Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
KINI semua mata yang
hadir ke situ menumpukan sepenuh perhatian ke arah meja utama. Tengku Mazwin
diapit oleh anaknya Sofia dan anak menantunya, Datuk Razif. Hanya tiga orang
yang duduk di situ sementara tiga orang pengawal peribadi mereka berdiri kira-kira
lima kaki dari meja utama. Suasana yang tadi riuh bertukar senyap sunyi.
“Mulakanlah.” Tengku
Mazwin menoleh sedikit ke arah Sofia.
Mendengarkan
kata-kata ibunya, Sofia terus bangun dan melangkah ke rostrum. Dia pun mula
mengalu-alukan kedatangan para jemputan dan memberikan sedikit ucapan. Setelah
selesai, dia kembali ke meja utama bersama mikrofon.
Mikrofon bertukar
tangan, Tengku Mazwin memulakan bicara dengan salam, selawat dan doa.
“Terlebih dahulu… umi
ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada anak-anak kerana masih sudi
menerima jemputan umi.”
Tidak ada seorang pun
yang berani berbunyi. Sofia menelan air liur. Tidak berani memandang sesiapa.
Dia percaya pada saat itu bukan seorang yang mahu membunuhnya.
“Seperti yang semua
tahu, Raphael’s Cottage ini sangat bermakna kepada umi. Dan umi juga percaya,
rumah ini mempunyai makna kepada anak-anak juga. Terlalu banyak kenangan yang
umi simpan di rumah ini, terlalu banyak rahsia yang umi jaga. Terlalu banyak
masalah yang timbul dan pergi.
Kalau dinding dan
tingkap rumah ini boleh bercakap, tentu mereka akan bercerita tak henti-henti.
Tapi umi juga tahu, tak ada siapapun di sini yang mahu disebut semula kisah
lampaunya. Dan biarlah segala yang telah berlaku itu hilang bersama runtuhnya
rumah ini nanti.”
Tengku Mazwin
berhenti mengambil nafas sejenak.
“Tak ada apa yang
lebih menggembirakan hati umi selain melihat anak-anak umi menjadi manusia yang
berguna. Hidup di landasan yang benar. Dan sekarang memberi semula apa yang umi
beri kepada masyarakat dan ahli keluarga masing-masing.
Didiklah mereka supaya
tidak hidup terpesong ke jalan yang salah. Tugas ini bukan tugas umi
semata-mata. Tugas kita semua,” sambungnya.
“Petang ini, apabila umi
melihat anak-anak umi di hadapan umi sekarang, umi rasa tenang. Umi percaya apa
yang umi lakukan selama ini tidaklah sia-sia. Umi cuma harap, anak-anak umi
dapat memaafkan segala salah silap umi semasa mendidik dan menjaga anak-anak
umi dulu.
Mungkin pada waktu
itu cara umi kasar, garang, tegas tapi percayalah, bukan senang untuk menjadi
umi.
Kalau boleh, umi
sendiri tak mahu anak-anak dihantar ke sini langsung. Tapi, apa yang telah
berlaku itu suratan takdir. Bertemu dan berpisah itu sudah ditentukan. Umi cuma
minta maaf atas segala tindakan umi dulu.
Dan umi harap anak-anak
sudi maafkan umi. Umi cuma mahu pergi dengan tenang. Dan harap kalau ada
anak-anak umi yang masih marahkan umi, sudi maafkan umi.
Umi juga doakan
moga-moga, anak-anak umi di sini hidup bahagia dan dirahmati ALLAH SWT setiap
masa.
Ingat pesan umi…
hidup kita di dunia ini bukan untuk dunia semata-mata tapi untuk mengumpulkan
bekalan di akhirat. Tujuan kita dihidupkan adalah untuk beribadah dan
mengabdikan diri kepada ALLAH SWT.
Jadi buatlah apa aje,
carilah harta sebanyak mana tetapi pastikan apa yang kita lakukan itu tetap bertujuan
untuk mencapai keredhaan ALLAH SWT. Insya-ALLAH, kita akan selamat di dunia dan
di akhirat.”
Ucapan Tengku Mazwin
akhirnya tiba ke penghujung. Ada sebilangan tetamu yang hadir, menyapu air
mata.
Mikrofon bertukar
tangan.
“Sekarang, kita akan
sama-sama menyaksikan kerja-kerja meruntuhkan Raphael’s Cottage di-mulakan.”
Sofia menarik sehelai
kain putih yang direntang lebar sehingga menutup pandangan tetamu sejak tadi.
Sebaik sahaja kain putih itu terjatuh, enjin sebuah jengkaut dihidupkan. Semua
yang hadir terjenguk-jenguk dan menahan nafas apabila jengkaut itu menghentam
dinding dapur Raphael’s Cottage yang telah dikosongkan.
Tengku Mazwin tunduk
merenung jari-jemarinya.
Sofia lantas memeluk
ibunya yang mula menitiskan air mata. Dia faham, hati ibunya menangis tetapi
zaman telah berubah.
KINI majlis sudah
berubah rentak. Sementara sedikit demi sedikit dinding Raphael’s Cottage jatuh
mencium bumi, hadirin dijemput menjamu selera. Namun Sofia perasan, ada
beberapa orang yang tidak mahu menjamah apa-apa dan langsung mahu meninggalkan
majlis tetapi dia bukan bodoh.
“Tolonglah, Sofia.
Aku ada majlis malam ni. Aku kena sampai di sana sebelum Maghrib,” kata Linda.
Makin lama berada di
situ, makin dia tidak berasa selesa. Terasa seperti sedang diperhatikan. Atau
dia sahaja yang terlebih perasan?
“Aku dah tulis dalam
aturcara, kau orang semua tak baca ke?” balas Sofia dengan dingin.
Dia sudah
menjangkakan semua itu akan berlaku. Kalau semua yang hadir kelam-kabut cabut
lari sebaik sahaja ucapannya selesai, apa pula kata ibunya?
“Takkan tak boleh
bertolak ansur?” sampuk Shereen pula. Dia, Jazz dan Linda sama-sama sepakat
untuk mendesak Sofia melepaskan mereka.
“Not today.” Begitu tegas Sofia menolak. Dia bergerak
menjauhi meja utama, bimbang kalau ibunya dapat tahu masalah itu.
“Sofia, please… Aku tak tipu. Malam ini aku ada
majlis penting.”
Linda terus mengekori
Sofia hingga ke meja hidangan. Di situ sudah berdiri Mak Wiyah dan Rosni. Linda
hanya sempat melemparkan senyuman. Dia belum ada masa untuk berbual dan menegur
Mak Wiyah walaupun hatinya sangat teringin.
“Tempat ini hanya
boleh ditinggalkan pada pukul 6.00 petang. Selepas itu aku takkan ganggu hidup
kau orang semua lagi.”
“Tak bolehlah macam
tu. Kalau aku keluar dari sini pukul enam, pukul berapa pula aku nak sampai KL?
Paling cepat pun, pukul 8.00 malam kalau jalan tak jammed. Tak mungkin sempat.” Linda pegang tangan Sofia.
“Aku tak peduli.
Semua orang ada masalah masing-masing tapi mereka boleh pula ketepikan masalah
mereka untuk majlis ini. Kenapa pula kau tak boleh?” Sofia memandang tajam ke
arah Linda.
Dilihatnya gadis itu
masih mempunyai sikap degil yang kuat melawan seperti dahulu namun untuk hari
yang sangat bermakna buat ibunya, dia juga tidak akan mengalah.
“Kau ingat aku tak
tahu?” Linda tersenyum sinis. “Aku tak percaya semua yang ada kat sini datang
dengan rela hati. Kalau kau tak sorokkan kereta, aku percaya tempat ni dah lama
kosong.”
“Whatever. Tapi yang pentingnya hanya pada pukul enam
nanti, kereta akan datang menjemput kau orang semua. Itu pun kena tunggu
giliran kalau mahu balik asing-asing.” Sofia melangkah pergi.
Kata-kata Linda
berjaya menyakitkan hatinya tetapi sia-sia sahaja dia belajar erti tegas kalau
lentur kepada sindiran sebegitu. Apa yang pentingnya, senyuman di wajah ibunya
sekarang yang sedang berbual dengan beberapa orang yang hadir sambil minum
petang.
Namun langkahnya
tidak sempat jauh apabila salah seorang pengawal peribadi suaminya memanggil
dia kembali ke meja utama.
SEBAIK sahaja Sofia
tiba, beberapa orang gadis yang berbual-bual dengan ibunya terus bangun
meninggalkan meja. Begitu juga Datuk Razif, suaminya. Dia tidak hairan. Dia
tahu semua tetamu tidak sukakan dia sejak dahulu. Dia pun tidak pernah sukakan
mereka.
“Ada apa, umi?” Sofia
duduk semula di sisi ibunya. “Umi nak berehat ke? Saya boleh suruh driver hantar umi balik dulu. Saya belum
boleh balik lagi.”
Tengku Mazwin
menggeleng.
“Umi mahu jumpa
mereka bertiga.” Dia pandang muka anaknya lama-lama. Dia tahu segala-galanya
akan berubah selepas ini.
“Siapa?” Sofia
pandang sekeliling. Dia benar-benar tidak menjangka permintaan umi itu. “Ramai di sini, umi. Siapa yang umi nak jumpa?
Batch tahun berapa?”
“Linda, Shereen dan
Jasmina.” Tengku Mazwin menyebutnya dengan jelas sekali.
Sofia terdiam namun
anak matanya melirik ke arah tiga orang yang disebutkan oleh uminya tadi.
Mereka bertiga sedang sibuk berbual di suatu sudut dengan piring makanan di
tangan masing-masing. Ternyata akhirnya gadis bertiga itu mengalah juga dengan
ketegasannya walau tidak ada sedikit pun riak gembira di wajah mereka. Dia
peduli apa?
“Kenapa tiba-tiba umi
nak jumpa mereka?”
Kali ini Tengku
Mazwin merenung wajah anaknya. Dengan senyuman meleret dia menjawab, “Bawa
mereka ke rumah Sofia selepas habis majlis.”
“Bawa mereka ke
rumah?” Sofia benar-benar keliru. “Buat apa pula, umi?”
“Di sana nanti, umi
akan beritahu.”
“Mereka nak balik
cepatlah, umi. Masing-masing kata ada majlis lain malam ni,” balas Sofia. Di
hatinya mula timbul perasaan yang tidak enak. Apa yang mahu diberitahu oleh
ibunya? Kenapa tidak diberitahu di situ sahaja?
“Umi tak peduli.
Sofia mesti bawa mereka bertiga ke rumah Sofia selepas habis majlis.”
Sofia tergamam. Dia
hanya mampu melirik ke arah gadis bertiga itu sekali lagi. Nampaknya dia tidak
ada pilihan lain.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.