Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Bab 3
Sementara itu di
Universiti Ehime,
Matsuyama, Jepun.
Ucapan penutupan
kursus tiga bulan di situ, baru sahaja selesai dibuat oleh Profesor Yasunobu.
Shereen menarik nafas lega kerana segala penat lelah dan kepayahannya selama
tiga bulan di rantau orang itu bertemu juga dengan garis penamat. Selain itu,
dalam kepalanya hanya terbayang tanah air yang dirinduinya di samping wajah ibu
dan adiknya.
Walaupun hanya tiga
bulan, tempoh itu cukup membuatnya menghargai apa yang ada di sisinya. Ia juga
menjadi titik penyubur semangat untuknya menyiapkan tesis Ph.D yang
diidam-idamkan sekian lama.
Setelah mengucapkan
selamat tinggal kepada kawan-kawan yang sama-sama mengambil kursus di situ dan
juga tenaga pengajar, Shereen meninggalkan bangunan Fakulti Matematik itu
dengan rasa yang bercampur aduk.
“Shereen!” panggil
seorang lelaki berpakaian ringkas dengan beg sandang di bahu. Tergesa-gesa dia
mengejar Shereen. Namanya, Hadi.
Mendengarkan
panggilan itu, Shereen terus berpaling. Spontan dia rasa serba-salah. “Aku baru
nak cari kau tadi. Tak sangka pula kau ada di sini.”
“Takkan aku nak
lepaskan kelas terakhir Prof. Yosunobu. Dia guru yang aku kagumi,” jawab Hadi.
Kini, mereka mula berjalan beriringan meninggalkan dewan.
“Hadi, aku nak
ucapkan terima kasih pada kau.”
Hingga di situ sahaja
yang dapat diluahkan oleh Shereen. Selebihnya hanya tersimpan dalam hati.
Padahal, dia amat terhutang budi kepada lelaki itu kerana selama dia berada di
bumi Matsuyama, Hadi banyak membantunya. Malah, rumah lelaki itu juga bagaikan
tempat makan minumnya seharian kerana tekaknya langsung tidak boleh menerima
makanan Jepun.
“Perkara kecil aje
tu,” balas Hadi sambil tersenyum simpul.
“Kau banyak
memudahkan kehidupan aku di sini, Hadi. Kalau tak ada kau, mungkin dah lama aku
cabut balik ke Malaysia.”
Kata-kata Shereen
membuatkan Hadi ketawa panjang. Dia teringatkan keadaan Shereen yang asyik
muntah-muntah sewaktu mula-mula tiba di situ. Selepas seminggu Shereen terus
demam panas.
“Selepas ni kau nak
terus balik ke bilik atau nak ke mana-mana?”
“Cadangnya tadi,
selepas jumpa kau aku nak pergi beli souvenir
sikit,” balas Shereen.
“Dua hari lepas kan
dah beli? Tak cukup-cukup lagi?” Hadi memandang pelik ke arah Shereen.
Senyuman Shereen
semakin lebar. Teringat sesi jalan-jalan dia bersama Hadi beberapa hari yang
lepas ke Dogo Onsen. Satu-satunya tempat yang paling ingin dilawatinya sejak
tahu dia akan berkursus di situ. Mana mungkin dia melepaskan peluang melihat
rumah mandian tertua yang menjadi latar filem animasi Jepun, ‘Spirited away’
kegemarannya.
“Alah, bukannya
selalu sampai sini. Lagipun yang aku beli di Dogo Onsen bukannya banyak,”
balasnya.
“Ah! Kalau mahu
seribu daya, tak mahu seribu dalih,” bidas Hadi dengan lancar walaupun sudah
lama berlidah Jepun.
Shereen ketawa
sahaja. Memang benar apa yang dikatakan oleh Hadi namun, dia sudah tidak ada
banyak masa lagi. Cukuplah selama ini dia membazirkan masa dan peluang,
sekarang dia hanya mahu maju ke hadapan mencapai segala apa yang diimpikan
termasuklah gelaran Ph.D dan pengiktirafan yang akan dipungut satu persatu. Dia
mahu menjadi seorang yang berjaya. Itu impiannya sekarang.
“Baik, aku janji
dengan kau. Selagi aku tak dapat Ph.D, aku takkan datang ke sini lagi.”
Hadi ketawa kecil. “Kita
sudah ada janji. Aku yakin, kau akan berjaya dapatkan Ph.D yang kau
idam-idamkan itu. Kemudian datang ke sini bersama suami kau.”
Kali ini Shereen
tersenyap seketika. Suami? Akhirnya dia menggeleng lemah. Rasanya permintaan
Hadi itu sudah agak keterlaluan.
“Aku tak boleh
berjanji untuk datang berdua, tapi untuk datang seorang aku akan usahakan,”
balasnya sambil melangkah.
Entah kenapa
kata-kata Hadi itu membuatkan dia berasa sedih. Sudah lama dikuburkan impian
untuk berbahagia seperti gadis lain. Dia rasa dia tidak layak untuk mana-mana
lelaki pun.
“Janji untuk ditepati
bukan untuk diingkari.” Hadi menuturkannya dengan tenang.
“Insya-ALLAH. Aku
sambut sebagai cabaran.”
“Aku akan pegang
janji kau.”
Shereen senyum
sahaja. Getar suara Hadi, renungan mata Hadi, semuanya menyampaikan maksud yang
lain. Dia faham. Namun, tembok yang dibina mengelilingi hatinya masih terlalu
kebal untuk diruntuhkan dalam waktu yang singkat.
“Pukul berapa flight nanti?” Hadi mengajak Shereen
berhenti rehat di sebuah kerusi.
“Pukul 8.00 pagi,”
jawabnya sambil menelan rasa sedih yang tiba-tiba datang. “Kau tak mahu balik
sekali?”
Hadi menggeleng
lemah.
“Tak ada sebab nak
balik. Lagipun bukannya ada orang yang tunggu pun,” katanya. “Hidup aku di
sini.”
Nada suara Hadi yng
berubah membuatkan Sheren rasa kesal bertanya. Ingin sekali dia memujuk namun
dia yakin, pasti ada sesuatu yang menyebabkan lelaki itu bertindak begitu. Dan
dia belum mahu masuk campur sejauh itu.
“Kalau kau terfikir nak
balik ke sana… Aku sedia menunggu di airport.Call
aje.”
Kali ini Hadi
tersenyum panjang. Selepas berbual lebih kurang, Shereen meminta diri dengan
janji untuk bertemu lagi di lapangan terbang hari esok. Baru sahaja dia menapak
lima langkah, sebuah e-mel menerjah masuk ke telefon pintarnya.
Dahinya berkerut
apabila membaca nama pengirim e-mel tersebut. Sofia?
Keesokan petangnya…
SUASANA di KLIA
begitu sibuk. Penumpang-penumpang beberapa buah penerbangan dari luar negara
baru turun. Di sesetengah tempat mula sesak dan yang menanti berasak-asak pula
ke hadapan mencari wajah-wajah yang dirindui. Dalam kesibukan itu, Shereen
tercari-cari seseorang yang sepatutnya menjemputnya di situ.
“Manalah pula budak
ni?”
Shereen berbisik
sendirian sambil tercari-cari adiknya di celah-celah orang ramai yang
lalu-lalang di situ. Setelah wajah yang dicari tidak kelihatan, dia menolak
troli bagasinya perlahan-lahan ke tempat duduk. Sedang terkial-kial mencari
telefon, dia ditegur seseorang.
“Shereen!”
Shereen segera
berpaling. Itu bukan suara adiknya tetapi seakan-akan suara seseorang yang
pernah hadir dalam hidupnya suatu ketika dahulu.
“Linda…,” balasnya
separuh teruja. Lain yang diharapkan tiba, lain yang datang. “What a surprise..”
Linda tersenyum. Dia
sedar Shereen terperanjat melihat dia di situ dan mungkin dia antara manusia
yang tidak ingin dilihat Shereen dalam hidupnya. Dia faham. Dia tidak marahkan
Shereen sebab dia juga begitu. Dua kali lima.
“Kau apa khabar?”
tanyanya sambil menyuakan tapak tangan untuk bersalam.
“Macam nilah,” balas
Shereen. Dia mempelawa Linda duduk di sebelah dengan rasa yang tidak tentu
hala. Kenapa boleh bertemu dengan Linda pula? Aneh. “Ini bukan satu kebetulan,
kan?”
“Aku ke rumah kau
semalam tapi ibu kau beritahu yang kau berkursus di Jepun. Dan akan balik ke
Malaysia petang ini. Dia yang beritahu pukul berapa kau akan sampai dan naik flight apa. Tapi rasanya kau dah lewat
hampir sejam.”
“Patutlah,” bisik
Shereen. Sekarang dia sudah jelas. Dan apa yang lebih mengkagumkan dia ialah
Linda masih tahu alamat rumahnya. Menyesal pula dia beri alamat itu dahulu.
“Ini semua tentu pasal jemputan Sofia tu, kan?”
“Dari cara kau
bertanya tu, maknanya kau pun dah tahu.”
Shereen angguk dengan
tenang. Ya, memang dia sudah tahu. “Tapi jangan harap aku akan pergi.”
“Sayangnya, sekarang
bukan giliran kita untuk menggerakkan buah catur.” Linda pandang muka Shereen
lama-lama. Walaupun sudah begitu lama tidak bertemu, namun gadis kacukan
Pakistan-Melayu itu tetap manis malah kelihatan lebih yakin dan matang di
sebalik hijab dan jubah yang dipakai.
“Giliran siapa?”
“Sofia.”
“Tak percayalah,”
balas Shereen.
Dia bukan sahaja
tidak percaya malah benci memikirkan sekiranya dia terpaksa mengikut telunjuk
orang lain. Ini negara bebas. Apa hal pula Sofia mahu tunjuk kuasa?
“Mungkin penjelasan Sofia
tak cukup jelas. Tapi percayalah, Sofia sentiasa ada jalan untuk mendapatkan
apa yang dia mahu.”
Shereen terdiam
seketika. Begitu gilakah, Sofia? “Mungkin
kerana dia rasa kita ni lemah,” balasnya kemudian.
“Bukan kerana kita
lemah, tapi kerana dia tahu betapa berharganya kehidupan kita sekarang kepada
kita.”
“Jadi, dia nak paksa
kita semua datang juga ke majlis tu?”
Linda angguk. “Aku
juga rasa seperti apa yang kau rasa. Malah Jazz lagi teruk. Dia masih berada di
Amsterdam dan baru aje menang award
malam tadi. Bayangkan macam mana kelam kabutnya dia di sana.”
“Aku tahu. Aku baca
di internet.”
“Sofia akan hancurkan
hidup kita kalau kita tak datang. Bagaimana dengan jawatan kau di universiti
tu? Di mana kau nak letak muka kau kalau student-student
kau tengok gambar-gambar kau terpampang di mana-mana? Bagaimana pula dengan
ayah kau? Dia tak marah ke kalau hal lama tu tersebar?”
Shereen mendengus.
Kata-kata Linda membuatnya termenung jauh. Sofia memang teruk tetapi dia mahu
tahu kenapa umi membenarkan hal itu berlaku? Bukankah semuanya di bawah kawalan
umi? Adakah umi juga seteruk Sofia? Apa sudah jadi kepada mereka berdua?
“I hate her!” katanya. “I
hate her!”
“Kau tak
bersendirian,” balas Linda. “Dulu dan sekarang jauh berbeza. Kalau dulu kita
mungkin lebih mementingkan diri sendiri tapi sekarang, banyak perkara lain yang
kita perlu fikirkan. Soal keluarga, soal kerja, soal kehidupan kita yang dah
kembali normal…”
“Jadi kau akan datang
juga ke majlis tu?” Akhirnya Shereen bertanya. Dia dapat rasakan yang Linda
ketakutan. Dia juga yakin Jazz juga begitu. Mereka bertiga sama sahaja.
Sama-sama punya masa silam yang dirahsiakan.
“Aku tak nampak
pilihan lain buat masa ni. Lagipun aku buat demi apa yang aku perjuangkan,
Shereen. Kau ingat senang, aku nak sampai ke tahap ini? 10 tahun aku bekerja
siang malam,” jawab Linda sepenuh hati.
Shereen hanya
mendiamkan diri. Kata-kata Linda membuat dia terkenang kepada segala apa yang
telah dilaluinya 10 tahun yang lalu sebaik sahaja keluar dari Raphael’s
Cottage. Dia juga berhempas pulas mengembalikan hidupnya ke atas landasan.
“Hanya beberapa jam aje.
Selepas semua itu berakhir, kita akan pulang kepada kehidupan kita semula.”
“Kau pasti?” Shereen
mencebik.
“Kau ragu?”
“Perbuatan mengugut
dan perbuatan bergolok-gadai, lebih kurang sama. Sekali dah buat, untuk buat
kali kedua sudah tak susah lagi. Sebab tu jangan mulakan.”
“Kau fikir Sofia akan
terus mengugut kita?”
“Apa bezanya Sofia
dengan orang lain?” balas Shereen sambil tersenyum pahit.
“Tapi apa yang kau
nak buat?” Linda merenung Shereen.
Shereen
hanya menggeleng lesu. Dia sendiri belum tahu cuma sekarang dia sedar yang dia
tidak boleh ambil mudah e-mel yang diterimanya semasa berada di Jepun
baru baca bab 3...tertanya2 apakah yang berlaku pada shereen sebelum ni..
ReplyDeleteTerima kasih, Sha. Ya setiap watak ada sejarah silam masing-masing, makin kita baca makin kita faham
Delete