Friday, June 8, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 9





Malam itu terasa sangat berbeza kerana sangat jarang, ada penumpang yang duduk di sebe-lahnya ketika dia memandu tambahan lagi jalan menuju ke luar bandar Kuantan agak sesak. Sekaligus menjadikan perjalanan yang sepatutnya singkat bertambah panjang.
    Hanisa termenung memandang jalan. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan menumpangkan seorang lelaki yang tidak dikenali di dalam keretanya. Satu-satunya lelaki yang pernah duduk di sebelahnya itu adalah Richard, itu pun hanya sekali sewaktu mereka berdua ke pejabat pendaftaran perniagaan. Selepas itu tidak pernah lagi. Tapi benarlah kata orang bulan Ramadhan bulan yang penuh dengan dugaan.
    “Awak tak nak telefon keluarga awak? Tentu mereka risau awak tak balik-balik sejak tadi.”
Itulah yang ingin ditanyanya sejak di kedai lagi. Selalunya orang tidak akan berjauhan dari telefon bimbit masing-masing tetapi setelah puas dia dan Mei Lin mencari di serata kedai, telefon bimbit lelaki itu tetap tidak ditemui. Dalam poket juga tidak ada. Yang anehnya, beg dompet pun tidak ada. Mereka tidak dapat menghubungi sesiapa pun.
Lelaki itu hanya menggeleng. Matanya lurus memandang jalan bagaikan takut Hanisa terlepas simpang. “Telefon saya hilang.”
“Nak guna telefon saya?”
“Saya tak ingat nombor telefon rumah,” balas lelaki itu.
Hanisa mengeluh perlahan. Sedikit sebanyak sikap lelaki itu membuatkan dia pening.
Setelah hampir 30 minit menyusuri jalan besar menghala ke Bandar Indera Mahkota, Hanisa membelok ke sebelah kanan menuju ke Indera Mahkota Sapphire. Kawasan itu terkenal kerana rumah-rumahnya yang besar-besar, banglo sebuah-sebuah dan pendek kata ramai hartawan dan yang berpangkat tinggal di situ. Dikira sebagai salah sebuah kawasan elit di bandar Kuantan.
Keraguan mula terasa di hatinya apabila melewati satu demi satu rumah-rumah yang tersergam di kawasan itu. Dia benar-benar berharap agar alamat yang diberikan oleh lelaki itu adalah tepat.
Dengan perlahan kereta Hanisa menyusuri lorong lima untuk mencari rumah bernombor lima. Dengan tiba-tiba sahaja lelaki yang pendiam itu menuding jari ke arah sebuah rumah tiga tingkat yang betul-betul terletak di hujung selekoh lorong itu.
“Rumah itu?” tanya Hanisa seperti tidak percaya.
“Ya,” balas lelaki itu. Wajahnya tetap serius.
Walaupun berasa waswas, keretanya dihentikan juga di hadapan pagar besar bercat warna hitam dan emas. Dari luar, rumah itu kelihatan agak tertutup, yang kelihatan cuma bahagian atapnya sahaja. Sudahlah di kiri kanan pagar itu pokok bunga tumbuh tinggi dan merimbun. Keadaan nampak menyeramkan.
“Terima kasih, cik.” Dia teraba-raba poket seluarnya, kemudian memandang Hanisa dengan pandangan yang cemas. “Dompet saya tak ada.”
“Memang tak ada,” balas Hanisa. “Richard dah periksa poket awak tadi, tapi dia tak jumpa apa-apa.”
“Boleh saya bayar esok? Esok saya hantarkan duit ke kedai,” kata lelaki itu dengan bersungguh-sungguh.
Muka Hanisa menjadi panas dia lantas menggeleng sebagai isyarat menolak hasrat lelaki itu. Dia bukan teksi, kalau benar itulah rumah lelaki itu, dia sudah amat bersyukur. “Tak payah. Awak tak payah bayar apa-apa.”
“Sure?”
Hanisa angguk.
“Thank you,”  kata lelaki itu sebelum menutup pintu kereta. Setelah beberapa kali dia menekan loceng pagar, pagar itu pun terbuka secara automatik. Muncul seraut wajah tua menyambutnya pulang.
Hanisa menarik nafas lega. Syukurlah semuanya sudah selesai. Dengan sisa-sisa tenaga yang ada, dia memandu balik ke pangsapurinya tetapi marahnya kepada Richard tetap ada.
Bagaimanapun sebaik sahaja dia meneruskan perjalanan, dia perasan ada sebuah kereta di belakangnya. Ah! Mungkin penduduk di taman itu, kata hatinya. Mujurlah kereta mereka berpisah di sebuah simpang.
N
BORHAN melangkah tenang masuk ke rumahnya. Walaupun seluruh tubuhnya masih terasa lemah dan sakit-sakit namun dia menggagahkan diri juga untuk ke ruang tamu kedua rumah itu. Sebelum dia duduk di atas sofa, dia menghulurkan beg plastik yang dibawanya balik kepada Mak Yah.
    “Tuan dah makan?” tanya Mak Yah pula. Beg plastik itu dibuka dan dia tergamam.
    “Mak Yah buatkan saya teh dan roti bakar,” balas Borhan. Kalau diceritakan kepada Mak Yah yang dia belum menjamah sebutir nasi pun lagi, pasti orang tua itu akan kecoh.
    “Kenapa baju tuan ada darah ni? Tuan cedera ke?” Mak Yah bertanya sambil leka membelek baju-T dalam beg plastik itu.
    “Mak Yah jangan bimbang. Saya tak apa-apa. Itu darah orang lain terkena ke badan saya,” jelasnya tanpa memandang ke arah Mak Yah. Dia takut pengsan lagi.
    “Kalau macam tu, tuan berehatlah dulu. Biar Mak Yah buatkan roti bakar. Kalau tuan nak makan nasi, Mak Yah boleh panaskan lauk.”
    “Saya belum nak makan nasi lagi, Mak Yah,” balasnya pendek. Dia dapat merasakan yang Mak Yah sudah syak yang dia belum makan apa-apa. Mujurlah Mak Yah tidak memujuk lagi.
    Setelah Mak Yah meninggalkan dia di situ, dia merebahkan tubuhnya di atas kerusi panjang dan cuba memejamkan matanya semula. Entah kenapa selain sakit kepala yang dirasa, dia juga berasa lain benar seperti ada sesuatu yang sudah berubah dalam dirinya. Kejadian petang tadi kembali bermain di fikirannya.
    “Roti bakar dan air dah siap, tuan, Bangunlah makan dulu. Tak elok tidur dengan perut kosong.”
    Suara Mak Yah mengejutkan dia yang tidak sedar sudah terlelap seketika di situ. Terpisat-pisat dia bangun. Namun renungan penuh tanda tanya yang dilontarkan oleh Mak Yah menyedarkan dia bahawa dia harus memberikan penjelasan walau tidak diminta. “Saya pengsan tadi,” katanya perlahan.
    “Pengsan? Darah tu datang dari mana pula?”
    “Dua kejadian yang berasingan. Tapi mujurlah saya dapat balik juga ke rumah.” Dia belum bersedia untuk bercerita panjang.
    “Kenapa tuan tak telefon?”
    “Macam mana saya nak telefon kalau saya pengsan? Yang kedua, saya pun tak ingat nombor telefon rumah ni,” terang Borhan.
    Mak Yah mengeluh. “Tak apalah, tuan. Asal tuan balik dengan selamat cukuplah. Kami dah mula risau tadi. Puas kami telefon, tapi tak dapat-dapat. Tuan belum jumpa telefon tuan yang hilang tu?”
“Belum. Entah di mana,” jawab Borhan perlahan. Sebenarnya bukan itu yang dirisaukan. “Mak Yah, jangan fikir yang bukan-bukan pula. Perempuan yang hantar saya balik tadi tu… dia tolong hantar balik saja.”
Mak Yah cepat-cepat menjawab, “Mak Yah tak fikir apa-apa. Mak Yah cuma risaukan, tuan. Maklumlah tuan masih baru di sini.”
“Insya-Allah, saya akan selamat. Mak Yah janganlah risau sangat,” jawab Borhan sambil mengerling wajah Mak Yah yang nampak muram. “Mak Yah pergilah masuk tidur dulu. Nanti nak bangun sahur lagi.”
“Tadi ada orang cari tuan. Petang tadi sebelum waktu berbuka,” kata Mak Yah pula.
“Siapa?”
“Mak Yah tak tanya pula tapi dia ada minta nombor telefon tuan, Mak Yah berilah.”
“Tak apalah. Mak Yah berehatlah dulu.”
Kali ini Mak Yah tidak membantah. Setelah mengangkat piring dan cawan ke dapur, dia masuk ke bilik tidurnya.
Borhan pula menghela tubuhnya yang lesu naik ke bilik. Satu hari yang panjang telah pun berakhir tetapi terasa hidupnya tidak lagi sama. Wajah gadis tadi masih terbayang di matanya. Baik betul budi pekertinya.
N
“BORHAN dah balik?” tegur Pak Harun yang baru selesai membaca kitab agama di atas katil.
Mak Yah menutup pintu di belakangnya. Dengan tergesa-gesa dia duduk di sebelah suaminya dan menepuk lengan suaminya. “Bang!”
Anak mata Pak Harun melirik ke arah Mak Yah. “Apa hal? Macam nampak hantu saja?”
“Dia balik pakai baju lain.”
Dahi Pak Harun berkerut.
“Pagi tadi dia keluar pakai baju lain, dia balik pakai baju lain. Tapi baju yang dipakai pagi tadi tu, dia bawa balik dan suruh saya basuh.”
“Apa yang peliknya?”
“Baju tu ada darah, bang!”
Pak Harun terdiam. Kitab agama di tangannya dibelek-belek.
“Bila saya tanya, dia kata tu bukan darah dia tapi darah orang lain,” sambung Mak Yah. “Lagi satu, dia cerita dia pengsan tadi.”
Pak Harun masih mengunci mulut tetapi tetap memandang Mak Yah yang masih berwajah cemas.
“Dia pengsan di mana?”
“Dia tak cakap pulak di mana.”
“Biarkan sajalah.”
Mata Mak Yah terkelip-kelip seperti tidak puas hati dengan jawapan suaminya. Dia sikit punya risau, suaminya selamba sahaja. Lelaki…
  “Saya cuma takut dia terlibat dengan benda-benda tak baik di belakang kita, bang. Lebih-lebih lagi dah jadi macam ni.”
“Kalau takut, janganlah awak doakan macam tu.”
“Saya takut, bang… saya takut amanah Tuan Amzar tak dapat kita tunaikan. Kita ni pun bukan lama sangat lagi hidupnya.”
“Kita tak boleh jaga dia sepanjang masa. Kita cuma boleh berdoa minta Tuhan lindungi dia saja. Sudahlah tu, jangan risau sangat pasal dia. Buat tak tahu saja. Kalau dia perlukan pertolongan kita, dia pasti cakap.”
“Abang fikir dia akan cakap pada kita?”
Pak Harun angguk.
“Ada dia cakap bila nak balik ke Australia semula?”
Pak Harun geleng.
“Cubalah pujuk dia tinggal di sini. Kalau dia tinggal di sana sorang-sorang macam mana kita nak tengok-tengokkan dia?”
“Perlahan-lahanlah,” jawab Pak Harun pula.
Mak Yah menghela nafas dalam-dalam. Walaupun dia cuba memejamkan mata namun darah di baju Borhan masih ternampak-nampak di matanya. Dan pada malam itu dia bermimpi macam-macam.
N
DI RUMAH Hanisa, dia masih belum melelapkan mata. Entah kenapa malam itu dirasakan seperti panas luar biasa. Lalu dia duduk dan mencapai diarinya dan mula menulis:
Dear Diary,
Hari ini sungguh pelik. Ada seorang lelaki jatuh pengsan di dalam kedai. Orangnya lawa. Entah kenapa sewaktu aku melihat wajahnya aku teringatkan Rayn. Walaupun wajah mereka tidak langsung serupa tapi perasaan yang tercetus di hatiku terasa sama. Aku harap aku tak akan jatuh hati kepada dia kerana jika aku jatuh hati, lebih baik aku jatuh daripada keretapi. Itu mungkin lebih kurang menyakitkan.  


Thursday, June 7, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 8


HANISA, Mei Lin dan Richard sudah pun berada di luar Farmasi Honeymon. Begitu juga dengan lelaki tadi. “Saya tinggal di Indera Mahkota Sapphire,” katanya.
“Awak ada kereta? Kalau tak ada, biar saya hantar,” jawab Richard dengan senang hati. Beg plastik yang mengandungi baju-T kuning pastel itu diserahkan semula kepada lelaki itu dengan secebis pesanan. “Balik nanti, suruh orang lain basuh. Awak jangan buka beg plastik ni.”
Lelaki itu menerimanya dengan senyuman tawar. “Saya tak ingat di mana kereta saya, tapi kalau awak mahu hantar saya balik, lebih baik,” jawabnya dengan wajah yang kembali bingung tapi penuh kejujuran.
“Tadi awak sebut Indera Mahkota Sapphire, kan?” Richard bertanya semula seolah teringatkan sesuatu. Dan belum sempat lelaki itu mengiyakan, dia bercakap pula kepada Hanisa. “Awak pun nak balik Indera Mahkota, lebih baik awak tumpangkan dia balik ke sana.”
       Hanisa hanya mampu memandang Richard dengan pandangan yang layu. Dia tidak sangka Richard sanggup menyuruh dia menghantar lelaki itu balik entah ke mana. Richard memang nak kena dengan dia pagi esok, tunggulah, kata hatinya.
“Dia lupa di mana kereta dia. Awak hantarlah dia pulang dulu, esok bila dia ingat, dia boleh cari semula. Ini sudah malam, susah mahu balik ke rumah.” Richard terus mendesak Hanisa.
Haih… mengalahkan saudara mara dia pula. Kalau baik sangat, hantarlah sendiri. Ini asyik suruh orang. Hanisa mula merungut dalam hati. Tidak sedar wajahnya sudah berubah masam.
“Kalau menyusahkan, tak apalah. Saya boleh balik sendiri.” Lelaki itu mencelah, seperti sedar kehadirannya di situ telah menyusahkan orang lain.
Tahu pun, jawab Hanisa dalam hati.
“Tak apa, dia boleh tumpangkan encik balik.” Richard menepuk-nepuk belakang lelaki itu sambil tersengih. “Dia pun tinggal dekat-dekat area situ juga. Bukannya jauh.”
Baguslah tu, beritahu semua orang di mana dia tinggal. Mujur-mujur ada orang jahat datang ke rumah dia. Hanisa menjeling Richard dengan geram. Tetapi belum sempat dia membuat apa-apa keputusan, Richard dan Mei Lin sudah menonong menyeberang jalan menuju ke kereta mereka yang terletak di hadapan pasar raya. Hanisa terkulat-kulat sendirian di luar kedai bersama lelaki itu.
N
“AWAK tinggal di mana tadi?” Hanisa menelan air liur. Fikirannya ribut merangka pelan B jika pelan A tidak berjaya dilaksanakan.
“Indera Mahkota Sapphire. Rumah nombor lima, lorong lima,” jawab lelaki itu tergesa-gesa.
Hanisa terdiam seketika. Jawapan itu membuatkan dia   tidak jadi melangkah. Dia berpaling semula. “Rumah nombor lima, lorong lima?”
Lelaki itu segera mengangguk.
Hanisa menelan air liur. Boleh percaya ke ni? Tidak sedar, dia masih terpacak di kaki lima.
Dan lelaki itu juga terkebil-kebil merenungnya. Sama-sama menunggu.
Akhirnya dengan perasaan yang serba-salah Hanisa bersuara. “Marilah saya hantarkan.”
“Tak apalah, cik. Kalau cik dapat tunjukkan tempat menunggu teksi pun dah cukup,” balas pemuda itu.
Hanisa menoleh ke arah jalan, dia cuba memandang jika ada teksi yang lalu-lalang namun tidak kelihatan pula pada malam itu. “Tempat ni susah nak cari teksi. Kalau ada pun mungkin dekat terminal bas. Awak tahu terminal bas tu di mana?”
Pemuda itu menggeleng.
Hanisa menarik nafas. Dia semakin serba salah. Sebahagian daripada hatinya ingin menyuruh lelaki itu pergi tetapi sebahagian lagi berkata tidak. Malah dia berasa sangat tidak wajar jika dia tidak menumpangkan lelaki itu balik kerana tempat tinggal mereka hampir sama arahnya.
“Macam inilah. Kalau awak nak tumpang saya, marilah. Kalau awak nak balik dengan teksi juga… awak jalan ikut lorong kecil depan tu. Di belakang bangunan tu, awak akan jumpa padang. Selepas padang tu baru awak akan jumpa terminal bas. Di situ mungkin ada banyak teksi.”
“Mungkin lebih baik kalau saya tumpang kereta cik malam ini. Saya bayar pun tak apa,” balas lelaki itu pula. Suaranya dan wajahnya cukup mendesak.
Memang lebih baik untuk engkau, tapi bukan untuk aku, jawab hati Hanisa tetapi dia hanya mahu menyelesaikan perkara itu secepat mungkin. Keletihan bekerja di dalam bulan puasa menjadikan tubuhnya kian lesu.
“Marilah,” katanya sebelum melangkah ke kereta dan lelaki itu hanya mengikut sahaja.
Di dalam kereta, Hanisa hanya mampu berdoa agar perkara itu selesai secepatnya. Esok, dia akan basuh Richard secukup-cukupnya.
N
“HABISLAH kita esok….,” kata Mei Lin yang memandang Hanisa dan lelaki itu dari dalam kereta. Kelihatan kedua-duanya sudah beredar ke tempat lain.
    Richard tergelak kuat. Sambil mengundurkan keretanya dari tempat parkir, dia menjawab. “Padan muka dia.”
    “Kalau dia mengamuk esok macam mana?” tanya Mei Lin lagi. Dalam otaknya sudah membayangkan kebengisan Hanisa yang sukar diduga.
    “Biarlah dia marah. Bukan kita tak pernah tengok dia marah?”
    “Dia anti lelaki, abang lagi letak lelaki tu dalam kereta dia.” Mei Lin masih merasakan tindakan abangnya sungguh tidak patut sekali. Mengenakan Hanisa dalam waktu yang segenting itu, lebih-lebih lagi sewaktu bulan Syawal semakin dekat. “Apa salahnya kalau kita hantar lelaki tu balik tadi?”
    “Sengaja. Sengaja abang biarkan Hanisa yang hantar lelaki tu balik. Lelaki itu nampak baik, mana tahu kalau boleh jinakkan harimau betina tu.”
    “Harimau betina hanya suka harimau jantan. Itu anak kucing, nampak darah pun pengsan.” Mei Lin menjawab sambil menahan tawa. Tidak sangka Richard akan memanggil Hanisa sebagai harimau betina. Mungkin Richard sudah tidak tahan lagi dengan perangai Hanisa yang sukar dilayan.
“Belum cuba belum tau…,” balas Richard.
Mei Lin kembali diam tetapi dalam hatinya yakin, esok pasti Hanisa akan mengamuk lagi. Gerun rasanya.
      

Tuesday, June 5, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 7


Di Farmasi Honeymon…
HANISA menjeling jam di dinding, sekejap lagi pukul 9.00 malam. Suasana di kedai farmasi itu sudah senyap sunyi, tidak ada seorang pun pelanggan yang datang membeli. Mungkin kerana rata-rata masih ramai di masjid bertarawih ataupun sibuk membuat kuih. Namun bukan itu yang menjadi kerisauaannya tetapi lelaki yang masih pengsan di biliknya itu. Nak buat macam mana ni?
“Dia dah bangun?” tanya Richard. Wajah yang tenang tadi kini sudah kelihatan risau sama.
Hanisa angkat bahu.
“Pergilah tengok sekejap,” gesa Richard. “Buatlah apa-apa yang patut untuk sedarkan dia.”
“Baru sekarang nak kalut? Kenapa tak jirus saja dengan air?” tanya Hanisa dengan nada yang memerli. Sememangnya dia masih menyalahkan Richard lagi dalam soal itu. Kalau Richard tidak gatal membantu tadi, tidaklah sekarang mereka bertiga yang susah hati.
“Pergilah buat apa-apa. Awak tentu tahu, kan sikit-sikit?” balas Richard lagi.
“Awak ni sengaja cari susahlah.” Dia masih lagi merungut marah.
“Kalau setakat marah-marah kat sini tak berguna, pergi masuk dalam bilik tu marah pada dia. Mungkin dia boleh jaga bila dengar awak mengaum.”
Hanisa tercengang sesat. Richard memang benar-benar mahu cari gaduh malam itu. Sudahlah cari masalah sekarang senang-senang suruh dia pula yang selesaikan masalah itu.
“Saya mahu tutup pintu tepi. Awak masuk dalam kejut dia,” arah Richard lagi sebelum cepat-cepat berlalu.
Dia menghentak kaki. Sambil melangkah masuk ke ofis, sempat juga dia merungut geram, kalau tak aku jirus dia ni, aku tumbuk sekali bagi dia sedar, kata hati Hanisa.
******
DENGAN langkah yang teragak-agak, dia mendekati lelaki itu. Apabila sudah dekat, dia menjadi bingung pula kerana wajah lelaki itu kelihatan begitu nyenyak tidur sehinggakan berdengkur halus. Entah kenapa, dia berasa tidak sampai hati pula untuk mengejutkannya. Sebaliknya dia bagaikan terpukau melihat keindahan ciptaan tuhan.
Ya, Tuhan… kenapa Engkau jadikan dia begitu indah? Wajahnya tampak begitu sempurna walaupun semasa dia melelapkan mata. Tidak sedar dia termenung menatap wajah lelaki yang tidak dikenali itu.
“Aiyaa… orang suruh kejutkan dia, bukan suruh tengok dia macam tu,” tegur Richard yang masuk ke situ.
Entah bagaimana, suara Richard yang kuat itu membuatkan lelaki itu terjaga dan spontan terjerit kuat sebaik sahaja terlihat Hanisa duduk berdekatan dengan mukanya.
Hanisa juga spontan terjerit dan entah bagaimana, tubuhnya tidak seimbang lalu dia terduduk ke atas lantai terpinga-pinga. Kalau dia tahu lelaki itu boleh dikejutkan dengan suara yang kuat, dari tadi lagi dia sudah menjerit. Tanpa berlengah dia bangun dari lantai dan menjauhkan diri daripada lelaki yang pelik itu.
Namun belum sempat Richard bertanya apa-apa, dengan tiba-tiba sahaja lelaki itu menjadi longlai dan rebah semula di atas kerusi. 
“Hah? Pengsan balik?” Richard dan Hanisa sama-sama berpandangan.
******
 “AIYAA… apa kita mau buat ni? Kenapa dia pengsan balik?” Richard garu kepala. Langkahnya mundar-mandir di dalam ofis Hanisa yang tidak begitu besar itu.
Hanisa menghempaskan keluhan. Dia sendiri bingung dengan kejadian itu. Tadi sudah jaga, sekarang pengsan balik. Sambil duduk di mejanya dia memerhati lelaki itu yang kini terbaring semula di tempatnya tadi, entah bagaimana terlintas di fikirannya satu akal.
“Richard, baju-T vitamin GOGO yang free tu ada lagi tak kat depan? Cuba ambil saiz yang paling besar.”
Richard menoleh ke arah dia. “Awak mahu sumbat mulut dia?”
“Dari sumbat mulut dia, lebih baik sumbat mulut awak. Orang dah suruh tu, buat sajalah. Nanti saya balik saja, tinggal awak sorang jaga dia, nak?” 
Richard terdiam.
“Suruh Mei Lin ambilkan air paip dan kain tuala kecil sekali,” tambahnya lagi.
Richard bercekak pinggang. “Awak mahu mandikan dia ke?”
“Tadi awak tanya saya apa nak buat? Sekarang bila saya cakap, awak banyak soal. Awak nak bergaduh dengan saya sampai pagi besok?” balas Hanisa semula. Dia mula penat dengan masalah lelaki itu. Dia hanya mahu balik cepat ke rumah.
Tanpa berbunyi lagi, Richard menarik pintu ofis lalu keluar dari situ. 
Sementara Richard pergi, Hanisa kembali mendekati lelaki itu dan memerhati baju-T berwarna kuning pastel yang dipakainya. Baju-T itu tampak jelas dicemari tompok-tompok berwarna merah yang sudah kering yang dia percaya itu adalah tompokan darah.
“Nak buat apa lagi?” tanya Richard yang masuk bersama sehelai baju-T berwarna putih dan berlambang vitamin GOGO. “Saiz L saja yang ada.”
“Cukuplah tu. Beri saya air tu dulu,” katanya kepada Mei Lin pula. Dan apabila air bersih itu diserahkan bersama sehelai tuala kecil, dia langsung mengelap muka lelaki itu dengan berhati-hati. Kotoran darah yang terpalit pada kedua tangan pemuda itu juga dibersihkan.
“Richard, awak tukar baju dia dengan baju ni, selepas tu kita beri dia smelling salt lagi sekali. Kalau itu pun tak jalan….” Dia berhenti berkata-kata tetapi dia sememangnya akan menggunakan cara terakhir jika semua akalnya tidak menjadi. Dia akan jirus lelaki itu dengan sebaldi air.
Richard mengambil tempat Hanisa. Oleh kerana tubuh lelaki itu lebih tinggi dan besar daripada tubuh Richard sendiri jadi proses penukaran baju itu lebih sukar dari yang dibayangkan.
“Alah… buat macam tukar baju baby sajalah,” kata Hanisa apabila Richard terkial-kial mahu menanggalkan baju-T lelaki itu.
“Macam tukar baju baby? Awak buatlah!” kata Richard. 
Mei Lin hanya tersengih melihat abangnya dan Hanisa yang tidak habis-habis bertegang urat.
Hanisa buat-buat tidak dengar. Dia masih berdiri di sisi Richard sambil memegang baju-T putih. Setelah baju-T yang tercemar dengan darah itu dapat ditanggalkan, Hanisa segera memandang ke arah lain. “Cepatlah, gesanya.”
“Itu pun nak malu ke? Dalam TV bukan tak ada orang lelaki tak pakai baju? Tak pakai seluar pun ada,” usik Richard apabila Hanisa langsung tak menoleh.
“Ah! Cepatlah!” bentak Hanisa. 
Richard hanya ketawa. Baju yang dihulurkan Hanisa itu diambil segera lalu disarung ke kepala lelaki itu tetapi agak sukar untuk dia memasukkan tangannya kerana tubuh lelaki itu lebih besar sedangkan baju itu lebih kecil. “Hanisa… macam mana ni? Tak boleh masuklah.”
“Hisy, awak ni! Mulut bukan main tapi pakaikan baju pun tak tahu.” Hanisa menyelak anak rambutnya yang menutupi mukanya. Mahu tidak mahu terpaksa jugalah dia memandang tubuh lelaki itu yang bidang dan sasa. 
“Saya tarik bahunya sikit, awak cuba bengkokkan tangan dia.” Dia memberikan arahan dan bertukar tempat dengan Richard.
Sedang mereka berusaha memasukkan tangan kiri lelaki itu ke dalam baju-T dengan tidak semena-mena, lelaki itu terjaga dan bingkas bangkit. Oleh kerana kedudukan Hanisa amat rapat dengan kepalanya, kepala keduanya telah terhantuk sehinggakan Hanisa terduduk di atas lantai dan mengaduh kesakitan. Richard dan Mei Lin pula hanya tercengang.
*****
MASA seakan terhenti di bilik itu. Masing-masing terlopong dan terkaku seolah-olah mereka sedang berhadapan dengan seekor  haiwan buas yang terlepas dari zoo. Jika sesiapa bergerak, pasti akan diterkam, itulah yang sekurang-kurangnya berlegar dalam fikiran Hanisa sekarang.
“Where am I?”  tanya lelaki itu dalam bahasa Inggeris dengan slanga Australia yang pekat.
Anak mata Hanisa melirik ke arah Richard yang berdiri tegak bagaikan patung. Dia pula sudah kebas punggung terduduk di atas lantai, mujurlah pening di kepalanya hanya sekejap. 
“Mat Salih ke Richard?” Dia memberanikan diri bertanya. Sekaligus memberikan isyarat agar Richard membuka mulut dan tidak terus diam begitu.
Richard memaniskan muka. “You’re in our pharmacy… can’t you remember anything, sir?”
Mata lelaki itu membesar sekejap kemudian mula berkeadaan biasa. Dia seakan teringatkan sesuatu, sambil itu dia menanggalkan baju-T putih yang tersarung di kepalanya. Mungkin baru sedar keadaan dirinya pada waktu itu. “Mana baju saya?” Dia bertanya lagi.
Pandai cakap Melayu rupanya… bisik hati Hanisa. Dia fikir, lelaki itu jika bukan Mat Salih pun mungkin pelancong dari tanah Arab. Susuk tubuh dan raut muka yang lawa itu sememangnya ada iras-iras model dari sana. Dengan itu juga, dia mengangkat punggungnya dan mahu bergerak jauh sedikit dari situ. Tetapi apabila Richard menghulurkan semula baju-T milik lelaki itu, dia spontan menjerit.
“Eh, jangan!”
Pada detik itu juga, dia merampas gumpalan baju-T itu dan membalingkan ke belakang meja kerjanya.
“Awak gila ke?” tanya Richard. 
Lelaki itu pula terpinga-pinga seperti tidak mengerti dengan apa yang sedang berlaku di situ. Wajah Mei Lin juga sama.
Hanisa mula naik angin. Dia mahu menyelesaikan masalah, dia pula yang dituduh gila. Richard memang cari masalah dengan dia malam itu. “Awak nak dia pengsan lagi? Kalau nak saya boleh berikan balik. Letak dekat muka dia sampai bila-bila, biar dia pengsan tak bangun-bangun!”
Richard terkedu. Bulat matanya memandang Hanisa. Kemudian seperti tersedar sesuatu lalu dia menoleh ke arah lelaki itu pula. “Encik pakai saja baju ni dulu. Baju tadi tu nanti bawa balik basuh.”
Kemarahan Hanisa mula surut. Tahu takut… hatinya mengejek Richard. Dia yakin Richard mula faham apa yang ingin dikatakan tadi. Lelaki itu mabuk darah, setiap kali dia ternampak darah, dia akan pengsan sebab itu dia berkeras supaya lelaki itu ditukarkan baju. Mustahil pula mahu dilepaskan lelaki itu keluar tanpa berbaju. Nanti tak pasal-pasal ditangkap polis pula kerana disangkakan orang gila yang terlepas.
“Kenapa saya perlu tukar baju?” tanya lelaki itu pula walaupun dia tetap menyarung baju-T putih yang diberikan Richard tadi. Setelah dipakai, ternyata baju-T itu agak sendat.
Degilnya pula, hati Hanisa merungut. Orang sudah banyak tolong, lagi banyak soal. Dah okey tu, balik sajalah!
Richard garu kepala. Dia kelihatan serba-salah. “Encik tinggal di mana? Boleh saya hantar balik?”
“Sudah pukul berapa? Sudah waktu berbuka?” tanya lelaki itu pula seolah-olah pertanyaan Richard itu mengingatkan dia tentang masa.
Hanisa terkejut. Dia berpuasa ke? Patutlah muka dia nampak pucat, rupa pun seperti orang keliru. “Mei Lin, pergi ambil air soya dalam peti ais. Kita kena beri dia minum air manis. Bawa air mineral sekali.”
Mei Lin terus berlalu pergi dan tidak lama kemudian kembali bersama dua botol air lalu diserahkan kepada lelaki itu.
“Sudah boleh berbuka?” lelaki itu bertanya kepada Hanisa mungkin kerana Hanisa sahaja yang berbaju kurung dan ada rupa Melayu dalam kalangan mereka bertiga.
“Dah lama. Minumlah,” balas Hanisa pula. Kasihan pula dia melihat lelaki itu yang telah terlewat berbuka selama hampir dua jam.
Setelah lelaki itu menghabiskan dua botol air, Richard bertanya pula, “Encik tinggal di mana? Datang naik apa?”
Lelaki itu hanya mengangkat muka tetapi tidak menjawab apa-apa.
Hanisa menoleh ke arah Richard sebagai isyarat dia tidak mahu masuk campur lagi. Kalau Richard terpaksa bawa lelaki itu balik… dia punya pasal.

Monday, June 4, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 6


ADAM semakin gelisah. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 6.15 petang namun orang yang dinanti-nanti belum lagi nampak bayang. 
Ruang menunggu di tepi pintu masuk Wisma Gempita itu pun hampir senyap sunyi. Pekerja-pekerja di bangunan itu sudah semakin ramai yang pulang. Mungkin mengejar waktu untuk balik berbuka puasa bersama kaum keluarga mahupun sahabat handai. Hanya dia yang masih di situ menanti dengan setia.
“Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Encik Borhan?” Adam mengelap peluh yang memercik di dahinya walaupun sekujur tubuhnya terasa sejuk membeku di dalam.
“Tuan Borhan belum balik, encik.”
“Dia ke mana?”
“Maaf encik, saya tak tahu. Tuan Borhan tak berpesan apa-apa.”
“Boleh saya tahu nombor telefon bimbitnya?” Adam membuka buku hitam yang dibawanya lalu bersiap sedia untuk mencatat.
Sayup-sayup kedengaran suara halus membacakan nombor telefon bimbit milik Borhan.
“Terima kasih, mak cik.” Adam mematikan panggilan yang dirasakan tidak banyak membantunya. Jika lelaki itu tidak ada di rumah, ke mana pula perginya? Mungkinkah dia dalam perjalanan ke sini? Adam mengagak sendiri. Tanpa berlengah, nombor itu didail. Sayangnya… walaupun sudah tiga kali didail, namun nombor itu tetap tidak dapat dihubungi. Hanya operator yang menjawab.
Adam menarik nafas panjang. Hatinya jadi sakit. Apa yang harus diterangkan kepada isterinya nanti? Untuk pulang berbuka pun, dia rasa malu.
  “Encik, sudah pukul 6.30 petang. Saya perlu kunci bangunan ni,” tegur seorang pengawal keselamatan bangunan itu.
Lamunan Adam terhenti. Dengan perasaan yang berat dia bangkit dari sofa berona biru pekat yang telah diduduki hampir dua jam yang lalu. Dengan wajah hampa dia meninggalkan ruang menunggu itu. Ternyata penan-  tiannya sia-sia.  Harapannya musnah begitu saja.
********
Sementara itu di rumah Borhan…
“BORHAN berbuka di mana petang ni?” tanya Pak Harun yang baru selesai mandi dan berganti pakaian.
Mak Yah segera memandang suaminya yang sudah duduk di meja makan. Wajah tenang suaminya membuatkan dia tertanya-tanya. “Borhan ada beritahu abang dia berbuka di luar? Pada saya tak ada pula.”
Kali ini Pak Harun memandang Mak Yah dua kali. “Habis tu? Siapa yang telefon awak tadi? Bukan Borhan?”
Mak Yah menarik nafas dalam-dalam. Pinggan mangkuk diatur rapi di atas meja. “Entah siapa. Orang tu pun mencari dia.”
“Dia dah besar, pandailah dia cari makan kalau lapar. Telefon dia yang hilang tu dah jumpa?” Pak Harun bertanya lagi.
“Itu lagi satu masalah. Kalau ada boleh juga saya telefon dia sepuluh kali.”
Pak Harun hanya ketawa kecil. “Entah apalah yang ada dalam kepala dia.”
“Abang jangan cakap macam tu… buruk baik dia, dialah tuan kita sekarang. Kalau dibuangnya kita kat mana-mana, di mana kita nak merempat? Saya tak nak duduk rumah orang tua,” balas Mak Yah. Dia kecil hati dengan kata-kata suaminya. Pada dia, Borhan sudah seperti anaknya sendiri. Buruk baik Borhan tetap tidak mengubah perasaannya. Jangan ada sesiapa yang boleh mengusik.
Pak Harun hanya tersengih bagaikan faham sikap Mak Yah. “Apa hal pula peguam datang ke sini pagi tadi? Ada masalah lagi ke dengan harta Tuan Amzar?”
“Yang itu saya tak tahu. Nak tanya pun tak berani. Tapi kalau dia perlukan nasihat kita, saya percaya dia akan cakap juga nanti,” balas Mak Yah. “Tapi tengah hari tadi dia macam sudah hati saja saya tengok. Asyik termenung saja di biliknya.” 
Di matanya kini terbayang wajah Cik Asma yang kecil molek dan bertudung litup. Sayangnya Cik Asma sudah bertunang, kalau tak… nak juga dijemput selalu ke rumah itu. Manalah tahu kalau Borhan berkenan. Tapi apa tujuan kedatangan Cik Asma ke situ hari ini? Paling akhir dia melihat gadis itu di situ ialah semasa Tuan Amzar meninggal dulu.
Pak Harun hanya bergumam. “Saya pergi tutup pagar dulu,” katanya seraya bangkit meninggalkan meja. “Dah nak masuk waktu ni.”
Mak Yah memandang sahaja. Jauh di sudut hatinya berdoa agar Borhan tidak apa-apa dan dapat berbuka puasa di mana-mana. Tanpa di duga tidak lama kemudian Pak Harun tergesa-gesa masuk ke dapur mencari dia.
“Yah!” panggilnya.
“Kenapa dengan abang ni?” Mak Yah kehairanan, wajah suaminya nampak pucat dan risau.
“Abang jumpa benda dekat depan pagar,” jawab Pak Harun.
“Benda apa?”
“Batu nesan.”
“Hah?” Mak Yah tercengang.
*******
MEREKA berdua berbuka puasa dalam keadaan yang bungkam. Masing-masing termenung sambil menyuap nasi ke mulut.

“Abang fikir siapa punya kerja ni?” Akhirnya Mak Yah bertanya juga. Sejak tadi itu sahaja yang berlegar di dalam kepalanya. Selama tinggal di rumah besar itu belum pernah terjadi kejadian pelik seperti itu.
“Kerja manusialah. Takkan batu nisan tu berjalan sendiri ke sini.”
“Saya tahulah tapi siapa yang hantar ke mari? Apa niatnya?”
Pak Harun menggeleng. Dia sendiri masih buntu.
“Habis tu apa kita nak buat sekarang? Nak beritahu tuan?”
“Jangan. Kita biarkan dulu. Mungkin juga salah rumah atau salah sasaran.”
Mak Yah berhenti mengunyah. Dia merenung wajah suaminya lama-lama. “Abang rasa ada orang berniat tak baik pada tuan ke?”
Pak Harun hanya mendiamkan diri.
“Abang tahu kan kenapa batu nisan tu dihantar?”
“Abang tak pasti lagi. Lagipun Tuan Borhan tu baru saja balik ke sini, mana dia ada musuh?”
“Musuh Tuan Amzar?”
Lagi sekali Pak Harun tidak menjawab.
Mak Yah juga tidak bertanya lagi.  

Sunday, June 3, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 5


JAM hampir pukul 4.30 petang. Sebentar lagi shif kerja Intan akan tamat. Dia sibuk berkemas untuk pulang kerana teman lelakinya sudah mundar-mandir di hadapan kedai sambil menjinjing dua buah helmet.
“Apa hal yang kecoh tu?” tanya Mei Lin yang baru menyedari satu kekecohan telah berlaku tidak jauh daripada Farmasi Honeymon.
“Jalan sudah jammed,” katanya lagi sambil memerhati lalu-lintas yang sudah berhenti di hadapan kedai.
“Accident kut?” balas Intan. Dia mula bergerak keluar dari kedai untuk memeriksa.
Dahi Hanisa berkerut. Menerusi dinding kaca, dia dapat melihat kekecohan yang berlaku di luar kedai. Semakin ramai orang yang berlari-lari anak ke tempat kejadian. Perasaannya turut berdebar. Namun dia tidak mahu turut sama berkejar ke luar seperti Intan dan Mei Lin. Dia tahu mulut kecoh Mei Lin akan pasti menceritakan segalanya sebentar lagi, jadi dia hanya menunggu di situ.
“Laporkanlah cepat,” katanya apabila Mei Lin terkocoh-kocoh berlari ke arahnya entah dari mana. Tepat seperti yang diduga.
“Accident motor. Betul-betul depan bank,” cerita Mei Lin sambil tercungap-cungap.
“Teruk?”
“Dua orang mati.”
“Melayu?” tanya Hanisa. Tiba-tiba jantungnya berdetak kencang. Terasa tubuhnya merinding. Jika sampai mati, pasti kemalangan yang telah berlaku itu teruk. Dia berasa simpati.
Mei Lin angguk. Wajahnya masih muram.
“Kesian, baju raya semua berterabur di atas jalan. Kepala mereka pecah.” Mei Lin kembali melayan pelanggan yang ada di dalam kedai itu.
“Awak nampak ke?”
“Orang ceritalah,” balas Mei Lin.
“Teruknya!” sampuk Richard. “Polis sudah datang?” Dia mundar-mandir, seperti kesal kerana terlambat ambil tahu.
“Sudah tapi ambulans belum sampai lagi. Mayat tu masih di sana.”
“Raya sudah dekat, jalan sesak. Semua orang sibuk shopping. Macam mana ambulans mahu datang cepat?” balas Richard sebelum melangkah meninggalkan kedai itu.
Hanisa mengeluh perlahan. Ada sajalah alasan Richard untuk meninggalkan kedai itu. Dia geram. Hal orang hendak disibukkan, hal di situ lepas tangan.
Sedang dia mengira harga ubat pelanggan, dia perasan seorang lelaki masuk ke kedai itu. Dia hanya menoleh sekilas sebelum menyambung kerjanya. Tidak lama kemudian dia terdengar suara Intan menjerit.


Hanisa yang garang....

HANISA benar-benar terkejut. Dia bingkas bangkit dan menuju ke rak vitamin di sebelah kiri kaunter ubat. Di sebalik sebuah gondola, seorang lelaki yang berbadan tegap dan berambut ikal terlentang di atas lantai.  Belum sempat Hanisa mendekatinya, Richard terlebih dahulu tiba dengan wajah yang kehairanan.
“Aiyaaa… macam mana boleh pengsan?” Richard bertanya sambil mencangkung memeriksa lelaki itu.
 Intan mengangkat bahu. “Mana saya tahu? Saya sedang bercakap pasal vitamin dengan dia, tiba-tiba saja dia rebah.”
“Baju dia ada darah, dia luka? Dia kena tembak ke?” Mei Lin mengundur ke belakang Intan. Wajahnya berkerut menahan rasa ngeri.
“Hanisa, awak periksa dia.” Richard menoleh ke arah Hanisa yang tercegat berdiri di tepi rak.
“Awaklah periksa. Kalau tak pun telefon ambulans. Angkat pergi hospital.”
Richard menarik muka, nampak jelas dia tidak bersetuju dengan cadangan Hanisa. “Dia cuma pengsan sajalah. Itu pun mahu hantar ke hospital? Saya yakin dia orang Melayu, mungkin dia pengsan sebab penat berpuasa.”
Kesemua yang ada di situ memandang ke muka lelaki itu tetapi tidak ada sesiapa yang mahu bersuara.
“Habis tu? Nak biarkan dia tidur atas lantai ni sampai besok?” Hanisa bertanya lantang. Bukan dia tidak berasa simpati namun itu bukan masalahnya malah dia berpendapat bukan juga masalah yang harus ditanggung oleh kedai itu.
“Sini kotor. Kita angkat masuk dalam bilik awak. Di sana ada kerusi dan bantal.” Sehabis berkata-kata, Richard menggamit teman lelaki Intan untuk membantu.
“Siapa yang beri kebenaran awak bawa dia masuk ke dalam ofis saya? Memandai-mandai sajalah awak,” bantah Hanisa pula.
Kini semua mata memandangnya.
“Awak sanggup nak biarkan dia tidur di sini sampai besok? Awak nak pelanggan kita masuk dan kena heart attack sebab terkejut?” tanya Richard pula.
Hanisa mengeluh perlahan. Pertanyaan itu tidak dijawabnya. Dia hanya beransur dari situ dan memberikan laluan kepada Richard dan teman lelaki Intan untuk mengangkat lelaki itu masuk ke dalam biliknya.
Menyusahkan betul, rungutnya dalam hati.
*********
“CIK HANISA, Richard panggil masuk,” kata Intan dari celah pintu.
“Dia nak apa? Saya tak mahu masuk campur,” balasnya mudah. Memang dia tidak mahu masuk campur dalam hal itu. Richard yang cari susah, Richard yang patut selesaikan.
“Richard suruh saya jaga di luar, dia suruh Cik Hanisa masuk sekejap.” Intan mendekatinya.
Hanisa menghempaskan keluhan. Dia betul-betul rasa marah kepada Richard kali ini tetapi setelah tujuh tahun melihat muka itu setiap hari, dia faham benar yang Richard juga seorang yang degil seperti dia. Selagi kemahuan Richard tidak dituruti, hidupnya sendiri tidak akan tenang. Lalu bersama rasa sebal di hati, dia menolak pintu pejabatnya.
 “Tengok, saya sudah periksa badan dia, tak ada luka. Ini cuma darah dari luar sahaja,” kata Richard, bagaikan mengerti kegusaran hati Hanisa.
Hanisa tidak menjenguk sedikit pun ke arah yang ditunjukkan oleh Richard. Nanti tak pasal-pasal, kurang pahala puasanya hari itu disebabkan melihat tubuh badan lelaki yang tidak berbaju itu. Eee… seram sejuk rasanya.
“Cubalah smelling salt. Mujur-mujur dia bangun,” katanya sambil duduk di atas kerusi. Tidak ingin dia mendekati lelaki itu yang entah datang dari mana asal-usulnya. Entah-entah suami orang. Jangan cari nahas.
“Smelling salt tak jalan,” balas Richard cepat.
Hanisa terdiam seketika. Kalau smelling salt tak jalan, apa yang jalan? Ke sudah jalan? Dia sedikit bingung melihat lelaki itu yang kelihatannya sedang tertidur amat nyenyak di atas kerusi panjang dan berbantalkan bantal Kitty kesayangannya. What?!  Dia terus bangkit berdiri.
Richard, Mei Lin dan teman lelaki Intan yang masih berada di dalam bilik itu segera menoleh ke arahnya.
Dengan muka yang merah padam, dia berkata. “Siapa suruh awak gunakan bantal saya? Beri balik!”
“Aiyaa…” Richard menggeleng beberapa kali. “Orang lagi fikir pasal lelaki ini, dia fikir pasal bantal busuk dia pula.”
Hanisa bercekak pinggang. “Kalau tak pulangkan balik bantal tu, saya tarik lelaki ni keluar dari sini. Jangan fikir saya tak larat tau. Puasa-puasa pun saya kuat.”
“Yalah, yalah.” Richard mengalah. Mungkin tidak mahu Hanisa mengeruhkan keadaan di situ. Bantal di bawah kepala lelaki itu ditarik keluar dan diserahkan kepada Hanisa semula. “Nah! Bantal awak.”
Tanpa berlengah, Hanisa mengambil bantal itu lalu memeluknya. Seketika kemudian dahinya berkerut kerana bantal itu berbau lain. Dia rasa meloya pula.
“Sekarang apa kita nak buat?” tanya Richard pula setelah teman lelaki Intan meminta diri untuk balik. Mei Lin pula menggantikan tempat Intan di luar.
“Macamlah saya kisah. Awak yang baik hati sangat, awaklah jaga,” balas Hanisa dengan senang hati. Dia sudah mengambil beg tangannya lalu keluar dari situ. Waktu berbuka puasa tinggal lebih kurang satu jam lagi. Dia benar-benar berharap masih ada makanan yang sempat dibeli.

Saturday, June 2, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 4



MAK YAH menggaru kepalanya yang sedang pening akibat berpusing di dalam rumah besar itu sejak tadi. Akhirnya dia berhenti di dalam bilik Borhan. “Mak Yah tak jumpalah, tuan. Dah serata tempat Mak Yah cari. Sampai dalam tong sampah pun Mak Yah dah jenguk.”
       Borhan yang sedang termenung di balkoni menoleh ke arah Mak Yah. Kata-kata Mak Yah itu menambah keserabutan fikirannya sejak semalam. “Ke mana pula perginya telefon bimbit saya tu? Kalau di rumah atau di pejabatlah bolehlah gunakan telefon yang ada, tapi bila saya di luar susah betul.”
    “Tuan merungut kepada siapa? Tuan yang asyik hilangkan telefon tuan,” balas Mak Yah sambil tersenyum. Geli hatinya dengan sikap Borhan yang semakin pelupa kebelakangan ini. Masuk yang ini sudah empat buah telefon bimbitnya hilang. Setiap satu bukannya murah, semuanya berharga beribu-ribu ringgit.
    “Saya pun tak tahulah, kenapa saya boleh jadi pelupa sangat. Anehnya tak ada pula orang yang mahu memulangkan telefon saya tu kalau terjumpa.”
“Benda mahal, tuan. Kalau orang jumpa macam jumpa duit besar. Jangan haraplah nak dapat balik, lebih baik tuan beli saja yang baru. Dah tentu dapat punya.”
Borhan angguk sebelum kembali merenung kawasan hutan di belakang rumahnya yang sedang diteroka dan diratakan. Sejak tadi, itulah yang menarik perhatiannya. Kenapa hutan itu perlu dimusnahkan?
“Tuan ada masalah?”
“Mak Yah nampak saya seperti orang yang ada masalah ke?”
“Tuan muda lagi. Umur belum pun cecah 30 tahun. Kalau asyik terlupa itu ini, tentu banyak fikirnya.” Dia cuba memujuk Borhan agar berterus-terang dengannya. Walaupun mungkin dia tidak dapat membantu, dapat menjadi telinga pun cukuplah. Itulah yang dipesan Tuan Amzar sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Borhan tersenyum tawar. Kata-kata Mak Yah tidak disangkal.
“Eh! Tuan nak ke mana pula tu? Kan hari ni tuan bercuti?” Mak Yah menegur apabila Borhan sudah mula mencari baju untuk ditukar.
“Beli telefon baru, beli vitamin dan jumpa seseorang,” balas Borhan dengan cepat. Bajunya sudah ditanggalkan, kini dia menyarung pula sehelai baju-T berwarna kuning muda.
Mak Yah tersenyum sahaja. Pandai betul Borhan mengelakkan diri. “Seseorang tu siapa, tuan? Yang istimewa ke?”
“Istimewa sekali,” balas Borhan.
Pintu bilik ditutup di belakangnya. Mak Yah tahu Borhan belum bersedia membuka dirinya kepada dia. Dia akan tunggu. Dia akan bersedia kerana Borhan bukanlah ada sesiapa melainkan dia dan suaminya. Cuma dia yakin, Borhan tidak tahu apa yang dia tahu. Mungkin itu lebih elok buat masa ini.
N
BORHAN memandu dengan tenang ke arah bandar. Walaupun hari itu dia bercuti namun ada beberapa perkara yang mahu diuruskan sebelum cuti raya bermula. Yang pertama, dia mahu singgah ke farmasi untuk membeli vitamin, yang kedua dia mahu singgah ke pasaraya membeli telefon baru dan yang ketiga, dia mahu berjumpa dengan lelaki yang bernama Adam Akbar seperti yang dijanjikan pagi tadi.
       “Tuan muda lagi. Umur belum pun cecah 30 tahun. Kalau asyik terlupa itu ini, tentu banyak fikirnya.”
   Kata-kata Mak Yah itu seperti melekat kuat di dalam kepalanya. Bagaimana mungkin dia menyangkal apa yang sememangnya betul tetapi dia malu untuk berkongsi semua masalahnya dengan Mak Yah. Baginya masih terlalu awal walaupun dia sudah mengenali Mak Yah hampir 10 tahun yang lalu sewaktu pulang bercuti ke rumah datuknya.
      “Anggap saja Mak Yah ini seperti ibu tuan. Pak Harun ini ayah tuan. Segala susah senang tuan kongsikan dengan kami. Tuan bukan hidup seorang diri, kami ada,” kata Mak Yah tidak lama selepas dia balik ke rumah itu dari Melbourne.
      Sayangnya, walaupun sudah tiga bulan berlalu, rasa malunya masih tebal. Semuanya gara-gara sejarah lampau yang tidak mungkin dikongsikan dengan sesiapa di situ. Biarlah sejarah itu bersemadi sahaja di bumi kanggaru, dia tidak mahu mengenangnya semula, menyebut pun jangan. Dia terlalu malu. Kesilapannya terlalu besar.
     Sebuah kereta mengundur dan meninggalkan sebuah kotak parkir, dia terus memberi isyarat untuk masuk. Setelah mematikan enjin kereta, dia keluar lalu memandang ke seberang jalan. Tempat pertama yang ingin ditujunya sudah dekat.
      Sedang dia berdiri di tepi jalan untuk melintas ke seberang, sebuah dentuman kuat kedengaran. Sedar-sedar sahaja tergeletak di tepi kakinya sekujur tubuh seorang lelaki. Dia panik.

Friday, June 1, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 3


ADAM meletakkan semula telefon bimbitnya elok-elok di atas meja. Di saat itu dia berasa sangat bersyukur dan gembira kerana satu lagi kes akan menjadi rezekinya tidak lama lagi. Dan apa yang lebih penting, upah yang bakal diterima akan dapat membebaskan dia daripada banyak masalah.
Sambil bersiul senang, dia menyusun segala buku catatan dan fail di atas meja itu kemas-kemas. Segalanya mesti teratur untuk menyediakan ruang bagi kes yang baru itu. Itu memang kebiasaan yang dilakukannya setiap kali dia ingin memulakan satu kerja penyiasatan yang baru. Dia tidak mahu kepalanya berserabut.
Walaupun setiap kes adalah rumit namun ia seumpama sebuah misteri. Dan setiap misteri pula adalah seumpama soalan matematik. Sesukar mana pun, pasti ada jalan penyelesaiannya dan menyelesaikan misteri adalah kecintaannya seperti hobinya bermain Sudoku.
“Abang, abang dah bayar duit sewa rumah?” tanya Liana, isterinya yang baru masuk sambil mendukung anaknya Aiman, yang berusia kira-kira setahun. Matanya memandang dengan penuh harapan.
Lamunan Adam terhenti. Pandangan isterinya dibalas dengan pandangan yang mengharapkan pengertian secukupnya.
“Belumlah tu,” rungut Liana seraya keluar dari bilik kecil yang dijadikan pejabat oleh suaminya.
Adam masih tergaru-garu. Duit sewa rumah, duit bil api dan air, semuanya sudah tertunggak sebulan dua. Dari mana dia harus dapatkan duit sebanyak itu? Wang simpanannya pun sudah hampir habis. Sesak nafasnya, sesesak dadanya juga. Selama tidak ada kes kebelakangan ini, dia banyak bergantung kepada isterinya untuk perbelanjaan rumah. Terasa darah mula memenuhi kepalanya. Dia perlu berbuat sesuatu tetapi serta-merta terasa buntu.
“Abang, kalau tak ada orang nak gunakan perkhidmatan abang lagi, lebih baiklah abang pergi cari kerja tetap. Sekurang-kurangnya ada juga pendapatan setiap bulan.” Liana mula berleter untuk sekian kalinya.
“Bukannya abang tak pernah bekerja dengan orang. Awak pun tahu kenapa abang berhenti. Abang tak suka bekerja di bawah orang.”
Adam mengeluh panjang. Sudah banyak kerja yang dia cuba lakukan, tetapi semuanya tidak sesuai. Bukan kerja yang tidak sesuai cuma dia hanya betah bekerja sendiri, menjadi bos sendiri dan tidak diarah oleh orang lain. Baru jiwanya tenang, dia bahagia dan mutu kerjanya juga bagus.
Tiada jawapan dari bilik sebelah. Mungkin isterinya sudah jemu dengan jawapannya yang seolah mengikut skrip itu. Memang itulah sahaja jawapannya walau ditanya berulang kali. Jawapannya yang jujur dan tidak akan berubah sampai bila-bila. Memang dia tidak betah bekerja di bawah orang. Dia lebih suka bebas membuat keputusan dan bergerak bersendirian.
“Tapi bang, fikirlah tentang anak kita. Kalau abang tak makan, tak ada tempat tinggal, masih tak mengapa. Tapi sanggupkah abang melihat saya dan anak kita merempat di tepi jalan?” Tiba-tiba suara isterinya memetir di tengah kebisuan ruang itu.
Adam tersentak. Wajah isterinya yang tiba-tiba muncul di muka pintu pejabatnya membuat dia kaget. Soalan itu seolah menimbusnya hidup-hidup. Sesak dan lemas bercampur-baur.
“Abang sedang berusaha. Abang baru saja dapat panggilan kes baru. Ada orang nak gunakan khidmat abang. Sabarlah ya.”
Liana menarik kerusi di hadapan suaminya sambil bersungut. “Sabar, sabar. Itu sahajalah yang abang ulang. Sampai bila? Sudah tiga tahun kita berkahwin, kehidupan kita tetap macam ni juga. Habis kes, habislah duit. Tak ada kemajuan langsung.”
Rungutan Liana bagaikan petir tunggal. Sekali namun sudah cukup menggegarkan jantungnya. Hati Adam pilu mendengar keluhan itu. Sememangnya daripada awal perkahwinan, dia tidak pernah menjanjikan kemewahan. Namun dia mula sedar, yang mana impian dan yang mana kenyataan.
Matanya memerhati sekeliling. Sejak mereka mula berkahwin lagi, mereka menyewa di tingkat tiga bangunan kedai itu. Tidak seperti orang lain, istana itu dihias seadanya sahaja tetapi sampai bila mereka akan terus menetap di situ? Sampai bila kehidupannya hanya di takuk itu?
“Abang berjanji, jika kes ini gagal. Abang akan cari kerja tetap. Abang akan ubah hidup kita,” jawabnya lirih. Walaupun janji itu menyakitkan hatinya sendiri, dia terpaksa akur. Dia perlu berubah untuk memastikan yang keluarganya mampu bertahan.
Liana tidak menoleh. Dia hanya tertunduk memandang lantai bagaikan sedang menilai janji yang baru diluahkan suaminya itu.
Adam hanya memerhati gelagat isterinya. Entah kenapa dia berasa sedih, seolah-olah janjinya tidak lagi berharga. Tetapi itu sajalah yang termampu diberikan saat itu dan ia bukanlah sesuatu yang menggembirakan.
“Abang janji?” Dengan tiba-tiba Liana menuntut kepastian.
Adam menelan air liur yang terasa kelat. Dia mengangguk sambil pura-pura tersenyum tenang. Perit di jiwanya hanya dia yang tahu. Namun seandainya itu sahaja yang akan membuatkan Liana hidup lebih tenang di sisinya, dia akan lakukan. Liana dan Aiman adalah hidupnya.
Mata Liana bercahaya semula. Bersama senyuman yang terhias indah di bibirnya, dia menatap wajah suaminya.
Adam turut tersenyum. Senyuman yang terukir di wajah Liana berjaya menyejukkan perasaannya seperti selalu. Senyuman yang selalu memberikan dia kekuatan di saat dia hampir rebah dan berputus asa. Senyuman yang selalu diharapkan agar menghiasi wajah itu sampai bila-bila bak bintang yang menemani malam.
“Bila abang nak mula kerja?” tegur Liana pula.
“Petang ini,” jawabnya dengan yakin. Segala arahan yang diberikan oleh lelaki yang bernama Borhan tadi dicatatkan dalam buku hitamnya.