah
kalau macm tu. Aku tak berapa sihat beberapa hari ni,” balas Anis. “Kalau nak
makan apa-apa atau masak apa-apa, buatlah macam rumah sendiri.”
Maisara angguk
sahaja.
******
SETIBANYA
dia di biliknya, Anis terus duduk di birai katil. Kain tudungnya dibuka
perlahan-lahan. Terasa tubuhnya lebih segar sedikit setelah dapat menyedut
angin luar dan menjamah semangkuk mi sup yang enak. Sayangnya, sikap Damien
kembali membuat perasaannya terganggu.
“Siapa
telefon senja-senja ni?”
Dia
bertanya ketika Damien masuk ke dalam bilik tidur mereka. Seperti tidak dapat
ditahan, hatinya berasa panas. Malah sejak menjejakkan kaki di kawasan Vila
Helena tadi, perasaannya sangat tidak tenteram seperti ada gumpalan api yang
terbakar dalam dadanya. Panas.
“Staf.” Ringkas sahaja jawapan
Damien yang sedang menuju ke arah bilik air.
“Staf? Staf mana yang kerja sampai
ke senja ni?”
Hendak
menipu biarlah cerdik sikit, bisik hatinya. Matanya melotot tajam ke arah
suaminya. Dia rasa panas hati dengan jawapan Damien. Dia yakin Damien sedang
menyembunyikan sesuatu.
“Ada… staf abang dekat site,” jawab Damien sebelum menutup
pintu bilik air.
Anis termangu seketika. Hatinya
berbelah bahagi untuk mempercayainya ataupun tidak. Bagaikan didorong oleh
sesuatu, dia melangkah mendekati meja solek di mana terletaknya telefon bimbit
dan dompet milik suaminya. Telefon Damien diperiksa. Sayangnya… tiada catatan
tentang panggilan yang baru masuk tadi. Semuanya kosong. Sudah dipadamkan.
Hatinya makin panas. Rasa cemburunya bagai terbakar marak.
Sebaik sahaja Damien melangkah
keluar daripada bilik air, Anis memerhati gerak langkah suaminya yang begitu
tenang bagaikan tidak ada apa-apa. “Cakaplah
betul-betul siapa yang telefon tadi,” katanya.
Damien menoleh ke arah Anis. Lama
matanya merenung seperti cuba memahami sikap Anis. “Betullah… staf abang yang
telefon.”
Anis terkebil-kebil.
“Kalau
betul staf abang yang telefon, cuba abang telefon dia balik. Anis nak cakap
dengan dia.” Dia hulurkan telefon Damien.
Air
muka Damien berubah keruh. “Takkan sampai macam tu sekali? Kenapa Anis tak
percaya cakap abang?”
Pertanyaan
balas daripada Damien tidak mampu menggugat rasa marah Anis. Malah kini, dia
rasa bertambah marah. Dadanya seperti terbakar malah kini merebak ke setiap
inci kulitnya. Tanpa dapat dihalang, tubuhnya menjadi kejang.
“Maafkan
abang sebab buat Anis…” Belum sempat Damien menamatkan kata-katanya, dia
perasan sesuatu yang pelik sedang berlaku. “Anis?”
Dia
mendekat. Matanya membesar apabila melihatkan Anis seperti berubah menjadi
orang lain. Mata Anis buntang memandang ke siling bilik. Gigi Anis berlaga atas
dan bawah. Kulit mukanya tegang dan kemerahan.
Suara
Damien semakin sayup di telinga Anis. Makin lama makin hilang. Yang ada
hanyalah suasana yang sunyi sepi. Dia berseorangan dan di hadapannya berdiri
suatu makhluk yang sangat buruk rupanya. Makhluk itu menyentuh mukanya dengan
tangan yang hampir tinggal tulang. Manakala daging yang sedang mereput
bergantungan dan gugur sedikit demi sedikit. Tangan itu kemudiannya
perlahan-lahan merayap ke batang lehernya. Nafas Anis semakin sesak.
Spontan dia meronta. Dia menjerit meminta
tolong. Sayangnya Damien seperti tidak mendengar, seperti tidak mahu
menyelamatkannya. Dia menangis dan menendang makhluk itu sekuat hati. Akhirnya
pandangan matanya menjadi gelap.
*****
“ANIS!
ANIS!”
Damien
terus memanggil apabila rontaan Anis semakin lemah. Tubuh Anis digoyang-goyang
beberapa kali namun Anis terus tidak sedarkan diri. Tubuh Anis yang disentuh
sejuk bagaikan air batu tetapi sekujur tubuh Anis bermandi peluh yang entah dari
mana datangnya. Ya, Allah! Damien menggelabah. Baru sahaja dia ingin menelefon
ayahnya, Anis terbangun.
“Anis?!” Damien keliru.
Anis cuma menggumam. Kini tubuh Anis
tidak lagi keras dan mengejang. Wajah Anis juga tidak lagi garang dan
menakutkan seperti tadi tetapi Anis seperti benar-benar kepenatan. Malah nafas
Anis juga tercungap-cungap.
“Anis demam?” Dia raba dahi Anis,
tetapi dahi Anis tetap sejuk. Dia betul-betul tidak faham apa yang sedang
berlaku. Wajah pucat Anis benar-benar membuat dia rasa buntu dan tidak berdaya.
“Abang….”Anis menyebut perlahan.
Mereka berpandangan beberapa saat. “Badan Anis rasa sakit-sakit….”
“Anis makan ubat dulu ya.” Itu
sahaja yang muncul dalam kepala Damien. Setahu dia ubat demam pun, ubat penahan
sakit juga. Mungkin boleh membantu Anis.
Anis angguk lemah. Dia tidak
bersuara lagi.
Damien kelam kabut turun ke tingkat
bawah mengambil air suam dan berlari semula ke atas. Dua biji ubat dicapai
segera lalu dia membantu Anis menelan ubat tersebut. Hanya selepas itu dia berasa
sedikit lega. Mungkinkah Anis demam terlalu kuat sehinggakan menjadi kejang?
“Anis baring dulu, abang nak solat.
Dah tak banyak waktu ni.” Damien lap peluh yang membasahi wajah Anis. Anis
dibaringkan semula elok-elok. Rasa cemasnya masih belum hilang. Dia perlu
mencari sedikit ketenangan.
Untuk beberapa saat, Damien masih di
situ, memerhati Anis yang sudah kembali memejamkan matanya. Setelah diyakini
Anis telah kembali tenang, baru dia segera ke bilik air semula kerana wuduknya
telah terbatal.
Masa
terus berlalu, Damien telah selesai menunaikan solat Maghrib sekhusyuk yang
boleh. Melihatkan Anis seolah-olah tidur nyenyak, dia mencapai sebuah Al-Qur’an
kecil yang selalu dibacanya saban malam lalu membuka Surah Yassin. Ketika dia
mula membaca surah itu, Anis dengan tidak semena-mena bingkas bangkit dan
menjerit sekali lagi.
x sabar saya nak tahu kenapa anis jerit.
ReplyDeleteNanti dapatkan novelnya ya.
ReplyDelete