Sunday, April 13, 2014

Rahsia Gadis VIP : Bab 10


Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~



*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery

Imbas kembali. 10 tahun yang lalu di Raphael’s Cottage…
KICAUAN burung-burung hutan riuh-rendah pagi itu. Mak Wiyah yang sedang menjemur pakaian di ampaian, melemparkan pandangan sesekali ke arah pokok-pokok besar yang tumbuh berselerakan di belakang rumah itu.
Suasana itu amat berbeza dengan suasana di Raphael’s Cottage yang kini kembali sunyi sepi setelah penghuni sementara di situ berangkat pulang ke rumah masing-masing pagi semalam.
Setelah siap kesemua pakaian yang diampai dengan elok, dia membawa baldi kosong masuk semula ke bilik mandi. Tanpa mengambil masa yang lama, dia bergegas pula mencari majikannya Tengku Mazwin yang berada di bilik perpustakaan, me-nyusun buku-buku.
“Puan,” tegurnya. “Semua kerja saya dah siap.”
Tengku Mazwin menoleh. Buku dalam tangannya diletakkan sahaja di atas para. “Awak nak balik kampung berapa hari?”
“Dua hari. Petang esok saya balik ke sini semula,” jawab Mak Wiyah.
“Kalau macam tu, pergilah.”  Tengku Mazwin berpaling semula ke arah rak buku. Masih banyak buku-buku yang perlu disusunnya semula mengikut nombor siri.
“Puan,” panggil Mak Wiyah lagi. “Sebelum saya balik, boleh saya ambil sikit daun inai dan daun sireh di belakang tu? Boleh juga dipakai pengantin kalau perlu.”
Tengku Mazwin tersenyum nipis. Permintaan Mak Wiyah tidak langsung menimbulkan masalah kepada dia. Selama ini pun, pokok inai dan pokok sireh yang ditanam sekian lama langsung tidak berusik. Entah bila dia hendak menggunakannya pun dia tidak pasti.
“Ambillah, Mak Wiyah. Saya bukan pakai pun. Ambillah banyak mana nak,” balasnya tanpa berpaling. Dia yakin sebanyak mana sangat yang boleh dibawa Mak Wiyah balik ke kampungnya. Tidak akan menjadi kudis pun kepada kedua-dua batang pokok itu, menambah subur mungkin.
Mendengarkan jawapan Tengku Mazwin, Mak Wiyah segera mengangguk sebelum berpaling semula ke arah dapur bagi mencari plastik kosong.
Sepeninggalan Mak Wiyah, Tengku Mazwin terus leka menyusun semua buku-buku yang ada. Sedang dia terkial-kial meletakkan sebuah ensaiklopedia setebal empat inci ke atas para yang paling tinggi, Mak Wiyah menerjah masuk dengan wajah pucat.
“Puan!” katanya dengan dada yang berombak kencang.
“Ada apa, Mak Wiyah? Macam orang nampak hantu aje?’
Mak Wiyah tidak menjawab, sebaliknya terus menarik tangan Tengku Mazwin ke arah dapur. Dalam tidak sampai dua minit, Tengku Mazwin dan Mak Wiyah sudah berada di belakang rumah.
“Apa halnya, Mak Wiyah?” Tengku Mazwin mula resah apabila Mak Wiyah begitu menggelabah.
“Puan,” panggil Mak Wiyah. Dia tunjukkan selonggok tanah basah yang seperti baru digali. Di tepi lubang sedalam  satu kaki itu, terdapat sebungkusan benda yang berbalut dengan surat khabar yang basah.
Tengku Mazwin pun memandang.
“Ada mayat bayi!” kata Mak Wiyah.


UNTUK beberapa saat, Tengku Mazwin terpaku ke tanah. Apa yang diberitahu dan apa yang dilihatnya membuatkan semangatnya terbang seketika. Tubuhnya ketar walaupun ini bukan kali pertama dia melihat bayi manusia.
“Biar betul ni, Mak Wiyah?” Akhirnya, mulut yang kelu tadi dapat digerakkan semula.
“Saya dah periksa, memang ada mayat bayi dalam kertas surat khabar tu,” kata Mak Wiyah lagi sambil mengangkat dagu ke arah bungkusan yang basah dengan air hujan dan darah.
Tengku Mazwin menarik nafas panjang. Pelbagai persoalan menerpa ke benaknya. “Siapa punya?”
Mak Wiyah menggeleng tidak tahu.
Spontan, Tengku Mazwin tahu. Mayat bayi itu tentunya kepunyaan salah seorang daripada tiga orang gadis yang baru sahaja meninggalkan rumahnya pagi semalam. Masalahnya sekarang, yang mana satu? Shereen? Linda? Atau Jasmina?
“Apa kita nak buat ni, Mak Wiyah?”
“Bayi tu dah cukup sifat, puan. Mungkin dah dekat enam tujuh bulan usianya tapi kecil.”
“Ish!” Makin ribut fikiran Tengku Mazwin. Terbayang-bayang di matanya wajah Linda, Shereen dan Jasmina yang pernah tinggal di situ sejak enam bulan yang lalu. “Ini mesti kerja Linda ataupun Shereen,” katanya.
“Kita kebumikan ajelah, puan. Kita uruskan baik-baik ikut cara Islam.”
“Kenapalah mereka sanggup buat macam ni?” Tengku Mazwin mula rasa marah. Buat penat sahaja dia mengajar agama dan memberi didikan moral kalau begitu juga hasil yang dia dapat.
“Saya tak boleh jawab. Tapi saya rasa lebih baik kalau kita diamkan dulu.”
“Kenapa? Kalau ikutkan saya, saya baru terfikir nak panggil mereka semua balik ke sini.”
“Janganlah, puan. Kesianlah pada budak-budak tu,” pujuk Mak Wiyah.
Tengku Mazwin memasamkan muka. Dia betul-betul tidak boleh menerima tindakan sebegitu. Itu bayi manusia, bukan bangkai haiwan yang boleh ditanam sesuka hati.
“Eloknya mereka ditanam sekali dengan bayi tu, baru mereka insaf agaknya.”
“Mereka baru nak bina hidup baru, puan. Kesianlah pada mereka.”
“Itu akan buat kita bersubahat, Mak Wiyah. Menyembunyikan kematian satu kesalahan.”
“Apa yang pentingnya, kita kena uruskan bayi ni dulu. Baru kita cari siapa pelakunya.”
Kali ini Tengku Mazwin tidak membantah lagi. Rasa kasihannya melihat mayat bayi yang sudah dihurung semut membuatkan dia mengalah.
“Lagipun… kalau sampai jadi kes polis, panjang kisahnya. Tentu puan tak mahu orang yang tak berkenaan tahu pasal Raphael’s Cottage ini, kan?”
Tengku Mazwin terdiam. Selama ini Raphael’s Cottage terus kekal bak bayang-bayang. Hanya orang tertentu yang mengetahui kewujudan rumah itu sebagai tempat pemulihan akhlak anak-anak V.I.P.
Kalau hal itu terdedah, dia akan berdepan dengan saman oleh ibu bapa yang telah menghantar anak-anak mereka ke situ. Tekanan pasti lebih besar.
 “Mak Wiyah tahu apa nak dibuat, kan? Uruskan. Saya tanggung perbelanjaannya,” katanya. “Tapi biarlah kita aje yang tahu hal ini. Sofia pun tak boleh tahu. Saya nak salah seorang daripada mereka mengaku pada saya satu hari nanti.”
Mak Wiyah angguk sahaja.
Setelah keputusan dibuat, Tengku Mazwin berpaling pergi. Namun setiap kali dia memijak tanah dia berazam; siapa pun yang telah membuang bayi itu, dia akan cari sampai dapat.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.