Friday, February 28, 2014

Amat Rindu Kamu : Bab 6





ATAN baru tiba di Kolej Tun Teja. Seperti biasa, basikal buruknya disandarkan di belakang bangunan. Beg dan botol air disimpan di dalam bilik stor. Selepas itu dia mula menjalankan tugasnya seperti biasa. Membersihkan bangunan kolej itu dua kali sehari. Itu rutin yang pertama.
Tong-tong sampah di Tingkat Bawah dikosongkan. Dia mula menyapu lantai dan tangga dengan cermat. Pelajar-pelajar yang lalu-lalang tanpa henti agak menyukarkan. Sedang elok menyapu, dia terpandang sekeping poster di papan kenyataan.
Matanya terus membesar. Dia mendekati poster itu dan mengamati gambar yang terpapar jelas. Darahnya tersirap. Itulah gambar anak patung yang dibawanya pulang petang semalam.
Kini perasaan kesal bertubi-tubi datang. Dia jadi sedar. Anak patung itu amat penting kepada pemiliknya. Perasaannya berdebar-debar. Dia jadi rungsing memikirkan hal itu. Dia rasa bersalah kerana telah terambil sesuatu yang bukan hak miliknya. Walaupun dia seorang miskin namun dia bukan seorang pencuri.
Sepanjang hari itu, dia bekerja dalam keadaan resah gelisah. Setiap ketika, dia teringatkan rumah. Dia teringatkan anak patung yang mungkin masih berada di atas almari. Akhirnya waktu petang pun tiba. Dia lalu pulang dengan bersemangat.
Tubuh badannya yang berusia hampir separuh abad terasa lebih segar dihembus angin petang. Kayuhan demi kayuhan dikerahkan sekuat mungkin. Dia mahu cepat pulang namun denai yang biasa dilalui setiap hari itu terasa lebih panjang.
Setibanya di kawasan tempat tinggalnya, dia melihat anak sulungnya sedang menangis di atas pangkin di luar rumah. Dia kehairanan. Basikal disandarkan segera ke dinding rumah.
 “Kenapa menangis ni? Adik mana?” Dia menyoal sambil bercekak pinggang.
Anak sulung hanya menunjukkan jari ke dalam rumah.
Dahi Atan berkerut. Apa hal pula ni? Dia melangkah cemas. Segala kemungkinan buruk terbayang dalam fikirannya. Namun semua itu hilang apabila terpandang ank bongsunya sedang leka bermain dengan anak patung beruang di atas lantai. Tetapi… kenapa anak bongsunya berpakaian cantik?
Sekilas telinganya menangkap bunyi pergerakan di luar rumah. Bunyi itu datang dari arah bilik mandi yang dikepung dengan atap-atap zink yang mula berkarat ditelan waktu. Atan bergerak ke arah bunyi itu. Tangannya menguak pintu bilik mandi yang memang tidak pernah mempunyai kunci.
“Cepat Mah balik?” tanyanya kehairanan. Terkejut melihat susuk tubuh yang sangat dikenalinya di situ.
Isterinya tidak menjawab. Sebaliknya segera melangkah meninggalkan Atan terkulat-kulat.
Bau harum tubuh isterinya selepas mandi itu seakan turut sama meninggalkan dia di situ. Atan lantas mengekori isterinya ke dalam rumah. Dia perhatikan sahaja gelagat isterinya dengan rasa hairan yang tidak kunjung padam.
Isterinya pula leka bersiap. Sehelai  blaus berwarna merah bersama sehelai seluar panjang hitam dikenakan. Atan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Fikirannya menjadi keliru.
“Mah nak pergi mana senja-senja macam ni?”
Tiada jawapan. Isterinya menyisir rambut yang pendek berketak sehingga rapi. Wajahnya dioles sedikit bedak dan diratakan pemerah pipi. Bibir disapu gincu kemerahan.
Atan masih memandang tidak berkedip.
Isterinya menoleh ke arah sebuah beg pakaian yang sudah siap di tepi pintu. Kemudian menoleh ke arah Atan bagaikan memberitahu sesuatu.
Mata Atan membesar, wajahnya pucat.
Tanpa menunggu, isterinya mendukung anak bongsunya dan bergerak ke muka pintu. Beg pakaian diseret dengan tangan kiri. Belum sempat dia melangkah muka pintu, anak sulungnya muncul di situ.
“Mak, jangan pergi! Jangan bawa adik, mak!” rayunya sambil mencengkam pergelangan tangan ibunya kemas-kemas.
Tangan itu direntap kasar. Isterinya tetap juga melangkah pergi.
“Mah!” tempik Atan.
Tubuhnya menggigil menahan marah. Penumbuknya digenggam kuat. Hatinya cuba mengingati Tuhan sekuat mungkin. Nafasnya mula tercungap-cungap. Asmanya tiba-tiba menyerang.
Isterinya tetap tidak menoleh ke belakang. Anak sulungnya masih teresak-esak di tepi dinding. Anak tengahnya terkelip-kelip tidak memahami apa-apa.
“Mengapa, Mah?”
Nafas Atan tersekat-sekat. Paru-parunya tiba-tiba menyempit. Dia terus cuba menghela nafas sebanyak mungkin. Cuba mengawal perasaan marahnya sekuat hati. Cuba memujuk hati isterinya yang mungkin sedang rajuk.
“Mengapa Mah sampai hati tinggalkan abang dan anak-anak?” Suara Atan terketar-ketar.
“Sebab Mah dah bosan hidup macam ni. Mah mahu hidup macam orang lain. Mah tak mahu jadi setinggan sampai bila-bila!”
Atan hanya menundukkan kepalanya ke lantai. Kecewa dan marah terus berbaur. Kata-kata isterinya melontar ingatannya jauh ke belakang, ke beberapa tahun yang lalu.
“Abang  diberhentikan kerja, Mah,” katanya pada suatu petang sambil duduk di pangkin tepi rumah mereka.
“Kenapa?”
“Sebab abang selalu sangat cuti sakit. Asma abang makin teruk. Makin kerap datang. Kadang-kadang abang sakit di kilang. Jadi mereka nasihatkan abang berhenti sahaja supaya tidak menganggu kerja-kerja di kilang tu.”
“Tak apalah, bang. Biar Mah yang kerja pula ya? Esah yang tinggal di rumah hujung tu kata, kilang dia nak pakai pekerja. Dia ada ajak Mah kerja dengan dia. Boleh, bang?” Mata isterinya bercahaya, memancarkan harapan yang besar.
Atan mengangguk perlahan. Terasa kagum dengan kesanggupan isterinya menggalas tanggungjawab mencari rezeki sewaktu dia sedang sakit.
“Selepas abang sihat, abang kerja semula ya?” katanya penuh harap. Kalau boleh dia tidak mahu isterinya bekerja. Dia mahu isterinya duduk di rumah menjaga anak-anak. Biar anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Biar mereka miskin namun kaya iman. Namun harapan tinggal harapan. 
Penyakitnya terus tidak pulih walaupun pelbagai ubat sudah ditelan. Mahu tidak mahu, Atan hanya mampu melakukan kerja-kerja ringan dengan mengambil upah menyapu dan membersihkan bangunan di sekitar tempat itu. Pendapatannya walau tidak sebanyak mana cukuplah untuk membeli beras dan lain-lain keperluan dapur.
Isterinya pula tidak menoleh lagi. Dia terus bekerja dengan tekun setiap hari sehingga dinaikkan pangkat. Wang gaji isterinya digunakan untuk membeli pakaian dan keperluan lainnya. Selebihnya isterinya memohon izin untuk disimpan ke dalam bank.
Atan hanya tersenyum. Dia tidak berhak ke atas wang itu, terserahlah kepada isterinya.
“Abah… Jaja lapar…” rengek anak tengahnya.
Lamunan  Atan terhenti.
Tangan kecil anaknya mula menggosok-gosok perut. Atan menoleh ke arah dapur.  Dia bangun lantas menuju ke ruang itu. Tangannya menceduk sedikit nasi dan meletakkan ke atas pinggan. Seketul ikan masin yang digoreng pagi tadi diletakkan bersama. Segelas air masak ditatang dengan tangan kiri. Diletakkan di hadapan Jaja.
 Jaja pantas menyuapkan nasi ke mulutnya. 
Atan kembali duduk di tepi dinding. Matanya merenung kosong.
Isterinya pula masih tercegat di hadapan pintu rumah. Anak bongsu dalam dukungan masih leka bermain dengan anak patung beruang. Sesekali mulutnya menghisap tangan anak patung itu, sesekali menggoncangnya.
“Mah nak pergi bang…” Dia mula menyambung langkah.
“Kesianlah pada anak-anak kita…” rayu Atan. Dia bingkas berdiri mengejar langkah isterinya. Tangannya cuba mencapai tubuh anak bongsu dalam dukungan isterinya, namun ditepis kasar.
Tubuh isterinya menjauh. Mata mereka beradu.
Mata Atan mula berkaca. Hatinya sebak melihat perlakuan isterinya. Anak sulungnya juga menerpa ke muka pintu. Tangannya cuba mencapai tangan adiknya. Airmatanya tidak berhenti bercucuran.
Suasana bertukar menjadi riuh. Anak- anak Atan  mula menangis. Anak yang tengah turut menangis walau masih tidak mengerti. Anak yang dalam dukungan isterinya turut menangis kerana terkejut melihat kakaknya menangis. Dan keadaan yang kecoh itu mula menarik perhatian jiran tetangga bersebelahan.
Beberapa orang datang menjenguk di hadapan rumah. Mereka memandang penuh hairan, tidak berani masuk campur.
“Mah tetap nak pergi.”
Atan tarik nafas. Nampaknya isterinya sudah cukup nekad.
 “Halimah, abang lepaskan Mah dengan talak satu. Pergilah.” Atan berkata cukup jelas. Dia berdiri dengan tenang.
Isterinya tersentak.
Jiran tetangga turut terkedu. Tiada siapa yang menduga akan menjadi saksi robohnya sebuah perkahwinan. Mereka lantas berbisik sesama mereka.
Mah tidak menunggu lagi. Dia lantas menyarung seliparnya dan berpusing ke belakang. Tangan kirinya mencapai beg baju yang telah siap sedia di luar pintu. Dalam gelap malam, dia melangkah laju. Mengikuti denai kecil di tepi perumahan setinggan itu, menuju ke sebuah perhentian bas di tepi jalanraya.
Sebuah kereta sudah lama menanti. Melihat kehadiran Mah, seorang lelaki pantas keluar lalu mengambil beg di tangannya.
Mah masuk ke dalam perut kereta, sebelum pintu ditutup tangan Mah menarik anak patung beruang dari genggaman tangan anaknya lalu mencampakkannya keluar.
Anak patung itu jatuh di tepi pondok perhentian bas. Kereta itu meluncur laju memasuki jalan raya dan terus hilang dalam arus kenderaan yang bertali arus.
Di rumah, Atan terduduk di tepi pintu. Tubuhnya masih menggigil. Bibirnya masih bergetar. Walaupun seperti bermimpi namun dia yakin keputusannya betul.
 Mah akan bahagia dengan pilihan hidupnya. Dia berserta anak-anaknya akan terus bahagia dengan dunia mereka sendiri.
Tiada gunanya dia memaksa kalau hati Mah sudah tidak wujud di situ. Dia percaya tanpa keikhlasan tidak akan wujud kemanisan berumahtangga. Biarlah segalanya berakhir. Dia reda.
Perlahan-lahan dipeluknya anak sulung dan anak tengahnya. Dengan sepenuh hati dia berjanji. Walau apa pun yang berlaku, dia akan membesarkan anak-anaknya dengan baik dan sempurna. Tiba-tiba dia tersedar sesuatu.
“Anak patung tadi mana?”
“Kan adik bawa?” Anak sulungnya menjawab.
Atan kehilangan kata-kata.

Jauh di perhentian bas, Mr. Teddy terbaring di bawah kerusi batu. Menanti siang tiba. Menanti Hana datang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.