Bab 24
“ANIS!”
Damien
meletakkan semula Al-Qur’an yang dipegang. Dia meluru ke arah Anis yang
menggelisah di atas katil. Sakit Anis menyerang semula, sekurang-kurangnya
itulah yang dilihatnya sekarang. Keadaan Anis telah kembali seperti tadi malah
kali ini bertambah teruk lagi.
“Kenapa
ni?” Maisara meluru masuk ke bilik Anis.
Damien
tidak menjawab pertanyaan Maisara, dia hanya menumpukan perhatian kepada Anis.
Anis
hanya mengerang. Suaranya garau walaupun matanya terpejam rapat sehinggakan
kelopak matanya berkedut-kedut. Apa yang jelas, tubuh Anis kejang dan sesekali
terangkat daripada katil. Jari-jemarinya yang bengkok dan keras mencakar-cakar
cadar sehingga menghasilkan bunyi seperti kain tercari.
Damien mula berpeluh. Tidak pernah
dia berdepan dengan situasi serumit itu. Tidak pernah juga dia melihat Anis
berkeadaan begitu. Malah dia rasa, Anis di hadapannya seolah-olah dalam
kesakitan yang teramat sangat. Luluh jiwanya.
“Apa kena dengan Anis ni?” Maisara ikut kelam kabut
memegang tubuh Anis yang kembali mengejang.
“Ayah!
Ayah!” Damien terus memanggil ayahnya menerusi telefon. Badannya terus berpeluh
walaupun bilik itu terasa amat dingin.
“Kenapanya? Kenapa cemas sangat…”
“Ayah…Anis.”
“Kenapa dengan dia?”
“Entahlah. Dia… kejang, keras.
Mengerang-ngerang entah apa dia cakap,” balas Damien. Dia semakin cemas apabila
Anis terus meronta-ronta seperti sedang berlawan dengan sesuatu. Anis menendang
dan memaki sesuka hati. Sesekali terkeluar perkataan yang tidak difahami
maknanya.
“Astagfirullahalazim…tadi dia buat
apa?”
“Dia tengah tidur, saya baca Yassin.
Tiba-tiba saja…”
“Jangan tunggu lagi. Kamu azan dekat
telinga dia kuat-kuat, dia kena ganggu tu…” balas Tan Sri Dzairil.
Azan? Damien meletak telefon
bimbitnya ke tepi. Dipegangnya kepala Anis lalu dirapatkan bibirnya ke telinga
Anis. Dengan linangan air mata dia melaungkan azan sepenuh hati. Dipanjatkan
segala doa kepada Tuhan, agar apa pun yang menganggu Anis segera pergi. Dia
tidak sanggup melihat Anis kesakitan begitu…
*****
SEBAIK sahaja bunyi azan dilaungkan, erangan
Anis bertukar menjadi jeritan. Tubuh Anis menggeletar kuat sehinggakan katil
bergoyang. Namun Damien terus melaungkan Azan sepenuh hati, dia hanya pasrah
kerana itulah satu-satunya cara yang dia tahu untuk menyelamatkan Anis. Hanya
pada Tuhan dia meminta pertolongan. Mujurlah di hujung laungan azan itu,
jeritan Anis beransur hilang. Anis akhirnya teresak-esak dan tubuhnya longlai
semula di pangkuan Damien.
Menyedari Anis kembali tenang,
Damien pantas merebahkan semula kepala Anis ke atas bantal. Air sejuk baki
minuman Anis tadi, direnjiskan ke muka Anis lalu diraut rata. Dia menunggu Anis
membuka mata.
“Anis… mengucap, sayang,” pintanya
apabila Anis mulai sedar semula. Tetapi Anis hanya memandang sayu ke arahnya.
“Anis sedar tak ni?” Dia bertanya
apabila air mata Anis berlinang dan meleleh ke atas bantal. Cepat-cepat
disapunya. Dia masih tidak faham apa yang menyedihkan hati Anis.
“Abang…” Anis memanggil.
“Abang di sini,” balasnya.
“ Anis takut… ada benda….”
Damien geleng. “Abang tak tinggalkan
Anis. Anis tidurlah dulu. Abang ada dekat Anis.”
Anis tidak bersuara lagi. Dia hanya
memandang wajah Damien seperti tidak mahu melepaskan Damien walaupun sekelip
mata. Tetapi lama-kelamaan mata Anis tertutup juga.
Dengkuran
halus yang terbit dari bibir Anis membuatkan hati Damien kembali lega. Ya,
Allah! Lindungilah isteriku, pohonnya sesungguh hati sambil mengalirkan air
mata. Setelah perasaannya dapat dikawal, dia kembali mencapai telefon bimbit
yang dicampakkan tadi. Ayahnya dihubungi sekali lagi.
“Macam
mana? Dah okey?” Suara Tan Sri Dzairil terus bergema.
“Dah
agaknya. Dia nampak letih betul, terus tertidur selepas menjerit tadi.”
“Anis
menjerit?”
Damien
terus menceritakan semua yang dialaminya tadi. Satu pengalaman yang tidak
pernah ditempuhnya selama ini. Dia bersyukur kerana keadaan seolah-olah telah
kembali pulih. Cuma dia juga risau jika keadaan itu akan berulang lagi.
“Alhamdulillah.
Kalau jadi lagi jangan lupa laungkan azan kuat-kuat. Selepas tu baca Ayatul
Kursi dan segala surah yang kamu lazim baca seperti Al-Fatihah, Surah
Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Takkan itu pun Dami tak tahu?”
Keluhan panjang terpacul daripada
bibir Damien. Pertanyaan ayahnya cukup sukar untuk dijawab.
“Kita
ni sudah namanya ketua keluarga. Bukan saja perlu memberi nafkah tapi juga
mesti tahu menjaga keluarga dari sebarang gangguan. Keluarga mengharapkan
kita,” sambung Tan Sri Dzairil lagi. “Berat tugas kita sebagai seorang suami ni.”
“Terima
kasih, abah.” Itu saja balasnya.
Dia
sendiri rasa teramat penat berdepan dengan situasi yang mencemaskan itu. Dengan
tiba-tiba sahaja dia perlu berdepan dengan situasi yang membingungkan. Dia juga
sedar tugas sebagai suami yang dipikul bukan sekadar untuk memberikan kasih
sayang dan makan minum. Dia juga harus berikhtiar melindungi keluarganya.
“Abah tahu Dami bingung. Dami tak
pernah lihat benda-benda macam tu.”
“Ya.”
Damien
terpaksa mengakui. Kata-kata ayahnya benar belaka. Dia tidak berpengalaman
dengan kejadian seumpama itu. Walaupun pernah melihatnya di dalam televisyen,
filem atau membacanya di dalam novel tetapi semua itu tidak terbanding dengan
apa yang telah dilaluinya sendiri tadi. Mungkin kerana kejadian itu melibatkan
dia dan isterinya, bukan orang lain.
“Abah cadangkan macam ni… abah nak
Dami selalu mengaji di rumah tu.”
“Abah fikir ada yang tak kena ke
dengan rumah ni?”
“Dami… mungkin salah abah juga
kerana belikan rumah tu.”
“Saya tak faham,” balas Dami.
“Dalam keadaan Anis yang masih lemah
semangatnya… abah hantar pula ke situ.”
“Maksud abah?” Damien semakin ingin
tahu.
“Abah percaya tempat tu bukanlah tempat
yang ‘sihat’ sangat. Benda-benda halus suka tempat macam tu…di tepi laut, rumah
yanag lama orang tak duduk, jauh terasing pula.”
“Abah…” Damien bersuara. Entah
kenapa dia rasa ayahnya tidak banyak membantu. Makin menyusahkan hati.
“Tak ada apa… cuma Dami dan Anis
perlu kuatkan hati. Jangan tinggal solat, mengaji selalu. Insya-Allah,
benda-banda tu akan lari.”
“Perlu ke saya bawa Anis balik KL,
abah?”
“Kalau Dami rasa perlu. Tapi… hal di
hospital tu macam mana pula?”
Damien terdiam. Baru dia teringatkan
hal di Hospital Intan Hayati yang belum selesai. “Nanti saya bincangkan dengan
Anis dulu. Kalau dia nak balik KL, saya suruh driver jemput dia.”
“Dami…”
“Ya, abah.”
“Kalau boleh janganlah tinggalkan
Anis sorang-sorang di situ.”
“Okey,” jawab Damien walaupun dia tidak tahu apa
yang harus dilakukan nanti. Mungkin lebih baik jika Anis balik sahaja ke Kuala
Lumpur. Semasa dia menamatkan panggilan, terasa angin laut menderu menampar
pipinya. Apabila dia menoleh ke arah pintu gelongsor…pintu itu masih tertutup
rapat. Berdiri bulu romanya.
Maisara yang
menyaksikan kejadian itu terjelepuk di tepi dinding. tidak bercakap lagi.
**********
Selepas bab ini, saya akan siarkan bab yang terakhir ya.
Selepas itu kita akan tunggu novel ini keluar bersama-sama. Jangan lupa baca nanti,
kita akan menyelongkar misteri yang berada di Vila Helena, Maya dan Hanna.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.