Wednesday, July 26, 2017

Cerpen Seram: TUKANG MASAK

TAJUK: TUKANG MASAK
Penulis: Maria Kajiwa
Struktur: Kronologi
******

SUASANA begitu tegang. Semua yang ada di ruang tamu rumah kayu itu terkejut dan terpinga-pinga. Bacaan Surah Yaasin yang diadakan pada malam itu; terhenti serta-merta. Nenek terjerit-jerit di pembaringan.
Ayah yang duduk di sisi nenek merah muka. Namun kerana kasih, ayah tetap memegang dan memujuk nenek yang meracau tidak henti-henti. Ibu juga begitu. Walhal selama sebulan nenek terlantar, tak usahkan mahu bergerak; bersuara pun nenek tak pernah. Namun pada malam itu, nenek menjadi begitu bertenaga. Ayah dan ibu hampir jatuh apabila nenek meronta-ronta.
“Macam mana ni, Sin?” tanya tok imam kampung yang dipanggil ke situ sebaik sahaja selesai solat isyak di masjid. Tok imam juga yang membawa beberapa orang jemaah ke situ untuk sama-sama membacakan Surah Yaasin untuk nenek.
“Tok imam rasa macam mana?” Ayah balikkan pertanyaan itu kepada tok imam. Ternyata ayah sendiri cuak untuk membuat keputusan.
“Kita teruskan aje.”
Ayah angguk meskipun tahu risiko tetap ada. Sudah nyata, bacaan Yaasin itu membuatkan nenek bertambah sakit. Tetapi hendak dibiarkan sahaja tanpa usaha pun tak boleh juga sebab keadaan nenek semakin hari semakin nazak. Maka dengan persetujuan ayah dan ibu, bacaan itu disambung dan disudahkan sehingga selesai.
Dalam masa yang sama, nenek meronta lebih ganas dan ada ketikanya nenek bangun berdiri dan ingin lari ke muka pintu. Ayah dan ibu serentak memegang nenek.
Aku terkedu dan terkaku.
Hampir tengah malam, semua orang kampung balik ke rumah kecuali tok imam dan seorang ustaz muda bernama, Fauzi. Mereka minta izin untuk menemani ayah di situ sebagai langkah berjaga-jaga.
Ayah mengizinkan lantaran memang kami hanya bertiga di situ selain nenek. Dengan kehadiran mereka berdua, diharapkan dapat membantu apa yang patut sekiranya perlu. Atau yang sebenarnya semua tidak dapat tidur pada malam itu. Masing-masing dapat merasakan sesuatu akan berlaku cuma tidak ada siapa yang berani meluahkan.
Untuk menemani kami semua berjaga, ibu menyediakan makanan. Ada roti, mi hun goreng dan kek selain minuman.
Pada mulanya, segalanya tenang. Ibu sudah tertidur di sisi nenek. Tok imam sudah menguap beberapa kali di tepi pintu. Ayah juga sudah kehabisan modal bercerita. Ustaz Fauzi sahaja yang tekun mengaji dan mendirikan solat sunat di sudut ruang tamu.
Aku pula hanya jadi pemerhati walaupun ada ketika fikiranku sudah hanyut entah ke mana. Sedar-sedar sahaja, aku terdengar suara ibu dalam suasana cemas.  Rupa-rupanya aku tertidur.
*****
“KE MANA kita nak cari ni, bang?” Ibu pucat muka. Aku lihat tubuh ibu terketar-ketar. Nenek sudah hilang dari tempat tidurnya. Semua mencari ke serata arah rumah kecil itu namun nenek memang tidak ada.
Ayah tidak habis beristighfar. Begitu juga dengan tok imam dan Ustaz Fauzi. Ternyata, satu rumah tertidur lelap meskipun berjaga-jaga dan sekarang nenek sudah hilang entah ke mana dalam kegelapan malam.
“Abang pergi cari dulu.” Ayah bergegas ke muka pintu. Begitu juga dengan tok imam dan Ustaz Fauzi. Masing-masing turun ke tanah mencari selipasr.
Aku pun mengikut tetapi ditegah ayah.
“Kamu jangan ikut. Kamu tunggu dengan mak.”
Aku menelan air liur. Dalam keadaan begitu aku lebih rela berada bersama ayah tetapi ibu pula tidak ada sesiapa yang jaga.
“Kalau nenek balik... telefon ayah,” pesan ayah lagi sebelum melangkah ke sebelah kanan rumah.
Aku cuma mengangguk dari atas tangga. Semakin jauh ayah dan tok imam pergi, aku terasa semakin seram sejuk. Mungkin disebabkan udara pagi yang sejuk lain macam ataupun mungkin kerana ada bau busuk yang sesekali dibawa angin ke hidungku.
Akhirnya aku masuk ke dalam rumah. Sewaktu aku mahu menutup pintu, ibu pula melarang. Oleh itu pintu terbiar ternganga. Tetapi entah kenapa setiap kali terpandang pintu itu, berdiri bulu tengkukku.
*****
“KE MANALAH nenek kamu ni pergi?” Ibu masih memikirkan nasib nenek. Raut wajah ibu seperti hendak menangis.
“Takkan jauh sangat. Nenek bukannya daya sangat berjalan.” Aku fikir ikut logik. Nenek sudah lebih sebulan terlantar, tak logik kalau nenek tiba-tiba sahaja mampu berjalan jauh. Lagipun ke mana sangat hendak pergi dengan berjalan kaki. Aku juga tak fikir ada orang yang akan tumpangkan nenek ke mana-mana pada tengah-tengah malam buta seperti itu. Orang cabut lari itu mungkin.
“Macam mana kita semua boleh tertidur tadi?” tanya ibu pula.
“Entahlah. Mungkin kenyang sangat.” Aku cuba kendurkan ketegangan di situ. Sejujurnya aku sendiri tidak merancang untuk tidur tadi tetapi semuanya seolah-olah di luar kawalan. Tidak sedar bila masa aku terlelap dan anehnya semua seperti tidur mati.
Belum sempat ibu meneruskan perbualan, terdengar bunyi di tangga. Kami sama-sama menoleh. Tiba-tiba ibu menerpa.
“Mak! Mak ke mana?”
Nenek pandang ibu sekilas. Kemudian nenek naik ke rumah dengan bersahaja lalu duduk sambil memeluk sebelah lutut seperti orang keletihan.
“Abang Usin, tok imam dan ustaz dah pergi cari mak.” Ibu duduk dekat nenek.
Aku pandang sahaja. Masih tergamam kerana nenek suka-suka keluar dan suka-suka balik seperti tidak ada apa-apa yang menyusahkan. Nenek juga nampak jauh lebih sihat dan bertenaga.
“Sekejap lagi diorang baliklah tu,” jawab nenek dengan tenang.
“Mak tak apa-apa ke ni?” Ibu berkerut dahi di hadapan nenek.
Aku masih mengikuti perbualan itu dengan teliti kerana aku pun seperti ibu, masih bingung dengan kelakuan nenek.
Nenek menggeleng.
“Ambilkan aku sirih, Jah. Dah lama aku tak makan.”
Untuk sesaat dua, mulut ibu terngangga. Tetapi akhirnya ibu mengalah dengan permintaan itu. Selama ini pun apa sahaja permintaan nenek, ibu turutkan. Aku tahu jauh dalam hati, ibu ingin melihat ibu mentuanya sihat seperti sedia kala. Oleh itu apa sahaja kehendak nenek, ibu turutkan.
Sewaktu ibu pergi, aku tinggal berdua dengan nenek. Bohong kalau aku katakan, aku tidak rasa cuak. Malah aku cuak setiap kali memandang wajah nenek yang terlalu tenang. Tidak aku lihat raut kesakitan yang pernah aku lihat sebelum ini.
Atau dalam erti kata lain, nenek tidak kelihatan seperti orang sakit dan entah kenapa setiap kali nenek memandangku, pandangan mata nenek seolah-olah mengalirkan arus elektrik yang menggetarkan jiwa. Bahasa mudahnya, menyeramkan.
“Kamu bila balik?” tanya nenek.
“Petang tadi.” Aku tahu nenek tidak tahu hal itu.
Nenek terangguk-angguk. Air teh kosong yang aku tuang untuk nenek langsung tak bersentuh. Nenek hanya memandang kosong ke serata rumah kayu itu.
Aku diam. Mati akal untuk berborak dengan nenek yang sejak kecil memang tidak rapat dengan aku. Antara kami berdua memang ada jurang komunikasi. Nenek tidak bersikap seperti layaknya seorang nenek dan selalu melayani aku ala-kadar.
“Ni sirih, mak.” Mujurlah ibu balik semula ke ruang tamu bersama secekak daun sirih yang diambil di belakang rumah. “Tapi gambir tak ada. Pinang pun ada yang kering aje. Kapur dah keras.”
Ibu letak sirih tadi di atas sebiji pinggan yang mengandungi pinang dan kapur di hadapan nenek.
Nenek terus mengambilnya. Dicalit kapur dan diisi hirisan pinang. Daun sirih dilipat dan terus dimasukkan ke mulut. Nenek mengunyah dengan ligat bagaikan seorang budak-budak mendapat gula-gula kegemaran.
Ibu tidak berkata apa-apa. Aku juga memerhati sahaja sebab aku tahu selama ini nenek memang gemar makan sirih sewaktu sihat.
“Eh! Kamu dah telefon ayah kamu?”
Ya Tuhan! Aku tepuk dahi. Aku raba baju melayu yang aku pakai tetapi telefon tidak ada pula. Aku bangun mencari ke dalam bilik. Akhirnya aku jumpa telefon di dalam poket seluar yang kupakai siang tadi. Aku mahu telefon ayah tetapi bateri pula habis. Kelam kabut pula aku mencari pengecas telefon dan mengecasnya.
Sementara itu aku keluar semula ke ruang tamu kerana bimbang apa-apa hal terjadi dan aku leka lagi. Nanti ayah salahkan aku pula sebab tak jaga ibu dan nenek.
“Bateri habis. Sekejap lagi saya telefon ayah,” kataku sambil duduk semula.
“Jah, sedap sirih ni. Petik lagi, Jah.” Nenek bersuara dengan mulut yang merah dengan air sirih sampai berjejeh ke dagu.
Aku dan ibu sama-sama tergamam. Secekak daun sirih sudah habis dikunyah nenek bagaikan kelaparan. Untuk seketika ibu masih tidak bergerak dari tempatnya.
“Pergilah, Jah. Mak lapar ni. Ambil yang tua-tua sikit.” Nenek tersenyum memujuk.
“Kalau lapar, makanlah nasi, mak. Biar Jah ambilkan.” Ibu bangkit berdiri semula meskipun sudah keletihan.
Aku menjeling wajah ibu yang kebingungan. Aku percaya ibu serba-salah dan pening dengan tingkah laku nenek. Selama ini pun ibu banyak bersabar.
“Tak nak. Aku tak nak nasi. Aku nak sirih.”
Ibu mengeluh halus namun tidak melawan. Kemudian ibu hilang semula ke dapur untuk memetik sirih.
Tinggallah aku berdua dengan nenek sekali lagi. Cuma entah kenapa, kali ini mak pergi begitu lama. Sedangkan nenek masih tersenyum di hadapanku dengan mulutnya yang merah. Aku mula rasa lain macam. Sejujurnya aku tak sanggup memandangnya.
Mujurlah tidak lama kemudian, Ustaz Fauzi memberi salam dari bawah. Aku melompat bangun.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.