~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Keesokan harinya…
Het Spui, Amsterdam
“AKU tak tahu pun perkara ni,” jawab Jazz.
Pada waktu itu dia
masih lagi berada di hadapan patung ‘The sweetie’. Satu skultur patung seorang
budak lelaki jalanan yang mewakili jiwa seni penduduk di sekitar Het Spui yang
lebih dikenali sebagai syurga buku dan hasil kesenian setempat.
Keasyikannya bercuti di situ terganggu apabila
menerima panggilan telefon dari Linda yang berada di Malaysia. Bagai hendak
luruh jantungnya.
“Mungkin kerana dia
belum dapat nombor telefon kau lagi. Tapi kau jangan pandang ringan perkara ni.
Dia cekap.”
Hati Jazz makin
rungsing. Sekiranya nombor telefonnya jatuh ke tangan Sofia dia yakin hidupnya
akan kacau-bilau. Hatinya mula meragui kesetiaan Linda.
“Aku harap kau masih
berpegang pada janji.”
“Kalaulah aku nak
belot, dan tentu bukan aku yang bercakap dengan kau sekarang… tapi Sofia,”
bidas Linda.
“Aku tak mahu ke
sana. Menyebut nama tempat itu pun aku tak mahu.” Bibir Jazz menggeletar.
“Kau fikir aku suka
sangat pergi ke situ?”
“Kau jangan buat aku
takut.” Jazz mula rasa hendak menangis. Fikirannya seperti dibayangi awan hitam
yang menggerunkan. Kenapa rumah itu disebut-sebut semula?
“Aku bukan nak
takutkan kau. Tapi kau kena faham. Perkara ni serius. Dan Sofia akan buat apa aje
supaya kita berkumpul di sana.”
Lama Jazz termenung.
Di kepalanya terlintas muka Sofia yang bulat, putih bagaikan orang Barat dan
berambut sedikit perang. Tapi itu gambaran sepuluh tahun yang lalu. Dia
langsung tidak pasti bagaimana rupa Sofia sekarang dan itu tidak termasuk dalam
senarai perkara yang perlu difikirkan.
“Kalau kita tak
datang, apa yang dia akan buat?”
“Dia ugut akan
hubungi wartawan,” jawab Linda.
Jazz terdiam. Remuk
perasaannya.
“Kau pun tahu aku bukan jenis yang suka
bergurau,” katanya kemudian walaupun dia mengharapkan semua itu hanyalah satu
gurauan.
“Kalau boleh, aku pun
nak anggap ini satu gurauan, Jazz. Tapi ini bukan main-main. Percayalah, Sofia
tak bergurau.”
Jazz menutup
telefonnya. Buat masa itu dia tidak sanggup bercakap dengan sesiapa pun
termasuklah dengan Linda. Sekujur tubuhnya menggigil. Dia ketakutan.
“Buku yang kau cari
tu tak ada,” tegur Remy yang baru tiba di tempat Jazz berdiri. Di tangannya ada
sebuah beg yang mengandungi dua buah buku berbahasa Inggeris yang dibeli dari
Koningsplein, kedai buku terbesar di arena Het Spuii.
“Kita balik hotel,”
balas Jazz sambil terus melangkah laju. Dia benar-benar hilang mood untuk bersiar-siar. Dia hanya mahu
balik dan menyorok dalam tab mandi. Noktah.
“Balik? Eh! Tadi kau kata nak beli lukisan?
Lagipun, aku belum masuk ke kedai-kedai buku yang lain,” balas Remy yang masih
terkejut dengan perubahan Jazz yang mendadak.
“Aku rasa tak sihat.”
Jazz mula melangkah tanpa memandang Remy tetapi berjaya dipintas lelaki itu.
“Kenapa tak cakap
awal-awal? Sepatutnya kau cari aku tadi.”
Jazz tidak menjawab.
Apa yang ditanyakan oleh Remy langsung tidak berbekas dalam kepalanya. Dia
hanya ingin balik. Dia hanya mahu menyorok.
“Jazz!” panggil Remy.
Dia sempat menarik lengan Jazz hingga langkah kaki Jazz terhenti. Apabila Jazz
berpaling ke arahnya, dia lantas meletakkan tapak tangan ke dahi Jazz. “Kenapa
ni? Kau demam?”
Jazz menggeleng.
Tangan Remy ditepis. Rimas.
“Tolonglah hantar aku
balik.” Dia terus menyambung langkahnya semula. Dia semakin rimas diasak dengan
pelbagai pertanyaan sedangkan hatinya sedang berserabut dengan soal lain.
Kali ini Remy tidak
menghalang lagi.
“Okey, kalau kau
betul-betul tak sihat kita balik aje ke hotel. Lagipun kau hanya ada masa
sehari aje untuk berehat sebelum pertandingan tu bermula malam esok. Pastikan
suara kau tak apa-apa.”
Jazz diam sahaja. Dia
tahu suaranya tidak akan apa-apa namun belum tentu perasaannya.
“Oh, ya! Aku rasa aku
belum beritahu kau lagi tentang satu perkara ni. Walau aku tak pasti sama ada
kau berminat nak tahu ataupun tak tapi pada aku perkara ini melucukan,” kata
Remy sambil berjalan di sebelah Jazz.
Jazz hanya menjeling.
Remy memang tidak memahami dirinya yang sedang berserabut dengan segala
masalah.
“Kau percaya tak
kalau aku kata, ada orang jemput kau untuk satu jamuan minum petang?”
Langkah Jazz hampir
tersandung. Spontan dia menoleh ke arah Remy. Ha?
“Tak perlulah
terkejut sampai macam tu sekali. Entah orang gila mana yang jemput kau tu. Dia
ingat, kau ni penyanyi pentas funfair
ke nak ajak-ajak aje macam tu? Lainlah kalau dia nak sponsor tiket kapal terbang kau dan bayar kau ikut jam.”
“Siapa yang jemput?”
Remy bergumam
seketika.
“Kalau tak silap aku,
namanya… Sofia. Sofia Raphael… macam itulah bunyinya.”
Lidah Jazz menjadi
kelu. Ternyata kata-kata Linda tadi betul. Sofia sedang menjejakinya.
Keesokan harinya…
“KAU dah gila ke? Susah payah aku dapatkan kau peluang
menyanyi di Albert Hall tu, senang-senang kau nak tolak pula.” Suara Remy
begitu lantang meningkah suara Jazz di bilik persalinan. Mujurlah pada waktu
itu hanya ada dia dan Jazz di situ. Kalau ada orang lain pun dia sudah tidak
peduli. Permintaan Jazz sungguh mengarut.
“Gila ke tak, aku tak
peduli. Yang pentingnya, aku nak balik Malaysia walau apa pun kata kau,” jawab
Jazz sambil meratakan pewarna merah di pipinya dengan berus. Dia terpaksa juga
memberitahu Remy tentang niatnya untuk balik ke Malaysia walaupun dia sendiri
tidak pasti berapa lama.
“Habis tu macam mana
dengan persembahan tu?” Remy semakin berang.
“Kau kan pengurus
aku? Kau uruskanlah apa yang patut.” Jazz menjeling muka Remy sebentar. Itu
memang sudah tugas Remy. Tugas dia cuma menyanyi. Kalau tidak, buat apa dia
bayar Remy selama ini?
Mendengarkan jawapan
Jazz, Remy terus bangun dan meninggalkan bilik itu. Dia benar-benar marah
dengan keputusan Jazz yang tiba-tiba sahaja. Sedikit pun tidak menghargai usaha
dia dan peluang yang begitu besar.
Setelah Remy pergi, Jazz
termenung jauh. Dia tahu Remy marah dan Remy memang patut marah. Dia sendiri
tahu betapa Remy telah bekerja keras bagi mendapatkan dia peluang menyanyi di
sebuah tempat yang begitu gah.
Selama ini hanya
beberapa orang sahaja penyanyi dari tanah air yang telah dapat beraksi di situ.
Dan bagi dia, itu satu kejayaan yang besar untuknya walaupun sekadar menjadi
penyanyi jemputan sahaja. Wajarlah kalau Remy marah.
Tetapi, semarah mana
pun Remy dia terpaksa juga balik ke Malaysia pada tarikh yang ditetapkan. E-mel
demi e-mel yang diterimanya membuatkan dia semakin cemas. Nampaknya dia tidak
punya pilihan lain selain mengikut perintah Sofia yang memiliki tongkat sakti.
Sofia boleh membuatkan
namanya tercemar teruk dan karier nyanyiannya berakhir dalam sekelip mata. Sofia
bagaikan nenek sihir yang jahat.
“Sorry,” kata Remy sejurus masuk semula ke bilik
persalinan Jazz. Dia letakkan secawan kopi yang panas di atas meja solek.
“Mungkin kita boleh bincang lagi perkara ni.”
Jazz menggeleng.
“Untuk sekali ini aje,
aku minta sangat kau lepaskan aku. Walau macam mana pun aku mesti balik juga ke
Malaysia.”
“Yang kau kelam kabut
sangat nak balik ke sana ni kenapa?” bentak Remy. “Apa benda yang ada di sana
tu?”
Jazz cuma tunduk dan
menggeleng.
Sikap Jazz membuatkan
Remy mengeluh berat. Dia hempaskan punggung semula ke atas sofa. Dia termenung
seketika. Kedegilan Jazz mula membuatkan dia pening.
“Okey, macam ni,”
tambahnya. “Aku akan cuba batalkan persembahan kau tu tapi sebagai gantinya…
kau ceritakan pada aku kenapa kau tergesa-gesa nak balik ke Malaysia. Selalunya
walaupun kau ada cuti, kau juga yang tak nak balik ke sana.”
Kini Remy sudah duduk
tegak semula, dia tersenyum memujuk. Sayangnya Jazz tetap mengunci mulut
rapat-rapat.
DUA JAM selepas itu, Jazz turun dari pentas. Majlis
penyampaian hadiah baru sahaja selesai. Sebuah trofi, sijil, cek dan sejambak
bunga sudah penuh di tangannya. Walaupun tidak memenangi tempat pertama, tempat
kedua sudah cukup bagi dia mengharumkan nama negara. Dia puas.
“Ucapan tahniah untuk
kau menderu-deru masuk,” kata Remy sambil mengambil jambangan bunga dari tangan
Jazz. Dia tahu sebentar lagi, Jazz ada sesi sidang akhbar dan sesi fotografi.
Dia tidak ada banyak masa untuk berbual dengan Jazz dalam suasana yang
hingar-bingar itu.
Jazz cuma tersenyum.
Debarannya semasa menanti keputusan diumumkan tadi masih bersisa. Malah
kemenangan yang diraih malam itu sendiri sudah cukup membuatkan jantungnya
berdegup laju.
Lalu, apabila kesemua
pemenang pertandingan nyanyian itu dijemput ke sebuah dewan khas untuk sidang
akhbar, dia menurut sahaja dengan kepala yang masih terasa bingung akibat
curahan adrenalin yang menggila seketika tadi.
“Jazz, kalau ada
soalan yang susah-susah, biar aku yang jawab,” pesan Remy sebelum mereka duduk
berdampingan di sebuah meja panjang.
Jazz mengeyakan
sahaja. Dia sendiri tidak bersedia kalau ditanyakan tentang perancangan masa
depannya, kerana selama ini dia menyerahkan kepercayaan seratus peratus kepada
Remy untuk mengaturkannya.
Beberapa minit
kemudian, sidang akhbar itu pun bermula. Pihak penganjur dan wakil penaja
memberikan ucapan alu-aluan dan ucapan tahniah kepada para pemenang. Penerangan
mengenai perjalanan dan cara penghakiman dilakukan sebelum wartawan dibenarkan
mengemukakan soalan kepada sesiapa sahaja.
Mujurlah sesi itu
berakhir dalam tempoh yang pantas. Sedar-sedar sahaja Jazz sudah kembali ke
bilik persalinan untuk berganti pakaian dan berehat sebentar sebelum jamuan
pula diadakan.
“Lega betul,” kata
Remy. Dia sudah berbaring di atas sofa panjang sambil membelek-belek medal yang
dimenangi oleh Jazz sebentar tadi. “Aku sangka peserta dari Italy atau
Azerbaijan yang akan menang. Aku sampai ternganga dengar mereka menyanyi tadi.
Huh! Hebat!”
“Dah rezeki kita,”
balas Jazz.
Dia tidak rasa pula
dia lebih hebat daripada peserta yang lain, dia sekadar rasa kemenangan itu
sudah dicatatkan untuknya. Tetapi kalau orang lain merasakan dia hebat,
terpulanglah.
Di belakang pemidang
setinggi kepalanya, dia melucutkan gaun ungu yang dipakainya semasa membuat
persembahan. Kini, tubuhnya hanya dibaluti korset ketat. Sehelai gaun panjang
berwarna merah hati disarung pula ke badan.
Semua pakaian itu
dipilih Remy untuknya. Apa yang dia tahu, apa sahaja pilihan Remy selalunya
tepat untuk setiap majlis. Begitu juga dengan gaun merah hati itu. Muat-muat
sahaja dan nampak terletak di badannya.
Remy bangkit duduk.
Kopi yang hampir sejuk dalam cawan Jazz diteguk rakus. Kemudian dia menoleh ke
arah Jazz yang sedang asyik membetulkan solekan di meja solek. Dia menuju ke
arah Jazz.
“Tapi kau belum jawab
soalan aku,” katanya. Pandangan matanya bertatapan dengan mata Jazz yang
dilihat di cermin solek. Apa yang disembunyikan oleh gadis itu? Hatinya
bagaikan digaru-garu untuk tahu.
Sayangnya Jazz hanya
buat tidak peduli. Sehabis bersolek, dia bangun dan mencapai beg tangannya.
Remy tergesa-gesa
mengejar.
JAMUAN makan malam yang diadakan penganjur
pertandingan berjalan dengan meriah sekali. Bagi Jazz, itulah majlis makan malam
yang paling besar pernah dihadirinya. Buat
pertama kali dia dikelilingi penyanyi, pelakon, komposer dan mereka yang
terkenal dalam bidang muzik dari seluruh dunia.
Dia sendiri kagum
dengan keupayaannya untuk menempatkan diri dalam kalangan mereka yang berada di
situ. Dia gembira, bangga dan bertambah yakin kepada keupayaannya sebagai
penyanyi. Namun jauh di sudut hatinya tahu, semua itu boleh berubah dengan
sekelip mata kalau Sofia membuka mulut.
“Mama kau telefon,”
kata Remy dengan perlahan sahaja. “Nak jawab ke?”
Mama? Kenapa mama
sibuk pula menghubunginya pada saat itu? Dia rasa gemas. “Katakan aku sibuk.
Aku kan ada majlis?”
Remy terus beredar ke
tepi dewan bagi menjawab panggilan. Dia faham sangat hubungan Jazz yang tidak
baik dengan keluarganya cuma dia tidak pernah tahu kenapa. Jazz tidak pernah mahu
bercerita walau dia pernah bertanya.
Sementara itu Jazz
hanya memandang dari jauh. Mungkin ayah tiri dan ibunya sudah tahu pasal
kemenangannya itu. Dia juga yakin berita kemenangannya dalam pertandingan itu
sudah mula tersebar luas di tanah air terutama dalam kalangan peminat dan
penggiat seni. Namun dia belum bersedia untuk bercakap dengan ibunya lagi.
Mungkin tidak sampai bila-bila.
“Mama kau ucapkan
tahniah.”
“Itu aje?” tanya
Jazz. Semua itu sudah dijangkakan.
“Dia tanya bila kau nak
balik ke Malaysia? Dia nak buat kenduri kesyukuran.”
“Kau tak bocorkan
apa-apa rahsia, kan?”
Remy terus membuat
isyarat mengzip mulutnya.
Jazz mengeluh
perlahan. Dia harap, dia tidak perlu memberitahu sesiapa tentang jemputan
Sofia. Biarlah tidak ada sesiapa pun tahu kecuali yang sudah sedia tahu.
“Jangan sampai ada
yang tahu tentang kepulangan aku pada minggu depan,” jawabnya kemudian. “Kalau
wartawan tanya, katakan aku hanya akan balik selepas selesai semua show di London.”
“Aku yakin kau pasti
punya sebab untuk buat kerja gila ni.”
“Aku juga yakin kau
tahu tugas kau adalah untuk menguruskan hal nyanyian aku dan bukannya untuk
campur tangan dalam hal peribadi.”
“Sejak bila hal
nyanyian kau terpisah dari soal peribadi? Bukankah aku juga yang selalu cover hal peribadi kau?”
“Bukan semua,” balas
Jazz sambil menghadiahkan senyuman pada lensa kamera wartawan yang berkeliaran
di majlis itu.
“Hal ini salah
satunya?”
Jazz angguk.
“Aku harap kau tak
buat sesuatu yang akan merosakkan nama baik kau,” bisik Remy.
“Ataupun yang akan
menggagalkan segala rancangan kau,” sambung Jazz.
“Kita ada kontrak,
kan?” Remy ketawa kecil. “Jadi, sekurang-kurangnya aku juga patut tahu
sebahagian daripada keseluruhan cerita kau kali ini.”
“Not this time.” Jazz terus tinggalkan majlis itu. Not this time, ulangnya dalam hati.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.