Monday, March 3, 2014

Amat Rindu Kamu : Bab 7


Bab 7
AROMA roti boom menyambut langkah Hana yang baru datang dari rumah. Setelah berehat di rumah separuh hari pada sebelah petangnya, dia ke situ sebaik sahaja selesai bersolat maghrib. Dia mahu makan sesuatu dan sekaligus menjemput ibunya pulang setelah kedai ditutup.
Sewaktu dia tiba, restoran ibunya sudah dipenuhi pelanggan. Dari jauh dia melihat Badrul dan Abang Mat yang menguruskan bahagian roti canai tidak menang tangan. Hana cuma melontarkan senyuman dari jauh.
“Dah solat?” Puan Khalidah menegur sebaik sahaja ternampak wajah Hana. Sepanjang hari dia tidak melihat wajah anak kesayangannya itu. Namun dari riak muram yang masih terlakar di wajah Hana, dia tahu bahawa Mr. Teddy belum ditemui lagi.
“Dah, mak.”
“Petang tadi, Hana pergi ke rumah kawan Hana tu?” Dia biarkan Hana duduk di  sebelah kaunter.
“Belum lagi. Petang tadi Hana fikir nak pergi, tapi tertidur pula. Boleh Hana pergi sekejap lagi? Rumah dia bukan jauh sangat. Dekat Taman Laksamana aje.”
“Pergilah. Tapi bawa Badrul sekali.”
“Tak payahlah, mak. Bukan Hana tak biasa ke rumah kawan Hana tu.”
“Dah malam ni. Kalau apa-apa jadi, susah nanti.”
“Jadi apa pula?”
“Manalah mak tahu? Kalau nak pergi, jangan pergi sorang-sorang.”
Hana terdiam. Dia tidak setuju tetapi kalau dibantah akan menimbulkan kesukaran pula. Sudahlah malam tadi mereka tidur sambil bermasam muka. Kalau berterusan begitu, tidak seronok pula rasanya.
“Bad!” Puan Khalidah memanggil Badrul. Setelah Badrul datang mendekat, dia khabarkan hal itu. “Sekejap lagi, boleh tolong temankan Hana ke rumah kawan dia?”
“Boleh.” Badrul angguk tanpa memandang ke arah Hana.
Hana tidak membantah kali ini. Kalau itu akan membuatkan hati ibunya tenang, dia akan akur.


“APA HAL?” Abang Mat terus bertanya apabila Badrul balik semula ke tempatnya. Sejak semalam, dia dapati Puan Khalidah dan Hana agak resah. Kedua-duanya asyik muram sahaja seperti bermasalah besar.
“Mak cik suruh temankan Hana ke rumah kawan dia.”
“Eloklah tu. Pergilah,” balas Abang Mat. Dia faham kenapa Puan Khalidah meminta pertolongan Badrul.
“Tapi boleh ke Abang Mat buat kerja sorang-sorang ni?”
“Pergi ajelah. Tahulah abang nak buat macam mana.”
“Kalau begitu, okeylah. Mungkin saya terus balik aje selepas tu, bang.”
“Baliklah. Engkau pun dah kerja dari pagi. Esok kerja pagi lagi.”
Dia faham, kepenatan Badrul. Dia pernah melalui semua itu suatu ketika dahulu. Lagipun Badrul selalu ringan tangan. Kalau tidak ada pelanggan yang memesan roti canai, Badrul dengan rela hati melakukan kerja-kerja yang lain termasuklah menyapu dan membersihkan longkang di belakang.
Pada dia, Badrul seorang pemuda yang baik dan pandai bawa diri. Disebabkan itu dia tidak ada masalah apabila Puan Khalidah meminta bantuan Badrul untuk menemani Hana. Baginya Badrul boleh diharapkan.
Badrul berasa lega. Dengan keizinan Abang Mat, dia menyudahkan kerja-kerjanya sebelum ke belakang untuk membersihkan diri dan menukar baju yang terkena minyak. Dia sempat menjeling ke arah Hana yang sedang menikmati roti banjir sambil menonton rancangan berita di televisyen. Dia yakin Hana masih belum menemui Mr. Teddy.


KIRA-KIRA setengah jam selepas itu, kereta Hana bergerak laju di atas jalan raya. Kali kedua ditemani Badrul, Hana tidak berasa kekok lagi. Dia juga tidak lupa untuk memperlahankan bunyi radionya kali ini. Namun fikirannya jauh tertumpu kepada Wati, rakan sekelasnya yang tidak datang ke kelas siang tadi. Panggilan telefonnya pun tidak dijawab.
“Dah jumpa ke belum?” Badrul bertanya walau dalam hati dia yakin dia tahu jawapannya.
Hana menggeleng.
Badrul termenung. Ligat fikirannya mencari akal untuk membantu Hana.
“Abang dah cari di sekitar kedai. Memang tak ada,” katanya seraya teringat segala usahanya pagi tadi. Habis segala ceruk restoran digeledah bersama Puan Khalidah. Sayangnya usaha mereka berdua tetap gagal.
“Memang tak cicir di kedai. Memang Hana bawa ke kolej semalam.” Hana tidak sangka sampai begitu sekali usaha Badrul mencari Mr. Teddy. “Tapi, terima kasih.”
Badrul tersenyum. Dia teringatkan kata-kata yang pernah didengarnya, ‘Hanya hati yang ada kasih sayang sahaja yang mampu mengucapkan terima kasih’ Hana salah seorang.
“Kenapa senyum?” tanya Hana. Pelik pula rasanya apabila Badrul tersenyum meleret begitu.
“Tak ada apa,” balas Badrul. Segan kerana tertangkap sewaktu sedang memikirkan Hana.
“Ketawakan Hana lagi ya?” Hana mula rasa kecil hati.
“Tak,” jawab Badrul. Dia sedar Hana tersinggung semula. “Abang ketawakan hal lain.”
“Hal apa?”
“Hal… hal…” Badrul tidak tahu apa yang mahu dijawab. Tidak mungkin mahu dijelaskan yang dia sedang memikirkan diri Hana.
“Ketawakan Hana la tu.”
“Tak. Abang tak ketawakan Hana. Abang teringat hal-hal di kedai tadi.”
Hana diam. Dia rasa malas mahu memperbesar-besarkan hal itu. Terpulanglah kepada Badrul sama ada mahu mentertawakan dia ataupun tidak. Dia sudah biasa. Kalaulah ada seorang lelaki yang memahami hubungannya dengan Mr. Teddy, barulah  luar biasa.
“Dekat sini ke rumah kawan Hana?” Badrul perasan yang kereta Hana sedang memasuki kawasan perumahan.
“Depan tu,” balas Hana seraya membelok masuk ke sebuah lorong. Di hadapan sebuah rumah teres satu tingkat, dia memberhentikan keretanya.


“TUNGGU sekejap,” pinta Hana. Kalau boleh dia tidak mahu Badrul ikut sekali. Leceh.
“Eh! Tak apa, biar abang ikut.” Badrul cepat-cepat menanggalkan tali pinggang keledar. Ke mana pun Hana pergi, dia akan temankan kerana itu amanah Puan Khalidah.
Melihatkan Badrul mahu mengikut juga, Hana tidak kuasa untuk membantah, nanti bergaduh pula. Ikut suka Badrul hendak buat apa, asalkan tidak melambatkan dia. Sebaik sahaja dia memijak tanah, dia terus disambut oleh salakan anjing di rumah sebelah. Berderau darahnya.
Badrul turut terperanjat. Salakan anjing di sebelah rumah kawan Hana begitu membingitkan telinga. Diikutkan hati mahu juga ditengkingnya tetapi melihatkan Hana sudah masuk ke halaman rumah, dia segera mengikut.
 “Assalamualaikum, Wati!” Hana memberi salam dengan kuat. Pagar tidak berkunci jadi dia yakin ada orang di rumah walaupun ruang tamu gelap. Mungkin Wati dan ibunya berada di dapur, fikirnya.
“Wati!”
Tangannya mengetuk pintu kayu di sebalik jeriji besi. Kelihatan cahaya samar-samar dari bawah pintu. Hana semakin yakin yang ada orang di rumah. Kalau dapat bercakap dengan ibu Wati pun sudah cukup.
 Krek!!! Pintu itu akhirnya dibuka sedikit.
“Hana… a… ada apa?”
“Tidur ke? Puas aku ketuk. Dah merah-merah jari aku tahu tak?” Hana menjawab sambil ketawa. Lega hatinya apabila Wati yang muncul.
Wati memandang Hana dan Badrul silih berganti. Wajahnya keresahan. Matanya yang bulat terkelip-kelip.
“Aku tidur tadi… er… ada apa kau datang sini Hana?”
Wati menanyakan soalan yang sama sambil membetul-betulkan rambutnya yang kusut dan bajunya yang tidak kemas.
Badrul yang berdiri di belakang Hana, mengalihkan pandangan. Entah kenapa keadaan kawan Hana yang dipanggil Wati itu membuat perasaannya kurang selesa. Dia berharap apa yang melintas di fikirannya tidak betul.
“Aku dah puas telefon kau sejak semalam tapi asyik masuk ke mailbox.”
“Aku tak perasan pula. Dekat mana aku letak telefon aku pun aku tak ingat,” balas Wati.
“Entah apa-apalah kau ni. Dahlah ponteng kuliah, sikit pun tak telefon aku. Kau sakit ke?”
Wati cuma tersenyum pahit.
“Aku datang ni sebab nak cari Mr. Teddy aku. Ada tak tercicir dekat sini tak? Petang semalam kan aku ada singgah sini sekejap?”
“Mr. Teddy? Anak patung kau?”
“Haah.” Hana angguk.
“Tak ada.” Wati menggeleng.
“Mak kau mana? Cuba tanya mak kau sekejap.”
“Mak aku tak ada kat rumah. Dia balik kampung pagi tadi.”
“Cubalah kau cari sekejap. Mungkin terjatuh kat bawah kerusi ke?” Hana tidak mahu terlalu cepat mengalah. Itulah harapan terakhir dia.
“Aku kata tak ada. Tak adalah!” tengking Wati yang masih memegang daun pintu.
Hana terdiam. Hanya matanya sahaja yang terkelip-kelip. Selama ini Wati tidak pernah bersikap begitu. Dia terasa malu dengan Badrul. Tanpa berlengah, dia berpaling.
“Wati…cepatlah!”
Langkah Hana terhenti. Telinganya menangkap satu suara lelaki dari dalam rumah. Dia menoleh semula ke arah Wati.
Wati kelihatan serba salah. “Kau balik dulu ya? Kalau aku jumpa…aku pulangkan di kolej.”
“Wati! Aku macam kenal suara tu!”
Serentak dengan itu, Wati cuba menutup pintu tetapi dapat ditahan oleh Hana.
“Wati!” jerit Hana. “Buka pintu ni.”
Badrul mula panik. Dia tidak faham kenapa Hana bertindak hingga begitu sekali. Tetapi dia hanya dapat memandang, bimbang kalau-kalau sesuatu terjadi kepada Hana.
Hana tidak berfikir panjang. Dengan sepenuh tenaga dia menolak daun pintu rumah Wati. Dia mahukan kebenaran. Akhirnya pintu itu terkuak lebar dan dia hampir tersembam jatuh. Mujur kakinya dapat mengimbangkan badan. Dia terus meluru ke ruang tamu.
Wati mengejar. Begitu juga Badrul yang terpaksa juga masuk ke dalam rumah Wati tanpa dijemput. Dia lebih risaukan Hana yang seperti lupa diri.
“Amri!” Hana menengking. Dalam ruang yang hanya disuluh limpahan lampu dapur, dia dapat mengecam lelaki yang sedang berbaring di hadapan televisyen. Lelaki itu tidak berbaju dan hanya mengenakan boxer.
Mendengarkan namanya dipanggil, lelaki itu bingkas duduk dengan wajah cemas. Besar matanya apabila menyedari ada orang lain di situ selain Wati. Apatah lagi yang telah memanggilnya itu ialah Hana.
“Hana! Keluarlah.” Wati menolak bahu Hana.
Bahu Hana terasa sakit tetapi dia tidak berganjak. Dia memandang Wati dan Amri silih berganti. Kini dia faham apa yang telah berlaku di situ.
“Kau pun tahu siapa Amri, kan ?” Dia bertanya kepada Wati.
“Pergi berambuslah!” Itu pula balasan Wati.
Walau ditengking begitu, hati Hana tidak lagi terasa sakit. Wati boleh berkata apa sahaja namun pengkhianatan yang dilakukan oleh Amri dan Wati lebih menyakitkan hatinya.
“Tunggu apa lagi? Baliklah!” Wati tolak tubuh Hana sekali lagi.
Badrul hampir campur tangan.
Mujurlah Hana mengalah. Tanpa memandang ke arah Amri dan Wati lagi, dia segera menyusun langkah meninggalkan rumah itu.
“Hana! Tolong jangan beritahu Dian…” Amri akhirnya bersuara. Wajahnya penuh mengharap. Namun tiada kekesalan.
Hana buat tidak tahu sahaja. Kenapa Amri perlu memikirkan soal Dian lagi? Sedangkan kemurkaan Tuhan, Amri tidak pernah fikir, ini kan pula soal kemarahan manusia? Sememangnya Amri seorang lelaki yang tidak boleh diharap. Dia benar-benar berasa kasihan kepada Dian dan marah kepada Amri dan Wati.
Dia tinggalkan rumah itu dengan hati yang kecewa. Lain yang dia cari, lain yang dia jumpa.


BEBERAPA minit telah berlalu. Suasana di dalam kereta Hana masih lagi sunyi sepi. Radio tidak dipasang seperti selalu. Bunyi yang keluar dari alat penyaman udara begitu perlahan. Hana pula tidak bersuara. Dada Badrul terasa sesak.
Dia masih bingung dengan apa yang baru berlaku di rumah Wati. Banyak persoalan yang ingin ditanyakan namun sayang, Hana masih lagi mengunci mulut.
“Kalau Hana nak bercerita, abang sudi dengar,” luahnya dengan jujur. Dia mahu Hana tahu dia ada di situ. Dia bersedia untuk meminjamkan telinga sekiranya itu dapat menenangkan hati Hana.
“Tak ada apa yang abang boleh tolong,” balas Hana. Dia tahu Badrul hanya mahu membantunya. Dia bukan marah kepada Badrul tetapi ada sesuatu yang merisaukan dia selain soal Mr. Teddy.
“Abang boleh tolong dengar.”
Pengakuan Badrul membuatkan Hana menarik nafas. Sememangnya fikirannya amat berserabut sekarang. Soal Mr. Teddy, soal Dian. Esok lusa entah soal apa pula yang muncul.
“Cakaplah… kalau tak boleh tolong pun, biar hati Hana lega. Keluarkanlah apa aje yang ada dalam hati Hana tu. Nak marah abang pun boleh.”
“Hana tak tahu macam mana nak buat ni.”
Akhirnya Hana lepaskan juga apa yang berbuku dalam hatinya sejak tadi. Apa yang telah berlaku menjadikan dia serba salah. Rasanya tidak sanggup dia berdepan dengan Dian hari esok.
“Siapa lelaki dalam rumah kawan Hana tadi tu? Kenapa Hana marah dia?” Badrul rasa itulah masa yang sesuai untuk bertanya.
“Itu, Amri. Boyfriend kawan baik Hana.”
“Yang tadi tu?”
“Bukan. Itu kawan Hana juga. Kawan baik Hana nama Dian. Tu nama Wati.”
“Habis tu? Kenapa ada dalam rumah Wati pula?” Badrul masih belum faham. Mungkin Amri dan Wati adik-beradik? Tetapi kalau mereka adik-beradik, tidak mungkin Hana begitu marah.
“Itulah masalahnya,” balas Hana.
Dia harap tidak perlulah dia menerangkan segala-galanya dengan terperinci. Badrul sendiri sudah melihat keadaan Amri dan Wati. Kalau mereka berdua pencegah maksiat, sudah tentu Amri dan Wati sudah ditangkap basah.
Badrul terdiam lama. Kini dia mengerti apa yang membelenggu fikiran Hana. Dia simpati kerana Hana kini terjerut dek masalah yang tidak diundang itu. Tetapi dia percaya semua itu aturan Tuhan. Cuma sekarang bagaimana dia dapat membantu Hana.
“Hana nak bagitahu Dian?”
Hana tidak terus menjawab. Dia serba salah. “Nak ke Dian percaya? Dia kenal Amri dah dekat tiga tahun. Sejak di sekolah lagi.”
“Percaya atau tak tu terpulanglah kepada Dian sendiri. Tapi kalau Hana tak bagitahu, abang rasa macam Hana bersubahat pula.” jawab Badrul mengikut akal fikirannya. “Dan nanti… kalaulah Dian dapat tahu yang Hana tahu tetapi tak bagitahu dia, abang percaya dia lebih kecewa.”
Segala kata-kata Badrul seperti berulang-ulang dalam fikirannya. Dia akui kata-kata Badrul itu betul cuma dia tidak ada kekuatan.
“Kalau Dian tak percaya… Hana akan kehilangan kawan baik,” katanya perlahan. Dia sayang Dian. Dia yakin Dian akan kecewa apabila diberitahu soal kecurangan Amri.
“Tapi kalau Dian tahu yang Hana bersubahat, macam mana? Hana rasa dia akan anggap Hana kawan baik dia lagi?”
Hana terdiam. Betul juga.
“Mula-mula nanti, dia mungkin tak percaya. Tapi abang percaya lama-lama nanti dia akan tahu juga kebenarannya. Itu lebih baik daripada dia ditipu oleh semua orang,” sambung Badrul. Dia dapat membayangkan perasaan Hana apabila berdepan dengan Dian. Kalau boleh dia ingin membantu lebih daripada itu. “Kalau Hana mahu abang jadi saksi pun boleh. Bawa abang jumpa Dian.”
“Tak apalah. Biar Hana cakap dengan dia dulu,” jawab Hana. Tidak terfikir pula untuk dia melibatkan Badrul dalam soal itu.
Jawapan Hana membuatkan Badrul terdiam. Adakah Hana tidak mahu dia masuk campur ataupun Hana tidak mahu dia masuk campur kerana keadaan dia yang begitu? Susah sekali untuk dia menolak rasa rendah dirinya. Akhirnya dia kembali diam. Dia harap Hana tabah menghadapi apa sahaja yang akan berlaku pagi esok.


“SEKEJAP lagi sampailah mereka tu, kak,” tegur Abang Mat. Dilihatnya Puan Khalidah asyik resah di muka pintu kedai.
“Akak harap adalah anak patung tu di rumah kawan dia. Kalau tak ada juga…”
Puan Khalidah mengeluh berat. Sesak dadanya melihat Hana seperti tidak keruan sejak kehilangan Mr. Teddy. Tidur tidak seberapa. Makan tidak sebanyak mana. Muka pula kelat sepanjang masa. Mudah sahaja naik angin tidak tentu punca. Kalaulah dia tahu semua ini akan berlaku, sudah lama dijauhkan anak patung itu daripada Hana.
“Kalau belikan yang lain… dia tak nak ke?” Abang Mata sekadar mencadangkan. Dia sendiri tahu apa maknanya anak patung itu kepada Hana.
“Tak mahunya,” balas Puan Khalidah. Dia pasti benar. Tidak ada anak patung yang dapat menggantikan Mr. Teddy dalam hidup Hana.
“Tak cuba, tak tahu.”
Puan Khalidah angguk sahaja. Sekiranya dalam tempoh sebulan Mr. Teddy tidak ditemui, dia akan beli sebuah lagi anak patung yang sama. Dia akan cuba pujuk Hana. Sedang termenung jauh, dia ternampak kereta Hana masuk ke kotak parkir. Jantungnya berdegup laju. Doa dan harapannya untuk melihat senyuman di wajah Hana berbunga-bunga.
“Jumpa?” Puan Khalidah terus bertanya walhal air muka Hana tidak membayangkan sedikit pun harapan.
Hana menggeleng.
Puan Khalidah turut berasa kecewa. Sedikit sebanyak dia rasa bersalah kerana tidak dapat membantu Hana.
“Esok kita cari lagi ya?”
Itu sahaja kata-kata semangat yang dapat diberikan. Dia tidak mahu Hana putus harapan dan kecewa. Dia bimbang semangat Hana akan merundum.
Hana angguk.
Melihatkan sikap Hana begitu, kepalanya mula pening. Takkanlah Hana sudah patah semangat? Dia teringatkan Badrul tetapi Badrul tidak ada di situ.
“Hana dah hantar Badrul balik ke?”
“Hana turunkan dekat pasaraya. Dia kata nak beli barang sikit.” Akhirnya Hana menjawab sebelum kembali khusyuk menghadap televisyen.
Menyedari Hana tidak mahu berbual panjang, Puan Khalidah mendiamkan diri. Namun esok dia akan mendapatkan penjelasan daripada Badrul. Mungkin Badrul tahu sesuatu.

Abang Mat perhatikan sahaja dari jauh. Dia tahu Mr. Teddy belum ditemui.


No comments:

Post a Comment