Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Bab
6
Dua minggu selepas itu...
HARI yang ditetapkan
sudah tiba, Linda membaca semula salinan e-mel ketiga yang diterima daripada
Sofia. Dalam e-mel tersebut tercatat beberapa arahan termasuklah di mana dia
harus meletakkan keretanya. Setelah menghafal nombor pendaftaran kereta yang
perlu dinaikinya, dia segera keluar dari kereta dan menguncinya.
Di tempat letak
kereta di atas bumbung pasaraya itu, dia tercari-cari sebuah kereta Honda
Accord. Itu pun dia, kata hatinya apabila terpandang sebuah kereta Honda Accord
yang memiliki nombor pendaftaran yang telah diberikan oleh Sofia.
“Cik Melinda?” tanya
pemandu kereta tersebut yang keluar sebaik sahaja ternampak Linda menghampiri
keretanya.
Linda menelan air
liur. Semua prosedur itu membuatkan dia berasa cemas. Terlalu kompleks.
Siapakah yang dia akan jumpa di sana nanti?
“Ya, saya,” jawabnya.
“Nombor kod,” balas
pemandu tersebut.
“99111.”
“Sila masuk.” Pemandu
itu membukakan pintu kereta untuk Linda. Di tempat duduk belakang, Linda
terpandang sebuah sampul surat besar yang tertera namanya di situ. Dia lantas
membukanya dan mendapati ada sebuah topeng muka di dalamnya.
Bijak betul Sofia,
kata hatinya.
Perjalanan ke Kurt’s
Hill berjalan lancar. Di sepanjang perjalanan, dia hanya berdiam diri sambil
menyaksikan permandangan di tepi-tepi jalan. Baginya kawasan itu tetap tidak
jauh berubah walaupun masa sudah berganti masa.
Jalannya tetap kecil
dan berbengkang-bengkok dan sesekali mereka tersua dengan tanah runtuh di
kiri-kanan jalan. Kecut juga rasa perutnya. Cuma fikirannya lebih tertumpu
kepada apa yang akan ditemui di Raphael’s Cottage nanti.
Setelah kira-kira dua
jam setengah meninggalkan bandar raya, kereta yang membawanya sampai di luar
sebuah pintu besi setinggi tujuh kaki. Dadanya berdebar kencang. Lalu
tergesa-gesa dia memakai topeng.
Kereta yang
membawanya meluncur masuk apabila pintu besi dibuka. Lalu bergerak di atas
sebuah jalan kecil yang bertar elok membelah sebuah hutan di kiri-kanannya
sejauh satu kilometer.
Dia tidak melihat
sesiapa pun di situ namun jantungnya sudah hampir lucut dek debaran yang
menggila. Timbul rasa menyesal sehinggakan dia mula berpeluh sejuk.
Akhirnya apabila
kereta itu melepasi hutan itu, mereka tiba pula di suatu kawasan lapang yang
hanya dipenuhi rumput yang pendek. Hanya apabila kereta menaiki sebuah bukit,
mereka bertemu dengan sebuah lagi pintu masuk. Apabila pintu itu dibuka, dia
boleh melihat sebuah rumah agam berwarna putih berdiri megah. Itulah Raphael’s
Cottage.
Kereta yang
dinaikinya bergerak laju mendekati rumah agam itu. Dari jauh lagi sudah
kelihatan beberapa buah kereta berhenti menurunkan jemputan dan ada yang
berpatah balik, mungkin untuk menjemput jemputan yang lain.
Bagi Linda, itu semua
bak mimpi ngeri. Semakin dekat dia dengan rumah itu semakin dia tidak percaya
yang dia akan mengunjungi rumah itu lagi.
“APA KHABAR, Linda?”
kata Sofia yang menyambutnya sebaik sahaja pintu keretanya dibuka dari luar.
Dia tidak memakai sebarang topeng.
Linda tergamam
seketika. Dia keliru. Dan dalam masa yang sama dia terpegun melihat wajah Sofia
yang bertambah anggun, selayaknya seorang wanita yang sudah berusia 27 tahun.
“Jangan bimbang. Aku
tahu kau yang datang hanya daripada nombor pendaftaran kereta yang bawa kau ke
sini. Kalau tak, aku pun tak cam siapa kau di balik topeng itu.” Sofia begitu
ramah sambil mengajak Linda masuk ke dalam Raphael’s Cottage.
Begitu ke? Hati Linda
berasa lega sedikit sehinggalah mereka masuk ke dalam rumah dan menuju ke pintu
belakang yang terbuka lebar. Dari situ, Linda dapat melihat khemah-khemah putih
yang tersedia menanti tetamu.
Tubuhnya terasa
sejuk. Berdiri di situ seolah-olah melihat jauh ke belakang. Satu persatu
kenangan di situ mula terbayang.
“Kenapa tercegat
lagi? Pergilah,” tegur Sofia. “Meja kau di meja nombor 10. Shereen dah ada di
sana.”
Sedar tidak sedar, Linda
sudah berdiri di belakang Raphael’s Cottage yang menghadap tasik. Di situ ada
tanah lapang tempat dia selalu bermain badminton ataupun duduk-duduk bercerita
menghabiskan masa bersama Shereen dan Jazz satu ketika dahulu.
Petang itu, tanah
lapang itu dipenuhi khemah, kerusi, meja dan tetamu yang mula berkumpul. Dia
terpaksa meyakinkan diri bahawa semuanya sudah berubah dan dia tidak perlu
takut lagi.
Sewaktu dia melangkah
mencari mejanya, dia melihat ada banyak meja dan kerusi yang kesemuanya
bertemakan warna putih. Begitu juga dengan khemah-khemah yang dipasang dan juga
meja utama di sebelah kanan taman itu.
Kesemuanya serba
putih dan ada sedikit warna merah terang mencuri tumpuan dengan kehadiran
jambangan bunga ros segar di mana-mana. Setahu dia, itu kombinasi warna
kesukaan umi.
“Dah lama sampai?” Linda
menegur Shereen sebaik sahaja menarik kerusi rapat dengan gadis itu. Mujurlah
tidak sukar mencari meja itu yang terletak di bahagian sebelah tepi.
Dari apa yang
dipandang, sudah ada lebih kurang tiga puluh orang di situ tetapi dia tidak
mengenali mereka langsung di sebalik topeng masing-masing. Sedikit sebanyak dia
sendiri berasa lega. Tentu mereka juga tidak mengenalinya.
“Kau kenal aku?”
Shereen spontan menoleh ke arah Linda. Dia cam suara Linda.
“Ingatan aku masih
kuat. Lagipun, beberapa hari makan nasi di Malaysia belum berjaya mengubah
susuk tubuh kau yang kurus cengkung tu,” balas Linda main-main.
Selain tahu yang
duduk di meja nombor 10 itu ialah Shereen melalui Sofia tadi, bagi dia topeng
yang dipakai Shereen tidak banyak mengubah penampilan Shereen yang sterotaip
dan boleh dicam dengan mudah. Mungkin juga kerana mereka pernah tinggal sebilik
di rumah itu dahulu dan Shereen amat gemar memakai cincin berbatu merah di jari
kanannya.
“Kau boleh cam aku?”
Shereen terkejut.
Linda ketawa kecil.
Tidak sampai hatinya untuk menambah kerisauan hati Shereen. “Aku main-main ajelah.
Sofia yang beritahu tadi.”
“Mujurlah dia beri
kita topeng ni, kan? Kalau tak susah juga aku nak duduk di sini sambil
berpura-pura aku tak kenal sesiapa. Bersih suci bak Sinderella yang sedang
menunggu putera berkuda.”
“Apa salahnya?” Linda
ketawa kecil. “Tapi aku setuju. Sofia bijak. Sekurang-kurang untuk beberapa jam
lagi, kita tak perlu risau kalau ada orang yang kenal kita.”
“Jazz mana?”
“Entah. Tiga hari
lepas, dia beritahu dia dah dapat tiket balik. Aku yakin dia akan datang juga.”
“Aku pun harap dia
dapat datang. Aku nak minta autograf. Dengan kawan, takkan Jazz nak kedekut juga?”
“Shhh… lebih baik
kalau kita tak sebut nama itu,” balas Linda. “Kita sebut aje nama asalnya,
Jasmina.”
Shereen angguk.
Sedang mereka berbual-bual mengenai majlis itu, mereka ditegur seorang gadis.
*****
“JAS… Jasmina?” Linda terus berdiri apabila
didekati seorang gadis yang berblaus putih dengan skarf merah di rambutnya. Di
balik topeng itu, dia yakin itu Jazz.
Mereka berpelukan
sekejap sebelum Linda menarik Jazz duduk di sebelahnya. Kini mereka bertiga
duduk rapat-rapat menghadap sebuah meja bulat yang hanya dihiasi sejambangan
bunga ros merah segar.
“Bila kau sampai?”
bisik Linda sambil diperhatikan oleh Shereen.
“Semalam. Cuma… kau
tahu ajelah, kan? Sekejap masuk toilet,
sekejap keluar. Sekejap masuk.”
Linda ketawa lagi.
Dia faham. “Aku pun tadi… hampir-hampir
aje tak datang,” katanya.
“Aku aje yang teruja
sangat nak ke sini,” sampuk Shereen.
Jazz dan Linda
spontan menoleh ke arah Shereen.
“Maksud aku, aku nak
bersemuka dengan Sofia selepas ini. Aku nak tanya dia kenapa dia buat kita
macam ni. Kan umi dah sain surat sumpah menyimpan rahsia kita? Dia tak tahu ke
akibatnya?”
“Aku pun terfikir hal
yang sama cuma aku tak mahu ambil risiko yang terlalu besar. Kita tak tahu
sejauh mana Sofia tahu dan sejauh mana dia akan bertindak,” balas Jazz pula.
“Apa-apa pun kita
kena tunggu majlis ni selesai dan kita boleh balik,” balas Linda. “Aku
sebenarnya ada majlis lain pada malam ni.”
“Aku pun sama. Habis
sahaja ucapan, kita balik, nak?” kata Jazz pula.
“Tak sangka pula,”
kata Shereen.
“Apa yang kau tak
sangka?” tanya Linda.
“Mungkin aku
mengharapkan terlalu banyak. Aku sangkakan kau orang berdua dah berubah tapi
rupa-rupanya masih mementingkan diri sendiri.” Shereen merungut.
“Mementingkan diri
sendiri?” Suara Jazz sudah tinggi namun sempat dihalang oleh Linda.
“Apa kata kalau kau
pun terus balik macam kami?” Linda mencadangkan.
Baginya apa yang
penting, mereka mesti meninggalkan Raphael’s Cottage itu secepat mungkin. Soal
ugutan Sofia itu boleh diselesaikan di luar sahaja. Risikonya terlalu tinggi
untuk berada lama di situ, pada bila-bila masa sahaja identiti mereka semua
boleh terbocor.
“Aku tak boleh sabar
dengan sikap Sofia tu. Esok lusa entah apa yang diugutnya kita lagi.”
“Kalau kau nak
berdepan dengan harimau pun, bukan di kandang harimau. Fahamlah sikit,” balas Linda.
Shereen terdiam.
“Eh! Tu suami dia
ke?” Jazz melemparkan pandangan matanya ke arah seorang lelaki yang berada di
sisi Sofia, tidak jauh dari meja utama. Sejak tiba di majlis itu, dia perasan
lelaki yang tidak memakai topeng itu.
“Dia dah kahwin ke?”
tanya Linda pula. Dia ingat-ingat lupa soal itu.
“Hisy! Kan dia ada
hantar kad jemputan ke rumah hari tu?” balas Shereen.
“Ada ke? Aku tak
ingat apa-apa pun.”
Linda turut memandang
ke arah lelaki yang bertubuh sedang-sedang itu. Dari pandangan matanya, lelaki
itu dalam lingkungan usia 40-an. Segak juga orangnya, sesuailah dengan Sofia
yang berbadan besar.
“Aku dengar… suami
Sofia tu seorang Datuk,” sambung Shereen tanpa memandang.
Linda merenung wajah
Shereen yang kelihatannya tahu banyak perkara. Jazz pula hanya mendengar.
“Baguslah,
tertunailah hasrat umi nak bermenantukan orang yang berkedudukan,” kata Linda.
Mendengarkan
kata-kata Linda, Jazz dan Shereen sama-sama tersenyum pahit.
“Tak nampak pun, Arif.”
Perlahan sahaja kata-kata itu meluncur dari bibir Jazz.
Linda segera menampar
peha Jazz, sebagai isyarat nama itu tetap tidak boleh disebut-sebut.
Sedang mereka
berbual, majlis pun dimulakan. Tengku Mazwin ditolak ke meja utama dengan
kerusi roda.
Linda, Shereen dan
Jazz sama-sama terpaku melihatnya.
“Apa dah jadi pada umi?”
tanya Jazz.
“Surprise… surprise,” balas Linda. Dia sendiri terkejut
melihat betapa uzurnya Tengku Mazwin sekarang. Patutlah anak ular sudah jadi
naga, fikirnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.