Wednesday, December 12, 2012

PERCAYALAH SAYANG: Bab 17



Bab 17
Hospital Intan Hayati….
“SAYA tak tahu doktor. Saya jumpa dia terbaring di tepi jalan,” jawab Damien separuh jujur.
Doktor lelaki itu hanya mengangguk sebelum mengikut jururawat masuk ke bilik rawatan kecemasan. Damien ditinggalkan di luar pintu tanpa sebarang jaminan.
Damien hanya memerhati Bilik Kecemasan yang telah tertutup rapat, dia berasa sedikit lega kerana sekurang-kurangnya gadis itu sudah ada di tangan pihak yang boleh melakukan sesuatu. Sambil menarik nafas panjang, dia melabuhkan punggung di salah sebuah kerusi di situ dan cuba menelefon Anis.
Dia menunggu dengan tenang tetapi panggilannya tidak dijawab. Dia mendail berkali-kali namun tetap tidak ada sesiapa yang menjawab panggilannya. Dia mengeluh lagi. Sama ada Anis di dalam bilik air ataupun Anis langsung tidak mendengar bunyi telefon bimbitnya. Dia bertambah susah hati. Anis di rumah entah bagaimana khabarnya, gadis di dalam Bilik Kecemasan juga entah apa ceritanya.
“Hah! Macam mana orang tu?” tegur seorang lelaki berkaca-mata sambil menghulurkan salam.
Damien tergamam seketika namun huluran salam itu disambut mesra. Tangan Faiz, sahabat lamanya ditarik dan diajak duduk di sebelahnya.
“Dalam Bilik Kecemasan lagi.” Dia menoleh sedikit ke arah Bilik Kecemasan di sebelah kirinya. Bilik itu masih tertutup rapat cuma sesekali kelihatan jururawat dan pembantu perubatan keluar masuk. Resahnya masih bersisa.
“Kalau tak cedera parah, mungkin pengsan sebab terkejut saja,” balas Faiz dengan tenang. “Janganlah susah hati sangat….” Dia pandang muka Damien lama-lama. Dihadiahkan senyuman buat penenang jiwa.
“Entah apalah malangnya aku hari ni…. Cari ubat tak jumpa, jumpa pula perempuan tu,” jawab Damien seraya mengeluh.
“Perempuan? Yang kau langgar ni perempuan ke?”
Damien angguk. “Yang pelik tu, tempat tu bukannya ada rumah atau apa-apa. Kalau tak silap aku tadi, di sebelah kanan aku kebun getah dan di sebelah kiri macam hutan… Kenapa dia tiba-tiba meluru ke kereta aku, tak tahulah. Mujur aku sempat tekan brek. Kalau tak mungkin dah melambung dah.”
Faiz mengeluh. “Itulah namanya dah nak jadi. Bukan boleh fikir logik lagi dah. Yang kau merayap pagi-pagi ni nak ke mana? Isteri kau mana?”
“Pasal dialah aku keluar rumah tadi. Aku nak cari ubat demam tapi kedai kat tempat aku tu semua tutup, aku pun jalan ke depan lagi. Tup… tup… ini pula yang aku jumpa.”
“Relakslah. Mungkin tak ada apa-apa tu,” balas Faiz lagi.
Damien mengeluh panjang. Dia betul-betul tidak menyangka pagi itu akan berubah rentak. Tadi dirasakan begitu nyaman namun sekarang dirasakan begitu menyesakkan.
“Sabarlah. Kalau tak ada apa-apa tu sekejap lagi kau boleh baliklah,” tambah Faiz.
Belum sempat  Damien membalas, seorang jururawat menegur mereka berdua.
“Encik, doktor nak jumpa sekarang.”
Damien dan Faiz serentak berpandangan sebelum bergegas ke Bilik Kecemasan.
******
“DIA sudah sedar tapi masih lemah. Badannya banyak kehilangan air dan tidak bertenaga. Terdapat juga kecederaan yang mencurigakan. Saya masih menunggu keputusan x-tray dan ujian darah. Kes ini saya rujuk kepada pihak polis,” kata doktor lelaki tadi dengan wajah yang serius. Namanya Dr. Azim.
Tidak lama selepas itu, dua orang anggota polis tiba di situ. Mereka hanya berdiri di tepi pintu.
“Dia ada ceritakan apa-apa?” tanya Damien.
“Buat masa ini, dia sangat lemah. Dia belum buka mulut lagi,” balas doktor itu.
“Doktor rasa dia akan okey?” Damien pandang wajah doktor itu dengan tajam. Itu sahaja yang penting sekarang.
“Susah nak cakap buat masa ni. Kita jangkakan, dia akan pulih dalam masa beberapa hari lagi jika tidak ada sebarang komplikasi lain.” Dr. Azim membalas renungan Damien.
Damien menghela nafas, dia belum berasa lega lagi. Walaupun dia amat jelas yang dirinya tidak bersalah tetapi selagi gadis itu belum menceritakan hal yang sebenarnya, dia rasa seperti terbabit sama.
 “Encik berdua sila ikut anggota polis ni dan berikan semua keterangan yang encik tahu.”
Damien dan Faiz berkerut dahi tetapi tidak pula membuka mulut. Setelah mengucapkan terima kasih kepada doktor itu, mereka meninggalkan bilik itu untuk membuat laporan polis. Sedang Damien berjalan keluar, tiba-tiba seorang gadis menjerit.
“Awak! Tolong saya awak!”
Semua yang ada di situ terpinga-pinga. Gadis berbaju kurung putih itu menjerit dan menangis sambil menghulur tangan ke arah Damien. “Awak! Jangan tinggalkan saya… Awak tolong saya!”
Damien tergamam. Wajahnya bertambah pucat apabila semua mata di situ merenung ke arahnya.
******
HAMPIR dua jam selepas itu, Damien dan Faiz berada di kantin Hospital Intan Hayati yang terbuka dan menghadap ke Selat Melaka. Kedua-duanya termenung panjang.
“Kau tak bersalah… janganlah susah hati macam tu. Kau pun datang sini nak bercuti, kan?” Akhirnya Faiz bersuara. Air teh ais dalam gelasnya dikacau perlahan-lahan dengan straw.
Damien masih termenung. Sesak dadanya dengan apa yang baru menimpa. Tidak semena-mena dia terlibat dengan sebuah kes yang memeningkan kepala. Siapa gadis itu, datang dari mana, hendak ke mana… semuanya dia tidak tahu. Tetapi itulah yang ditanya oleh pihak polis tadi berkali-kali. Mereka tidak percaya kepada jawapannya kerana gadis itu seolah-olah mengenalinya.
“Aku tak kenal dia, Faiz. Sungguh, aku cakap betul….” Dia menggeleng lemah.
“Bila perempuan tu dah sihat nanti, mungkin dia boleh ceritakan perkara yang sebenar kepada polis. Kau tak bersalah, kau jangan takut,” balas Faiz.
“Aku tak takut kalau aku bersalah tapi….”
“Tapi apa?” Cepat sahaja Faiz membalas. Matanya tajam merenung wajah Damien.
 “Aku takut kalau Anis tahu  perkara ni.”
Faiz tersenyum. “Takkanlah Anis nak fikir yang bukan-bukan pula, kan?”
Damien tarik nafas. Ingin sahaja dia mengiyakan kata-kata Faiz itu tetapi dia tidak fikir keadaan akan menjadi semudah itu. Jika orang lain boleh berfikir yang bukan-bukan, kenapa tidak Anis? Hati isteri mana yang tidak akan gusar apabila melihat suaminya berdekatan dengan seorang perempuan lain? Dia yakin Anis juga begitu atau sekurang-kurangnya memendam rasa curiga walaupun sebesar hama. Malah dalam keadaan Anis sekarang, dia bimbang keadaan Anis akan bertambah teruk.
“Balik nanti… kau ceritalah pada dia betul-betul. Jangan sorokkan apa-apa. Bawa dia datang sini jumpa perempuan tu. Tentu dia tak marah dan faham,” kata Faiz pula.
“Polis dah beri amaran supaya aku tak ke mana-mana sampai mereka dapat bukti aku tak bersabit dengan kes ni. Aku harap,  kes ni taklah merebak menjadi berat pula.”
“Maksud kau?”
Damien angkat bahu walaupun dalam kepalanya terbayang seribu kemungkinan yang teruk-teruk. “Kau fikirlah… jika ada seorang perempuan macam tu kelam-kabut lari keluar daripada hutan, kau fikir apa yang aku fikir?”
“Polis kata akan siasat tempat kejadian, kan?”
“Ya, dan aku tak fikir mereka akan jumpa apa-apa. Lainlah kalau mereka bawa anjing pengesan ke. Tapi kes ni bukanlah kes berprofail tinggi.”
Secara tiba-tiba, Faiz tersenyum dan memetik jarinya. “Kenapa kau tak telefon ayah kau? Minta bantuan dia. Mungkin kes kau dapat disiasat betul-betul.”
Damien menghempaskan keluhan, entah apalah yang akan difikirkan ayahnya nanti. Akhirnya dia mengangguk, mungkin itulah jalan yang terbaik buat masa ini. “Aku telefon sekejap lagi. Jom kita balik dulu. Aku dah lama sangat tinggalkan Anis ni.”
“Anis tinggal sorang ke?”
“Tak. Ada pembantu rumah di rumah tu.” Entah kenapa dia berasa lega pula.
Faiz angguk seraya mencuit lengan Damien. “Tak nak melawat orang tu dulu ke?”
Langkah Damien terhenti. Dia memandang Faiz. “Perlu ke?”
“Jomlah…,” gesa Faiz. “Sekejap saja. Lepas tu kita baliklah.”
Damien tidak menolak lagi apabila bahunya dipaut Faiz.
*****
SETELAH mendapatkan panduan daripada doktor dan jururawat di Bilik Kecemasan, mereka berdua naik ke tingkat tiga yang menempatkan bilik rawatan khas. Buat masa ini, gadis itu masih diasingkan daripada pesakit lain lantaran keadaan mentalnya yang belum begitu stabil.
“Awak! Awak tolong saya, awak!!!” Gadis itu menjerit lantang bersama air mata yang membasahi pipinya sebaik sahaja ternampak wajah Damien yang baru sahaja melangkah masuk ke bilik itu dengan diiringi seorang anggota polis. Serta-merta bilik itu menjadi tegang semula.
Damien dan Faiz terus terkaku apabila gadis itu meronta daripada pegangan jururawat dan meluru ke arah Damien.
“Awak… hantar saya balik, awak. Tolong saya, awak,” katanya lagi sambil menarik-narik lengan Damien.
Jururawat segera menariknya pergi tetapi gadis itu tetap tidak mahu melepaskan lengan Damien.
“A… Awak duduk sana dulu.” Damien cuba memujuk. Sakit dan perit di lengannya membuatkan dia sedar bahawa keadaan itu tidak boleh dibiarkan sahaja. Dia juga yang akan susah.
Perlahan-lahan gadis itu melepaskan pegangan tangannya. Dia merenung wajah Damien dengan pandangan yang sayu.
“Saya duduk sana tapi awak… awak jangan tinggalkan saya. Saya takut mereka datang. Jangan beri mereka ambil saya,” katanya pula sambil menggeleng laju.
Damien angguk. Kepalanya makin keliru dengan sikap dan kata-kata gadis itu. Dia menoleh ke arah Faiz namun Faiz hanya mengangkat bahu.
Setelah gadis itu naik semula dan berbaring di atas katilnya, Damien mengajak Faiz keluar dari bilik itu.
“Awak!!!”
Sekali lagi Damien terkejut. Langkahnya terus sahaja terhenti.
“Awak nak ke mana?” Gadis itu bertanya lagi dengan suara yang kuat.
Damien menelan air liur. Kepalanya mula pening. “Awak duduk situ… nanti saya datang semula.”
“Betul? Awak tak tinggalkan saya, kan?” tanya gadis itu lagi. “Awak jangan pergi, saya takut.”
“Ya… awak tidur dulu,” jawab Damien sambil menjeling ke arah Faiz. Sedikit sebanyak dia menyalahkan Faiz kerana mengajak dia ke situ. Sekarang siapa yang susah?
Gadis itu diam dan kembali merebahkan tubuhnya semula ke atas katil dan mengiring membelakangkan Damien.
Melihatkan keadaan yang sudah kembali tenang, Damien segera membuka pintu dan melangkah keluar dengan laju sambil diekori oleh Faiz.
“Fuh! Gila… itulah kau. Nak sangat tengok dia. Tak ada penyakit nak cari penyakit,” rungut Damien.
Faiz cuma tersengih dan menggeleng. Secara tiba-tiba sahaja langkahnya terhenti. Dia tidak bergerak walaupun Damien sudah melangkah ke hadapan.
Damien yang menyedarinya juga berhenti melangkah. Dia menoleh ke belakang dan  memandang Faiz yang tercegat di situ. “Kenapa?”
Faiz membalas pertanyaan Damien dengan pandangan yang pelik. “Kenapa perempuan tu asyik panggil kau macam….”
“Macam apa?” balas Damien. Dahinya sudah berkerut tanda tidak senang dengan cara Faiz memandangnya. Padanya Faiz yang pandang dia semacam.
“Cara dia tengok kau… cara dia panggil kau… macam ada sesuatu saja,” balas Faiz. Kini dia tidak tersenyum lagi. Di wajahnya terbayang kekeliruan yang jelas.
“Kau jangan syak yang bukan-bukan. Aku tak kenal pun dia, siapa namanya atau dari mana datangnya.” Damien menyambung langkahnya semula. Hatinya mula mendidih. Dia tidak sangka Faiz sendiri boleh menyangka yang bukan-bukan terhadapnya.
Kali ini Faiz tidak membantah atau mengiyakan. Dia hanya menyusun langkahnya beriringan keluar dari kawasan wad itu.
Di pintu hospital, mereka berjabat tangan sekali lagi sebelum berpisah. Tetapi sebelum itu Faiz sempat berpesan sekali lagi, “Jangan lupa telefon ayah kau. Aku rasa lebih baik kau cari peguam yang mahir dalam kes-kes macam ni.”
Damien bertambah risau.
******
SEBAIK sahaja Damien masuk ke dalam keretanya semula, dia termenung seketika. Dia benar-benar bingung dengan apa yang telah menimpanya. Entah daripada mana munculnya masalah itu, dia sendiri tidak pasti tetapi dia tahu, itu semua ketentuan Tuhan dan pasti ada hikmah di sebaliknya yang dia belum tahu. Bagaimanapun, dia berasa ragu-ragu. Adakah dia cukup kuat untuk menempuhnya?
Bersama hempasan nafas, dia menekan nombor telefon milik Anis namun… sekali lagi tiada jawapan. Hatinya mula dibelit rasa bimbang. Lalu dia menelefon ayahnya pula. Mungkin betul kata Faiz, perkara itu bukan perkara kecil.
“Saya di… di… di Hospital Intan Hayati,” jawabnya setelah menjawab salam yang diberikan ayahnya. Dadanya berdebar-debar. Dia tidak pasti apa reaksi ayahnya nanti kalau tahu hal itu.
“Hospital? Buat apa? Anis sakit?”
Pertanyaan itu membuatkan dia kehilangan kata-kata. Dia tahu ayahnya sangat bimbangkan Anis. Tidak ada hal lain yang menjelma dalam fikiran ayahnya selain soal itu. Dan itu menambahkan tekanan kepadanya.
“Dami!” tegur ayahnya.
Damien bagaikan tersedar. “Abah… saya nak cakap sikit.”
Tan Sri Dzairil hanya menggumam dan menunggu.
“Tadi… saya terlanggar orang, bah.” Itu sahaja yang terluah oleh bibir Damien. Selepas itu dia senyap sambil menantikan tindak balas ayahnya. Marahkah ayah?
“Huh? Macam mana dengan orang tu?”
“Dia tak apa-apa. Cuma pengsan sekejap tadi. Saya dah bawa dia ke hos….”
“Alhamdulillah,” sampuk Tan Sri Dzairil. “Dah minta maaf dengan dia? Kenapa Dami tak pandang betul-betul sampai langgar orang semua?”
Damien menggaru kepala. Minta maaf apa? Bukan aku yang salah, jawabnya dalam hati. “Tapi, bah….”
“Dia minta ganti rugi? Atau nak saman?” sampuk Tan Sri Dzairil lagi.
“Belum sampai ke situ, bah. Tapi….” Damien mengeluh lagi.
“Apa masalahnya ni? Macam susah sangat abah dengar.”
Mahu tidak mahu, terpaksalah Damien menceritakan semua perkara yang telah terjadi daripada mula hinggalah akhir. Tan Sri Dzairil hanya diam membisu.
“Apa saya nak buat sekarang, bah?”
“Abah akan hantar peguam kita ke sana. Dami dengan dia bincang dengan polis dulu. Tengok macam mana kes siasatan ni berjalan. Abah juga rasa elok Dami beri apa-apa sahaja bantuan atau maklumat yang diperlukan polis. Jangan sorok apa-apa.”
Damien menghela nafas. Bukan itu yang membebani fikiranya. “Tapi Anis belum tahu.”
“Kenapa Dami tak beritahu dia? Dia berhak tahu apa-apa pun yang berlaku pada Dami,” balas Tan Sri Dzairil.
Lagi sekali Damien menghela nafas. Kalaulah keadaan semudah itu, mungkin tidaklah menjadi masalah sekarang.  “Sebab… perempuan tu pelik sikit.”
“Pelik? Apa yang pelik?”
“Cara dia panggil saya, cara dia pandang dan pegang….” Damien menarik nafas lagi. Semakin sesak jiwanya apabila memikirkan sikap gadis itu. “Saya sendiri pun tak tahu kenapa dia bersikap macam tu. Dia buat macam dia kenal saya sedangkan saya tak kenal dia. Kawan saya dekat sini pun tanya hal tu. Dia pun macam syak yang bukan-bukan pula.”
“Abah tak faham apa Dami cakap ni tapi Dami bukan hidup sorang lagi. Apa-apa pun Anis berhak tahu.”
“Abah… abah pun tahu Anis tu macam mana,” balas Damien. Dia yakin Anis tidak akan dapat menerima  perkara ini dengan mudah. Apa yang dia takutkan, Anis hilang kepercayaan kepadanya. Anis akan syak yang bukan-bukan.
Tan Sri Dzairil hanya diam.
“Abah free tak? Abah boleh datang sini sekejap?” Akhirnya itu sahaja yang terfikir di kepalanya. Mungkin setelah ayahnya melihat gadis itu sendiri, ayahnya akan faham apa yang menganggu jiwanya saat itu. Apa yang menjadi persoalannya sekarang.
“Sekarang tak boleh, Tapi lusa mungkin abah boleh lari sekejap ke sana. Perlu ke abah datang?”
“Bila abah datang nanti, abah terus ke Hospital Intan Hayati. Call saya bila dah sampai.” Damien mengharap agar jawapannya itu dapat difahami oleh ayahnya. Pada saat-saat yang membingungkan itu, dia memerlukan seseorang yang benar-benar mengenali dirinya di sisi.
Lama juga Tan Sri Dzairil mendiamkan diri. Mungkin berfikir, mungkin juga cuba menyelami situasi yang dihadapi oleh Damien. Akhirnya dia memberikan persetujuan untuk ke situ tanpa menetapkan tarikh dan masa.
 “Abah tolonglah datang. Selepas tu… saya ikut apa saja cakap abah,” katanya buat kali terakhir. Dia benar-benar takut mengambil tindakan yang boleh memudaratkan diri dan emosi Anis.
“Ya, abah datang.”
“Lagi satu, abah. Tolong jangan beritahu apa-apa pada dulu Anis ya… Sekurang-kurangnya Dami nak abah tengok dulu keadaan perempuan tu.”
“Ya, tapi ada satu perkara yang abah nak beritahu Dami.”
“Apa dia, abah?”
“Abah baru dapat tahu yang Maisara dalam perjalanan ke sana.”
“Apa? Dia nak buat apa ke sini?” Damien berkerut dahi. Terasa fikirannya makin sesak.
“Dia kata nak pergi bercuti juga tapi abah harap kamu hati-hati sikit dengan dia tu. Jangan sampai Anis tu berkecil hati lagi.”
Damien menarik nafas panjang, kemudian menggeleng dan termenung lagi. Dia tidak pasti adakah kedatangan Maisara itu elok ataupun tidak tetapi dia akan melindungi Anis sedaya-upaya jika perlu.
“Saya akan buat apa yang perlu, abah,” jawabnya sebelum menamatkan perbualan,



Friday, December 7, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 16



Bab 16
Di Vila Helena….
ANIS sudah lama terjaga namun dia tidak turun dari katilnya. Dia berbaring sahaja sambil menatap siling dan berfikir. Betulkah semua yang ditempuhinya malam tadi itu benar-benar berlaku? Betulkah yang dilihatnya itu Danny? Kenapa Danny datang semula dalam hidupnya? Kenapa?
“Sudah sampai masanya untuk Anis bina hidup baru,” kata Cik Pia beberapa tahun yang lalu sewaktu dia baru mengenali Damien.
“Bukan saya tak nak, Cik Pia. Tetapi dia….”
“Cubalah Anis kenali hati Damien betul-betul dulu. Saya yakin satu hari nanti, Anis akan mengakui walaupun mereka kembar seiras tapi mereka dua individu yang berbeza,” pujuk Cik Pia lagi. “Muka saja hampir sama tapi hati lain-lain. Berilah dia peluang.”
“Kenapa bukan Cik Pia sahaja yang beri dia peluang?”
Cik Pia menggeleng. “Sejak kecil lagi saya sudah menganggap Damien tu seperti adik saya saja. Tapi dengan Danny, lain. Sebab itulah Damien selesa memanggil saya Kak Pia. Antara kami tak wujud apa-apa perasaan lain selain perasaan sebagai kakak dan adik.”
Dia terdiam seketika. Dia masih ragu-ragu untuk menerima kehadiran Damien dalam hidupnya. Bukan kerana dia tidak nampak kesungguhan hati Damien tetapi dia sebenarnya meragui hatinya sendiri. Cukuplah sekali dia jatuh cinta dengan terburu-buru. Dia sudah serik.
“Dia cintakan Anis. Apa lagi yang Anis mahukan?” tanya Cik Pia. “Anis masih ingatkan Danny?”
Dia diam sahaja. Walaupun dia sedar, Danny sudah lama tidak ada. Malah pertemuan mereka pun satu keajaiban namun perasaan yang tertinggal dalam hatinya bukan sesuatu yang  dibuat-buat. Perasaan cinta dan rindu seolah-olah terpahat di situ. Sukar untuk dialihkan ke tempat lain.
“Inilah realiti, Anis. Yang telah pergi tetap pergi. Yang masih hidup perlu terus melangkah. Jika kita berhenti, kita juga akan mati sebelum masanya.”
“Bagaimana pula dengan Cik Pia?”
Cik Pia tersenyum tenang. “Sudah lama saya menerima hakikat yang Danny dah tak ada. Bukan bermakna saya lupakan dia tetapi rezeki dia sudah sampai di situ sahaja, sedangkan rezeki kita masih ada. Kalau kita tak menggunakan apa yang Tuhan berikan, bukankah itu seolah-olah kita tak bersyukur?”
Sejak itulah dia cuba belajar menerima Damien sebagai Damien. Tidak pernah sekali terlintas di hatinya untuk membayangkan Damien itu Danny. Tidak pernah terlintas di hatinya juga bahawa Damien menggantikan tempat Danny. Dia melihat Damien sebagai individu yang benar-benar berbeza. Sejak itulah  dia dapat menerima kehadiran Damien dalam hidupnya sehingga kini. Sayangnya… kehadiran Danny malam tadi seolah-olah mencabar kekuatan perasaannya sendiri.
“Anis masih ingatkan Danny?” tanya Damien semasa mereka baru bertunang.
Dia tersenyum. “Mestilah ingat. Dia juga keluarga kita, kan?”
“Kalau abang simpan misai dan janggut, macam mana?” tanya Damien lagi sambil tersenyum.
Dia berkerut dahi. Sukar untuknya menerima Damien dengan wajah yang sebegitu. Lagipun dia tidak suka lelaki yang bermisai.
“Tak payahlah. Tak hensem.”
Damien tersenyum lagi. “Abang cuma tak mahu Anis pandang abang tapi ingatkan Danny.”
Dia rasa amat terperanjat dengan pengakuan itu. Walaupun dia cuba menerima perbezaan di antara Damien dan Danny, adalah mustahil untuk dia memadamkan ingatannya terhadap arwah Danny seratus peratus kerana wajah mereka seiras.
“Apa yang nak dicemburukan? Orang dah tak ada.”
“Abang faham, dia cinta pertama Anis.” Kata-kata Damien termati seketika. Kelihatan susah benar untuk dia meluahkan isi hatinya pada waktu itu. “Tentulah dia ada ruang yang istimewa di hati Anis tapi… sekarang abang bakal suami Anis. Abang harap Anis tahu yang mana satu lebih penting.”
Dia rasa amat tersentuh. Tidak sedar air matanya bergenang pada waktu itu. Dia terharu dan pada yang sama rasa amat disayangi.
“Sayang, dia adalah sejarah. Sejarah tak boleh diubah lagi tapi abang… adalah masa depan Anis. Tempatnya lebih luas dan jauh lebih istimewa di hati Anis.”
Ya, itulah pengakuannya dulu dan dengan mengingatinya kini… bebayang Danny seolah-olah menjauh dan memudar kembali. Dia lalu bangkit meninggalkan katil. Mungkin semua itu hanyalah mainan tidur.
******
SELESAI mandi dan menukar pakaian, Anis melangkah turun ke tingkat satu. Walaupun badannya masih lemah namun hatinya ingin sekali menatap wajah Damien. Entah mengapa ada rasa rindu yang membuak di jiwanya. Rindu kepada seorang suami.
“Awak ada nampak suami saya?” Dia bertanya kepada Maya yang sedang menyapu sampah di dapur. Dia sudah mencari di ruang tamu, di anjung belakang dan kini masuk semula ke dalam rumah tetapi Damien langsung tidak kelihatan.
Maya berpaling dan menghadap Anis.
“Suami puan? Dia dah keluar.”
“Keluar? Ke mana?”
Maya angkat bahu. “Dia tak cakap tapi….”
“Tapi apa?” Hati Anis mula berdebar-debar. Riak wajah Maya yang sedikit pucat itu membuat hatinya bertambah risau. Suaminya ke mana pula? Mencari ubat? Baru dia teringat.
“Muka dia macam bosan saja,” jawab Maya sambil menyimpan penyapu di dalam sebuah bilik kecil di tepi dapur. Kemudian, dia menarik sebuah kerusi di meja makan. Tudung saji dibuka. “Puan nak minum? Saya ada buatkan kopi. Kuih pun ada.”
Anis tidak menjawab. Kata-kata Maya masih berlegar-legar di fikirannya. Bosan? Muka Damien macam bosan? Dia mula rasa bersalah. Kenapalah dia harus demam sewaktu mereka sedang bercuti? Mungkinkah Damien berasa jengkel?
Maya hanya memerhati Anis yang sudah duduk di atas kerusi. Dia segera menuangkan kopi ke dalam cawan putih bercorak bunga ros. Cawan itu diletakkan di hadapan Anis dengan sopan.
“Minumlah, puan. Dah nak tengah hari.”
Anis menjeling cawan di tepi lengannya. Kopi. Dia lantas menolak cawan itu ke tengah meja.
“Tak apalah, saya tak minum kopi. Berikan saya air kosong saja.”
“Air kosong?” Maya tergamam. Matanya memerhati sahaja air kopi hitam pekat yang tidak diminum Anis.
“Ya, saya nak air suam,” balas Anis. Kepalanya mula berdenyut semula. Segala apa yang dipandang bagaikan teroleng-oleng.
“Puan makanlah sikit. Tak baik biarkan perut kosong, nanti melarat-larat demam tu,” kata Maya sambil meletakkan segelas air kosong di hadapan Anis.
Anis segera mencapai gelas itu. Diteguk air kosong itu sepuas hati. Namun hatinya merungut diam-diam… ni bukan air suam, ni air sejuk. Tetapi dia malas untuk meluahkannya kepada Maya. “Macam mana awak tahu saya demam?”
Maya tersenyum. “Pagi tadi tuan turun cari ubat demam tapi di rumah ni memang tak ada simpan ubat tu.”
“Jadi pagi tadi awak jumpalah suami saya? Ada dia pesan apa-apa?”
“Memang ada, dua tiga kali juga.” Maya tersenyum lagi seperti cuba mengingatkan sesuatu. “Tapi tak ada pula dia pesan apa-apa untuk puan. Mungkin dia terlupa.”
Dahi Anis spontan berkerut. Memang salah dia, dia terlupa yang Damien mahu mencarikan ubat untuknya. Tidak hairanlah jika Damien tidak ada tetapi lama betul suaminya pergi?
“Ala, puan. Lelaki memang macam tu… kadang-kadang kalau sedang asyik dengan sesuatu tu, isteri pun boleh lupa. Tapi dia tetap akan balik bila dia ingat.”
“Awak dah kahwin ke, Maya?” Anis bertanya pula. Kata-kata yang diluahkan Maya bagaikan lahir daripada pengalaman. Tidak sangka pula dia yang Maya sudah berkahwin, sekali pandang bagaikan anak dara lagi.
Maya menggeleng. “Masih menanti seseorang yang sanggup berkahwin dengan saya.”
“Jodoh tu di tangan Tuhan. Siapa jodoh kita, bila bertemu dan berkahwin… semua di tangan-Nya,” kata Anis pula. Hairan juga di hatinya, macam mana gadis secatik Maya itu masih belum berkahwin. Tetapi itulah namanya belum sampai rezeki. Tidak kira betapa cantik pun seseorang gadis, jika belum sampai jodohnya maka kekal begitulah ia. Dalam diam, dia mensyukuri jodohnya dengan Damien.
“Apa nak buat, puan? Orang tak tepati janji. Janji nak kahwin dengan kita tapi bila sampai masanya tak datang-datang.”
Anis menoleh ke arah Maya yang berdiri berdekatan dengan dapur. “Awak sudah ada kekasih? Kekasih awak tu pergi mana?”
Maya tunduk memandang lantai. Senyumannya tadi telah hilang diganti riak sedih yang mendalam.
“Saya pun tak tahu. Tapi dia kata dia akan balik ambil saya sebab tu saya tetap tunggu dia.”
Anis termenung seketika. Riak sedih di wajah Maya membuat hatinya ikut tersentuh. Begitulah hati seorang perempuan. Kasihnya… setianya… ada kala hingga dibawa mati. “Awak tunggu saja? Awak tak cuba cari dia?”
Maya menggeleng. “Saya dah janji dengan dia. Saya akan tunggu dia balik.”
Anis tidak bertanya lagi. Dia belum larat untuk bercerita panjang. Mungkin setelah dia sihat dan ada masa untuk bertanya itu dan ini, dia akan luangkan masa untuk mengenali gadis itu. Sekarang dia hanya mahu berehat sementara menantikan suaminya balik. Dia rasa seperti mahu demam semula.
Sebelum dia beredar dari situ, dia sempat memandang ke atas meja. Ada sepiring kuih yang tidak biasa dilihatnya di situ. Rupa kuih itu seperti karipap namun kulitnya putih pucat danlembik.
“Kuih apa tu?” Hatinya yang berasa pelik terus memaksanya bertanya juga.
“Kuih Sayang-Sayang, puan. Luarnya tepung pulut, intinya kelapa manis. Puan makanlah.”
Anis menggeleng lalu beredar. Entah kenapa tekaknya tidak berselera melihat kuih itu.
*****
DI RUANG TAMU, Anis berbaring di atas sofa. Malas rasanya untuk naik semula ke bilik, lagipun dia mula berasa jemu menatap siling bilik berseorangan. Sedang cuba memejamkan matanya, dengan tiba-tiba sesuatu melintas di ingatannya. Dia memandang ke arah Maya yang juga sedang membersihkan perabot tidak jauh dari tempatnya berbaring.
“Semasa awak datang tadi… ada tak awak jumpa apa-apa barang yang pecah?” Dia bertanya.
“Barang pecah?” tanya Maya semula. “Tak ada, puan. Kenapa?”
Tak ada? Tapi… dia dengar dengan jelas. Bukan sekali malah dua tiga kali dia mendengar barang kaca terhempas ke lantai. Jika tidak ada, bunyi apa pula yang didengarnya malam tadi?
“Malam tadi… saya dengar bunyi benda pecah di bawah ni tapi saya tak periksa pula,” balasnya.
Maya tersenyum. “Tak ada, puan. Mungkin puan salah dengar kut? Mungkin juga bunyi angin. Di sini kalau malam-malam, biasanya angin kuat.”
“Tapi saya dengar dengan jelas ada benda pecah. Mungkin barang kaca,” tegasnya lagi.
“Tak ada puan, kalau ada tentu saya dah jumpa,” balas Maya. Masih lagi dengan jawapannya.
“Awak dah periksa betul-betul? Cuba awak periksa dalam bilik lain. Entah-entah ada benda jatuh dalam bilik,” kata Anis lagi. Sukar untuknya menerima jawapan Maya. Dia yakin memang ada benda yang terhempas ke lantai malam tadi dan keyakinannya tidak berubah. 
Maya diam seketika sebelum berhenti mengemas dan menjawab, “Nanti saya periksa, puan.”
“Sebelum awak balik nanti, pastikan awak dah kunci semua pintu dan tingkap.” Pesannya sebelum Maya menaiki tangga ke tingkat atas.
Maya hanya mengangguk sebelum meneruskan langkahnya. Tidak lama kemudian, Maya turun semula ke ruang tamu. “Saya tak jumpa apa-apa yang pecah, puan. Semua bilik seperti biasa saja.”
Anis tidak berkata apa lagi. Mungkin benar yang dia sudah tersilap dengar. Sedang dia cuba menenangkan diri, dia terdengar bunyi hon kereta di hadapan rumah. Kuat sekali bunyinya dan dia tahu itu bukan bunyi hon kereta Damien.
“Tak apa, biar saya tengok,” katanya sewaktu Maya mahu membuka pintu hadapan.
Maya berundur ke dapur.
Anis melangkah perlahan-lahan ke pintu. Dan apabila pintu dibukanya, dia terlihat seorang gadis di hadapan pagar. Dia terkedu.

Tuesday, December 4, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 15



Bab 15
Sementara itu di Flat Seri Mastura….
“ITU pun dia dah turun,” tegur Mak Ani sambil menghulurkan kedua belah tangannya untuk menyambut Daniel yang baru dibawa masuk ke dalam kafe oleh Maria.
Dengan senyuman, Maria menyerahkan Daniel ke pangkuan ibu mertuanya. Walaupun terasa berat hati untuk berpisah dengan anaknya setiap pagi tetapi demi kerja dia terpaksa meninggalkan anaknya itu di bawah pengawasan Mak Cik Izzah. Jika hendak diharapkan ibu mertuanya, dia bimbang ibu mertuanya tidak akan cukup tangan kerana perlu menguruskan kafe tersebut juga.
“Mana Mak Cik Izzah? Selalunya dia yang sampai dulu.”
Terdetik rasa hairan kerana perempuan tua yang lebih kurang sebaya dengan ibu mertuanya itu tidak kelihatan lagi di situ seperti selalunya. Apa yang lebih dibimbangkan jika Mak Cik Izzah sakit dan tidak dapat menjaga Daniel.
“Sekejap lagi turunlah tu,” balas Mak Ani yang sedang leka melayan rengek Daniel. “Kalau nak pergi kerja dulu, pergilah. Mak boleh jaga sekejap.”
“Saya takut jalan jammed saja, mak.”
“Pergi sajalah. Mak boleh jaga.”
“Kalau macam tu, biar saya pergi dulu, mak. Abang pun dah tunggu dalam kereta.” Dia menghulurkan salam sebelum mengucup tangan ibu mertuanya dan kemudian kucupan kasihnya singgah di pipi Daniel pula. “Tapi kalau Mak Cik Izzah tak dapat jaga Daniel, mak telefon tau. Saya akan cuba minta cuti kecemasan.”
“Sekejap lagi turunlah orang tua tu,” jawab Mak Ani. Dengan tiba-tiba suaranya berubah nada apabila terlihat Mak Cik Izzah masuk ke situ, “Haaa, Zah. Kenapa lambat pula pagi ni?”
Mak Cik Izzah mengeluh. “Sejak tinggal sorang-sorang ni, beginilah aku ni, Ani. Malam tak boleh tidur, bangun pagi lambat.”
Maria hanya ketawa mendengar mulut Mak Cik Izzah yang riuh.
“Tak apalah, mak cik. Kalau lambat pun, saya tinggalkan Daniel di sini dulu,” kata Maria sambil tersenyum. Dia tidak sampai hati melihat Mak Cik Izzah berasa bersalah pula. Kesanggupan Mak Cik Izzah menjaga Daniel pun sudah tidak ternilai harganya dengan wang ringgit yang dihulurkan saban bulan.
“Tak boleh kan, Daniel? Nanti habis rambut Daniel bau asam pedas,” jawab Mak Cik Izzah sambil mengambil Daniel dari dukungan Mak Ani. Seperti berebut pula mereka berdua.
“Aku tak masak asam pedas pagi-pagilah, Zah,” bantah Mak Ani sambil menarik muka.
“Tak masam asam pedas masak rendang,” usik Mak Cik Izzah sambil ketawa.
Mak Ani cuma menggeleng. “Tulah, kau. Yang kau benarkan anak kau tu duduk asrama buat apa? Sekarang kau juga yang sunyi.”
“Habis? Nenek Daniel tu tak duduk sorang-sorang ke….,” balas Mak Cik Izzah seolah bercakap dengan Daniel dalam dukungannya.
Daniel cuma tersenyum. Air liurnya menyembur-nyembur.
“Cepatlah bawa cucu aku ke atas. Lama-lama kat sini, pening kepala budak tu.” Mak Ani sudah mengalah.
“Bukan Daniel saja yang pening, nenek pun pening….” Mak Cik Izzah ketawa sambil melangkah ke arah pintu kedai bersama Daniel.
“Saya pergi dulu, mak,” kata Maria sebelum segera mengikut langkah Mak Cik Izzah, dia tahu Mak Cik Izzah dan ibu mertuanya hanya bergurau walaupun kedengarannya agak kasar. Mungkin hanya dengan cara itu hati mereka berdua boleh bahagia, fikirnya.
Setelah mengucup pipi Daniel sekali lagi, Maria meninggalkan tempat itu. Dia bersyukur kerana dikurniakan insan-insan yang penyayang di sekelilingnya.
*****
“KENAPA lambat?” tanya Joe sebaik sahaja Maria masuk ke dalam kereta.
“Tak ada apa,” balas Maria. Tidak terfikir di kepalanya untuk menyalahkan Mak Cik Izzah pula. Biarlah dia yang menangung jika Joe terasa marah dek kelewatan yang tidak dapat dielakkan itu.
Joe terus memandu keretanya meninggalkan kawasan flat dan menuju ke jalan utama. “Dah cakap dengan mak?”
Maria geleng.
“Kenapa tak cakap lagi?”
“Tak tahu nak cakap macam mana,” balas Maria perlahan. Itulah yang sebenarnya.
“Kalau susah sangat, tak payahlah cakap. Kalau mak marah nanti, kita diam sajalah. Cukup hari kita pergi ambil Daniel, kalau tak pun kita tunggulah Anis dan Damien balik semula ke KL.”
“Tengoklah nanti. Kalau saya rasa berani nak cakap, saya cakap. Kalau tak berani… abanglah cakap.”
“Eh! Maria punya idea, Marialah yang cakap,” bantah Joe.
“Alah… kalau abang cakap, mak tak marah kut? Abang kan anak dia?”
“Hisy! Antara abang dengan Daniel, mak lebih sayang Daniel lagi tau?”
Maria ketawa kecil. Tak tahu pula dia, yang suaminya rasa ada persaingan sekarang. “Kita suruh Daniel sajalah cakap, nak?”
Joe hanya ketawa kecil. Persoalan itu tinggal persoalan.
*****
DI PEJABAT Tan Sri Dzairil, pagi itu dikunjungi seorang tetamu. Tan Sri Dzairil yang baru saja tiba di situ agak terperanjat.
“Ada apa Zarina datang jumpa abang ni?”
Datin Zarina yang duduk di hadapan Tan Sri Dzairil, tersenyum hambar. “Betul ke saya dengar yang abang belikan menantu abang sebuah rumah di Melaka?”
Mendengarkan pertanyaan itu, tahulah Tan Sri Dzairil akan tujuan kedatangan adik iparnya ke situ. Lalu, dia mengangguk.
“Bukan Vila Helena, kan?” Datin Zarina merenung wajah Tan Sri Dzairil.
“Kalau vila tu, kenapa pula?”
“Tapi kan… arwah mak tak benarkan sesiapa balik ke situ lagi?”
“Arwah mak dah lama tak ada. Lagipun abang tak nampak apa masalahnya sehingga larangan itu dikeluarkan kepada sesiapa. Kita semua dah tua, anak-anak pun sudah besar panjang. Apa masalahnya?”
“Jadi betullah, abang belikan menantu abang tu Vila Helena?”
Tan Sri Dzairil angguk. “Rumah tu sangat cantik. Abang rasa sangat sesuai untuk Anis dan Damien.”
“Bukan kerana abang masih ingatkan kisah lama abang?”
“Kalau ya pun, apa salahnya?”
Datin Zarina terdiam.
“Sudahlah. Jangan masuk campur hal keluarga abang sampai macam tu sekali. Abang bukannya gunakan duit syarikat untuk beli rumah tu, abang gunakan duit abang sendiri,” sambung Tan Sri Dzairil lagi.
Air muka Datin Zarina berubah keruh. “Saya bukan nak masuk campur urusan abang tapi saya rasa larangan arwah mak dulu ada sebabnya.”
“Sebab apa?”
Datin Zarina menggeleng. “Saya pun tak tahu, Tetapi itulah yang kerap kali dipesannya dulu. Menyebut pasal vila tu pun dia tak mahu.”
“Abang tahu soal tu. Tapi semua tu dah lama berlalu.”
“Tapi abang masih ingatkan vila tu lagi, kan?”
Tan Sri Dzairil angguk. Dia tidak menafikannya, malah kebelakangan ini hatinya sering rasa terpanggil untuk balik ke situ. Dia sahaja yang menahan.
“Saya dah berikan abang peringatan. Kalau terjadi apa-apa pada Maisara….” Datin Zarina terdiam.
“Apa kena-mengena pula dengan Maisara?” Suara Tan Sri Dzairil meninggi.
“Dia… dia dalam perjalanan ke sana.”
Tan Sri Dzairil tergamam.
******
SETELAH Datin Zarina meninggalkan pejabatnya, dia terus menghubungi Maisara. Hatinya geram betul dengan sikap anak saudaranya itu. Makin besar, makin tidak mendengar kata.
“Maisara,” panggilnya terus apabila panggilan telefonnya dijawab.
“Morning, uncle.”
“Maisara di mana sekarang ni?”
“Highway,” balas Maisara dengan lancar.
“Maisara nak ke mana?”
“Nak ke rumah Damien.”
“Janganlah ke sana.” Dia menegah.
“Kenapa pula tak boleh?” bantah Maisara dengan satu pertanyaan pula.
“Uncle kata tak boleh, tak bolehlah. Janganlah diganggu Damien dan Anis kat sana tu. Mereka kan pergi bercuti?”
“Saya bukan nak ganggu, saya pun nak pergi bercuti juga. Kalau rumah tu tak best, saya duduk kat hotel sajalah,” balas Maisara acuh tak acuh.
Tan Sri Dzairil menarik nafas panjang apabila mendengar jawapan yang dilontarkan oleh Maisara. Dia tahu Maisara seorang yang cukup keras kepala.
“Singgah sekejap sajalah. Lepas tu tinggal di hotel, bil hantar ke pejabat uncle.” Dia benar-benar berharap agar Maisara hanya singgah beberapa minit di Vila Helena. Kalau lebih lama, dia tahu air mata Anis akan menitik lagi.
“Tengoklah dulu, uncle.” Maisara memutuskan panggilan.
Tan Sri Dzairil mengetap gigi.

Saturday, December 1, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 14



Bab 14

KERETA dipandu perlahan mendaki bukit. Waktu itu baru sekitar pukul 7.15 pagi namun suasana di situ sudah cerah. Langit biru mula kelihatan dan cahaya matahari mula terbias di celah-celah awan. Sungguh cantik, sayangnya Damien tidak ada masa untuk menikmati itu semua. Di fikirannya, hanya mahu mendapatkan ubat secepat mungkin untuk Anis. Kalau dapat dua biji Panadol pun jadilah, fikirnya.
Dengan tenang, Damien memandu menuju ke Pekan Rastali yang terletak di tepi simpang tiga yang menuju ke arah bandar. Setelah ulang alik melalui jalan itu sebelum ini, dia sudah semakin biasa dengan permandangan hutan dan kampung kecil di tepi jalan itu. Namun perasaannya sedikit risau apabila tiba di tempat yang dituju, tidak kelihatan sebuah kedai pun yang dibuka. Awal sangat ke? Dia terjenguk-jenguk mencari kedai yang sudah dibuka, sayangnya tidak ada.
Setelah memandu dari hujung pekan hingga ke hujung pekan, dia masih belum melihat sebuah pun kedai runcit yang dibuka. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk pergi ke bandar yang berhampiran, mungkin di sana dia akan menemui stesen minyak ataupun 7 Eleven. Sedang dia melalui sebuah kawasan yang sunyi,  tiba-tiba kelihatan sesuatu benda putih menerpa dan melintas di hadapan keretanya. Dia menekan brek secara mengejut. Keretanya mendadak terhenti, kepalanya hampir terhempas ke papan pemuka jika tidak ditahan oleh tali pinggang keledar.
Sambil memegang dadanya yang masih tercungap-cungap, Damien membuka pintu. Dia yakin, dia telah terlanggar sesuatu. Dan apabila dia berjalan ke hadapan kereta, kelihatan sekujur tubuh seorang perempuan terbaring di sebelah tayar kereta.
“Ya, Allah!”  Itu sahaja yang terucap dibibirnya.
*****
UNTUK seketika waktu, dunia seakan berhenti berputar. Masa tidak berdetik, angin pun tidak berhembus. Damien terpaku memandang sekujur tubuh yang terbaring di sisi jalan. Fikirannya bingung. 
“Cik! Cik!” Dia memanggil apabila rasa kagetnya hilang. Dia melutut di sisi gadis itu untuk melihat keadaannya. Tidak sedar, peluh di dahinya mula menitik.
“T… to… tolong saya.” Itulah kata-kata terakhir yang diucapkan oleh gadis berambut lurus paras bahu itu sebelum menutup mata. Tangan yang diangkat tadi kini longkai menyentuh bumi.
“Cik! Cik!” Damien terus memanggil namun gadis itu tetap tidak sedarkan diri. Tergeletak di pinggir jalan.
Ya, Allah! Apa aku nak buat ni? Dia berdiri semula. Setelah mundar-mandir kegelisahan, dia menelefon seseorang.
“Faiz! Tolong aku Faiz!” katanya laju. Dia terus terlupa untuk memberi salam.
“Kenapa kelam-kabut sangat ni?” jawab satu suara.
“Tolong aku Faiz. Aku langgar orang ni…” Damien memicit kepalanya. Tubuhnya mula menggigil. Kalau gadis tu mati macam mana? Anak siapalah pula ni…. Kepalanya makin sakit. Dia memerhati jalan raya yang sunyi itu. Tidak ada sebuah kenderaan yang lalu untuk meminta bantuan.
“Hah? Kau langgar orang? Dekat mana? Kau okey tak?”
“Entah. Aku tak tahu dekat mana ni… tapi aku menuju arah ke bandar agaknya.” Untuk seketika, dia betul-betul buntu di mana dia berada.
“Orang yang kau langgar tu macam mana? Mati ke?”
“Aku rasa belum mati lagi. Nafas dia ada tapi dia pengsan.”
“Dia luka ke? Parah ke?”
Damien menoleh semula ke arah gadis itu. Tidak kelihatan pula apa-apa luka selain sedikit calar dan wajahnya yang pucat lesi.
“Tak ada pun. Entahlah, aku tak sentuh dia,” jawabnya.
“Kalau tak luka, kau bawa sajalah ke hospital. Nanti aku pergi sana jumpa kau.”
“Hospital? Manalah aku tahu dekat mana ada hospital? Aku bukan tahu sangat tempat-tempat di Melaka ni.”
“Kau ni, Dami. Panik tak tentu hala. Kau masukkan nama Hospital Intan Hayati dalam GPS kau. Nanti kau jumpalah. Hospital tu terletak tepi laut. Aku rasa dalam lima kilometer sahaja daripada rumah kau tu. Sekejap lagi aku cari kau dekat sana….”
Damien mengeluarkan telefon bimbitnya, dia memasukkan nama hospital yang disebut oleh Faiz dalam perisian GPS. Ya, hospital itu memang wujud. Tergesa-gesa dia menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam poket. Dengan tiba-tiba, langkahnya terhenti seketika.
Nak hantar gadis itu ke hospital? Hatinya mula berbolak-balik. Macam mana nak angkat ni? Mahu tidak mahu dia membuka pintu kereta belakangnya lalu menggendong tubuh gadis yang berbaju kurung putih itu ke dalam kereta. Ya, Tuhan! Ampunkan aku kerana telah menyentuh dia. Dia rasa bersalah berganda-ganda.
*****
DEGUP jantung Damien berdetak pantas. Dalam hidupnya inilah kali pertama dia dihadapkan situasi yang secemas itu. Dan dia tidak mahu ada sesiapa pun menghembuskan nafas terakhir di dalam keretanya. Dia benar-benar berharap agar gadis itu dapat diselamatkan. Tidak sedar dia telah memecut laju.
“Dami tahu ke mana Danny pergi?” Pertanyaan ayahnya hampir empat tahun yang lalu terulang semula di ingatannya.
“Danny? Kenapa abah tanya saya? Kalau tak di ofis, tentulah di rumah Kak Pia.” Dia menjawab dengan tenang.
Ayahnya menggeleng. “Abah dah puas cuba hubungi dia sejak petang tadi. Dia tak ada hubungi Dami?”
Berderau darahnya apabila mendengar jawapan daripada ayahnya. Dari duduk terus dia bangun membelek telefonnya. Tidak ada satupun panggilan daripada Danny ataupun mesej. Dia cuba menghubungi Danny namun sayangnya telefon Danny dipadamkan.
“Abah dah cuba tanya Kak Pia? Mungkin Kak Pia tahu?”
“Sudah. Pia kata dia pun tak jumpa Danny sejak pagi tadi,” jawab ayahnya.
Dia cuba sekali lagi namun masih gagal menghubungi Danny. Dia mula resah, lebih-lebih lagi melihatkan wajahnya ayahnya yang juga sudah kelihatan muram.
“Helo, Kak Pia. Kak Pia dapat hubungi Danny?” Dia terus menghubungi Kak Pia pula namun seperti yang diberitahu oleh ayahnya, Kak Pia juga gagal menghubungi Danny. Pada waktu itu Danny bagaikan hilang tanpa jejak dan sememangnya itulah yang berlaku.
“Zack kata paling akhir mereka makan tengah hari bersama tengah hari tadi. Lepas tu dia balik ke TAV tapi Danny ke tempat lain.” Kak Pia memberikan maklumat.
Dia bingung, Danny tidak pernah berkelakuan begitu sebelum ini. Adakah Danny sengaja menghilangkan diri untuk menenangkan dirinya sebelum majlis akad nikahnya keesokan hari?
“Mungkin… mungkin dia nak bertenang kut?” katanya kepada ayahnya pada waktu itu.
Ayahnya diam sahaja. Entah kenapa riak mendung di wajah ayahnya tetap tidak hilang dan kekeruhan di wajah ibunya bagaikan memberi satu petanda bahawa Danny tidak akan pulang lagi.
Siren ambulans yang berselisih dengan keretanya di pintu masuk Hospital Intan Hayati menyedarkan dia yang sedang diulit kenangan lama. Betapa cemasnya perasaan dia sekeluarga apabila kehilangan Danny benar-benar menjadi nyata. Dan kini… di belakangnya adalah seorang gadis yang pasti ada ibu dan bapanya. Dia bertekad untuk memulangkan gadis itu ke pangkuan mereka dengan selamat.
Di hadapan bahagian wad kecemasan, dia tergesa-gesa memberhentikan keretanya