AMAT RINDU KAMU ~ merupakan sebuah kisah semi-realiti masyarakat. Ia mengisahkan bagaimana seorang gadis bernama Hana telah kehilangan anak patung kesayangannya yang bernama Mr. Teddy. Dalam tempoh pencarian ini, Hana akan bertemu dengan pelbagai pengalaman baharu. Mr. Teddy pula menjadi saksi kepada satu demi satu pengalaman apabila jatuh ke tangan orang lain. Apakah Hana dan Mr. Teddy akan bertemu di akhir cerita? Mari kita ikuti kisah ini.
**********************************************
MASAM.
Tetapi bau masam tong sampah berwarna hitam itulah yang Atan suka. Itu bau
rezeki. Bau yang hari-hari dicarinya. Bau tanda ada tin-tin minuman kosong yang
dicampak oleh pelajar-pelajar kolej tempat dia mencari rezeki.
Setelah
jumpa apa yang dicari, tin-tin itu dimasukkan ke dalam beg plastik putih
bersama tin-tin yang lain. Sampah-sampah pula dicurahkan ke dalam sebuah
plastik hitam besar dan tebal. Kemudian kedua-dua beg plastik itu diheret
perlahan di sepanjang koridor tingkat satu bangunan Kolej Tun Teja.
Setelah
semua tong sampah di tingkat itu dikosongkan, Atan turun ke tingkat bawah
sambil mengheret plastik sampah hitam yang semakin berat itu. Pada waktu itu kolej
itu begitu sepi. Setibanya di tingkat bawah, Atam meletakkan beg plastik
putihnya ke bawah tangga.
Tiba-tiba
matanya seakan terlihat sepasang mata kecil memerhatikannya. Dia menundukkan
kepalanya menghampiri mata itu. Diambilnya perlahan-lahan.
“Anak
patung?”
Atan
menyapu anak patung yang berhabuk itu ke bajunya yang lusuh lalu memasukkannya
ke dalam beg plastik putih tadi. Atan kemudian berpaling dan mengambil penyapu
serta pengaut sampah. Atan mula menyapu di sekitar kawasan tingkat 1 bangunan
itu. Setelah selesai, Atan mengangkat beg plastik hitam tadi lalu menghantarnya
ke tong sampah besar di belakang stor.
Selepas
itu Atan singgah di stor sekejap untuk menyimpan penyapu dan pengaut sampah
lalu menarik beg sandangnya yang berwarna hijau lusuh. Botol airnya turut
diikatkan dipinggang. Dia berjalan laju ke arah tangga. Beg plastik putih tadi
di tarik dan dijinjing keluar.
Langit
senja yang semakin gelap seperti mahu hujan membuatkan Atan tergesa-gesa
menarik basikal buruknya yang tersandar di belakang stor. Dengan kayuhan yang
terdaya oleh kudratnya dia mengayuh basikal tua itu melalui sebuah lorong kecil
di tepi pagar kolej itu menuju ke sebuah perkampungan setinggan yang tidak jauh
dari situ.
Di
kiri kanan lorong kecil itu bau lopak dan sampah yang dibuang sebebasnya
bersemadi bersama hanyir longkang yang mengalir lesu di belakang rumah-rumah
setinggan di situ. Atan sudah lali bahkan hidung anak-anaknya juga sudah lali. Sudah
tidak terbau apa-apa lagi. Segalanya seperti udara biasa yang tersedut dan
terhembus oleh paru-paru masyarakat di mana pun.Segalanya demi sebuah kehidupan
yang perlu diteruskan oleh mereka di situ. Siapakah yang akan kisah tentang bau
jika kehidupan ini tiada pilihan?
“Abah balik,” jerit anak Atan yang
nombor dua.
Tangannya
sepantas kilat menyambut beg plastik putih dari tangan Atan lalu menuju ke tepi
rumah. Anaknya itu sangat tahu apa kandungan di dalam beg plastik putih itu,
kerana isi kandungan beg plastik putih itulah yang akan ditukar menjadi duit belanja
sekolahnya.
Atan
menyandarkan basikalnya ke dinding rumah mereka. Tongkat basikalnya sudah lama
patah dan tidak mampu diganti. Perlahan-lahan Atan melabuhkan punggungnya di
sebuah pangkin kayu, walaupun sudah mula dimakan anai-anai Atan masih yakin ia
belum mahu menyembah bumi.
Sambil
duduk melepaskan penat, Atan mengibas-ngibas mukanya dengan topi lusuh yang
dipakainya tadi. Rambutnya yang hampir botak itu diraup ke belakang. Dia
tersengih melihat keletah anak-anak di hadapannya. Riang tersenyum bagaikan
dunia ini tiada dukanya.
“Abah,
anak patung siapa ni?”
Spontan,
Atan menoleh ke arah anak nombor duanya. Baru dia teringat kepada anak patung
beruang yang dijumpai di bawah tangga kolej. Pada awalnya dia ingin menyimpan
di stor sahaja sebelum menyerahkan ke pejabat keesokan hari. Ah! Bagaimana ni?
Masalah besar.
Anak
sulungnya berhenti bermain tatkala terpandang adiknya sedang menimang-nimang
patung beruang coklat itu. Matanya tidak berkelip. Dalam sinar matanya Atan
faham keinginan anaknya itu. Si adik yang di dalam gendongan mula merengek,
tangannya cuba mencapai patung beruang itu dari tangan kakaknya namun di tepis
pantas. Adik bongsunya meraung apabila keinginannya terhalang.
Melihatkan
keadaan itu, Atan mengambil anak bongsunya ditimang-timang. Anaknya mula diam
dan mengekek ketawa. Kedua anaknya yang lain hanya memandang sambil tersengih.
“Mak
mana?”
“Mak
belum balik abah,” jawab anak keduanya. Memang anak itu yang paling banyak
mulut.
Atan
mengangguk, tentu isterinya buat kerja lebih masa lagi hari itu. Hujan mula
turun. Atan dan anak-anaknya berlari
masuk ke dalam rumah. Begitu juga anak-anak setinggan yang lain
bertempiaran mencari perlindungan. Hujan membawa rahmat tetapi kadangkala
longkang yang tersumbat adalah ancaman kepada nyawa mereka yang tinggal di tepi
longkang besar itu. Pasti malam itu mata mereka sukar lelap lagi.
“Berilah!”
bentak anak sulung Atan yang berusia 10 tahun itu.
Tangannya
menarik anak patung beruang itu dari tangan anak keduanya. Yang bongsu di atas
lantai hanya memerhati dengan penuh harapan agar satu masa dia juga dapat
memeluk anak patung comel itu.
“Aku
punya!” sahut anak keduanya.
Atan
hanya mengeluh. Serba salah. Dia sudah menjangkakan masalah ini akan timbul.
Dia tidak mahu menyebelahi sesiapa namun pergaduhan itu mula menambah kepenatan
tubuh dan mindanya. Lantas dia bangun dan mengambil anak patung itu dari tangan
anak keduanya. Anak patung itu disimpan tinggi-tinggi di atas almari baju yang
senget di tepi dinding.
Ketiga-tiga
anaknya terdiam.
Senja
beranjak ke malam. Hujan sudah mula teduh. Cengkerik mula bersahutan dengan
laungan si kodok yang pastinya menanti pasangan mereka. Atan berdiri di muka
pintu. Wajah isterinya masih belum muncul-muncul lagi padahal anak-anak mereka
sudah lama lelap di atas lantai yang beralas tilam buruk. Dia tidak pasti siapa
yang lebih sunyi. Akhirnya dia masuk ke dalam dan berbaring di sebelah anaknya.
Tidak sedar bila dia terlelap. Dia hanya terjaga semua apabila terdengar pintu
rumah ditolak.
“Abang
belum tidur?”
“Belum. Mengapa lewat sangat balik?”
“OT,”
jawab Mah, isterinya.
“OT?
Kalau OT pun dah lama sampai rumah.”
“Mah
penatlah, bang, esok pagi dah kena pergi semula” Mah terus capai tuala dan
pergi ke belakang.
“Erm…”
Atan termenung di tepi dinding.
Bauan
isterinya lain benar. Bukan bau hanyir longkang di belakang rumah tetapi bauan
wangi yang tidak pernah tercium oleh hidungnya.
Perlahan-lahan
direbahkan semula tubuhnya di tepi pintu. Sewaktu kelopak matanya hampir
tertutup dia teringat satu ketika dahulu ternampak isterinya melangkah keluar
dari sebuah kereta tidak jauh dari lorong yang menuju ke perkampungan setinggan
itu.
Waktu
itu dia hanya mahu bersangka baik. Barangkali bas isterinya rosak. Bahkan saat
ini juga dia mahu bersangka baik. Wajah tulus suci anak-anaknya di renung satu
persatu, antara kekecewaan terhadap diri sendiri dan rasa tidak mahu mengalah
bergelutan. Kecewa kerana dia bukan ayah yang mampu memberikan kemewahan namun
hidup ini belum berakhir untuk dia mengalah.
Esok
pagi dia akan terus mengayuh basikal buruknya dari satu bangunan ke satu
bangunan. Dia akan terus menyapu dan menyapu. Membersihkan kekotoran yang
dilakukan penduduk kota. Memang dia tiada harga di mata dunia namun biarlah dia
tetap berharga di mata anak-anaknya.
Di
atas almari, Mr. Teddy memerhati dengan penuh pertanyaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.