Wednesday, October 30, 2013

LENGLOI : Bab 10 dan Bab 11


Saya telah menyiarkan dua bab baharu di halaman ILHAM. Jemput baca kisah LENGLOI

Saturday, October 26, 2013

Majlis Temu Mesra dan Tanda Tangan Penulis GBK di UKM


Dari kiri : 
Novelis Ekara Fahara, saya, Novelis Damya Hanna dan novelis Aisya Sofea.


Semalam, 25 hb Oktober 2013, saya telah dijemput oleh pihak GBK untuk menghadiri satu 
sesi Temu Mesra dan Tanda Tangan Penulis di booth Karangkraf di tapak pesta konvokesyen UKM.

Antara novelis yang turut hadir adalah Puan Aisya Sofea, Damya Hanna dan juga Eka Fahara.  

Terima kasih kepada pengunjung-pengunjung pesta dan juga pelajar-pelajar UKM. Tidak lupa juga terima kasih kepada Encik Daniel dan staf GBK yang melayani saya dengan baik.

Semoga ada peluang untuk bertemu di lain masa.

Monday, October 21, 2013

E-Novel : LENGLOI - Wa Cinta Lu Sampai Mati


Jemput baca sebuah manuskrip cerita Misteri-Seram-Cinta yang saya siarkan di halaman ILHAM.
Cerita ini sebenarnya mempunyai 2 bahagian. Sekarang masih di bahagian pertama iaitu kisah yang berlaku di sebuah kedai makan yang dimiliki oleh keluarga Muthu. Apa yang akan berlaku seterusnya, kita sama-sama baca nanti ya.

Kepada yang ingin membacanya, bolehlah TEKAN link di bawah:

Majlis Dialog Editor- Penulis sempena Bulan Bahasa.


Pada 19 hb Oktober 2013 yang lalu, saya telah menghadiri sebuah majlis dialog antara wakil rumah penerbitan dan juga para penulis. Majlis ini telah berlangsung di Auditorium Perpustakaan Negeri Melaka bermula dari pukul 10.00 am-1.00 pm.

Para panel terdiri dari Puan Sri Diah (wakil Grup Buku Karangkraf), Tuan Shaidan (DBP) dan Tuan Imran (wakil PTS). Mereka telah menerangkan sedikit sebanyak mengenai proses penerbitan dan keperluan pihak yang diwakili mereka.

Sepanjang sesi dialog berlangsung, beberapa pertanyaan telah diajukan penulis dalam melahirkan ketidakpuasan hati dan pelbagai persoalan lagi yang berbangkit antara kedua-dua pihak.


Surat undangan daripada IPM (Ikatan Persuratan Melayu) dan kad undangan daripada DBP.


Gelagat sehabis sahaja majlis.
Bersama Diah Hadi, Puan Sri Diah dan juga Wanda -bergambar di luar auditorium.

Sebaik sahaja selesai majlis dialog, saya sempat bergambar dengan Puan Sri Diah dan beberapa orang penulis dan bakal penulis. Selepas itu saya meluangkan masa untuk makan tengah hari bersama Dian dan Wanda di kantin  perpustakaan dan seterusnya mengadakan sesi perbincangan sehingga pukul 4.00 petang.

Bagi saya, majlis dialog ini memberi ruang untuk kedua-dua belah pihak melontarkan maklumat dan hujah masing-masing namun semuanya mestilah bertujuan untuk memastikan industri perbukuan kita berjalan rancak dan ada kesinambungannya dari generasi ke generasi.

Harapan saya semoga lebih banyak lagi syarikat penerbitan menghantar wakil ke Melaka bagi memberi penerangan yang lebih terperinci mengenai keperluan-keperluan manuskrip mereka pada masa yang akan datang.

Sekian.



Monday, October 14, 2013

Cerita Cinta: Selamat Hari Lahir, Sayang

“Yang nilah cantik.”
“Yang ni lagi cantik.”
“Dia suka warna biru. Ambil yang nilah.”
“Tapi yang ni aku rasa lagi cantik.Yang tu nampak murah aje.”
Seminit, dua minit, tiga minit. Kemudian jadi berminit-minit. Aku yang menunggu sudah rasa jemu. Pilih kad hari jadi bagaikan hendak pilih baju, rungutku dalam hati apabila dua orang gadis masih belum berganjak dari rak yang menempatkan pelbagai kad ucapan hari jadi. Aku yang mahu ke situ terpaksa beralah. Ingatkan sekejap sahaja, rupanya sudah hampir setengah jam.
“Untuk kekasih.” Salah seorang daripada gadis-gadis bersuara. Di tangannya ada sekeping kad ucapan hari jadi.
Aku yang memerhati dari tepi rak yang menempatkan pelbagai jenis sampul surat tertarik pada kad yang dipegang. Memang cantik. Aku teringin membelinya.
“Berangan kau, doe. Entah bila tahun budak tu jadi kekasih kau,” perli yang seorang lagi.
Aku termenung sendiri. Ya, entah bila dia jadi kekasih aku…
*****
10 tahun yang lalu…
“Kesian. Kesian.”
Suara yang tidak asing lagi kedengaran. Aku menelan air liur dan menunduk semula membaca nota.
“Lupakanlah sajalah orang tu. Orang tu dah ada makwe. Takkan ingat kau lagi.”
“Diamlah, Min.” bentakku separuh kuat. Tidak jauh dari tempat aku duduk menekuni nota-nota SPM ada empat orang pelajar Cina yang sedang rancak berbincang. Walaupun aku yakin mereka tidak mendengarnya namun rasa cuak tetap ada.
Kawanku yang bernama Min ketawa. Dia duduk di sebelahku sambil meletakkan buku-buku teks di hadapannya. Kemudian memandang ke tengah padang di mana dua pasukan hoki sedang giat berlatih. Salah seorangnya adalah, dia.
“Siapa menang?”
Aku menoleh ke arah Min yang berwajah bulat.
“Oh… aku lupa. Kau bukan tengok perlawanan. Kau tengok orang tu.” Min tersenyum lebar.
“Nak kena cubit ke nak kena tolak?” balasku garang. Geram kerana kata-kata Min yang sentiasa menyakitkan hati.
“Dua-dua tak nak,” balas Min. Kemudian bertempik. “Eh! Dia jatuhlah!’
Aku segera menoleh ke arah padang tetapi tidak ada apa pun yang pelik.

Min ketawa lagi. “Nampak benar kau sayang dia ya?”

BACA SAMBUNGANNYA DI :    TEKAN SINI

Tuesday, October 8, 2013

Ceramah MYIPO dan ITBM - 5 Oktober 2013


Pada 5 hb Oktober 2013 (Sabtu) yang lalu, saya telah menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh pihak Ikatan persuratan Melayu(IPM) bersama pihak MyIPO dan juga ITBM bertempat di Hotel Super Cowboy, Bukit Baru, Melaka.


Antara yang hadir adalah Ketua 1 IPM, Tuan Haki razali Endun, Ketua 2, Prof Dr Arbak Othman, Penolong Pengurus ITBM, Tuan Rozlan Mohamed Noor dan penceramah dari pihak MyIPO.

Sesi ceramah membincangkan soal hak milik karya penulis dan peranan MyIPO dalam melindungi karya. Serta proses penerbitan bagi pihak buku-buku terbitan ITBM.

Ceramah berlangsung dalam dua sesi pagi dan petang. Turut diadakan sesi soal jawab.

Saya bersama Pn Hanita dan Pn Zamidah. Kedua-duanya juga novelis sastera.

(Gambar ini kredit kepada Ida Nardiel)

Aktiviti saya seterusnya:

Pada 19 hb Oktober 2013
-Perjumpaan Editor-Penulis kawasan selatan

25 Oktober 2013
-Sesi tanda tangan novel SUARA TENGAH MALAM
di Majlis Konvokesyen UKM 
Jemput datang beramai-ramai  ya
Jumpa anda di sana.