Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Sekarang…
RUANG TAMU rumah
Sofia seakan-akan menjadi saksi bisu kepada apa yang berlaku di situ. Kesemuanya
bagai dihentak satu kenyataan yang mengejutkan. Kesemuanya terlopong kecuali
Tengku Mazwin dan Mak Wiyah.
Linda terkedu
mendengarnya. Perasaannya seperti baru jatuh ke dalam gaung. Terhenyak.
Terduduk. Buang bayi? Mayat bayi? Naik seram sejuk badannya. Tegak semua bulu
roma. Dan yang pentingnya siapa yang buat kerja gila tu?
“Betul ke ni, Mak
Wiyah?” Dia akhirnya dapat bersuara.
Kerut di dahinya
masih belum hilang. Debar di dada masih kencang. Tetapi yang selebihnya dia
masih tidak percaya dan masih buntu.
“Tak ada satu pun apa
yang diceritakan oleh puan itu tak betul.” Mak Wiyah memandang tepat ke arah
Linda.
“Mayat bayi tu
dikebumikan di mana?” tanya Linda lagi.
Melihatkan
kesungguhan Linda, semua yang ada di situ memandang ke arahnya.
“Kenapa
pandang-pandang?” Linda mula rimas. Baru dia sedar, kesungguhannya bertanya
telah mengundang persepsi yang salah kepadanya. “Jangan fikir aku yang buat ya.
Aku cuma nak tahu.”
“Mak Wiyah dah
uruskan dengan pihak surau kampung sebelah. Bayi tu dah dikebumikan dengan
baik. Kalau ada sesiapa nak melawat kuburnya, Mak Wiyah boleh tunjukkan sebab
Mak Wiyah selalu singgah di sana. Semasa puan sihat dulu pun, puan juga selalu
melawat.” Mak Wiyah toleh ke arah Tengku Mazwin untuk pengesahan.
Tengku Mazwin angguk.
“Umi tak pernah pun
cerita pada saya.” Dengan semena-mena, Sofia bersuara. Dia juga tampak bingung.
Tengku Mazwin pegang
tangan anaknya. “Sengaja umi dan Mak Wiyah tak cerita pada Sofia. Pada masa tu
kamu kan sibuk belajar? Nak ambil SPM. Nanti terganggu pula fikiran kamu.”
Sofia tidak bersuara
lagi. Dia termenung jauh.
“Sekarang kita semua
dah berkumpul kat sini, semua dah tahu hal ini. Jadi umi harap siapa yang buat
tu, mengaku ajelah pada umi. Bukan umi nak marah tapi umi nak ada yang
bertanggungjawab pada bayi tu. Itu anak kamu.”
Linda dengar satu
persatu apa yang keluar dari mulut umi. Dia juga merasakan apa yang dikatakan
oleh umi itu betul. Kenapa bayi itu dibuang? Adakah semasa bayi itu dibuang,
dia masih hidup? Tidak adakah secebis rasa kasihan? Tetapi hendak mengatakan
yang dia ataupun Shereen yang melakukannya juga tidak wajar.
“Bagi saya, tak ada
apa yang saya patut mengaku. Sebab, saya tak buat. Saya pun tak pernah
mengandung,” jawabnya. “Kalau tak percaya mari pergi hospital, doktor ada cara
nak tahu semua tu.”
“Saya pun tak buat.”
Shereen terus bersuara.
“Kalau salah seorang
daripada kamu berdua tak buat… siapa lagi yang buang bayi tu?” tanya Sofia
dengan lantang.
Linda terus angkat
tangan.
“Aku tak tahu.
Mungkin juga… bayi tu bukan bayi penghuni Raphael’s Cottage. Manalah tahu
kalau-kalau…”
“Buat apalah, orang
datang jauh-jauh untuk buang bayi di belakang Raphael’s Cottage? Kau ingat tak,
berapa kilometer Raphael’s Cottage tu dari jalan besar yang berpagar tinggi
tu?” Jazz bersuara setelah lama mendiamkan diri.
Linda menoleh lama ke
arah Jazz. Kata-kata Jazz memang logik. Siapa yang datang dan keluar dari
kawasan yang berhektar-hektar luasnya itu semuanya akan dikesan oleh pengawal
di pintu pagar. Jadi, ini mesti kerja orang dalam. Masalahnya siapa?
“Tapi aku boleh
pastikan aku dan Shereen tak mengandung waktu tu.” Linda bersuara tegas.
Shereen spontan
menoleh ke arah Linda. Dia menyetujuinya.
“Macam mana kau boleh
yakin sangat?” tanya Sofia.
“Kami kan tinggal
sebilik? Jazz aje yang duduk di bilik lain. Kau pun di bilik lain.”
Tengku Mazwin, Mak
Wiyah dan Datuk Razif memerhatikan sahaja perbincangan yang semakin tegang itu.
“Tapi itu masih boleh
dipersoalkan,” jawab Sofia dengan sinis. “Mungkin juga kau orang berdua
bersubahat. Mana tahu?”
Linda sudah tidak
dapat mengawal kemarahannya lagi. Dia segera bangun dan mencapai beg tangannya.
“Cepat pulangkan
telefon bimbit aku! Semua ni tak masuk akal,” katanya kepada Sofia.
Tindakannya diikuti
oleh Shereen dan Jazz yang turut sama bangun serentak. Walaupun masih terkejut
dengan cerita itu namun disuruh ber-tanggungjawab untuk perkara yang tidak
dilakukan bukan dia orangnya. Dia ada harga diri.
“You can run but you can’t hide,” balas Sofia sambil
menghulurkan telefon bimbit masing-masing yang sekian lama berada dalam beg
tangannya.
Linda berdengus.
Tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada sesiapa pun, dia meluru ke luar dari
rumah Sofia sambil diikuti Jazz dan Shereen. Di luar rumah, dia arahkan pemandu
Sofia menghantarnya ke bandar semula.
Sofia mengizinkan
tapi sebelum ketiga-tiganya masuk ke dalam keretanya dia sempat berpesan. “Aku
beri kau orang bertiga masa seminggu aje. Kalau salah seorang tak datang
mengaku….”
“Shut up, Sofia!” tengking Jazz. Dia masuk ke sebelah
pemandu dan lantas menutup pintu dengan kuat.
“Wait and see,” kata Sofia sambil
terus tersenyum. Sebelum Linda menarik pintu kereta, dia bersuara lagi. “Ingat… seminggu aje. Aku akan selalu hantar reminder. Kalau tak melalui e-mel,
telefon, SMS mungkin juga… surat khabar.”
Di dalam kereta,
Linda memejamkan matanya rapat-rapat. Terasa hidupnya makin sukar. Terasa dia
terperangkap oleh jaringan hidup yang berbelit-belit.
BEBERAPA minit
selepas itu kereta milik Sofia terus meluncur laju menghala balik ke ibu kota.
Suasana yang gelap dan jalan yang agak licin, membuatkan pemandu sangat
berhati-hati. Perjalanan juga menjadi bertambah panjang. Di dalam kereta,
mereka bertiga masih senyap sunyi.
“Kau datang naik
kereta ke?” Akhirnya Linda membuka mulut bertanya kepada Shereen yang duduk di
sebelahnya. Kalau Shereen tidak ada kenderaan untuk balik ke Kaula Lumpur, dia
sanggup tumpangkan Shereen. Tidak ada masalah pun pada dia.
“Aku bawa kereta. Parking dekat Rawang.”
“Kalau macam tu aku
turun dulu.”
Shereen terus diam.
Termenung.
Linda menarik nafas.
Terasa lambat benar kereta itu bergerak. Walaupun dia sudah terlambat untuk
menghadiri majlis itu namun itu tidak menjadikan hatinya lega. Malah, menjadi
tambah berserabut dengan masalah yang tiba-tiba melanda itu.
Rupa-rupanya reunion itu hanyalah satu perangkap yang
dipasang oleh umi dan dia yakin Sofia sendiri tidak sedar. Sofia sendiri nampak
panik.
“Kau rasa dia akan
kotakan kata-katanya ke?” Dengan tiba-tiba sahaja Shereen bertanya.
“Kau?” balas Linda
dengan suara yang sama perlahan. Dia tidak mahu pemandu kereta itu mendengar
ataupun faham apa yang dibincangkan.
“Of course she will.” Shereen renung muka Linda.
Linda menelan air
liur.
“Tahu siapa yang
buat?” bisik Linda lagi.
Shereen lantas
menggeleng. “Yang pastinya bukan aku,” katanya.
“Aku juga.”
“Jadi siapa yang
buat?”
“Kenapa kau rasa aku
tahu siapa yang buat?” balas Linda dengan pantas.
Mata bulat bercelak Shereen
terkebil-kebil.
“Apa yang penting
sekarang, kita perlu bersedia,” tambah Linda.
“Untuk apa?”
“Kau juga yang kata
dia akan kotakan apa yang dikata. Maknanya… kita semua ada tempoh seminggu aje
untuk menyerahkan satu nama kepada umi. Apa yang kita patut buat?”
“Kita patut
berbincang,” kata Shereen.
Linda angguk.
“Turunkan kami atas
bumbung pasaraya depan tu,” arahnya kepada pemandu.
“EH! Aku…,” kata Jazz
sebaik sahaja ditarik turun dari kereta Sofia. Dia terpinga-pinga dan tidak
tentu hala.
“Aku tahu,” balas
Linda dengan cepat. “Kau masuk dalam kereta aku dulu.”
Tanpa berlengah. Dia
menarik lengan Jazz dan Shereen ke arah keretanya yang sudah sedia terparkir di
atas bumbung sejak beberapa jam yang lalu. Disuruh mereka berdua masuk ke dalam
keretanya dengan segera. Jazz kelam-kabut masuk di tempat duduk belakang kereta
Linda.
“Kereta aku dekat …,”
kata Jazz lagi.
“Nanti aku hantarlah
kau ke sana. Kita kena berbincang dulu,” balas Linda sambil menghidupkan enjin
kereta dan memasang penghawa dingin keretanya kuat-kuat.
“Nak bincang apa?
Perkara ni tak ada kena-mengena dengan aku,” balas Jazz.
Spontan, Linda dan
Shereen menoleh ke belakang. Walaupun lampu tidak dipasang namun dalam
samar-samar, mereka berdua dapat melihat wajah Jazz yang begitu bersahaja.
“Baik, kalau itu yang
kau fikir. Lebih baiklah aku hantar kau balik aje.” Linda menoleh semula ke
arah depan dan lantas menggerakkan keretanya. Shereen pula termenung jauh.
Jazz tarik nafas
panjang. Kedua belah tangannya disilang ke dada. Dia memandang ke luar.
“Kau orang berdua pun
tahu, aku tak terlibat dengan hal tu,” katanya.
“Sekurang-kurangnya
kau tolonglah kami fikirkan jalan bagaimana nak selesaikan masalah ini,” jawab
Shereen.
“Jalan apa pula?
Kalau salah seorang daripada kau orang berdua mengaku pada umi, selesailah
masalah.”
“Masalahnya… bukan
kami berdua yang buat.” Terus Linda menjawab dengan lantang. “Kau faham tak apa
masalahnya?”
“Kalau bukan kau
orang berdua, siapa lagi? Mak Wiyah?” kata Jazz.
Ketiga-tiganya
kembali senyap.
“Masalah ni takkan
selesai kalau kita bertiga asyik bertengkar.” Linda bersuara. Keretanya menuju
ke arah Kuala Kubu Bharu di mana kereta Jazz diletakkan. Dia mula sedar yang
Jazz mahu berlepas tangan dalam soal itu. “Dan untuk pengetahuan kau, Jazz. Aku
tak percaya langsung Sofia akan melepaskan kau begitu aje.”
“Tak payahlah kau
cuba takutkan aku.” Jazz tersenyum sinis.
Linda menggeleng
sendiri. Kecewa betul dia dengan sikap jazz. Shereen hanya menjeling.
“Aku tak paksa kau
percaya. Kalau kau tak nak percaya, kau punya pasal. Tapi kau belum cukup kenal
siapa Sofia kalau kau percaya dia akan lepaskan kau walaupun bukan kau yang buat.
Kau tengok ajelah nanti.”
“Aku akan berbincang
dengan dia pasal ni,” jawab Jazz.
“Well.. goodluck!” kata Linda sewaktu menghentikan keretanya di
tepi jalan. Jazz terus melompat keluar dan menutup pintu dengan kuat.
Linda terus
menggerakkan keretanya ke arah bandar pula. Dia tidak mahu fikirkan pasal Jazz
lagi. Hatinya sakit.
ALANG-ALANG sudah
lambat, biar lambat terus, kata hati Linda. Lalu, dia mengajak Shereen makan
malam bersama di sebuah kedai makanan barat di tepi sebuah jalan.
Sambil menunggu
makanan yang dipesan tiba, mereka berbual apa sahaja. Namun, mereka sama-sama tahu
tidak ada topik yang lebih penting daripada topik itu.
“Kau fikir siapa yang
buat?” tanya Shereen selepas puas bermenung.
Linda cuma
menggeleng.
“Yang pentingnya
bukan kita berdua yang buat,” balasnya. Itu yang dia tahu.
“Tapi sekarang semua orang tuduh kita berdua.”
“Dan kita dituduh
bersubahat,” sambung Linda. Sesungguhnya tuduhan itu amat menyakitkan hatinya
tetapi dia sedar tidak ada apa yang boleh dibuat kerana tiada bukti. “Tapi aku
percaya lambat laun, rahsia itu akan terbongkar juga. Kita mesti berdoa semoga
Tuhan tunjukkan kebenaran.”
“Terima kasih sebab
percayakan aku. Dalam keadaan macam ni… aku rasa kau aje yang percayakan aku.”
“Aku tak tahu apa
niat umi membangkitkan soal ini tapi aku rasa kita akan berhadapan dengan
masalah besar kalau hal ini diketahui orang lain.” Linda pandang Shereen
sekilas.
“Aku cakap
terus-terang pada kau, ayah aku nak buat come
back pada pilihanraya akan datang. Kalau perkara ni sampai ke pengetahuan
orang atas, habislah peluang ayah aku.
Pihak lawan akan
gunakan hal ini habis-habisan untuk menjatuhkan nama dia sekali lagi. Dan yang
pasti kena bunuhnya, aku,” jawab Shereen sambil menggeleng. Wajahnya
betul-betul muram.
“Aku kesian pada kau.
Tapi aku sendiri pun tertekan,” balas Linda.
Dia faham apa yang
ditakutkan Shereen. Dia juga ada banyak perkara yang perlu dipertahankan. Buku
motivasi yang bakal terbit, nama baiknya dalam dunia bisnes dan nama baik ayah
dan ibunya.
“Aku sedih perkara
ini dibangkitkan sewaktu kita dah mula hidup baik-baik. Aku lebih rela kalau umi
bangkitkan 10 tahun yang lalu. Di waktu kita masih tak ada apa-apa yang
dirisaukan.”
“Aku tak tahu nak
cakap apa dalam soal ini. Tindakan umi sangat mengejutkan.”
“Kecuali kita berikan
satu nama kepada umi,” kata Shereen.
“Nama siapa?”
Pertanyaan itu
tinggal pertanyaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.